Tuesday, November 24, 2015

MENGEJAR PELANGI AKADEMIK


Piccredit: astroawani.com
DAPAT 3A PUN SUDAH CUKUP BAGUS

MINGGU lalu beredar sebuah viral yang disalin daripada laman sosial Facebook. Ia memaparkan luahan hati seorang ibu yang amat kesal kerana anaknya tidak mendapat keputusan yang diharapkan dalam peperiksaan UPSR. Si ibu menyatakan bagaimana beliau sanggup berhenti kerja untuk menjadi tutor kepada anaknya agar berjaya di dalam peperiksaan. Si anak yang lazimnya mendapat tempat tiga teratas di dalam kelas diharapkan  akan memperoleh keputusan 5A. Alangkah terkilannya si ibu apabila si anak hanya memperoleh 4A! Ramai netizen yang menatap luahan hati ibu itu memberi reaksi. Rata-rata menyatakan, 4A pun sudah cukup baik. Bagaimana pun, si ibu memberi respon yang dia amat kecewa.
Saya teringat akan keputusan peperiksaan darjah 5 yang saya ambil pada tahun 1968. Saya mendapat 2B dan 3C. Tidak ada A. Emak dan abah saya tak tanya pun! Mereka bukannya tidak kisah dengan pelajaran saya. Malah, di zaman persekolahan, emak saya sentiasa mengingatkan saya untuk membuat homework selepas pulang daripada sekolah agama. Abah pula akan suruh saya balik ke rumah selepas solat maghrib di surau seandainya dia tahu saya belum buat kerja rumah.
Mereka amat mengambil berat terhadap pelajaran saya. Namun, pesanan mereka yang klise dari semasa ke semasa ialah ‘belajarlah rajin-rajin, nanti lulus periksa.’ Tetapi mereka tidak pernah menyemak buku sekolah saya. Tidak melihat kerja rumah saya. Tidak juga bertanya apa yang saya belajar di sekolah. Seolah-olah mereka biarkan saya buat apa yang saya suka di sekolah.
Tetapi, jangan sekali-kali ponteng sekolah. Rotan akan sampai ke punggung. Jangan terlupa membasuh kasut sekolah pada hari cuti. Jika alpa, emak akan berleter sampai ke malam. Jangan pula berani tunjuk tapak tangan yang melecet kena rotan cikgu. Nanti abah tambah sampai berbirat di pipi pula.
Ibubapa saya dan hampir kesemua ibubapa kawan-kawan yang seangkatan dengan saya punyai ibubapa yang tidak belajar tinggi. Sekolah ayah setakat darjah tujuh. Dia bekerja sebagai kerani di pejabat tanah. Emak pula tidak pernah bercerita mengenai zaman persekolahannya. Dia suri rumah, tetapi pandai membaca dan menulis. Dan ramai ibubapa kawan-kawan saya bekerja sebagai petani dan nelayan. Hampir pasti mereka tidak berpelajaran tinggi. Di zaman mereka tiada sekolah menengah. Apatah lagi yang dapat belajar hingga ke universiti.
Sebaliknya, ibubapa pada hari ini pula ramai yang berpendidikan tinggi. Ada yang bukan setakat mempunyai sarjana, ada yang mendapat kedoktoran. Malah, ada yang punyai lebih tiga kelulusan kedoktoran. Kelulusan ibubapa pada hari ini juga sudah menggerunkan si anak!
Sistem pelajaran pada hari ini memang terlalu akademik. Kementerian Pendidikan sendiri mengakuinya dan pernah berura-ura untuk menghapuskan peperiksaan UPSR dan PT3 pada tahun 2010 kerana mendapati sistem itu terlalu menumpukan kepada peperiksaan hingga murid-murid sekolah tidak mendapat pendidikan yang holistik. Apa nak jadi seandainya pelajar sekolah hanya pandai menghafal dan menjawab peperiksaan semata-mata?
Sehinggakan ramai yang berjaya di dalam peperiksaan bukan khususnya kerana kebijakan mereka menjawab soalan peperiksaan tetapi kerana mereka bernasib baik dapat meneka soalan yang akan keluar di dalam peperiksaan. Mereka lulus cemerlang kerana guru-guru pandai menelah soalan apa yang bakal terbit di dalam peperiksaan berdasarkan trend soalan-soalan peperiksaan yang lalu.
Ibubapa yang sedar akan perlunya anak-anak mereka mendapat kemahiran EQ; Emotional Quotient, selain daripada meningkatkan IQ; Intellectual Quotient di dalam akademik akan mendaftarkan anak-anak mereka mengambil kelas-kelas balet, piano, berenang, memanah atau menunggang kuda. Tetapi ramai lagi ibubapa yang tidak sedar akan ketempangan kurikulum pendidikan ini akan membiar, malah memaksa anak-anak mereka mengangkut segala jenis buku ulangkaji dan belajar dan belajar dan belajar untuk mendapat A dalam semua matapelajaran.
Itulah ukuran kejayaan bagi mereka. Jika boleh, mendapat 20A itulah yang paling hebat dan bagus. Mereka akan risau bagaimana anak mereka mendapat keputusan yang kurang baik dalam matapelajaran Kemahiran Hidup. Padahal, pelajaran kemahiran mati juga amat penting bagi anak-anak dan juga diri mereka sendiri! Itu aspek didikan SQ atau Spiritual Quotient pula.

