Tuesday, April 17, 2018

DEGUP PERJUANGAN


Piccedit: relevance.com
CERITA DUA ORANG
ANAK MUDA

PETANG kelmarin adalah di antara petang yang membahagiakan saya. Sebabnya, saya terserempak dengan mentor saya setelah 42 tahun tidak bertemu. Kami terpandang di antara satu sama lain tatkala membuat urusan di sebuah pejabat kerajaan.  Lantas, dua orang sahabat lama ini saling bersalaman dan berpelukan.

Hanafi. Layar minda saya segera mempamerkan imej-imej pada tahun 70an. Tatkala itu saya seorang siswa semester tiga Senireka Perusahaan di UiTM Shah Alam.  Sebagai pelajar dalam bidang seni, saya akan ke studio untuk membuat pelbagai tugasan, bukan seperti pelajar-pelajar lain yang pergi ke bilik kuliah mahupun perpustakaan.

Pada suatu malam, Hanafi berkunjung ke studio dan bersembang dengan rakan sekelas saya, Deng. Pada tahun-tahun 70an, para pelajarnya bebas berambut panjang. Rambut Hanafi tidaklah panjang tetapi ikal rambutnya dibiarkan mengerbang. Itulah identitinya.

Itulah juga yang menarik hati saya untuk mengenali dirinya. Pada malam-malam berikutnya dia datang lagi untuk bersembang dengan Deng. Hanafi punya karakter dan karisma seorang pemimpin. Dia petah bercakap dan berhujah meskipun dia adalah seorang siswa Sains Aktuari.

Lama kelamaan, saya mula menyampuk perbualan mereka dan akhirnya kami bertiga akan bersembang dan akan berkunjung ke mamakteria untuk meneguk teh tarik. Saya tak sedar bila Hanafi mula rapat dengan saya dan bermulalah percakapannya yang penuh berisi, berinti dan berfalsafah.

Hanafi selalu bercakap fasal perjuangan. Pada tahun-tahun 70an para siswa penuh dengan idealisme. Siswa UiTM, tatkala itu Institut Teknologi MARA, serta para siswa di universiti-universiti lain pernah menggegar negara dengan demonstrasi. Kami berbual tentang ekonomi Melayu, politik orang Melayu, budaya orang Melayu dan juga masa depan orang Melayu.

Saya pula adalah seorang anak Melayu yang berdarah Cina. Tatkala membesar, saya memang ingin jadi orang Melayu jati tetapi wajah saya tidak mengizinkan. Ha, ha. Kerana itu, idealisme-idealisme perjuangan Melayu yang dibawa Hanafi memberi saya peluang untuk menjadi seorang pejuang Melayu walaupun berdarah Melayu.

Itulah pandangan saya tatkala itu tentang diri, walhal penampilan fizikal hanyalah kulit. Yang penting adalah semangat. Hanafi sendiri menerangkan kepada saya bahawa yang dikatakan orang Melayu di Malaysia pun bukan semuanya Melayu original. Sebaliknya mereka adalah dari pelbagai suku seperti Jawa, Mendailing, Banjar, Bugis dan lain-lain. Bagi anak muda yang mentah seperti saya ketika itu, ia adalah sesuatu yang membina semangat keMelayuan yang kental di dalam diri saya.

Tak lama kemudian, saya diajak menjadi ahli Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung atau GPMS cawangan khas UiTM. Hanafi adalah Naib Presiden persatuan itu. Bermulalah proses perkaderan buat diri saya. Saya dilatih untuk melakukan pengucapan awam, menjadi pengerusi majlis, mengendalikan program-program persatuan seperti forum, seminar dan akhirnya persidangan.

Pada setiap cuti semester, saya menyertai Gerakan Obor dan juga Operasi Khidmat Masyarakat yang mengendalikan kelas-kelas bimbingan di kampung-kampung dan juga di rancangan-rancangan Felda serta Risda. Pada mulanya saya menjadi peserta program. Kemudian diangkat menjadi ahli jawatankuasa dan akhirnya pengarah projek.

Sudah tentu saya terlibat dalam politik kampus dan menjadi seorang aktivis pelajar. Saya mula membentuk kader-kader pula dan mengasuh mereka berpidato sebelum memilih mereka sebagai calon Jawatankuasa Perwakilan Pelajar di kampus.

Ia adalah suatu proses yang panjang. Tetapi Hanafi telah membina saya daripada seorang pelajar seni yang pendiam menjadi seorang pelajar yang vokal. Tetapi yang indahnya, saya kemudiannya dilatih untuk menjadi kingmaker atau menjadi puppet master.

The art of persuading, convincing
hingga kepada brainwashing menjadi pengetahuan atau apa yang saya istilahkan sebagai ilmu-ilmu batin dalam perjuangan. Hingga pada suatu ketika, saya menterjemah buku The Art of War karya Sun Tse pada usia 21 tahun! Maknanya, inti buku itu masih tersemat di sanubari.

Panjang sekali kisah saya dan Hanafi. Banyak yang kami bualkan di restoran mamak pada petang semalam. Dan ya, kami membuka semula  topik fasal perjuangan. Ha, ha. Kami sama-sama tergelak bila bercerita kisah lama. Perbualan terus melarat kepada hal-hal PRU yang bakal menjelang. Dan persoalan anak muda juga kami sentuh.

Dan, sebagai seorang pensyarah, Hanafi mengakui para siswa pada hari ini tidak seperti di zaman kami. Mereka adalah pelajar yang hanya ingin lulus peperiksaan, mendapat kerja dan live happily ever after. Saya tambah, mereka juga adalah zombie. Sebab, mereka nampak hidup tetapi tenggelam di dunia siber yang terpapar di telefon pintar masing-masing!

Kata-kata itu membuat kami sama-sama termenung! Dia seorang pensyarah yang juga bertanggungjawab membina anak-anak muda. Saya pula orang media yang faham susup sasap dunia siber mainan anak-anak muda.

‘Din…’ katanya. ‘We must do something…’ Saya sambut kata-katanya dengan jawapan… ‘Kita restart! Kali ini bukan untuk kita dah. Tapi untuk mereka!’

Kata-kata kami seperti ucapan-ucapan bersemangat kami 40 tahun lalu tatkala kami masih anak-anak muda.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.4.18.


4 comments:

  1. Bhai Eyman ..

    Gua setuju... anak muda sekarang ramai yang jadi Zombie dan takder jati diri untuk membina negara bangsa ....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Soalnya bagaimana untuk segerakan program kesedaran itu...

      Delete
  2. Alhamdulilah kisah tuan turut membuka kotak ingatan saya di alam persekolahan tahun 1980an di SMK King Edward VII Taiping dan Universiti Malaya. Perkataan "restart" terkesan di jiwa pabila kesempatan bertemu kenalan yang 35 tahun tak pernah bertemu setelah meninggalkan alam persekolahan dan kami berdua berpeluang memenuhi undangan sebuah sekolah untuk mengendalikan bengkel penulisan. Betul apa yang tuan tulis dan sembangkan bersama Hanafi tentang remaja masa kini yang kosong jiwa juang khasnya pabila diminta menulis judul cerpen pun mereka teragak-agak dan ini memberikan semangat supaya program Kembara Budi @ pkpk.bacaton dijalankan dengan lebih aktif bersama rakan sinergi dan permohonan / kertas cadangan telah saya majukan kepada karangkraf.
    Semoga hasrat "dua anak muda" dapat kita raikan bersama-sama

    ReplyDelete