Tuesday, March 1, 2011

REDHA MENERIMA HUKUMAN


Photo credit: ieylafadzieyla.blogspot

BERANI BUAT
TAK BERANI TANGGUNG

DI WAKTU kecil, apabila awan gelap berarak di langit, saya akan terkinja-kinja kerana tahu hujan lebat akan turun. Mandi hujan adalah kegemaran saya dan kawan-kawan sebaya. Mandi air yang turun dari cucur atap sungguh menyegarkan. Airnya sejuk. Lebih seronok lagi bila dapat memanjat dan masuk ke dalam tong lege iaitu tong minyak tar yang tingginya separas dada setelah dipotong dua. Airnya sedingin ais.

Puas mandi, saya dan kawan-kawan akan pergi ke parit di belakang rumah. Air yang melimpah dari dalam parit, melimpahkan juga ikan sepat dan anak-anak ikan yang lain. Dengan menggunakan pungkis, iaitu bakul rotan yang digunakan untuk mengangkat sampah, kami akan menangguk ikan yang masuk ke dalam kebun. Semua ikan yang ditangguk akan dimasukkan ke dalam tin majerin.

TETAPI, setelah hujan berhenti, tibalah masanya untuk menuju ke muka pengadilan! Abah yang selalunya tahu saya ke parit dengan kawan-kawan akan menanti di tangga rumah. Sambil mencekak pinggang, abah akan memberitahu yang dia puas memanggil saya menyuruh pulang. Namun, siapa yang dapat mendengar laungannya yang ditenggelami bunyi deru hujan lebat?

Seperti biasa, dengan muka kasihan, saya akan naik ke rumah tanpa berkata apa-apa. Tanpa disuruh, saya akan menarik salah sebatang rotan yang terselit di dinding dan menghulur kepadanya. Biasanya rotan yang saya pilih adalah yang paling besar kerana rotan yang halus akan memberi kesan pedih sementara yang besar sedikit akan memberi kesan sengal.

Abah akan menyebat betis saya tidak lebih daripada lima kali, bergantung kepada tahap kemarahannya. Oleh kerana saya selalunya diam ketika menerima hukuman, biasanya saya akan menerima tiga sebatan. Tetapi, walaupun sebatannya hanya tiga kali, betis saya akan birat berbelang. Berjurailah air mata. Tetapi saya sudah pandai untuk menangis tak berlagu.

Saya tahu, abah sayangkan saya. Apabila malam, setelah didodoi oemak, abah yang baru pulang daripada surau akan datang untuk melumur minyak urat di betis saya yang berbirat. Ketika itu, saya akan pura-pura tidur kerana berasa bahagia disayangi meskipun telah melakukan kesalahan. Saya mula mengerti, bila salah, kita pasti menerima hukuman. Saya mula fahami bahawa kita juga mesti menerima hukuman dengan tenang.

Lama sebelum itu, apabila saya melakukan kesalahan dan tatkala abah sedia menyebat, saya akan meraung, merayu dan minta ampun. Pernah juga saya lari dan bersembunyi di belakang emak untuk mengelak hukuman. Namun, pada suatu ketika, sambil menyebat abah sempat menurunkan nasihat, kalau hendak menjadi anak jantan, kita mestilah berani buat dan berani tanggung. Maknanya, saya bukan anak jantan jika berani buat, tetapi tak berani tanggung.

KITA semuanya sudah mumaiyiz sebelum akil baligh lagi. Tentu sekali kita tahu yang mana betul, yang mana salah, yang mana baik, yang mana buruk. Apabila dewasa, kita semestinya sudah panjang akal. Tahu risiko yang akan terjadi apabila kita melakukan kesalahan. Oleh itu, andainya kita sudah boleh berfikiran jauh, tetapi masih berani membuat salah, kita mestilah bersedia untuk menerima hukuman yang setimpal.

