Tuesday, November 22, 2011

MARI KONGSI KEGEMBIRAAN ITU


Photo credit: starbucks87dude.blogspot.com

RAMAI-RAMAI
KITA BERNYANYI

SEMALAM adalah hari yang gembira buat kita semua. Gembira kerana pasukan Malaysia berjaya menundukkan Indonesia dalam acara bolasepak Sukan SEA ke-26. Inilah pertarungan yang paling sukar dan getir lagi mencabar, bukan sahaja buat para pemainnya, bahkan kepada ribuan para penontonnya. Hampir dua setengah jam para pemainnya berhempas pulas di tengah padang. Dan, di sepanjang tempoh itu, kita yang menonton sentiasa berasa sesak nafas.


Rasa suspens sebenarnya sudah bermula apabila menatap ribuan para penonton Indonesia yang berpakaian warna merah-putih memenuhi Stadium Gelora Bung Karno. Perasaan marah mula meluap apabila kedengaran mereka mengejek para pemain dan juga memperlekeh lagu Negaraku. Namun kita cuba membantah dan membalas, meskipun sekadar menjerit dari gerai mamak atau di ruang tamu.


Apabila gol kita bolos pada minit kelima, impian untuk berasa bangga mula goyah. Jika pada minit kelima sudah bolos, apakah gawang yang digegar itu akan mudah dirobek pada baki 85 minit lagi? Dari minit ke minit kita menonton sambil memasang harapan dan bersandar rasa bimbang.


Serangan demi serangan dilakukan oleh pasukan kita. Namun, asakan mereka masih belum berhasil. Apakah kubu mereka kebal atau senjata kita yang tumpul? Apabila gol penyamaan diperoleh pada minit ke-35, kita gembira kembali. Bayangan kemenangan menari-nari di mata. Namun, apabila gawang kita dua kali bergegar pada separuh masa kedua, kita menepuk dahi kerana kecewa semula. Mujurlah ia gol-gol offside. Kita turut melonjak gembira apabila berjaya menyumbatkan gol lagi. Tetapi, rasa riang itu surut apabila mendapat tahu ia juga gol offside.


Apa jua perasaan terhambur di sepanjang waktu permainan. Kita cemas apabila pasukan Indonesia menyerang, tetapi terkilan apabila beberapa kali cubaan pasukan kita turut tersasar. Layangan kad kuning terhadap pemain sungguh membimbangkan. Janganlah, ada seorang pun pemain kita yang dilayangkan kad merah. Kita makin sukar menang andainya meneruskan perlawanan dengan 10 pemain.


Apabila 90 minit berakhir, rasa suspens semakin meningkat apabila pengadil memberi 30 minit masa tambahan. Meskipun kedua-dua pihak dilihat sudah keletihan, kita masih mengharapkan magis walaupun pada minit ke-119. Tiada gol dapat disumbat pada masa itu. Lantas siapakah juara hanya dapat ditentukan melalui sepakan penalti. Apakah kita berpeluang menang atau mati mengejut pada fasa sudden death?


Bermulalah detik debar buat kita. Bagai meniti maut, setiap kali gawang kita bergegar, seiring saat itu juga nafas kita tersekat-sekat. Namun, apabila akhirnya sepakan penalti Badrol Bakhtiar gagal diselamatkan penjaga gol Indonesia Kurnia Meiga, segala-galanya terurai. Ya, kita menang dengan 4-3.


Perlawanan bolasepak itu menjadi sebuah peristiwa yang klasik. Ia bakal menjadi bahan rujukan selain daripada aspek bolasepak, kerana ia sarat dengan pengajaran dan falsafah. Bagi pengkarya, ia bagaikan sebuah filem dramatik atau novel thriller yang punyai plot, watak, latar tempat, twist, cliffhanger, klimaks dan anti-klimaks yang lengkap.


Buat mereka yang meneroka di bidang perniagaan dan pengurusan, perlawanan kelmarin antaranya adalah mengenai pengurusan krisis, fokus, target, proaktif, keputusan strategic dan sinergi. Dalam bidang motivasi hal-hal berkaitan dengan semangat, komitmen, kehendak, sikap positif dan yakin diri boleh ditimba dengan menonton seluruh aksi perlawanan tersebut.


Walau apapun, kegembiraan semalam telah menyatukan perasaan kita semua. Oleh kerana begitu seronok, kita bercerita, berchatting mahupun menonton berulangkali babak-babak menarik itu dengan mereka di sekeliling kita. Seolah-olah, mereka tidak menonton pun perlawanan itu. Padahal, mereka juga menonton seperti kita.


Apakah maknanya? Maknanya, kita secara nalurinya suka berkongsi kegembiraan. Bila kita sukakan sesuatu, kita akan hebahkan kepada seramai mungkin mereka di sekeliling kita. Tanpa upah, tanpa apa-apa tujuan, kita akan bercerita dan mengulang cakap apa yang kita gemari. Inilah perasaan positif yang sepatutnya dikongsi oleh kita semua. Hebahkan, riuhkan dan uar-uarkan kegembiraan.


Sesungguhnya sudah begitu lama kita melayani dan mengiyakan sahaja apa yang negatif di sekeliling kita, meskipun ia bukan realiti seperti perlawanan pada malam itu!

Artikel ini bakal terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.11.2011

2 comments:

  1. kegembiraan itu memang satu perkongsian..kecil atau besar kita yang menentukan...apa pun syabas buat malaysia.....

    ReplyDelete
  2. Mari kita semua uji kesetiaan kita untuk bersama pasukan Malaysia, ketika menang dan semasa tewas!

    ReplyDelete