Tuesday, April 27, 2010

Menjaga Apa Yang Masuk ke dalam Fikiran


Foto: Incredimazing.com

BAHAYA SAMPAH
DI DALAM MINDA

SEKETIKA
tadi, saya melayari internet. Tiba-tiba saya terpandang nama ‘Stamford’ di dalam sebuah artikel. Lalu terus teringatkan Stamford Raffles, seorang pentadbir British yang dikenali sebagai ‘Bapa Singapura’. Saya masih ingat, Stamford Raffles menemui Singapura pada tahun 1819. Saya menghafal tahun beliau menemui Singapura untuk matapelajaran Sejarah peperiksaan untuk pelajar Tingkatan Tiga ~ peperiksaan yang setaraf dengan PMR pada hari ini.

Saya termenung. Mengapa saya masih mengingati tahun Stamford Raffles menemui Singapura setelah 38 tahun berlalu? Ya, saya tahu yang saya telah menghafal dan ingat akan tahun 1819 itu. Tetapi peperiksaan itu telah lama berlalu. Maklumat itu berguna buat saya dahulu kerana ia memberi sekurang-kurangnya satu markah di dalam peperiksaan matapelajaran sejarah.

Kini, maklumat itu sudah tidak berguna lagi. Buat apa saya menyimpan maklumat yang tidak berguna ini? Malangnya, saya tidak boleh membuangnya kerana ia sudah tersimpan di memori saya. Maklumat yang saya kutip pada tahun 1972 nampaknya akan kekal di sepanjang hayat.

Maklumat Stamford Raffles menemui Singapura pada tahun 1819 adalah satu di antara beribu-ribu lagi maklumat yang tidak berguna tetapi tidak boleh dibuang daripada ingatan saya. Apabila sesuatu itu tidak berguna, ia menjadi sampah, sedangkan bukankah sampah itu perlu dibuang?

SEPENGETAHUAN saya, belum ada alat yang dicipta untuk membuang maklumat yang sudah terakam di dalam minda. Kalaulah ada perisian untuk memadam maklumat seperti di dalam memori komputer, tentu sekali saya membeli alat itu. Sebabnya, saya ingin membuang beribu-ribu maklumat yang sudah lapuk atau tidak berguna daripada memori saya.

Namun, sampah di dalam minda akan tersimpan sampai bila-bila melainkan jika kita gila atau sengaja menghantuk kepala ke batu untuk mengalami amnesia, iaitu lupa ingatan. Inilah bahayanya. Bagaimana saya hendak membuang ingatan yang saya ini berbintang Gemini? Dahulu, saya seronok membaca bintang 12. Setelah tahu ia tahyul, saya mahu melupakannya.

Saya pernah percaya jika saya duduk di atas bantal, saya akan mendapat bisul. Saya pernah percaya yang saya tidak boleh berfoto bersama tiga orang. Andai dilakukan, salah seorang dari kami akan mati. Saya pernah percaya, jika saya tidak menjamah makanan yang terhidang sebelum berjalan jauh, saya akan kemalangan. Saya akan jilat tapak tangan andainya saya tak sempat menjamah hidangan itu. Kesemuanya tidak betul.

SENARAI sampah-sampah di minda ini begitu panjang. Kini, teknologi maklumat dan media menghujani kita pula dengan pelbagai sampah fikiran. Sebaik sahaja ia termasuk ke dalam minda, ia akan melekap dan tidak boleh lagi dibuang dengan apa cara sekali pun.

Kita didodoi dengan cerita-cerita fitnah dan kita melihat orang yang memfitnah itu lalu terpengaruh. Sebaik sahaja kita percaya tanpa memeriksa kesahihannya, sampah fitnah itu akan terpahat di fikiran. Maka berdosalah kita kerana mempercayai pembohongan.

Kita dihidangkan dengan hiburan yang tidak menambah kepandaian diri dan meningkatkan budi. Malah, ia memerosot dan meruntuh fikiran. Ia adalah sampah kerana kita tidak menjadi lebih bijak selepas menikmati hiburan itu. Bagaimana pun, oleh kerana ia disukai oleh ramai orang, kita tidak berasa ia tidak berguna. Tanggapan inilah yang akan menumpul daya berfikir.

Pancaindera kita sentiasa terdedah dengan pelbagai bentuk sampah. Kita perlu peka dan bersedia untuk menyaring atau menepis sama sekali apa sahaja yang sampai terutamanya melalui pendengaran dan penglihatan. Hanya dengan cara itu, fikiran kita akan sentiasa tajam untuk melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat, mengenali mana yang hak, mana yang batil; dan membezakan mana yang fakta, mana yang fitnah.

La rai bafih. Tidak ada keraguan baginya.


Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.4.2010

4 comments:

  1. ...dah berapa tahun kita digula-gula dan diragi?

    ReplyDelete
  2. Seingat saya, setahun lebih, kot? Lepas tu kita semua pakat blah, kan? :)

    ReplyDelete
  3. Lucu pula saya rasa membaca artikel ini. Betul, kalau ada mesin yang boleh memadam sampah-sampah dalam otak kita memang saya nak beli. Membazir neuron saja. Dan saya berpendapat maklumat-maklumat sampah ini memang sengaja dimomokkan sebanyak-banyak yang mungkin oleh para satanist(freemason,illuminati, komunism dll) untuk membentuk satu rangka minda dalam diri kita. Ini akan memudahkan mereka mengawal kita dari segi perbuatan dan gaya fikir.

    Itu sebab pengaruh tidak baik (faham materialistik, atheis, hedonisme dll) yang juga sengaja dihasilkan oleh satanist-satanist ini senang sangat meresap ke dalam pemikiran kita akibat rangka fikir kita yang telah dicorak oleh mereka juga. Mereka mencipta bekas sebelum memasukkan isinya.

    Contoh paling besar sampah minda ialah teori Darwinisme. Sampah minda yang telah banyak membazirkan tenaga manusia, masa, wang dan juga nyawa. Satu teori yang gagal menjelaskan hatta bagaimana satu sel protin boleh mengalami evolusi.

    Diburukkan lagi pula dengan pengaruh animisme dan fahaman karut yang dianuti sebahagian dari kita, memang akan menyesakkan lagi minda kita dengan segala sampah yang tak perlu diingat.

    ReplyDelete
  4. Wah, lagi dalam pemikiran saudara. Betul, tu.

    ReplyDelete