Kita tahu memandu melebihi had laju itu satu kesalahan. Berlumba dan beraksi dengan motorsikal seperti pelakon lasak itu juga satu kesalahan. Merokok itu membahayakan kesihatan. Atau, sengaja datang lewat ke pejabat itu melanggar peraturan syarikat. Mudah sekali kita memahami risiko melakukan kesalahan. Kerana itu, apabila hukuman sampai, kita sepatutnya menerima dengan senang dan tenang hati.

Kerana itu, tak kenalah bila kita yang melakukan kesalahan itu menyalahkan pula si pemberi hukuman. Bukankah kita ada hati kecil, yang siang-siang lagi membisikkan amaran sebelum kita lakukan satu kesalahan? Jadi, mengapa tidak mendengar suara dari lubuk hati itu? Tetapi, setelah melakukan kesalahan, kenapa kita berani pula mempersoalkan si pemberi hukuman dan mencabar pula sistem undang-undang sedangkan si penghukum berperanan membetulkan kita agar menjadi lebih baik?

BERANI menerima hukuman itu menandakan kita redha dengan ketentuan. Ia akan menimbulkan keinsafan. Keinsafan itu pula akan menjadikan kita lebih baik. Mudah-mudahan memperoleh rahmat dari Yang Maha Pengampun pula.

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.3.2011.

7 comments:

  1. oh.. seronoknya zaman pakcik masa kecil...
    itulah saat indah yg saya hilang... hujan sekadar diperhati dari jendela

    Hukuman patut diredhai.. tetapi sesetengah hukuman ini berbentuk balasan bukan pengajaran..
    hukuman berbentuk pengajaran lebih baik.

    ReplyDelete
  2. Eh, Abang Peng rupanya. Memang pakcik masih suka hujan. Kini kalau jalan sorang-sorang ketika hujan turun, pakcik suka redah aje.

    Tepat sekali, hukuman di dunia adalah pengajaran. Hanya hukuman di akhirat sahaja sebagai pembalasan. Semoga hukuman di dunia mengajar dan menginsafkan agar tersisih daripada hukuman pembalasan di akhirat.

    ReplyDelete
  3. Zaman kini kita dah tak boleh nak mandi hujan. Jika mandi hujan pun disebabkan terpaksa kerana tidak membawa payung atau baju hujan.

    Memecut kereta atau motorsikal ketika hujan memanglah merbahaya. Nak berhenti di tepi jalan pun bahaya juga utk penunggang motorsikal.

    Mahu tak mahu, kenalah "mandi asid". Tiba di rumah, barulah boleh buka pakaian dan "mandi alkali" pula untuk meneutralkan asid di permukaan badan dan rambut.

    ReplyDelete
  4. uncle, bestnya mandi hujan! yang tak bestnya kena rotan. Dendaan bukanlah dikenakan untuk menghukum, tetapi mendidik. :D

    ReplyDelete
  5. Syed Fairus... Ya, mandi alkali untuk meneutralise mandi asid. :)

    Nora... pernah kena rotan sebab mandi hujan, tak?

    ReplyDelete
  6. Salam saudara.
    Tertarik dgn tajuk artikel ini. Berani buat berani tanggung ini juga sesuai utk mereka yg cuba utk menegakkan kebenaran. Biarpun kebenaran itu pahit pada sesetengah orang tetapi yg benar tetap benar. CONTOH apabila kita melaporkan adik kita sabit kes dadah. Kita akan dihentam oleh org2 tersayang yg lain keliling kita. Memang kita akan tertekan dan rasa bersalah. Tapi bukankah bila kita yg melapor maka kita kena sedia dgn apa sj 'hukuman' drpd msykt keliling.
    Saya tak pasti komen saya ini ada kaitan atau tidak dgn artikel ini tapi saya rasa ada kaitan dgn tajuknya. ;)

    Sekian, terima kasih.
    Saya tak tau

    ReplyDelete
  7. Maaf ayat lepas terima kasih di atas patut dipadam tapi tak perasan. :">
    Harap maklum.

    ReplyDelete