Tuesday, August 16, 2011

ERTI AIDILFITRI





Photo credit: pingitanhiasanduniawi.blogspot

AIRMATA
DI AIDILFITRI…

ALAMAK!




LEBIH kurang dua minggu lagi, kita akan menyambut hari raya aidilfitri. Sewaktu di zaman kanak-kanak, inilah hari yang dinanti-nanti. Setelah mandi, boleh pakai baju baru. Kemudian boleh makan ketupat, rendang, lodeh dan segala macam kuih-muih dan air hingga perut sebu. Selepas itu bersalam-salaman dengan ayah, ibu, abang dan kakak dengan penuh harapan. Bukan harapan dosa lalu dimaafkan, (sebab tahu, budak-budak tak ada dosa) sebaliknya mengharap mereka akan menghulur duit raya.

Bersembahyang raya di masjid juga amat menggembirakan. Dengan pakaian yang berwarna-warni, tubuh-tubuh kami yang kecil boleh sahaja menyelit dicelah-celah orang tua untuk sama-sama bertakbir dengan suara yang lantang. Bukannya dengan niat ikhlas memuji Illahi, sebaliknya suka sangat bila mendengar suara sendiri menggaung melalui mikrofon ke seluruh kampung.

Selepas solat aidilfitri, penjelajahan secara berkumpulan pun bermula. Kononnya untuk beraya, padahal agenda tersembunyinya hanyalah hendak mengutip duit. Bila tiba ke rumah orang, sukanya hati kami bila si anak tuan rumah bertanya, “Nak kuih ke, nak duit?” Tentu sekali jawapannya ialah, “Nak duit.” Tapi kalau emaknya pula muncul dan berkata, “Kalau nak duit, kenalah makan dulu,” wajah masing-masing terus mencuka kerana urusan mengutip duit akan tergendala.

Bila berselisih dengan kumpulan lain, kami akan bertukar tip rumah manakah yang paling besar duit syilingnya. Kalau ada yang memberitahu, rumah Tuan Haji Salam memberi 50 sen, maka ke rumah itulah yang kami tuju. Ada juga yang tak tahu malu sampai beraya ke rumah Tuan Haji Salam sampai dua kali kerana hendak duit dua kali ganda.

Hari raya adalah hari gembira bagi kanak-kanak. Bagi kita yang dewasa, inilah hari yang seharusnya disambut dengan rasa bangga dan gembira juga. Bangga kerana kita berjaya membelenggu syaitan di dalam diri dengan membelenggu nafsu kita sendiri melalui puasa. Gembira kerana kita berjaya melepasi ujian berpuasa bagai seorang hamba yang merdeka.

Akhirnya kita melepasi satu tempoh ujian sebulan untuk menjernihkan fizikal, mental dan spiritual. Ia sempena kejayaan kita kembali kepada fitrah insaniah ~ yang elok fizikal, kental mental dan suci spiritual. Paling tidak pun, setelah menjalani puasa Ramadan, kita sudah lebih bersih apabila bersinarnya mentari Syawal.

Kerana itu, seelok-eloknya kejayaan berjihad melawan hawa nafsu ini diteruskan. Di antara caranya ialah dengan berasa sensitif terhadap apa yang boleh mempengaruhi kita untuk tunduk kembali ke dalam situasi sebelum berpuasa. Malangnya, semakin lama kita menginjak usia, kita semakin mudah terpengaruh, terutamanya dengan TV.

Kita biarkan media melakar dan menggariskan semula sikap yang tidak sepatutnya kita zahirkan. Hari raya digambarkan sebagai bukan sebagai hari bergembira. Sebaliknya sebagai hari kita bersedih. Di pelbagai saluran TV, drama airmata di aidilfitri ditayangkan dalam pelbagai latar tetapi dengan mesej yang serupa. Dengan muzik latar dan mimik wajah yang kusut, seisi keluarga teruntun perasaan hingga merembes airmata.

Adegan bermaaf-maafan di aidilfitri sudah menjadi satu babak dalam rancangan hiburan. (Maaf cakap, bermaaf-maafan ketika Ramadan menjelang itu lebih bermakna, sempena kita hendak mensucikan diri). Oleh kerana bermaaf-maafan itu dicanangkan sebagai sesuatu yang begitu bermakna di aidilfitri, maka sebilangan daripada kita hanya menganggap bermaaf-maafan hanya sesuai di aidilfitri. Maknanya, ada di kalangan kita sampai menunggu aidilfitri untuk memohon maaf di atas kesalahan. Kerana itu, mana tak lencun tudung dengan airmata bila kita memohon dosa yang tersimpan di dada hingga setahun?

Kalau kita yang sederhana ini asyik bersedih, lebih-lebih lagi disimulasikan dengan kesedihan melalui tontonan TV, mungkin kita tidak sempat hendak menjenguk orang yang benar-benar sedih yang ada di kalangan kita. Tentu ada makcik atau pakcik yang hidup sebatang kara di hujung kampung, di hujung blok atau di penghujung jalan.

Mereka ini puas bersedih di sepanjang tahun. Aidilfitri yang seharusnya menggembirakan pun dilalui dengan kesugulan. Apalah salahnya kita gembirakan mereka, bukan setakat menghantar ketupat dan lemang, tetapi menghulur sepasang pakaian dan kemudian memimpinnya ke rumah untuk sama-sama menyambut aidilfitri?



Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 17.8.2011.


6 comments:

  1. Salam Encik Norden.

    Entry kali ini membuka perspektif baru buat diri saya tentang tangisan di Aidilfitri. X terfikir saya dibuatnya..

    ReplyDelete
  2. Sdra Syahidi,

    Alhamdulilah. Mudah-mudahan perspektif baru saudara adalah pembersihan minda kita dari kesan berpuasa.

    ReplyDelete
  3. salam...bestnya raya zaman kanak-kanak...serasa ingin kembali kezaman itu,namun mana mungkin...

    ReplyDelete
  4. Hari raya nih, yang paling gembira adalah kanak-kanak. Gembira dapat kumpul duit raya. Bagi kita yang dah dewasa nih, sekadar bersyukur di panjangkan usia untuk menikmati aidilfitri bersama keluarga tercinta.

    ReplyDelete
  5. Salam Tuan..
    Nice one.Especially part drama aidilfitri dengan mesej yang serupa tu."muzik latar dan mimik wajah yang kusut" .. :)
    Cakap tentang maaf,memang benar di kalangan kita selalu tunggu hari raya baru nak minta maaf..Seolah-olah pasti masih ada umur untuk sampai ke hari raya tu.Terima kasih untuk entri yang membuka mata ini.

    ReplyDelete
  6. Akak... Zaman kanak2 penuh nostalgia
    GreenAppleKu... Giliran kita yg dewasa menggembirakan kanak2 pula...
    Hawa... Sama2. Semoga memperoleh manfaat.

    ReplyDelete