Thursday, April 23, 2009

BERNIAGA MACAM PERGI PERANG!



PERSEDIAAN
MEMASARKAN BUKU
KE LUAR NEGARA

BILA kita berbicara mengenai jenis-jenis buku yang ingin dipasarkan, bagaimana untuk mengedarnya dan cara mana untuk melaksanakan operasinya, ia adalah mengenai persediaan utama sebelum apa jua perkara lain dilakukan. Aspek utama yang harus dititikberatkan ialah tenaga manusia itu sendiri. Pendek kata, memasarkan buku-buku ke luar negara adalah mengenai usaha penggiat industri buku daripada Malaysia sebagai satu pasukan.

Sama ada kita adalah penulis, editor, perekabentuk, penerbit, pencetak dan juga pemasar buku-buku ini, setiap individu yang terlibat harus punyai kebolehan berwawasan untuk menjangka, ke arah manakah usaha memasarkan buku-buku ilmiah daripada Malaysia ini hendak menghala. Berwawasan, bagi saya adalah kebolehan untuk melihat apa yang berlaku pada hari esok ~ sekarang!

Dan, wawasan yang dapat divisikan mestilah sesuatu yang besar. Bukan setakat membayangkan seorang wakil melangkah ke pejabat sebuah gedung buku untuk memperkenalkan buku-buku ilmiah Malaysia. Bukan juga membayangkan satu delegasi ahli-ahli MAPIM dan Persatuan Pengimport dan Pengeksport Buku Malaysia mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak industri buku di negara-negara yang punyai potensi pasaran.

Sebaliknya, mempunyai bayangan bagaimana sekurang-kurangnya satu kargo buku dari Malaysia keluar dari perut kapal terbang, bersedia untuk diangkut ke gedung buku terkenal di negara itu ataupun ke perpustakaan induk negara tersebut. Inilah gambaran yang harus tertayang di layar minda kita ~ misi yang berhasil.

Ya, bila kita berhasrat untuk memasarkan buku-buku ke luar negara, ia bererti, kita sendiri sebagai tenaganyalah yang akan terbang ke luar negara dan berdepan dengan manusia yang berbeza daripada segi psikologi, sosiologi, intelek, budaya, world view malah berbeza daripada segi isme, mazhab dan agamanya. Justeru itu, ia bukannya satu kerja semudah memasarkan buku kita ke negeri-negeri di Malaysia di mana bahasa pertuturan, bahasa tubuh, bentuk invois atau matawang yang semuanya serupa.

Kerana itu, bukan wang yang berkepuk untuk dilaburkan sahaja yang harus disedia, alamat pejabat atau gedung buku yang akan dikunjungi semata-mata yang perlu diketahui, atau buku-buku apakah yang harus dibawa bersama. Tetapi yang harus dipersiapkan ialah diri kita sendiri iaitu rangsangan mental, fizikal dan spiritual.

AKTIVITI memasarkan buku ke luar negara bukannya sukar kerana ia boleh dipelajari. Ini adalah kerana, kita mahu melakukan apa yang orang lain sudah buat. Ceruk mana di dunia yang hendak kita kunjungi sudah diterokai oleh orang lain. Kita bukannya mahu mencari dunia baru ~ menemui benua Amerika, atau benua Australia seperti para pelayar berkurun dahulu. Sebaliknya, kita hanya mahu mengembara ke tempat-tempat yang tentunya sudah terkenal. Malah, destinasinya sahaja akan diuruskan oleh juruterbang dan seterusnya pemandu teksi sebaik sahaja kita tiba ke tempat yang dituju.

Aktivitinya sama juga seperti golongan pelayar dahulu berdagang ke merata dunia. Secara lahiriah, ia mudah dicontohi. Namun, apa yang sukar diikuti ialah pemikiran mereka kerana apa yang ada di dalam pemikiran pengembara zaman dahulu tidak boleh didapatkan seperti cakera padat dan dimasukkan sahaja ke kotak minda kita lalu dimainkan, lantas kita juga punyai pemikiran seperti mereka. Kerana itulah, kita harus menyedari rangsangan-rangsangan mereka untuk digunakan. Rangsangan-rangsangan itulah yang akan memacu psiko-motor kita untuk bergerak maju.

