Tuesday, June 21, 2011



Photo credit: sodahead.com

TIADA SALAH
DUDUK DI ATAS PAGAR

DARI semasa ke semasa, saya kerap tersenyum sebaik sahaja kawan-kawan bertanya apakah kiblat politik akhbar Sinar Harian. Apabila saya katakan bahawa akhbar Sinar Harian tidak condong menyebelahi sama ada kerajaan BN mahupun PR, jawapan saya akan disambut dengan senyuman sinis. Mereka tidak percaya akhbar Sinar Harian tidak mahu senget kepada mana-mana pihak. Saya pula akan tersenyum apabila kawan-kawan mengatakan jika tidak menyebelahi mana-mana pihak, ia bererti Sinar Harian tiada pendirian. Maaf cakap, bukankah tidak memihak itu juga satu pendirian?

Apa yang hendak dihairankan? Kami menjual surat khabar. Dan kami perjuangkan dengan TELUS dan TULUS. Kalau kami ingin berjuang selain daripada itu, kami akan sertai mana-mana NGO mahupun parti-parti politik. Kami tidak perlu mempunyai apa-apa pendirian yang sentiasa condong kepada mana-mana pihak. Memang ada di antara kawan-kawan saya yang tidak boleh menerima pendirian yang begini.

Kata mereka, surat khabar mesti punyai pendirian. Dan pendirian itu mestilah condong ke mana-mana pihak. Jika tidak, mereka susah hendak menyokong Sinar Harian. Tetapi, saya pula berkata, apakah kita perlu bertanya apakah anutan politik si penjual nasi lemak, peniaga di pasar tani atau mamak roti canai sebelum kita membeli barangan mereka? Apakah kita tidak jadi membeli barangan mereka seandainya mereka tidak separti dengan kita?

Bagaimana pun, untuk rekod, kami di pihak editorial secara selamba dan terbuka tahu parti politik manakah yang masing-masing anggotai. Ada yang menganggotai BN dan juga PR. Dan kami boleh bekerja dengan selesa dan sepakat menjual surat khabar.

Lagi pula, prinsip akhbar Sinar Harian untuk tidak memihak itu lebih baik. Andainya Sinar Harian memihak, kami akan mempunyai pandangan yang terhad kepada kebaikan pihak yang disokong dan mengenepikan keburukannya. Pada waktu yang sama, kami akan melihat keburukan pihak yang kami tidak sokong dan menutup mata terhadap kebaikan yang ada pada pihak yang tidak disebelahi.

Begitulah, lazimnya pandangan orang politik yang sentiasa berasakan pilihan dan pemikirannya sahaja yang betul. Bagi saya, ‘only politicians see the grass is greener on HIS side!’ Orang politik hanya nampak laman di bahagiannya sahaja yang hijau. Itulah yang sukarnya seandainya memihak. Oleh itu, mana-mana kelompok harus melihat, memahami dan mengerti bahawa tidak memihak, dalam konteks politik berparti adalah sesuatu yang harus. Justeru itu, ia bukannya satu dosa.

Dalam pada itu, masih ramai lagi orang yang tidak boleh menerima pendirian untuk menyokong berdasarkan prinsip. Misalnya, kita menyokong BN kerana ketekunannya membina negara, tetapi dalam waktu yang sama, kita sokong pembangkang yang mengkritik kelemahan-kelemahan kerajaan di dalam pentadbiran. Kita sokong dengan positif usaha-usaha BN untuk meningkatkan pelabur asing. Tetapi kita tidak boleh terima perbelanjaan mereka yang tidak masuk akal. Kita sokong perjuangan BERSIH untuk pilihanraya yang adil, tetapi kita tidak sokong demokrasi demonstrasi.

Mengapa ada yang masih tidak boleh terima pendirian yang berkecuali? Ia mungkin terjadi kerana kehidupan kita sudah tersusun dengan sistem dan teratur dengan prosedur. Sistem dibuat agar pola kehidupan seharian kita bergerak mengikut paksinya. Apabila sistem diikuti, kesilapan dapat diminimakan. Prosedur pula dirangka agar sistem dipatuhi. Ini menjamin segala-galanya berjalan dengan baik mengikut jangkaan, congakan dan perkiraan.

Tanpa kita sedari, sistem dan prosedur yang disusun dan diatur itu jugalah yang menjadikan kita mempunyai pandangan yang begitu objektif. Kita hanya dapat melihat warna hitam dan putih, dan tidak lagi warna kelabu. Begitu juga, kita hanya dapat memahami kepada jawapan mahupun persoalan ‘ya’ ataupun ‘tidak,’ dan tidak mengerti sama sekali kepada jawapan ‘barangkali.’

Sehinggakan kita sampai kepada tanggapan pemikiran yang begitu simplistik. Andainya kita sukakan sesuatu, ertinya kita mesti membenci sesuatu yang bertentangan. Kalau kita mahu sesuatu, maknanya kita tidak hendak sesuatu yang lain. Kita tidak pandai untuk suka begitu dan juga begini; atau benci itu dan juga ini. Kerana itu, kita pelik andainya menemui mereka yang sukakan semuanya atau bencikan segala-galanya. Kita bertambah hairan kalau berdepan dengan mereka yang tidak punyai apa-apa perasaan mahupun pemikiran terhadap sesuatu perkara yang sedang menjadi perbualan ramai.

Siapakah mereka ini? Mereka adalah golongan yang duduk di atas pagar, ataupun fence sitters. Fence sitters duduk di tempat yang tinggi di antara kedua-dua padang. Kerana posisinya, dia boleh nampak semak samun dan juga belantara di kedua-dua tempat. Dan berada di tempat yang lebih tinggi, memungkinkan seseorang itu mempunyai helicopter view atau bird’s eye view iaitu berpandangan luas lagi menyeluruh. Justeru itu, visi horizonnya merangkum dan mencakup sesaujana mata memandang.

Dan keputusan yang diambilnya adalah berdasarkan perspektif yang holistik!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.6.2011

6 comments:

  1. Memang tidak salah duduk atas pagar atau mengambil sikap berkecuali. Kerana perkara ini pernah terjadi semasa zaman Saidina Ali bin Abi Talib ketika berlaku perang siffin antara puak yang memihak kepada Saidina Ali dan puak yang memihak kepada Saidina Muawiyah. Empat orang yang masih hidup ketika perang Siffin berlaku, tetapi mereka mengambil sikap berkecuali dalam soal ini iaitu Abu Hurairah, Abu Said al-Khudri, Abu Ayyub al-Ansari dan Ummu Salamah radhiallahuanhum. Mereka ini adalah merupakan sahabat-shabat besar Nabi Sallallahualaihi wassalam. Berkecuali bukan bermakna tidak ambil peduli tetapi menghormati yang kedua-dua pihak adalah umat Islam dan umat Nabi Sallallahualaihi wassalam. Apa yang penting umat Islam harus bersatu mengikut Al-Quran dan Sunnah Nabi Sallallahualaihi wassalam.

    Ayuh kita muhasabah diri supaya kehidupan kita diredhai oleh Allah subhanawataala sepertimana Allah meredhai para anbiya' dan para sahabat. Merekalah contoh terbaik untuk kita ikuti.

    Waallahua'lam

    ReplyDelete
  2. yeah...pertengahan juga merupakan satu pendirian..itupun bergantung dlm arena apa kita berada. Tetapi fence sitter tidak selalu benar dalam hal antara kebenaran dan kepalsuan. Laman kebenaran memang selalu hijau.

    ReplyDelete
  3. Saya amat setuju dengan artikel ini. Inilah sebabnya kenapa saya suka membaca Sinar Harian. TELUS dan TULUS merupakan cogan kata yang amat sesuai untuk akhbar ini.

    Teruskan berusaha, Sinar Harian!

    ReplyDelete
  4. Sdra Al-Hikmah,
    Terima kasih di atas pencerahan ilmu.
    Sdra Muhaimin,
    Ya, sebab itulah lebih elok kita berkecuali pada perkara-perkara yang harus.
    Sdra Syahidi,
    Terima kasih kerana membaca Sinar Harian.

    ReplyDelete
  5. im fence sitter tooJuly 4, 2011 at 12:15 PM

    Salam.

    Saya minta izin linkkan post ini dlm comment saya utk menyokong hujah sy krn sy merasakan entry ini sgt bagus. Semoga Allah merahmati saudara agar saudara dpt memperbanyakkan entry yg berguna buat semua rakyat Malaysia.

    Terima kasih.

    ReplyDelete
  6. As Salam,

    Pertama kali masuk dalam blog ini. Saya sangat bersetuju dengan pendapat penulis bahawa orang yang berada di atas pagar mempunyai pendirian. apa yang menarik tentang artikel ini, suadara menyatakan bahawa orang atas pagar merupakan orang yang dapat melihat apa yang berlaku di antara ke dua belah pihak.. saya tidak fanatik kepada politik, saya hanya menyokong mereka yang melalukakan kenaikan untuk rakyat sama ada kerajaan ataupun pembangkan..

    ReplyDelete