Tuesday, November 15, 2016

MENGAPA CARI KAWAN SAHAJA?



Piccredit: Pethealthnetwork
MARI KITA MENAMBAH SAHABAT

Saya menerima sebuah mesej WhatsApp daripada Ramlee Awang Murshid. Ramlee adalah seorang novelis yang memegang jolokan Novelis Thriller Nombor Satu Malaysia. Bagi mereka yang tidak mengenali beliau, dia ini entah siapa-siapa. Tetapi, jika saya katakan yang Ramlee adalah seorang novelis jutawan, sudah menulis 29 naskhah novel dan novelis yang punyai puluhan ribu peminat di Malaysia, mungkin ada yang terkejut. Ramai juga yang tidak percaya.
Tidak mengapa. Yang penting, saya hendak menceritakan bagaimana mesejnya itu memberi kesan kepada saya. Beliau mengirim video melalui Whatsapp cebisan temubual beliau sebagai seorang novelis prolifik dengan televisyen Astro Awani. Di antara soalan yang ditanya kepadanya ialah, novel penulis manakah yang paling diminatinya? Beliau menjawab,  Eyman Hykal dengan novel Detik Debarnya. Tentu sekali saya terharu kerana Ramlee memilih novel tulisan saya sebagai novel paling disukainya.
Ramlee adalah di antara penulis yang rapat dengan saya. Beliau di antara novelis yang senior di syarikat penerbitan Alaf 21 di mana saya bertugas pada suatu ketika dahulu. Di syarikat inilah Ramlee bertapak, berkembang dan menjadi seorang penulis yang hebat. Di sepanjang urusan berkaryanya dengan syarikat ini, kami membina perhubungan hingga menjadi erat. Sudah hampir 20 tahun kami bersahabat.
Namun, sejak saya meninggalkan syarikat penerbitan Alaf 21 dan mula bertugas di akhbar Sinar Harian, perhubungan kami mula renggang. Sekali-sekala bila berpeluang, kami akan berjumpa dan makan-makan. Tatkala itulah kami semasakan kembali perkembangan masing-masing. Walaupun tidak berhubungan, kami sentiasa tahu masing-masing berada di ceruk mana di dunia ini.
Apabila muncul Whatsapp, kami dan seorang lagi sahabat membuka kumpulan sembang. Tetapi kumpulan ini tidak riuh seperti kumpulan sembang yang lain. Jika ada sesuatu yang penting, mesej akan dihantar. Pada hari yang sama juga masing-masing akan menerima respon.
Apabila merenung dan berfikir bagaimana Ramlee masih mengingati karya yang saya tulis lima tahun lalu, maka saya mengerti yang dia jujur dengan pujiannya terhadap novel saya lima tahun dahulu. Masa menentukan wajah sebuah perhubungan, apakah ia setakat kawan-kawan atau menjelma menjadi sebuah persahabatan dalam ertikata yang sebenar.
Saya teringat kisah seorang rakan sekolej saya, Hakim. Dua hari dia tidak pulang ke asrama. Tatkala itu tiada telefon bimbit untuk mengirim mesej bertanya khabar. Saya dan rakan-rakan sebilik yang lain amat risau tentang Hakim. Dia menghidap penyakit asma. Kami semua khuatir kalau apa-apa yang buruk terjadi kepadanya. Hampir sahaja kami buat laporan kepada bahagian hal ehwal pelajar.
Pada hari ketiga, Hakim pulang. Dia kelihatan letih tetapi tersenyum-senyum. Kami semua berkerumun hendak tahu apa yang hendak disampaikannya. Hakim bercerita, dia ke utara tanahair untuk menguruskan perkahwinan bekas kekasihnya, Hanissa! Kami terpempan. Kami tahu sejarah kisah cinta Hakim dan Hanissa. Hakim merana bila dia ditinggalkan.
Tetapi, apa maksud Hakim bila menyatakan yang dia menguruskan perkahwinan bekas kekasihnya? Jawab Hakim, dia merisik bagi pihak bakal suami Hanissa! Dia sanggup bertemu dengan keluarga Hanissa untuk menyampaikan hasrat mereka. Memang seperti filem Hindustan. Kami seperti tidak puashati dengan kebaikan Hakim. Mengapa dia begitu baik dengan bekas kekasihnya? Hakim menjawab, walaupun mereka sudah putus kasih, mereka tidak putus sahabat.
Dunia ini tidak seluas mana jika kita ada sahabat. Kita tidak akan kesunyian dalam bersendirian. Orang bersendirian lebih mudah menghadapi risiko kegagalan. Sebaliknya orang bersahabat umpama mempunyai satu lagi percikan api kejayaan. Seorang sahabat itu sentiasa membekal tenaga di dalam jiwa kita. Malah, ada kalanya kita menemui diri kita yang satu lagi di dalam dirinya.
Pada hari ini, kita punyai ribuan kawan-kawan yang kita tak kenal di media sosial. Kita punyai ratusan kawan-kawan di pelbagai kumpulan sembang, puluhan kawan-kawan di tempat kerja, di kawasan tempat tinggal, kawan bisnes, malah kawan dari kawan. Kita mengumpul kawan yang kita namakan sebagai networking untuk memberi kita erti dan guna kepada perhubungan itu. Padahal, kita akan melupakan mereka sebaik sahaja kita tidak menemui mereka.
Bila kita asyik menambah jumlah kawan, kita lupa untuk mengumpul sahabat. Sedangkan sahabatlah yang akan berada di sisi pada waktu susah dan senang kita. Menjadi teman menangis dan ketawa, malah menjadi pengiring pada hari mati kita. Jika kita punyai ribuan kawan, berapa orang sahabat yang kita ada? Apakah puluhan jumlahnya seperti apa yang Rasulullah S.A.W ada?
Insya-ALLAH artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.11.16.


No comments:

Post a Comment