Tuesday, February 27, 2018

KITA KERJA UNTUK APA?

-->
SIANG JADI PEKERJA, 
MALAM JADI MANUSIA
PAGI kelmarin saya menerima kedatangan Amsyairi Ismail, seorang usahawan kek. Am, seperti nama panggilannya kelihatan tak makan usia meskipun sudah berusia 37 tahun. Orang sekarang kata, baby face. Kami saling mengenali lebih 9 tahun. 9 tahun yang lalu, Am adalah Ketua Meja Sukan di akhbar Sinar Harian yang saya terajui.
Dua tahun setelah dia berketuakan saya, Am memilih jalan sendiri. Setelah beberapa tahun bertugas di syarikat media yang lain, Am mengambil keputusan untuk menjadi seorang usahawan online. Tatkala orang lain menjadi ejen mahupun stokis menjual produk  ataupun menjual secara dropshipping, Am menjual kek yang dijenamakan sebagai Kek Buah Kukus Mr. Kemaih. Dan, kek itu dibuatnya sendiri! Rasanya pun sedap dan setanding dengan mana-mana produk keluaran syarikat-syarikat yang lain.
 Sambil berbual, Am turut meminta idea dan pandangan saya mengenai perniagaannya. Saya gelak sahaja kerana nampak asas perniagaannya amat kukuh. Jika sesebuah perniagaan itu boleh bertahan lebih dari tiga tahun seperti bisnesnya, dia boleh survive, lebih-lebih lagi dalam iklim ekonomi yang tidak menentu seperti sekarang.
Mengapa saya katakan perniagaannya kukuh? Pertama, dia mengeluar dan menjual produknya sendiri. Kerana itu, ramuan, pembungkusan dan pengedarannya adalah melalui jeringannya yang tersendiri. Pengedaran secara online melalui media sosial terus sampai kepada kumpulan sasar. Dalam konteks ini, para pelanggannya terdiri daripada kenalannya sendiri. Berniaga dengan kenalan lebih menjamin jualan berulang.
Kedua, naik turun geraf pemasarannya itu boleh dikawal. Am sendiri mengakui yang dia melakukan promosi sekurang-kurangnya seminggu sekali secara langsung melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan juga Whatsapp. Sudah pasti dia mempunyai pangkalan data yang sentiasa disemasakan. Kerana itu, perniagaannya konsisten.
Ketiga,  selain daripada pesanan-pesanan harian, beliau juga menerima tempahan kek secara pukal untuk door gift majlis-majlis keramaian khususnya untuk majlis perkahwinan. Melalui majlis-majlis seperti inilah beliau dapat menjangkau pelanggan baharu di luar jaringannya.
Keempat, oleh kerana perniagaan melalui online ini tidak memerlukan modal permulaan yang banyak, hingga ke hari ini perniagaannya berkembang secara organik. Keuntungan yang diperoleh dilabur kembali sebagai modal pusingan. Kerana itu, beliau tidak perlu membuat pinjaman bank. Apabila beliau mendapat kontrak besar dan tetap umpamanya daripada syarikat penerbangan, baharulah beliau boleh membuat pinjaman.
Kelima,  beliau masih boleh melakukan rutin harian, menghantar dan mengambil anaknya dari sekolah, mengeteh dengan kawan-kawan, menziarahi keluarga dan sempat berjemaah di surau berhampiran dengan rumahnya. Inilah heaven baginya. Am memperoleh keseimbangan dalam kehidupannya.
Inilah juga jalan yang diidami oleh ramai di antara kita yang sudah terperangkap dengan apa yang dikatakan kehidupan sebagai seorang profesional. Ramai di antara kita yang memanjat hieraki organisasi memanjangkan angan-angan bekerja siang sampai ke malam dengan harapan akan naik pangkat. Impian kita ialah, bila naik pangkat, pendapatan akan bertambah dan hidup jadi senang. Malangnya ramai yang hanya mengejar fatamorgana. Dalam sibuk mengejar, kita mengorbankan masa dunia kita sebagai manusia.
Tak sempat menatap matahari terbit, bulan mengambang, menyapu embun di rumput, menghirup udara pagi mahupun merenung bintang di langit. Makan malam tidak dapat lagi kerap bersama keluarga. Yang kerap hanya menatap video wajah-wajah girang anak-anak di telefon kerana kita masih di pejabat.
Kalau pun ingin melihat alam, bulan, bintang, matahari dan laut yang luas terbentang, kita terpaksa pula mengambil masa untuk bercuti. Seminggu pun dikira lama meskipun sekejap sangat. Bolehlah kita terbang jauh bersama keluarga. Namun, meskipun anak-anak berada di sisi, jiwa kita pula yang tercicir di bilik pejabat. Kerja sudah mengejar kita hingga ke hujung dunia.
Apakah yang kita kejar dalam hidup ini? Kita mengejar duit untuk digunakan sebagai matawang membeli kasih sayang, kesenangan, kegembiraan dan kebahagiaan. Kita rasa duit boleh membeli segala-galanya. Sedangkan apabila masanya tiba untuk membeli kasih sayang yang hilang bila anak lari dari rumah, kita dapati nilai duit yang kita ada itu tidak cukup untuk membeli kasih sayang itu sendiri.
Hidup dan bekerja mestilah seimbang. Siang kita jadi pekerja, malam kita jadi manusia. Kita bekerja untuk hidup, bukannya hidup untuk bekerja.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.2.18.

No comments:

Post a Comment