Tuesday, April 13, 2010

Baik & Buruk Mengelamun


KESAN TAYANGAN
DI LAYAR MINDA


AHAD lalu, saya memandu dan melewati sebatang jalan kecil yang sudah lama saya tidak lalui. Jalan di tepi padang bola itu mengingatkan saya pada satu peristiwa 15 tahun yang lalu. Peristiwa pada suatu senja yang mencemaskan saya.

Petang itu, sekitar jam 5.15 petang, hujan turun mencurah-curah. Petir berdentam-dentum dan kilat sabung menyabung. Angin berhembus kencang. Daripada cermin jendela pejabat, saya nampak dahan-dahan pokok semarak api yang patah ditiup angin. Beberapa keeping zink bumbung gerai di tepi jalan mula terbang ditiup angin dan menimpa dua tiga buah kereta berhampiran.

Saya terus teringatkan ketiga-tiga orang anak saya yang bersekolah KAFA pada ketika itu. Sudah pasti mereka dalam perjalanan pulang ke rumah. Oleh kerana sekolah KAFA hanya satu kilometer daripada rumah, mereka hanya berjalan kaki pergi dan pulang. Tetapi, anak-anak saya ketika itu berusia 12, 11 dan 7 tahun. Masih kanak-kanak.

Apa yang terjadi kepada mereka dalam hujan lebat itu? Pasti mereka basah kuyup ditimpa hujan. Tentu buku-buku sekolah mereka basah. Dapatkah yang sulung menjaga kedua-dua adiknya? Bagaimana jika ada kenderaan di jalan raya yang tak nampak mereka melintasi jalan akibat lebatnya hujan? Si bongsu sememangnya nakal. Mungkin dia bermain di parit monsun yang deras airnya, dan…

TANPA berfikir panjang lagi, saya terus berlari keluar daripada pejabat dan memandu ke arah sekolah anak-anak saya. Di sepanjang perjalanan 10 kilometer yang sesak dengan kenderaan, saya berdoa kepada ALLAH agar tiada apa-apa yang terjadi terhadap anak-anak saya.

Apabila saya melewati jalan kecil di tepi padang bola, mata saya menyusur dan menyorot ke hujung jalan. Tercari-cari di manakah anak-anak saya. Ketiadaan sesiapa pun di kiri dan kanan jalan membuatkan saya lebih bimbang. Tiba-tiba, saya terpandang mereka.

Alangkah geramnya hati apabila nampak ketiga-tiga anak saya sedang bermain jongkang-jongket di taman permainan. Walaupun basah kuyup, masing-masing terlompat-lompat penuh gembira merempuh lopak. Kebimbangan saya terhadap buku-buku mereka yang basah rupa-rupanya meleset kerana saya ternampak beg-beg sekolah mereka terselit di dalam pondok mainan di situ. Melihatkan saya, mereka terkinja-kinja riang menyambut saya. Membuatkan saya mengukir senyuman lega.

Meskipun hati berasa marah, saya tersedar yang saya sebenarnya memarahi diri sendiri kerana terlalu mengikut perasaan. Akibat berfikiran negatif, saya izinkan lamunan saya menjelma menjadi sebuah tayangan wayang di layar minda.

TAYANGAN di layar minda mudah terjadi apabila kita teringatkan pada sesuatu atau seseorang. Ia menjelma bagai sebuah tayangan wayang gambar, siap dengan suara, muzik dan kesan khasnya! Andainya fikiran kita positif, ia merupakan satu bentuk terapi minda yang menyeronokkan. Ingatan terhadap kekasih, kejayaan anak mahupun kebahagiaan sahabat amat membahagiakan kerana tayangan di minda itu memberi kita harapan,

Sebaliknya, fikiran yang negatif bisa membuatkan kita mengigau di siang hari. Terpandang orang yang disayangi berjalan dengan orang lain, masalah kerja suami mahupun kerisauan akan kesihatan orang tua boleh melarat menjadi sebuah drama di dalam fikiran yang menyiksa batin hingga rasa marah, sedih dan dendam kesumat menjelma. Semuanya boleh terjadi bila kita dipermainkan fikiran sendiri.

Tayangan di layar minda boleh mengubah persepsi kita terhadap sesuatu atau seseorang itu. Jika positif, maka positiflah reaksi kita bila bertemu dengan orang yang kita lamunkan itu. Jika negatif, maka perkara yang sebaliknya akan terjadi.

Manusia yang kita temui itu pula akan memberikan reaksi terhadap apa yang kita tonjolkan. Yang tidak seronoknya ialah, aura negatif yang kita pamerkan hingga orang yang kita temui itu turut memberi aura yang negatif hingga tak fasal-fasal ia mengeruhkan perhubungan. Padahal, ia berpunca daripada tayangan di layar minda kita sendiri.

Justeru itu, tayangan di layar minda sama ada negatif ataupun positif perlu ditangani secara sewajarnya. Walaupun apa pun tayangan yang terpapar di layar minda, yang penting kita mestilah berkomunikasi dengan imej orang yang terbentuk di dalam tayangan di layar minda itu.

Buka mulut dan bercakaplah dengan orang yang dilamunkan itu sebaik sahaja kita bertemu dengannya. Kontak dalam bentuk perbualan dan bahasa tubuh akan mengubah segala persepsi yang telah terbina akibat mainan di minda kita.

Nescaya, rasa was-was,
syak dan wasangka akan menghilang
disapu roh silatulrahim.


Artikel ini tersiar di Sinar Harian pada 14.4.2010.

1 comment:

  1. Sorry sebab yang sulung nilah yang bawak adik2 main hujan!~ LOL!

    ReplyDelete