Tuesday, January 16, 2018

WAL HASIL BALIK ASAL


KENAPA MEMBAZIR SETELAH BERJIMAT?

Petang tadi, saya terpandang Erisya, anak staf saya sedang membuat latihan matematiknya. Bila emaknya tak dapat mengambilnya dari sekolah, ayahnya membawa Erisya ke pejabat sebagai tempat transit. Di sisi gadis sunti itu terdapat sebuah mesin kira. Hati kecil saya berkata, betapa mudah pelajar sekarang menyudahkan latihan matematiknya.

Sewaktu saya sekolah dahulu, saya menggunakan batang aiskrim sebagai alat mengira. Bukan saya sahaja, malah kawan-kawan sedarjah yang lain pun sama. Kami kutip batang-batang aiskrim yang bersepah di kawasan sekolah. Setelah dibasuh dan dijemur, kami gunakan ia sebagai alat mengira untuk menyudahkan latihan ilmu hisab.

Saya terfikir, kanak-kanak sekarang tidak mempelajari konsep campur, tolak, darab dan bahagi melalui jalan kerja yang panjang sepertimana saya dan mereka seangkatan dengan saya terokai. Cara yang kami lalui itu sukar dan cerewet. Tetapi cara itulah yang melekat di fikiran hingga ke hari ini. Saya faham mengapa dua kali lima jawabnya sepuluh kerana mengiranya satu demi satu menggunakan batang aiskrim. Pelajar sekarang tahu jawapannya sebab kalkulator memberi jawapan sebegitu!

Hidup kita pada hari ini memang dipermudahkan dengan pelbagai peralatan. Menggosok baju hanya menggunakan seterika elektrik. Tekan swis dan terus gosok pakaian. Di zaman membesar saya dahulu, emak membakar arang di dapur. Arang yang merah membara itu dimasukkan ke dalam seterika. Bila panas, baharulah menggosok pakaian. Seterika arang tiada termostat yang menganggar tahap kepanasan seterika. Bila baju yang digosok mula berbau hangit, emak akan renjis permukaan seterika untuk menyejukan sedikit permukaannya sebelum menggosok semula.

Pada hari ini juga, meskipun sudah ada mesin basuh, kian ramai di antara kita yang sanggup melepak di kedai-kedai dobi 24 jam. Baju yang dibasuh boleh terus dikeringkan. Tidak perlu terintai-intai ke luar tingkap melihat samada pakaian di jemuran dipanah matahari atau disimbahi hujan.

Bila teringin hendak makan apa sahaja, koyakkan sahaja pek-pek perencah anika jenis masakan. Dan, walla… kita boleh makan apa yang kita ingini. Andainya tidak mahu lakukan itu, buka sahaja grup Whatsapp bisnes dan pilih sahaja hidangan makan malam. Bukan piza dan burger sahaja yang ada penghantaran hingga ke rumah. Masakan ikan pari asam pedas pun sudah boleh dipesan. Tak perlu ke restoran.  Dalam masa tak sampai sejam, makanan sampai ke rumah.

Oleh kerana serba serbi menjadi mudah, hidup kita makin senang. Tetapi, seperti kata pepatah Inggeris, easy come, easy go. Mudah mendapat, senang juga ia dilupakan. Kehidupan kita yang dipermudahkan itu menjadikan kita tidak melalui fasa berusaha dan mencuba sebagai proses pembelajaran.

Tatkala berusaha itulah kita akan hadapi kesukaran. Kesukaran itu mengajar kita erti kesabaran. Kesabaran itu pula menjadikan kita orang yang tekun. Dan ketekunan itu membina peribadi yang kental.

Zaman di mana kita membina sahsiah diri dalam kehidupan seharian seperti  belajar memasak air, menanak nasi, membasuh, membilas dan memerah pakaian itu semuanya sudah berlalu. Jangan kita tanya hal-hal yang kian ramai kita tak pandai buat seperti menjahit butang, apatah lagi menjahit pakaian. Tidak usah kita tanya bagaimana pula menanam dan menjaga serai, ubi dan pisang. Entah-entah, kita tak pandai pun mencabut kemuncup di kaki seluar.

Kita telah lama tinggalkan zaman yang sukar. Zaman yang cerewet, apabila kita mengambil masa yang begitu lama untuk menyudahkan sesuatu. Dengan pelbagai peralatan elektronik dan elektrik, ditambah pula dengan teknologi komunikasi,  kita telah menjimatkan banyak masa. Malangnya, masa yang kita jimatkan itu dijolikan pula dengan pelbagai hal-hal yang akhirnya membuang masa.
Ertinya, masa yang dijimat itu dibuang. Wal hasil, balik asal! Back to square one!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 17.1.18.

No comments:

Post a Comment