Tuesday, November 1, 2011

BERBANGGA DENGAN BUAH SENDIRI


APA PENTINGNYA
RASA BANGGA ITU?

PEMERGIAN saya untuk ke majlis perkahwinan anak seorang saudara di Johor Bahru disambut dengan berita buruk. Seorang rakan sekampung sedang dirawat di sebuah hospital pakar kerana serangan jantung. Tidak sempat membuat check-in di hotel, saya terus menemui Arshad di hospital dengan sedikit buah anggur yang dibeli di kios berhampiran.

“Kenapa beli anggur? Tak ada buah langsat atau manggis, ke? Kenapa tak beri aku buah-buahan tempatan?” tanya Arshad sebaik sahaja menyambut buah tangan dari saya. Saya hanya tersenyum-senyum. Itulah buah yang sempat saya beli. Seingat saya, tiada langsat atau belimbing di kios itu. Yang ada hanyalah epal, oren, anggur, pear dan buah kiwi.

Pada keesokannya saya ke majlis perkahwinan anak kepada saudara saya di sebuah hotel lima bintang. Sebaik sahaja saya duduk, di meja saya sudah tersedia sebuah epal yang beriben sebagai buah tangan. Hati saya berkata, ‘Kenapa tak diberikan sahaja buah jambu atau belimbing sebagai buah tangan? Kenapa tak ada buah-buahan tempatan?’

Saya seperti menyuarakan apa yang ditegur Arshad di hospital semalam. Sambil menyuap, saya melontarkan pandangan ke meja utama pengantin. Selain daripada hidangan lauk pauk pengantin, saya terpandang sebuah gubahan daripada buah-buahan. Sekali lagi hati saya tertanya-tanya, mengapa gubahan itu menggunakan oren, epal, anggur dan pear? Kenapa tidak menggunakan buah nanas, pisang, ciku ataupun rambutan sebagai gubahan hidangan?

Sambil menanti kemunculan mempelai, saya terfikir yang kita mempunyai pelbagai jenis buah-buahan yang dikatakan eksotik, tetapi kita jarang sekali mengeksploitasi buah-buahan itu dengan kepelbagaian penggunaannya. Kita ada rambutan, pulasan, rambai, langsat, duku, pisang, nanas , tembikai, belimbing, betik, durian belanda, durian dan banyak lagi jenis buah-buahan.

Tetapi yang lebih popular dan menjadi pilihan masih buah-buahan import. Saya rasa, negara-negara yang bukan tropika tidak banyak jenis buah-buahannya. Sebab itulah mereka menggunakan buah-buahan yang sama juga untuk pelbagai hidangan mereka. Sebut sahaja buah oren dan kita dapati kalau tidak dimakan begitu sahaja, buah oren digunakan di dalam jem, aiskrim, kek, roti, pastri, minuman, kuih-muih dan coklat.

Sebutlah epal, anggur, pir, strawberi, avocado, laici atau kiwi, kita akan dapati buah-buahan itu digunakan dalam pelbagai hidangan jem, aiskrim, kek, roti, pastri, minuman, kuih-muih dan coklat juga. Pendek kata, buah-buahan yang itu, itu jugalah. Penggunaannya begitu meluas hinggakan kita sudah terpengaruh dengan kepopularannya.

Jika kita bertanya diri sendiri, buah-buahan apakah yang selalu kita telan, pasti ramai di antara kita akan mengakui yang kita lebih kerap memamah buah-buahan import. Jika kita bertanya kepada anak-anak kita, jawapan mereka tentulah serupa.

Padahal, mengunggis jambu bol seseronok memamah epal, ciku itu lebih manis daripada kiwi, langsat itu lebih eksotik daripada strawberi dan rambutan itu tak kurang sedapnya daripada laici. Mengapakah kita dan juga anak-anak lebih menyukai buah-buahan import hingga memandang sepi dengan buah-buahan tempatan?

Kita tidak nafikan yang FAMA tidak putus-putus membuat pelbagai promosi buah-buahan tempatan termasuk khusus untuk kanak-kanak. Program GBBS atau Gerai Buah-buahan Segar di bawah agensi itu hanya memilih buah-buahan tempatan sahaja untuk dipamerkan. MARDI juga menjalankan kajian dan penyelidikan untuk memaksimakan penghasilan buah-buahan yang berkualiti selain daripada mencipta mekanisasi prosesnya.

Namun, akhirnya ia kembali kepada diri kita sendiri. Jika kita anggap memakan buah-buahan import itu satu stail dan gaya hidup, maka selagi itulah kita akan mengenepikan buah-buahan tempatan. Apabila kita yang sudah bergaya ini memandang rendah pada buah-buahan tempatan, atau dalam ertikata yang lebih tepat, berasa rendah diri memilih buah-buahan tempatan, ia akan menjadi buah-buahan kelas kedua.

Sebenarnya, tidak salah memilih buah-buahan import berbanding dengan buah-buahan tempatan. Tetapi, jika kita memamah yang import, kita tidak dapat menjamu selera dengan perasaan bangga. Apa ertinya perasaan bangga itu? Bangga adalah perasaan hebat kerana kita ada sesuatu yang orang lain tiada. Apa maknanya jika kita tiada lagi perasaan bangga itu? Berbangga dengan buah-buahan tempatan adalah salah satu daripada berpuluh-puluh lagi kebanggaan yang kita sudah hilang. Hilang kebanggaan juga bererti hilang identiti.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.11.2011.
Photo credit: zikrihusaini.com

6 comments:

  1. salam.maaf saya menyampuk.fenomena ini mungkin disebabkan buah-buahan tempatan yang bermusim. sekadar pendapat saya yang naif.

    ReplyDelete
  2. salam...saya pun rasa mcm tu gak. buah-buahan tempatan di mlys nie kebanyakan nya bermusim. dan saya tak rase buah-buahan tempatan terpinggir. setiap kali musim tiba memang menjadi pesta, dan dari bandar sanggup balik ke kg untuk merasa buah hasil kebun. mungkin itu keunikan/keistimewaan buah-buahan kite...sekadar pendapat

    ReplyDelete
  3. Biasanya bila dah berada di luar negara baru nak hargai buah-buahan tempatan.. Oh. sedapnya buah rambutan...mana nak cari?

    ReplyDelete
  4. Sebenarnya, buah-buahan import juga bermusim. Pohon epal berbuah di musim luruh, anggur, biasanya pada bulan Julai sementara pear pada musim panas dan musim luruh. Hanya buah limau sahaja yang berbuah di sepanjang masa.

    Buah-buahan kita juga bermusim, tetapi banyak yang dah boleh dinikmati di sepanjang masa ~ tidak seperti dahulu.

    Point saya ialah, pilihan kita lebih banyak kepada buah-buahan import. Saya percaya ia berkait dengan rasa bangga dan rasa ada prestij bila memilih buah-buahan import, sedangkan makan buah-buahan tempatan tak ada kelas, gitu!

    Namun, sdra Imran yang di luar negara akan bangga kalau dapat menjamah rambutan.

    ReplyDelete
  5. pada saya mungkin susah utk cari buah2an tempatan di kiosk kerana tiada yg mengusahakannya

    ReplyDelete
  6. terima kasih krn membuatku berfikir sejenak...

    ReplyDelete