Sunday, September 9, 2007


BANK ISLAM
ATAU BAN ISLAM?


SAYA menerima penyata kad kredit Bank Islam baru-baru ini. Pandangan ekor mata saya terhenti seketika bila terpandang logonya. Ada sesuatu yang mengganggu minda saya. Logo BANK ISLAM yang baru, bila saya melihat sekilas pandang menjadi BAN ISLAM!

Saya tak jadi membuka surat penyata bank. Sebaliknya saya memandang logo baru bank ini. Saya tertanya-tanya mengapa hati saya boleh terbaca BAN ISLAM bukan BANK ISLAM? Oh, ia kerana warna 'K' pada logo itu berwarna merah sedangkan warna huruf-huruf lain berwarna hitam dengan warna latarnya putih. Saya letakkan surat penyata itu di sisi komputer dan berundur beberapa langkah. Ya, huruf 'K' semakin pudar warnanya. Yang terus jelas hanya huruf B-A-N I-S-L-A-M.

Sebagai orang yang belajar serba sedikit seni grafik, hati saya berkata, logo ini tidak berjaya menyerlahkan huruf-huruf sebenar bank ini. Saya membayangkan, andainya logo ini dilihat dipuncak bangunan lebih satu kilometer, saya hampir pasti huruf 'K' yang berwarna merah akan bercampur (blend) dengan warna putih. Yang akan dapat dilihat dari jauh hanyalah huruf-huruf lain. Dari segi ilmu grafik, logo baru bank ini tidak berjaya memberi impak kecuali jika dilihat dari dekat. Jika dipandang dari jauh, dan ia menimbulkan persepsi dan ilusi mata (optical illusion) yang berlainan dari maksudnya ~ secara peribadi, saya katakan logo ini gagal berkomunikasi dengan khalayak, apatah lagi mengangkasakan imejnya! Saya teringat tak lama dulu betapa PETRONAS yang mempunyai logo yang diilhamkan dari titisan minyak, mempunyai warna putih dalam bulatan logonya. Pada ketika kehangatan politik royalti minyak di Terengganu, ada suara-suara pihak pembangkang mengatakan PETRONAS hak mereka kerana bulat pada logonya berwarna putih. Tak lama kemudian, PETRONAS menukar warna bulat itu menjadi hijau. Begitulah pentingnya persepsi diperbetulkan untuk menjaga imej.

Beberapa tahun sebelum itupun, MALAYAN BANKING telah mengupah sebuah agensi untuk penjenamaan semula dari MALAYAN BANKING kepada MAYBANK. Syarikat tersebut juga telah mengubah logo harimau, dari imej harimau secara profil (dari tepi) kepada imej harimau yang memandang ke hadapan. Ramai para pelanggan menulis ke akhbar THE STAR dengan marah-marah. Mereka tak setuju wajah harimau yang memandang ke hadapan kerana muka harimau itu tampak garang dan menakutkan. Akhirnya pihak MAYBANK akur lalu mengekalkan imej harimau seperti dulu. Hanya namanya berubah dari MALAYAN BANKING kepada MAYBANK.

Berbalik kepada BANK ISLAM, saya juga tertanya-tanya, mengapakah warna korporat asalnya iaitu warna biru gelap kuning dan hijau gelap berubah menjadi warna putih, merah dan hitam? Dari segi ilmu warna yang saya belajar, warna putih dan hitam pun tidak ditafsirkan sebagai warna, kerana warna hanya muncul bila ada cahaya. Putih dan hitam hanya muncul dalam gelap. BANK ISLAM belum pun berusia 25 tahun, tetapi warnanya telah berubah. Banyak lagi syarikat-syarikat korporat yang lain yang wujud lebih lama dari itu tidak menukar warna korporatnya.

Selain daripada syarikat-syarikat yang dinyatakan di atas, syarikat minyak SHELL umpamanya menggunakan warna kuning dan merah lebih sekurun lamanya. Dan yang lebih penting, logonya mengalami transisi perubahan sedikit demi sedikit. Namun, pasti ada sebab mengapa BANK ISLAM mengubah warna korporat dan juga logonya. Apakah warna dan logo barunya akan meningkatkan imej dan memperbaiki lagi rekod keuntungan tertingginya iaitu RM255 juta tahun ini?

1 comment:

  1. Terima kasih.. saya cari info bilakah bermulanya logo Bank Islam yg ini..

    ReplyDelete