Tuesday, July 4, 2017

BAGAIMANA MENULIS MAAF CAKAP

 

DI SEBALIK CATATAN
MAAF CAKAP


SEKALI sekala saya akan bertemu dengan individu-individu yang tersenyum, lantas menerpa dan bersalaman dengan saya. Situasi ini akan mengkagetkan saya. Namun, setelah beberapa kali mengalami situasi begitu, saya dapat mengagak, tindakan mereka itu kerana mereka gembira bertemu  dengan saya secara ‘live.’ Gembira kerana dapat bertemu dengan penulis kolum Maaf Cakap.
Pasti juga saya berasa gembira kerana dapat menyampaikan buah fikiran. Dan pandangan saya itu memberi manfaat kepada para pembaca kolum itu. Tidak menjadi penting samada pembaca mengenali saya. Yang lebih mustahak ialah mereka mengikuti dan memperoleh manfaat daripada catatan saya.
 Mereka yang menyapa saya lalu menyatakan mereka adalah pembaca tetap kolum saya akan bertanya, bagaimana saya memperoleh idea untuk menulis daripada sudut pandangan yang sedikit berbeza daripada lain-lain penulis. Jawapan saya ialah, sudut pandangan yang berbeza akan memperlihatkan wajah yang berbeza bagi sesuatu perkara.
Saya boleh mengulas sesuatu itu daripada sudut pandang mata burung. Dan saya boleh juga memberi pandangan daripada mata ikan. Sudut pandangan daripada atas atau daripada bawah. Namun, lazimnya saya akan catat daripada dalam sesebuah itu sendiri. Pandangan daripada dalam ke luar, bukannya pandangan dariupada luar ke dalam sebagaimana lazimnya.
Biasanya, sesebuah idea penulisan itu datang secara spontan, terutamanya tatkala berbual dengan kawan-kawan. Sering kali juga, ketika saya menyampaikan pendapat, hati saya berkata, ‘Oh, bagus juga jika pandangan ini dijadikan bahan tulisan untuk kolum Maaf Cakap minggu ini.’
Lantas, saya akan catat beberapa frasa mengenai topik berkenaan di dalam sebuah buku nota yang sentiasa tersimpan di poket saya. Dalam hal menyimpan idea, saya ini jenis ‘old school.’ Tidak selesa mencatat idea ke dalam telefon pintar kerana membuka buku nota lebih cepat daripada terkais-kais skrin telefon untuk membuka buku nota yang ada di dalamnya. Seringkali saya akan melencong melihat mesej atau apa sahaja yang lain hingga terlupa niat asal yang membuka telefon saya itu!
Ada juga topik yang menjadi sesuatu idea tulisan tercetus apabila saya berasa tersentuh dengan sesuatu perkara. Apabila saya berasa emosional mengenai sesuatu isu yang menjadi bualan, hati saya terus menguja untuk menjadikan ia bahan tulisan. Namun, topik-topik yang biasanya menjadikan saya emosional itu memang sukar untuk saya catat dengan segera kerana bahasa kasar dan kesat bukan konsep kolum Maaf Cakap.
Saya perlu tenangkan diri terlebih dahulu sebelum menulis. Dan, saya akan edit kembali tulisan saya itu beberapa kali supaya pemilihan istilahnya lebih halus dan berlapik. Ia dilakukan agar sesiapa yang membacanya tidak jadi tak tentu arah kerana terpengaruh dengan bahasa yang saya gunakan. Mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang.
Saya boleh menulis seperti orang mengamuk yang melibas sesiapa sahaja di sekeliling. Tulisan sebegitu boleh mempengaruhi para pembaca untuk turut sama diamuk perasaan marah dan benci yang membuak-buak. Ataupun saya boleh menulis seperti orang yang menghiris dengan pedang yang tajam. Bisanya hanya dirasai secara diam-diam. Kata orang, makan dalam.
Cara makan dalam ini lebih berkesan meskipun ia tidak menampakkan reaksi yang terzahir. Biasanya kesan tulisan yang dirasai secara perlahan-lahan itu lebih lama bertahan. Ia menjadikan seseorang yang membaca itu memperoleh santapan minda yang enak. Yang penting, pembaca akan teringat-ingat. Ingatan itu pula lebih ditujukan kepada diri sendiri. Mudah-mudahan seseorang pembaca itu akan dapat memperbetul dirinya sendiri.
Bagaimana pun, apakah catatan Maaf Cakap saya ini turut memberi kesan kepada diri sendiri? Sememangnya begitulah. Tiap kali saya mencatat, saya juga jadikan ia cermin buat diri ini. Kerap kali juga catatan saya ini kena pada batang hidung sendiri. Ya, ada juga saranan yang saya catat itu saya sendiri belum lakukan. Justeru, apakah saya hanya pandai menasihat tetapi cakap tak serupa bikin?
Inilah perkara yang paling saya bimbangi. Kerana itu, apabila saya dapati saranan saya itu adalah sesuatu yang belum pernah saya lakukan, saya akan paksa diri ini untuk lakukan apa yang saya sarankan. Cakap saya mesti serupa bikin. Jika saya rasa saya tak mampu untuk lakukan apa yang saya sarankan. Saya tidak akan catat hal itu sama sekali.
Saya kena jujur pada diri sendiri. Jujur pada diri sendiri ini hanya saya yang tahu!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.7.17.

No comments:

Post a Comment