Tuesday, October 4, 2011

PENGALAMAN ITU GURU TERBAIK


Photo credit: panoramio.com


BELAJAR APA YANG
DI LUAR SILIBUS


SEHINGGA 9.30 malam tadi, jika diizinkan ALLAH, penerbangan KT-16 dari Kuala Lumpur ke tanah Arab Saudi sudah pun berlepas. Musim haji datang lagi menyelubungi sekalian umat Islam di tanahair. Membawa beribu-ribu bakal haji Malaysia untuk bersama-sama mereka dari seluruh pelosok dunia untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima.

Setiap kali musim haji, ruang di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya akan penuh sesak dengan para bakal haji dan juga kaum keluarga mereka. Bagi yang akan ditinggalkan, perasan hiba tentu bersarang di dada. Anak, menantu, cucu, cicit, saudara-mara dan sahabat handai kesemuanya tersenyum dalam tangisan. Orang yang disayangi akan pergi lebih daripada sebulan. Bagaimana nanti andainya rindu bertandang? Bagi mereka yang tidak pernah berenggang, tentulah perpisahan sementara itu bagaikan perpisahan buat selama-lamanya.

Di wajah bakal-bakal haji pula, dalam tangisan di mata, tersisip senyuman di bibir. Jauh di lubuk hati, rasa bahagia begitu terasa kerana akhirnya mereka terpilih sebagai tetamu ALLAH untuk mengunjungi Baitullah. Senyuman dihulur dan pelukan erat kepada sanak saudara adalah bekal semangat buat mereka yang ditinggalkan agar tidak terus berdukacita.

Bagi yang ditinggalkan, sebaik sahaja bakal-bakal haji masuk ke dewan sebelum menaiki bas, kesuraman yang dibawa akan beransur-ansur hilang. Mereka akan terus menjalani skrip kehidupan tanpa mereka yang disayangi. Panggilan telefon dan pesanan ringkas akan menjadi penawar duka di sepanjang perpisahan sementara itu.

Sebaliknya, buat mereka yang menaiki bas dan kemudiannya kapalterbang, pengembaraan yang penuh cabaran baru sahaja bermula. Ujian ketahanan diri sendiri adalah dugaan yang paling sukar dimengerti kerana mental, fizikal dan spiritual hanya bersedia secara teori dalam kursus-kursus haji yang diikuti sebagai persediaan. Kalau adapun praktiknya dalam Kursus Haji Perdana, ia hanyalah simulasi yang amat sedikit dialami. Selain daripada kursus mengenai rukun haji, ada banyak lagi perkara yang tidak sempat disampaikan oleh penceramah.

Berwuduk hanya dengan sebotol air mineral dan mempraktik solat di dalam kapalterbang adalah di antara perkara-perkara yang paling awal perlu dipraktikkan. Tentu sekali ingatan daripada pramugari agar jangan mengecahkan lantai dengan air supaya sistem elektronik di dalam kapalterbang tidak rosak adalah pelajaran baru buat para jemaah. Perjalanan yang memakan masa lebih lapan jam itu sudah cukup meletihkan. Itu pun belum termasuk perjalanan dengan bas dari Jeddah ke Madinah.

Kesabaran benar-benar teruji apabila melihat bagasi kita tiba-tiba dicampak sahaja oleh petugas ke dalam troli. Bagaimana pula rasa hati bila melihat beg-beg kita yang cantik diperuk ke bawah perut bas atau dicampak sahaja dari bumbung bas ke tanah hingga terburai isinya? Terkejutnya hati hingga tidak termarah! Lagi pula, bila ramai lagi teman-teman di sekeliling terdiam menelan perasaan, kita juga mengeluh untuk melatih kesabaran.

Tinggal sebilik dengan jemaah lain di hotel juga memerlukan persefahaman yang bukan sedikit. Kita perlu berdepan dengan teman sebilik yang pelbagai perangai dan kerenahnya. Ada yang suka tidur dengan penghawa dingin, ada juga yang tidak tahan sejuk. Ada teman di sebelah katil yang berdiam diri hingga membuatkan kita susah hati. Ada juga yang riuh dan becok hingga kita belajar memekakkan telinga. Bagaimana pula menghadapi teman sebilik yang merokok?

Sama ada kita berasak-asak di dewan makan, ataupun mencari tempat solat di Raudhah, berpusu-pusu pula ke Masjidilharam apabila sampai di kota Mekah, bertolak-tolak ketika tawaf, terhimpit ketika solat oleh mereka yang bertubuh besar, atau yang berbau, bersolat di bumbung Masjidilharam yang sentiasa berangin, bersolat di lamannya yang panas membakar, berduyun-duyun melangkah di simen sejuk untuk bersaie di antara Safa dan Marwah, teriknya mentari yang memeritkan mata di Arafah; kesemuanya adalah pengalaman yang baru, yang perlu dirasai sendiri-sendiri meskipun ada isteri atau suami di sisi.

Itu belum lagi termasuk sakit pening, merasai teh Arab, membeli kad prabayar, membungkus barangan ke tanahair, berdepan dengan para penjual kain dan tamar, belajar memahami sebutan matawang Arab, dikerumuni peminta sedekah, menahan sabar dengan kerenah pemandu bas atau van untuk ke tempat-tempat miqat mahupun berkomunikasi dengan para jemaah yang lain kulit dan bahasanya.

Meskipun para pegawai Tabung Haji sentiasa bersedia menjaga jemaah haji seperti saudara mereka, namun kita sendiri perlu melalui pengalaman yang tiada di dalam silibus yang diajar oleh penceramah haji di tanahair.

Begitulah. Dalam mana-mana pengajian, ilmu melalui pengalaman itulah yang lebih bermakna kerana pengalaman adalah guru yang paling baik.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.10.2011.

No comments:

Post a Comment