Apakah rangsangan-rangsangan itu? Ia terbahagi kepada tiga, iaitu yang pertamanya, rangsangan fizikal, kedua rangsangan mental dan ketiga rangsangan spiritual. Rangsangan-rangsangan inilah yang menjadi azimat golongan pelayar Inggeris, Sepanyol, Perancis dan Portugis hingga mereka menjelajah, lantas menjajah banyak negara dan wilayah di dunia. Mereka berpegang kepada tiga rangsangan-rangsangan ini melalui slogan Gold, Glory dan Gospel.

Istilah Gold, secara simboliknya merupakan rangsangan fizikal iaitu emas sebagai naluri ingin mengaut harta-benda. Glory pula merupakan rangsangan mental yang mencakupi rasa berjaya, rasa hebat, rasa juara dan rasa penakluk. Sementara gospel pula adalah rangsangan spiritual mereka untuk berdakwah menyampaikan ajaran Kristian.

RANGSANGAN fizikal, mental dan spiritual ini juga terdapat kepada falsafah Cina dan Jepun. Rangsangan-rangsangan inilah yang menjadikan mereka pengembara yang hebat menempuh samudera. Chi, iaitu tanah dan Sui iaitu air merupakan elemen fizikal, Ka pula adalah api dan Fu pula adalah angin atau tenaga yang merupakan elemen mental dan fikiran. Sementara Ku pula adalah syurga, yang merupakan elemen spiritual. Rangsangan-rangsangan inilah yang membangun semangat peneroka masyarakat China dan Jepun dari dahulu hingga kini.

Bila kita meneliti budaya mengembara masyarakat Islam pula, anutan kepada ketiga-tiga rangsangan ini menjadi pemacu kepantasan pengembangan agama Islam ke merata dunia. Rangsangan fizikal melalui lima Rukun Islam iaitu syahadah, solat, puasa, zakat dan haji merupakan aktiviti-aktiviti lahiriah yang boleh dilihat. Rangsangan mental pula melalui enam Rukun Iman melalui keyakinan kepada ALLAH, malaikat, rasul, kitab, kiamat dan juga qada dan qadar adalah rangsangan mental. Rukun Ehsan yang satu itu pula adalah rangsangan spiritual kita.

BAGI kita yang ingin memulakan aktiviti memasarkan buku ke luar negara, cabaran yang besar bukannya terdapat di luar, tetapi di dalam diri individu mahupun kumpulan. Tiga rangsangan untuk fizikal, mental dan spiritual perlu ada sebagai benteng kukuh yang akan menjadikan kita hebat.

Bagi saya, rangsangan fizikal yang kita ingini ialah laba perniagaan. Rangsangan mental pula perlu disasarkan kepada rasa bangga kita untuk berkongsi ilmu, berasa dihormati dan disanjung sebagai negara yang mempunyai ramai para cendekiawan. Sementara rangsangan spiritual yang harus berakar di hati adalah kehendak untuk menyampaikan ilmu untuk tamadun dan kesejahteraan manusia.

Dengan adanya rangsangan-rangsangan yang juga menjadi prinsip dan panduan pengerak industri buku, saya percaya usaha untuk melakar strategi dan mendepani cabaran dapat ditempuh dengan selamba. Malah, dengan adanya falsafah ini, kita boleh bertahan, berkembang dan berjaya memasarkan buku-buku kita ke luar negara lebih hebat daripada pesaing-pesaing daripada negara lain.

JANGAN pandang enteng kepada aspek dalaman diri kita sendiri. Pemikiran reflektif daripada sejarah lampau yang diapit dengan pemikiran besar, seolah-olah ingin berperang dengan sebuah armada amat penting agar apa yang dilakukan bukan setakat mencuba-cuba dan menduga-duga nasib.


Keterangan foto:
Saya sedang membentangkan kertas di Persidangan Majlis Penerbit Ilmiah Malaysia di Pacific Ballroom, Pan Pacific, KL pada 18.4.09. Dari kiri, Syed Munawar Sayed Mustar (RTM), Mohd Khair Ngadimon (Institut Terjemahan Negara), saya dan Keith Thong (Malaysian Booksellers Association)

No comments:

Post a Comment