Tuesday, November 28, 2017

MENGATUR MASA

piccredit: linkedln

TIGA JENIS
PERSEPSI MASA

SEKALI-SEKALA, saya akan bertemu dengan ahli politik yang berjawatan menteri. Selalunya, daripada apa yang saya perhatikan, mereka adalah di antara orang yang sibuk dengan pelbagai tugas kerana ruang lingkup peranan mereka yang luas. Seseorang menteri adalah juga seorang pemimpin di peringkat kawasan kampungnya, di peringkat negeri dan juga di peringkat nasional.
Dia mungkin mengepalai beberapa jawatankuasa di peringkat kabinet, peringkat kementerian dan juga penaung di pelbagai pertubuhan. Yang pastinya, dia adalah juga ketua keluarga yang punyai puluhan saudara-mara, kaum kerabat dan pengikut yang harus diberi perhatian. Dalam pada itu, dia juga manusia yang perlukan masa untuk makan, minum, tidur, beribadah atau menunaikan hajat.
Benar, seseorang menteri biasanya ada beberapa orang pegawai yang membantunya. Dia ada pembantu peribadi, pengawal peribadi, pegawai khas, setiausaha, setiausaha akhbar dan setiausaha politik. Pegawai-pegawai itulah yang mengatur aktiviti sehariannya.
Mereka jugalah yang mengatur dengan siapa dia harus bertemu dan selama mana dia harus melayaninya.  Pada banyak ketika, pak menteri terpaksa akur dengan apa yang pegawai-pegawainya aturkan. Meskipun letih, mereka bagai sekumpulan jurulatih yang memaksa ahli olahraganya untuk terus berlari!
Daripada sudut pengurusan masa, seseorang yang diatur masanya akan menjadi manusia yang produktif. Ahli-ahli sukan profesional, anggota pasukan beruniform mahupun para pelajar di sekolah asrama penuh bisa menjalani satu-satu hari yang padat dengan aktiviti fizikal, mental dan juga spiritual.
Bagaimana pun, kita sebagai manusia biasa yang tidak punyai disiplin sebegitu, bagaimanakah kita memperoleh produktiviti apabila mengatur aktiviti harian mengikut sukatan masa? Semuanya bergantung dengan bagaimana kita melihat masa itu sendiri. Saya tidak mahu menyentuh masa daripada sudut fizik yang diutarakan oleh Stephen Hawking.
Saya hanya ingin menyentuh masa daripada sudut persepsi. Bagi saya, kita punyai tiga jenis persepsi masa iaitu masa fizikal, masa mental dan masa spiritual. Masa yang dilihat daripada persepsi fizikal itu menurut detikan jarum saat, minit dan jam yang dapat kita tatap pada jam dinding. Secara logiknya, masa menurut persepsi fizikal itu bergerak mengikut aturan pada kadar kelajuan tertentu. Ramai di kalangan kita menyukat waktu seharian menurut waktu fizikal ini. Jika kita tidur pada jam 10.00 malam dan bangun pada jam 4.00 pagi, itu bererti kita tidur selama 6 jam.
Jika waktu yang tertera di aplikasi waze mengatakan kita akan sampai ke destinasi dalam tempoh 30 minit, sedangkan temujanji kita bermula 20 minit lagi, itu bermakna kita akan lewat 10 minit. Waktu menurut persepsi fizikal ini, amat tepat bagi mereka yang mengikut aturannya. Malah, kita yang mengamalkannya akan memancung masa bagi satu-satu aktiviti.
Orang barat mengamalkan masa menurut persepsi fizikalnya. Kita boleh lihat keadaan ini biasanya dalam filem-filem Hollywood. Pada adegan dalam sebuah kelas, pensyarah yang bercakap akan terus berhenti dan para pelajarnya akan bangun meninggalkan kelas sebaik sahaja loceng berbunyi.
Masa mengikut persepsi mental pula lazimnya lebih longgar. Tiada waktu tepat yang jadi pengukur. Yang ada hanyalah waktu menurut zon aktiviti. Kita lakukan sarapan pada waktu pagi, buat temujanji dengan seseorang pada waktu makan tengahari, berdiskusi selepas asar dan berbincang mengenai kenduri keluarga selepas pulang dari surau. Tiada angka jam disebut di dalam setiap aktiviti ini.
Aktiviti masa menurut persepsi mental ini lebih santai. Kita lebih memanusiakan diri berbanding dengan waktu menurut persepsi fizikal yang agak robotik. Namun, oleh kerana variasi waktunya tidak khusus, pembaziran masa akan berlaku terutamanya di antara dua aktiviti. Maknanya, ada kelompangan masa yang tidak digunakan di antara aktiviti yang sedang dilakukan dan yang berikutnya.
Bagaimana pun, masa menurut persepsi spiritual pula agak unik. Masanya lebih spesifik seperti masa menurut persepsi fizikal. Tetapi aktivitinya pula lebih santai daripada masa mengikut persepsi mental. Kita yang menggunakan masa menurut persepsi spiritual ini lebih produktif kerana mendapat hasil aktiviti yang berkualiti.
Ini adalah kerana, aktiviti mengikut persepsi spiritual ini dipandu oleh waktu-waktu solat. Waktu solat itu memancung aktiviti kita. Aktiviti kita itu bukan berhenti pada jam 1.00 tengahari. Sebaliknya aktivitinya berhenti secara spesifik pada jam 1.14 tengahari misalnya, sebaik sahaja masuk waktu zohor. Begitulah juga aktiviti-aktiviti seterusnya yang bermula selepas solat dan berhenti sebelum solat berikutnya. Kita mula tidur dan bangun juga menurut waktu solat.
Kita akan lebih produktif dan tidak mudah letih kerana kita punyai keberkatan masa kerana masa menurut persepsi spiritual itu akan sempat membereskan banyak perkara. Ini adalah kerana masa menurut persepsi spiritual itu tunduk kepada arahan-NYA yang mencipta masa itu sendiri.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.11.17.


No comments:

Post a Comment