
Photo credit: cintailahi.com
REHATKAN MINDA
SEBELUM BERTINDAK
SYUKUR ke hadrat Illahi. Tengah hari semalam, saya selamat pulang ke tanah air setelah selesai menyempurnakan ibadah umrah. Daripada pelbagai segi, ibadah yang telah saya jalani ini memberi erti yang lebih mendalam berbanding dengan ibadah haji yang telah saya tunaikan beberapa tahun yang lalu. Pelbagai insiden berbeza berupa ujian, pengajaran dan sempadan telah saya alami apabila melaksanakan umrah, berbanding dengan ketika menunaikan haji.
Yang manis ialah bila mana saya dan seorang jemaah Turki bertukar-tukar kupiah sebagai kenangan, yang kelakar ialah bila saya beristighfar panjang melihat seorang nenek yang bongkok 90 darjah, yang bertongkat dan berpimpin melintas di depan saya. Namun sebaik sahaja beliau melepasi saya, beliau terus berjalan tegak sambil tergelak-gelak dengan kawannya. Ada juga nenek tua yang menggunakan taktik begitu untuk memancing simpati saya. Tak mengapa, saya maafkan nenek!
Yang cemas ialah bila mana hidung saya berdarah banyak sekali akibat kepanasan ketika berpakaian ihram. Mujurlah mutawwif meminjamkan kain ihramnya sebagai ganti. Yang tidak seronok ialah kerana saya kehilangan salah sebuah beg ketika perjalanan daripada Madinah ke Mekah. Beg itu mengandungi pelbagai barangan, di antaranya ubat-ubatan, kain ihram dan charger telefon. Selama tiga hari jugalah fikiran saya terganggu sehinggalah beg itu ditemui oleh pihak pengurusan umrah.
Dan yang membuat saya kecewa ialah bilamana saya cuba dikelentong oleh seorang lelaki negara jiran yang ingin menjual tasbih kayu kokanya ketika saya sedang beriktiqaf. Mengapa ada orang seberani sebegini? Dia bagai tiada ihsan kerana tidak sedar akan kehadiran Yang Maha Melihat. Bersolat berjemaah di Masjidilharam adalah suatu ujian besar bagi saya kerana di Malaysia, saya jarang sekali pergi ke masjid sebelum azan kecuali solat Jumaat. Jemaah yang ramai dan kekuatiran tiada ruang bersolat membuatkan saya berada di masjid lebih sejam sebelum azan.
Bersolat dengan pak imam yang membaca surah-surah yang panjang pula cukup mencabar kesabaran saya. Ketika bersolat pun, hati selalu mengharap agar biarlah pak imam membaca surah-surah yang pendek. Namun, pak-pak imam di Masjidilharam ini membaca surah yang panjang-panjang, terutamanya solat subuh. Banyak kali saya sudah bersedia untuk rukuk, apabila pak imam menghabiskan bacaan sesuatu ayat. Tetapi bacaannya disambung lagi setelah itu hinggakan saya mengeluh di dalam hati. Ah, betapa lemahnya hati ini daripada godaan untuk bersegera dan gopoh.
Tetapi setelah beberapa waktu bersolat, saya mula menerima situasi dan suasana berjemaah di Masjidilharam. Mungkin juga kerana terpaksa berdiri lama mendengar bacaaan ayat-ayat suci al-Quran, lama-lama saya berasa seronok bersolat. Apabila merenungi ketika menanti waktu solat berikutnya, saya menyedari, perlakuan sesuatu aktiviti yang lama sedikit daripada biasa itu menimbulkan fokus di fikiran. Fokus inilah yang membuatkan hati jadi tenang.
Dan ketenangan ini saya rasai apabila pak imam mengajak makmumnya bertumaninah. Tumaninah dalam solat di Masjidilharam, ketika iktidal dan duduk di antara dua sujud agak lama tempohnya. Biasanya tumaninah atau rehat seketika ini melebihi lima saat sebelum diikuti dengan sujud. Oleh kerana tempoh yang panjang sedikit inilah, saya berasa lebih tenang dan lebih relaks bersolat. Pada saat ini, minda seperti mampu menghentikan gangguan-gangguan ketika solat.
Tentu sekali saya tidak bermaksud untuk menyatakan bahawa solat yang punyai sedikit tempoh tumaninahnya sebagai tidak khusyuk. Ataupun untuk mengheboh-hebohkan yang solat saya kini sudah lebih baik. Siapalah saya dan apalah sangat ilmu yang saya ada?
Namun, apa yang saya ingin kongsikan ialah, betapa tumaninah ini bagus apabila diaplikasikan di dalam kehidupan sehari-hari. Banyak sekali saat-saat di dalam kehidupan memerlukan kita bertumaninah sebelum melakukan sesuatu. Sebelum bercakap dan sebelum bertindak, berikan masa lima saat untuk tumaninah. Masa rehat minda yang sedikit itu akan menghasilkan tindakan yang lebih jitu.
Tersalah cakap, terlepas cakap, tersasul dan bercakap siang tidak pandang-pandang tentu sekali terjadi kerana kita tidak memberi diri sendiri masa untuk bertumaninah. Tanpa berehat seketika sebelum bersuara atau bertindak, akibatnya besar sekali. Kesannya juga buruk sekali lebih-lebih lagi apabila kita berbohong.
Inilah yang dinamakan berfikir dua kali.
Pertama sebelum tumaninah, kedua selepas itu.
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian, 30.3.2011.