Tuesday, October 24, 2017

BERTANYA ADA MAKNA


DI ANTARA
SOALAN DAN JAWAPAN

PETANG semalam, saya menghadiri program Wacana Sinar yang membicarakan tajuk Apa Sebab Etnik Rohingya Dizalimi? Kali ini saya tidak duduk di barisan hadapan majlis. Sebaliknya saya duduk di bahagian belakang Dewan Karangkraf. Saya sengaja berbuat begitu untuk melihat bagaimanakah perilaku audien di wacana yang ilmiah sebegini.

Seperti biasa, audiennya terdiri daripada kalangan ahli akademik, cendekiawan, pekerja swasta, pesara dan para pelajar universiti. Cuma sedikit perbezaan kehadiran ialah adanya beberapa orang daripada etnik Rohingya yang menemani salah seorang ahli panel, Encik Abdul Ghani Abdul Rahman yang juga Timbalan Presiden, Rohingya Society in Malaysia.

Selain daripada pembentangan hujah ahli-ahli panel, saya tertarik dengan soalan-soalan mencabar yang dilontarkan oleh moderator, Haji Nazri Kahar dari Astro Awani. ‘Kita lebih mudah menilai pemikiran seseorang melalui soalan-soalannya, bukan kepada jawapan-jawapannya,’ kata Pierre Mark Gaston duc de Levis, seorang ahli politik Perancis.

Benar, kita boleh kenal personaliti seseorang dengan cara dia menyoal, pemilihan perkataan serta melalui nada suaranya. Soalan dikatakan sebagai inti utama di dalam bidang ilmu sains dan juga seni. Tanpa bertanya mengapa buah epal jatuh ke tanah, Isaac Newton tidak mungkin menemui hukum graviti. Tanpa menyoal, bagaimana hendak mengumpul habuk yang disapu tanpa ia berterbangan semula, maka Daniel Hess tidak akan terfikir untuk membuat alat penyedut hampagas yang pertama di dunia.

Di dalam berkomunikasi, menyoal itu adalah di antara inti utamanya. Terdapat beberapa jenis soalan yang biasa kita sendiri tanyakan kepada seseorang kerana beberapa tujuan. Yang lazimnya ialah soalan yang dikemukakan kerana hendak mendapat maklumat ataupun hanya untuk berbasa basi. Misalnya, kita bertanya kepada jiran, dia hendak ke mana apabila nampak dia menghidupkan enjin motorsikalnya. Ataupun kita bertanya anak mengenai apa yang dipelajari di sekolah kerana ingin tahu apa yang dilalui si anak. Apabila mendapat jawapan itu, biasanya kita tidak akan bertanya soalan seterusnya.

Ada kalanya kita bertanya untuk menyelidik atau mengesahkan sesuatu perkara. Ia berkait dengan pengalaman yang dilalui oleh orang yang ditanya ataupun mengenai sesuatu berita. Kita bertanya kawan, apakah dia tahu mengenai kemalangan jalan raya yang terjadi di simpang jalan ke pejabatnya. Jawapan ‘ya’ atau ‘tidak’ kawan itu akan mensahihkan berita yang kita terima.

Ada juga suasana bila mana sesebuah soalan itu diajukan untuk menguji tahap pengetahuan seseorang. Ini biasanya terjadi di dalam sesi temuduga pekerjaan. Dalam pada itu, terdapat juga di dalam mana-mana kuliah, akan ada seorang pelajar extrovert yang sengaja bertanya soalan semata-mata untuk menguji tahap pengetahuan si pensyarah.

Kadangkala, kita akan temui juga mereka yang bertanya soalan-soalan yang lekeh. Mereka ini akan kita temui di majlis-majlis ilmu seperti kuliah agama. Saya pernah menemui orang begini di dalam sebuah kuliah haji. Serbannya lebih besar daripada serban si penceramah tetapi soalannya mengenai solat sunat musafir. Daripada nada suaranya, saya dapat mengagak, soalan individu itu bukannya kerana dia tidak tahu. Sebaliknya, soalannya itu adalah untuk pengetahuan para hadirin yang segan untuk bertanya.

Tatkala bertanya, kita tidak seharusnya pula memaksa orang yang ditanya itu menjawab seperti apa yang kita mahu. Jika inilah niat kita bila bertanya, barangkali kita sendiri sudah sedia untuk bertekak. Perkara asas iaitu menyoal untuk mendapat jawapan sudah bertukar kepada perbahasan, malah pertengkaran.

Sebagai orang yang bertanya, kita perlu menghormati jawapan yang dikemukakan oleh orang yang ditanya. Samada jawapannya benar atau sebaliknya, itu adalah hak orang yang menjawab. Namun, seandainya kita tidak berpuashati dengan jawapan itu, kita boleh bertanya untuk menjalurkan kepada jawapan bagi menyelesaikan pertikaian. 

Bertanyalah apa sahaja, tetapi berikan ruang orang yang ditanya itu untuk menjawab mengikut susun kata atau ayatnya. Orang yang ditanya itu pula patut memberi jawapan yang memuaskan hati orang yang bertanya. Tidak cantiklah, jika tidak mahu menjawab, menyoal pun tak boleh!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit pada 25.10.17 di akhbar Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment