Wednesday, March 16, 2011

SISTEM MENGATASI PANGKAT



Photo credit: core77.com

PEMIMPIN WAJIB
MENGHORMATI SISTEM

PADA ketika anda menatap artikel ini, insya-Allah saya sudah tiga hari berada di Kota Mekah menunaikan umrah. Sebagai Ketua Pengarang akhbar Sinar Harian, saya pergi dengan perasaan selesa dan yakin terbitan akhbar ini akan berjalan lancar.

Insya-Allah, lapan edisi Sinar Harian akan terbit setiap hari. Edisi Utara dan Edisi Perak akan diterbitkan di Prai, Pulau Pinang; Edisi Kelantan dan Terengganu diterbitkan di Pengkalan Chepa, Kelantan; Edisi Melaka/Negeri Sembilan, Pahang, Selangor/Kuala Lumpur diterbitkan di Shah Alam, Selangor sementara Edisi Johor diterbitkan di Senai, Johor.

Saya tahu, akhbar ini dikendalikan oleh sebuah pasukan yang terdiri daripada lebih 334 orang tenaga kerja yang cekap. Daripada lebih 140 wartawan daerah yang dikenali sebagai Skuad Cakna, hingga ke berpuluh-puluh Sub-Editor, Penolong Editor dan Editor, serta pasukan pengurusannya yang didokong berpuluh-puluh petugas percetakannya, saya tahu Sinar Harian akan sampai ke tangan anda tatkala sang mentari mula bersinar.

Sebuah akhbar yang dihasilkan oleh 334 tenaga tidak mungkin dapat terbit tepat pada waktunya tanpa koordinasi, kerjasama dan komitmen setiap anggota pasukannya. Inti kepada korodinasi ini ialah sikap saling hormat menghormati terhadap tugasan masing-masing.

Misalnya, seorang Sub-editor yang memperoleh berita yang tidak lengkap faktanya daripada seorang Skuad Cakna di Keratong, akan menghubungi wartawan tersebut untuk menggesanya mendapatkan maklumat tambahan. Sub-editor tersebut mungkin sekali 5 tahun lebih muda daripada Skuad Cakna tersebut. Tetapi demi melaksanakan tugas, Skuad Cakna itu akan terus menghubungi sumber beritanya bagi memperoleh maklumat tambahan.

Seorang wartawan yang ingin keluar daerah, yang mengemukakan borang penggunaan kenderaan untuk ke sesuatu tugasan, terpaksa akur dengan kehendak Kerani Jabatan Pentadbiran apabila borang yang diisi itu dikembalikan kerana tidak lengkap.

Malah, Editor Edisi akan mendengar pandangan seorang wartawannya agar berita yang diperoleh itu membatalkan siarannya kerana sumber maklumatnya menarik diri daripada bekerjasama. Malah, Pengarang Berita sekalipun akan akur dengan kehendak petugas IT agar mengirim semula halaman-halaman fail portable document format atau PDF seandainya ia bermasalah.

Siapa yang di atas dan siapa yang di bawah, siapa yang senior dan siapa junior, pangkat besar dan pangkat kecil sudah tidak mustahak di dalam melaksanakan tugasan. Siapa yang memberi arahan itu tidak penting. Yang mustahak ialah mematuhi sistem dengan akur oleh sesiapa sahaja demi produksi yang lancar. Justeru itu, saya sebagai ketua sudah tidak penting kerana sistem itu sendiri menjadikan seluruh organisasi berputar tanpa kehadiran saya.

Menghormati sistem dan bukan mementingkan siapa yang lebih berkuasa itu akan menjamin kelancaran perjalanan sesebuah organisasi. Setiap anggota pasukan tidak boleh berasa dirinya lebih berkuasa daripada sistem itu sendiri. Sikap mementingkan diri daripada kerangka sistem yang tersedia akan meruntuhkan seluruh jentera organisasi. Peranan ketua-ketua amat penting agar sistem di dalam organisasi itu berjalan lancar kerana sikap ketua-ketualah yang akan memberi kesan yang besar terhadap organisasi.

Kerana itu, seseorang ketua tidak boleh berasa dia indispensable atau tidak boleh diketepikan. Sikap ini akan membawa kepercayaan bahawa, organisasi itu akan runtuh tanpanya. Apabila dia berasa demikian penting terhadap organisasi, maka lama kelamaan dia akan menjelma menjadi little Napoleon. Little Napoleon dalam konteks ini adalah pemimpin kecil yang melanggar sistem yang akhirnya meruntuhkan organisasi kerana berasakan dialah manusia yang paling berkuasa.

Kita tahu banyak sekali little Napoleon di dalam jabatan kerajaan, parti politik, NGO, malah jawatankuasa surau yang melanggar sistem yang sepatutnya dihormati dan dipatuhi. Lebih buruk lagi apabila mereka menggunakan kedudukan untuk melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati. Apabila berasa diri lebih hebat daripada sistem itu sendiri, dia ingin kekal berkuasa dan melekat di kerusi pangkat hingga berakar punggungnya.

Di peringkat yang lebih tinggi ialah para pemimpin yang melanggar sistem pemerintahan apabila berasa dirinya begitu penting. Seolah-olah wilayah kuasa pentadbiran dan pemerintahannya akan tumbang tanpanya. Walhal sebenarnya, dialah yang menjadi penyumbang utama keruntuhan organisasi, negeri mahupun negaranya kerana mengutamakan pangkat, bukan sistem itu sendiri. Pada hari ini, kita menyaksikan tumbangnya sistem dan organisasi kerana pemimpin-pemimpin yang tidak menghormatinya.




Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.3.2011, insya-ALLAH.

3 comments:

  1. Ingin berkongsi sedikit pengalaman...

    Di sebuah organisasi, Ketua Pengarahnya mempunyai dua orang isteri. Beliau selalu mengadakan mesyuarat pada hari Jumaat sehingga melebihi jam 12 tengah malam.

    Sebabnya, beliau menghadapi masalah untuk balik ke rumah isteri-isterinya. Tak tahu nak balik ke mana. Balik ke rumah isteri pertama, ada masalah, dan mahu balik ke rumah isteri kedua pun ada masalah.

    Jadi beliau memutuskan untuk mengadakan mesyuarat sehingga tengah malam. Hampir setiap minggu perkara yang sama terjadi. Yang menjadi mangsa ialah kakitangan bawahan.

    "Jika aku tak boleh balik ke rumah, maka orang bawahanku juga harus merasainya bersama", mungkin itu justifikasi beliau bagi menghalalkan tindakannya.

    ReplyDelete
  2. Sehingga membaca artikel ini,saya menganggap(secara natural dari budaya kerja)apa yg dilakukan pemimpian biarpun membelakangi sistem adalah satu kelebihan(privilage)atau satu perbuatan yang terselindung kepentinganya kepada organisasi (berhikmah).
    Namun setelah membacanya,bertambah kuatlah keyakinan saya bahawa sistem dibuat bagi memudahkan urusan mencapai misi dan visi organisasi.Satu perkra penting bagi pemimpin dan mengapa ia wajib dilaksana.

    ReplyDelete
  3. Sedang memahami ilmu kepimpinan..

    ReplyDelete