Tuesday, September 6, 2011

TAHU YANG TAK TAHU


Photo credit: mommyaisy.blogspot

KITA YANG PERNAH
TIDAK TAHU

BERCUTI empat hari untuk pulang ke kampung berhari raya sememangnya merehatkan. Ia melapangkan fikiran yang sentiasa sesak dengan pelbagai hal kerja dan peribadi yang merengsakan. Kerana itu, pada hari mula bertugas kembali, diri ini begitu bertenaga sekali. Saya keluar awal daripada biasa dengan congakan akan sampai ke pejabat sebelum masuk waktu kerja. Jalan raya yang nampaknya lengang telah menjangkau angan-angan saya, apa yang boleh dilakukan di pejabat.


Belum pun habis berangan-angan, tiba-tiba saya memperlahankan kereta apabila terpandang deretan kenderaan bergerak perlahan di hadapan. Mungkin ada halangan kemalangan ataupun ada kenderaan berat di hadapan. Jalan dua lorong yang dilalui tiada ruang untuk memecut.


Bila memanjangkan leher, saya nampak jauh di hadapan, sebuah kereta Kancil berwarna putih yang menjadi punca trafik bergerak perlahan. ‘Siapalah yang pandu slow sangat.’ ‘Orang nak pergi kerja, ni.’ ‘Kalau nak ke pasar, janganlah ganggu orang lain yang nak cepat.’ Hati yang mula bermonolog terasa ingin menyumpah pula. Rasa rimas dan marah datang bersimpang-siur di fikiran. Sakit hati melihat Kancil yang dipandu dengan kelajuan 20 kilometer sejam.


Apabila tiada kenderaan di laluan bertentangan, sebuah demi sebuah kereta di hadapan kelihatan mula memotong, menjadikan kereta saya semakin hampir dengan Kancil itu. Saya sempat melihat ada pemandu yang memotong membunyikan hon ke arah Kancil tadi. Akhirnya kereta saya berada di belakangnya. Alangkah terkilan rasa hati kerana saya melayani bebelan di fikiran tadi setelah terpandang sticker ‘L’ tertampal di bumper kereta itu.


‘Oh, pemandu belum lulus,’ kata hati saya dengan perasaan kasihan. Apabila memotong, saya sempat menjeling ke arah pemandu ‘L’ yang rupa-rupanya seorang makcik. Sterengnya begitu rapat dengan dadanya. Dia sempat membalas jelingan saya dengan wajah gugup. Seolah-olah menanti saya membunyikan hon memperlinya seperti pemandu-pemandu yang lain.


Saya teringat ketika belajar memandu dahulu. Di kalangan teman serumah, sayalah yang paling corot mendapat lesen kerana tidak pernah memegang stereng sebelum memasuki kelas memandu. Akibatnya, saya sering diperli dan diusik sehinggakan saya menyesal kerana lambat belajar. Kerana tercedera emosi akibat disakat kawan-kawan, saya bertekad untuk tidak memperlekeh orang yang memandu dengan lesen ‘L.’


Sebenarnya, dalam kehidupan, ada banyak perkara yang kita baru hendak belajar, sedangkan perkara itu sudah menjadi pengetahuan ramai. Kita baru pandai mengayuh basikal ketika orang lain boleh mengayuh basikal tanpa memegang handlenya. Tatkala orang lain sudah pandai bermain komputer, kita masih terkial-kial mengawal tetikus. Belajar menekap kad ‘Touch and Go’ di tol, mengeluarkan wang di mesin ATM atau kebolehan mengirim SMS mungkin perkara yang ramai orang sudah tahu, sedangkan kita baru hendak belajar.


Banyak juga soal fikiran dan perasaan yang kita baru hendak tahu kendalikan sedangkan bagi orang lain, itu sudah menjadi pengalaman biasa mereka. Pengalaman jatuh cinta boleh menjadi sesuatu yang menghuru-harakan perasaan, sedangkan bagi ramai orang lain, ia adalah sesuatu yang boleh dikendalikan dengan tenang. Kecewa ditinggalkan kekasih, mengucapkan pujian, pengalaman difitnah atau menangisi kematian orang tersayang boleh jadi sesuatu yang baru bagi kita sedangkan ia adalah perkara yang biasa bagi ramai orang lain.


