Tuesday, May 30, 2017

TIADA MAAF BAGIMU




Piccredit:sadcatdiary.com

BILA SEPATUTNYA MENOLAK MAAF
POLIS membuka kertas siasatan berhubung penyiaran muka depan akhbar The Star pada Sabtu lepas di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan. Polis akan memanggil mereka yang bertanggungjawab bagi membantu siasatan berikutan banyak laporan diterima mengenai paparan muka depan akhbar itu melibatkan foto dan kapsyen yang menyinggung  perasaan masyarakat Islam.
Walaupun pihak polis telah membuka kertas siasatan, ada juga suara-suara sinis yang mengatakan, sebaik sahaja akhbar tersebut memohon maaf, sudah pasti tidak akan ada tindakan susulan yang akan diambil.

Sebelum ini, banyak kes yang menyentuh sensitiviti umat Islam tidak berpanjangan sebaik sahaja pihak yang melakukan kesalahan itu memohon maaf. Selepas itu, masyarakat Islam yang bising pada mulanya akan senyap sunyi. Kes ditutup kerana maaf mereka diterima!

Sikap pemaaf adalah sikap yang terpuji. Namun sikap itu boleh menjadi keji seandainya si pemaaf itu masih lagi memaafkan meskipun sesuatu kesalahan itu dilakukan berulang-ulang terhadapnya. Mereka mungkin jujur hingga ke peringkat lurus bendul kerana mempunyai pendirian pemaaf tanpa peka untuk membaca perangai si pelaku samada dia benar-benar silap ataupun sengaja menguji tahap kesabaran mereka.

Apakah masyarakat Islam sengaja dipermainkan sementelah kerana mereka berpegang kepada sikap mudah memaafkan? Mengapakah masyarakat Islam kelu lidah dan tidak bertindak walaupun jelas pihak yang meminta maaf itu mengulangi-ulang tindakan salah yang kononnya tidak sengaja itu?

Sebagai manusia, kita biasa melakukan kesilapan. Adab berbuat silap ialah memohon maaf kepada mereka yang dianiaya. Namun, mudah sangatlah mengungkap kata-lata ‘saya mohon maaf’ seandainya luka-luka perasaan itu dilupakan sebegitu sahaja. Apabila kesalahan diulangi berkali-kali hingga menimbulkan bengkak, si mangsa pula bertindak kasar akibat rasa amarah. Yang akan terjadi ialah, si mangsa yang marah itu pula dipersalahkan kerana kononnya emosional. Keadaan jadi terbalik. Yang melakukan kesalahan pula berlagak maksum.

Mana-mana pihak yang melakukan kesilapan sepatutnya memohon maaf. Tetapi, yang memaafkan pula mestilah mengenakan syarat. Pertama, dia kenalah beri penerangan mengapa kesilapan itu boleh dilakukan. Kedua, dia mesti berjanji untuk tidak mengulangi lagi kesalahan itu dalam apa jua bentuk pun. Ketiga, si mangsa akan memaafkan seandainya si pelaku bersumpah akan sanggup menerima apa jua tindakan sekiranya mengulangi perbuatan salahnya.

Maaf bersyarat itu akan menjadikan mereka yang salah lebih berhati-hati daripada mengulangi kesilapan. Dan,  seandainya yang salah itu memang punyai agenda tersembunyi, dia sendiri akan sedar, pihak yang dipermainkan itu sudah tahu belangnya.

Naluri kita boleh membaca kejujuran mahupun helah seseorang. Permohonan maaf itu tidak lagi bererti seandainya si pelaku memohon maaf setelah didesak. Ataupun ia dilakukan secara begitu mudah seolah-olah sebuah pernyataan formaliti semata-mata.  
Walau bagaimana pun, seandainya sesebuah permohonan maaf itu dibuat secara jujur, ia akan benar-benar memadam api kemarahan. Ia menzahirkan bahawa orang yang melakukan kesilapan itu benar-benar ingin menjaga hati orang yang terkesan dengan kesilapannya itu. Tambahan pula, jika si pelaku salah itu segera memohon maaf tanpa dipinta-pinta. Dan, orang yang jujur dalam permohonan maafnya pasti tidak akan ulangi kesilapannya lagi. Dia sedar yang dia alpa melakukan kesilapan itu. Dia peka bahawa dia telah mencalar perasaan pihak yang satu lagi.
Betapa pun, permohonan maaf yang baik dan terpuji adalah permohonan maaf melalui lafaz dan bukannya secara bertulis. Bila melafaz, mata akan bertentang mata. Bahasa mata boleh menjalar terus ke hati. Genggaman tangan yang memohon maaf itu juga petanda kesungguhan.  
Action speaks louder than words. Jangan tulis aje. Itu formaliti yang tidak ambil kira sensitiviti! Maaf sebegitu sepatutnya tertolak!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 31.5.17


No comments:

Post a Comment