Monday, March 16, 2009

UCAPAN HARI LAHIR & HARI AKHIR



KISAH
MAHAGURUKU

1400 tahun yang lalu, apabila junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w menyampaikan wahyu ALLAH s.w.t, majoriti masyarakat di Kota Makkah tidak mempercayainya. Ramai yang mengatakan dia si majnun atau si gila kerana bercakap sesuatu di luar jangkauan fikiran dan pengalaman mereka di waktu itu.

Bagaimana mereka tidak mengatakan Muhammad s.a.w itu gila? Ayat-ayat ALLAH s.w.t yang dilafazkan ketika itu bukan sahaja mengenai pengesaan ALLAH s.w.t, mengenai Pencipta sekalian alam dan mengenai tauhid, malah Baginda turut menyampaikan ilmu-ilmu keduniaan, ilmu akhirat dan ilmu ALLAH yang tak terjangkau akal manusia.

Kita lihat sahaja beberapa ayat di dalam kitab suci al-Quran, Surah Ar-Rahman yang penuh dengan pelbagai ilmu yang pelik-pelik bagi masyarakat terdahulu:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Ilmu Astronomi: (4) Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu.
Ilmu ALLAH: (13) Dia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar. (14) Dan Dia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang.
Ilmu Oceanography(fenomena yang ditemui oleh Matthew Fontaine Maury, oceanographer):
(18) Dia biarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu. (19) Di antara keduanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya.

Ilmu Mineralogy:(21) Dari kedua laut itu, keluar mutiara dan marjan.
Ilmu Perkapalan: (23) Dan Dialah yang menguasai kapal-kapal yang belayar di laut, yang kembang tinggi layarnya seperti gunung-ganang.
Ilmu ALLAH:(25) Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa. (26) Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan.

Ilmu Fizik (Newton's 3rd law of gravity): (32) Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi, maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan!
Teori BIG BANG (diperkenalkan oleh Stephen Hawking): (36) Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak.

Ilmu Akhirat: (40) Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke Neraka). (51) Pada kedua Syurga itu terdapat dua macam dari tiap-tiap jenis buah-buahan

BAGAIMANA YA? Seorang insan yang hidup 1400 tahun yang lalu memperkatakan mengenai pelbagai ilmu di tengah-tengah panas terik gurun padang pasir yang hanya punyai langit sebagai bumbungnya? Bagaimana Baginda boleh bercerita mengenai ilmu oceanography(Ar-Rahman:18) atau mengenai Teori Big Bang (Ar-Rahman:36) misalnya, sedangkan beliau bukannya seoraang pelaut mahupun seorang saintis?

Dengan 6,666 ayat yang juga diakui oleh orang-orang Arab sebagai ayat-ayat yang mempunyai bahasa yang indah, yang tak mungkin dicipta manusia, sudah tentu mustahil ayat-ayat itu khayalan atau fiksyen rekaan Muhammad s.a.w.

Malangnya, kerana hati di dalam dada sebilangan besar daripada orang-orang Arab ketika itu sudah buta, maka Nabi Muhammad s.a.w dihina, dicaci dan dikeji. Apabila majoriti orang-orang Arab mengatakan dia gila dan hanya segolongan minoriti daripada mereka sahaja yang membenarkan ayat-ayat ALLAH yang disampaikan oleh Muhammad s.a.w, maka tentulah suara minoriti tenggelam dalam lautan kata nista golongan majoriti ketika itu.

ALHAMDULILAH... kita tiada dicelah-celah kumpulan orang-orang Arab pada ketika itu untuk mendengar khabar dari ALLAH s.w.t yang disampaikan oleh Rasulullah. Barangkali, dengan sikap kita pada hari ini yang suka ikut-ikutan, ingin kaya seperti orang lain, ingin bergaya seperti orang lain, ingin melancong seperti orang lain, ingin berhibur seperti orang lain, maka seandainya kita berada di zaman Nabi Muhammad s.a.w ketika itu, tidak mustahil kita akan terikut-ikut dengan suara majoriti, meskipun ia suara yang batil, yang sia-sia, yang kosong! Barangkali, kita akan turut sesat seperti mereka yang mendustakan ayat-ayat ALLAH s.w.t. Nauzubilah!

SUBHANALLAH WALHAMDULILAH... kita berada di zaman moden di mana segala ilmu yang tidak diketahui boleh dirujuk melalui buku, ensaiklopedia, jurnal, internet, malah melalui para profesyenal dan para ustaz.

Tentu sekali segala khabar yang dibawa Muhammad s.a.w mengenai ilmu dunia seperti oceanography, mineralogy, fizik dan perkapalan serta ilmu akhirat dapat dibukti dan dipastikan kebenarannya tanpa ragu-ragu lagi. Justeru, 6,666 ayat-ayat siapakah yang dilafazkan Muhammad s.a.w?

Dengan mata hati dan akal waras, ternyata ia adalah ayat-ayat dari ALLAH s.w.t. DIA mengetahui segala yang ada di langit dan bumi. DIA memberitahu apa yang tidak diketahui oleh manusia. Muhammad s.a.w pula adalah penyampai firman-firman ALLAH. Ajaran-ajaran ALLAH itu kemudiannya dikitabkan untuk tatapan kita pada hari ini.

Justeru itu, Muhammad s.a.w itu benar, ALLAH itu benar dan al-Quran adalah sebuah dokumen yang mengandungi suara-suara ALLAH s.w.t. Buka dan bacalah al-Quran, nescaya suara ALLAH akan didengar dan meresap ke dalam dada lalu menyegarkan roh kita.

LA ILAHAILALLAH MUHAMADURASULULLAH... Aku bersaksi tiada Tuhan yang kusembah melainkan ALLAH. dan aku bersaksi Nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH.

Salam kedamaian untukmu Muhammad s.a.w dan para sahabat serta kaum keluargamu. Semoga kau jua menerima kesaksianku buat sekian kalinya pada ulangtahun kelahiranmu dan ulangtahun pemergianmu, wahai mahaguruku...

1 comment:

  1. Alhamdulillah...
    syukur kita pd Allah krn diberi nikmat Iman dan Islam berkat perjuangan baginda.

    Janganlah mendustai nikmatNya spt yg diulang banyak kali dlm surah ar-Rahman.
    "Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"

    Alhamdulillah.

    ReplyDelete