Lambat tahu mengenai sesuatu perkara itu bukan bererti kita bodoh. Belajarlah, dan kita akan menjadi pandai. Pokoknya kita tidak boleh berasa malu untuk belajar meskipun terpaksa menerima leteran atau perli orang yang menjadi guru kita. Dalam pada itu, andainya kita sudah ada sesuatu ilmu itu, janganlah pula kita bersikap riak apatah lagi memperlekeh orang lain yang belum tahu.


Walaupun ada banyak ilmu yang kita tidak tahu, ada banyak lagi ilmu yang kita tahu. Jika direnungi, apakah kita sedar, kita sebenarnya mempunyai beberapa ilmu atau kemahiran yang tiada dipunyai oleh mereka di sekeliling kita? Di situlah kelebihan kita. Namun, dengan ilmu yang ada, kita tidak boleh lupakan zaman jahil kita.


Orang yang bijak ialah orang pandai mencari ilmu. Tetapi orang yang bestari adalah mereka yang tidak lupa kejahilannya.


Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.9.2011.

8 comments:

  1. memang tak sepatutnya kita memperlekehkan orang berlesen 'L' sebab kita pun macam tu jugak dulu.. mmg betul pointnya, kita pun pernah jahil dan jangan memperlekehkan orang lain..

    ReplyDelete
  2. Satu ayat yg selalu kita dengar "la, yang tu pun x tahu ke?". Elakkan memandang rendah orang lain kerana semua orang bermula dgn zero.

    Kadang-kadang seseorang yg kita pandang rendah atau kita pandang hina, dia mempunyai sesuatu yg tidak kita miliki, tetapi sangat kita ingini; iaitu sekeping hati yang bersih suci, tidak pernah berhasad dengki, yang sentiasa redha dgn segala ketentuan Ilahi.

    Alangkah beruntungnya jika setiap daripada kita hidup dalam ketenangan dan kebahagian di mana setiap saat kasih sayang Allah sentiasa menemani, bukannya kemurkaanNya.

    Kembalilah kepada fitrah kita yg sebenar. Ikutlah syariat Islam dalam setiap pekerjaan kita.

    ReplyDelete
  3. kekadang bukan makcik-makcik saja, atok-atok pun ada yang bawa kereta takut-takut macam ni..mungkin mata dah tak berapa awas...pendengeran dah tak berapa jelas..kesian juga erk..

    ReplyDelete
  4. Pengalaman jatuh cinta, difitnah memang menghuru-harakan jiwakkkk......

    ReplyDelete
  5. Saya setuju dan kadangkala selalu terlupa, ya sebanyak mana kita tahu pun, Allah yang lebih mengetahui. Kena sentiasa beringat Jangan terlalu cepat riak dengan ilmu yang ada dan jangan suka memperlekehkan orang lain jika mereka tidak tahu. Yang utama adakah ilmu yang kita tahu itu kita praktikkan atau hanya menjadi usang didalam minda...

    ReplyDelete
  6. Padin... dulu masa muda2, suka sgt acah mereka yang lesen 'L.'

    Nur... betul kata anda. Jgn lupa daratan.

    Raihan... memang sian. :(

    Anonymous... huruhara perasaan? ;)

    auntacu81... ya... amalkan apa yg kita tahu. Jgn sekali2 buat-buat tak tahu...

    ReplyDelete
  7. Salam perkenalan.. saya juga pernah dilukakan dengan ayat, "Laa, baru tau ke?".. tapi saya selalu perhatikan, yg kat begitu pun ada masanya (pada masa lain) tak tau juga. Cuma sebagai kawan, kita tak tergamak membalas semula ayat yg sama.
    Lebih baik kita mengambil prinsip tidak membalas kejahatan dgn kejahatan kerana kita akan meneruskan kejahatan itu..
    Satu lagi, menurut Imam Syafi'i dlm syairnya,
    "Setiap kali masa mengasuhku, dia memperlihatkan kekurangan akalku.
    Dan setiap kali kubertambah ilmu, bertambahlah ilmuku akan kejahilanku.." ..

    ReplyDelete