Saya teringat akan seorang rakan saya, Amran. Katanya, dia tidak kisah walau apapun keputusan peperiksaan anak-anaknya. Samada berapa A, B, C atau D sekali pun keputusan mereka, ia tidak akan merisaukannya. Dia hanya mahu anaknya mendapat 3A. A pertama untuk Agama, A kedua untuk Akhlak dan A ketiga untuk Adab. Ketiga-tiga subjek ini adalah didikan yang diberikan kepada anak-anaknya. Sejak bayi lagi, inilah 3A yang diasuh hingga mereka boleh hidup sendiri. Walaupun kelulusan akademik anak-anaknya tiada seorang pun yang punyai A yang berderet-deret, mereka kesemuanya jadi orang. Yang lebih penting, mereka juga tidak menyusahkan orang!
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.11.15.

Tuesday, November 17, 2015

MENGAPA HARGA BARANG NAIK?



Piccredit: motaen.com

BILA MEMBELI BUKAN KERANA HARGA

KETIKA di zaman persekolahan, di antara kasut sekolah yang menjadi pilihan ialah kasut jenama Fung Keong dan juga Bata. Kasut Fung Keong  digemari kerana terdapat corak bulat di bahagian buku lali. Ia menjadi pilihan budak-budak lelaki yang suka bermain takraw. Kononnya corak bulat itu membantu mereka untuk menimbang bola takraw dengan baik.

Kasut jenama Bata pula menjadi pilihan kerana kekuatan promosinya. Tagline iklannya di radio, ‘mula-mula ke Bata, kemudian ke sekolah’ menjadi ajukan saya dan kawan-kawan. Di antara sebab kasut itu menjadi pilihan juga ialah kerana keunikan harganya. Bata tidak meletak harga genap seperti RM7.00 ataupun RM7.50. Sebaliknya kesemua harga-harganya berakhir dengan 90 sen ~ RM7.90, RM8.90, RM9.90 dan seterusnya.

Di zaman itu, saya, kawan-kawan malah ibubapa kami tidak mengerti strategi harga Bata. Meskipun harga kasutnya RM7.90 misalnya, ia hanya 10 sen lebih murah daripada RM8.00. Oleh kerana adanya angka tujuh di hadapan, ia kelihatan murah sedangkan ia berharga hampir RM8.00. Walau apa pun, harga yang berakhir dengan 90 sen itu menjadi ikutan banyak produk-produk lain. Malah, banyak juga yang menggunakan angka 99 seperti RM9.99. Nampak seperti RM9, padahal harganya hanya satu sen mencukupi RM10.00!

Bercakap mengenai harga, sewaktu kecil, saya suka mengikut emak membeli-belah. Bila menemani dia, saya akan dapat upah mainan. Tidak kiralah samada ia mainan berupa kereta yang bergerak bila dikunci atau katak yang melompat bila pam kecil yang mengeluarkan angin dihembus ke bawah badan katak itu.

Suatu taktik unik yang emak saya gunakan dengan berkesan ialah menawar harga. Katalah sehelai pakaian berharga  RM20, emak akan menawar harga hingga RM5! Itu sudah potong diskaun 75%! Walaupun ia permintaan gila, tetapi emak biasanya akan berjaya mendapat harga yang amat berpatutan. 

Apabila RM5 tidak dipersetujui pekedai, emak akan naikkan harga hingga RM3 secara berdikit-dikit. Maknanya, emak akan tawar harga RM6, RM7 dan akhirnya RM8. Jika pekedai tak setuju juga, emak akan berpaling dan angkat kaki. Taktik menonong melangkah kononnya tak jadi membeli ini biasanya menjadi. Pekedai akan tergopoh-gapah memanggil emak dan terus menawarkan harga yang emak ingini! Dan emak akan senyum dalam kemenangan!

Orang dahulu mempunyai pandangan yang amat asas mengenai harga. Mereka mahukan harga yang termurah. Kerana itu, pekedai berlumba-lumba menawarkan harga yang murah-murah. Akhirnya, pasaran dipenuhi dengan barangan berharga rendah. Kualiti bukan faktor yang menjadi keutamaan. Soal keselesaan, menjaga imej serta gaya juga tidak pernah menjadi salah satu sebab mengapa mereka memilih sesuatu barangan. Kerana itu, kedai-kedai yang menjual dengan harga yang mahal tidak akan dikunjungi pelanggan dan akhirnya gulung tikar.

Semua itu mula berubah apabila iklan melalui media massa muncul untuk mencorak segalanya. Barangan dipamer dan dipromosi melalui pendekatan lain. Misalnya, baju diperaga sebagai busana penuh gaya. Penyuling air adalah untuk menjaga kesihatan. Periuk nasi elektrik dijaja sebagai cara memasak yang menjimatkan masa. Kereta pula adalah untuk beriang ria bersama keluarga. Tidak banyak lagi barangan dipromosikan sebagai barangan yang patut dibeli kerana harganya murah. Murah kini bererti tidak standard.

Kerana itulah, kita pada hari ini terpengaruh dengan harga yang mahal. Lagi mahal, lagi bagus. Murah pula tanda kurang prestij. Sebab itulah, kita memilih ikan kembung yang dipamer cantik seolah-olah sedang berenang di bahagian barang basah di pasaraya. Kita beli walaupun harganya lebih mahal daripada yang terjual di pasar basah, pasar malam atau pasar tani. Walhal, ikan yang dibeli di pasaraya itu sudah bermata merah!

Kita beli biskut yang terpamer cantik di dalam tin beranika warna. Ia citarasa terkini. Walhal bila dibuka, biskut itu rupa-rupanya dibungkus di dalam paket plastik murah. Jumlahnya tidak sampai 20 keping! Walhal, kita boleh beli biskut yang sama, oleh pembuat yang sama secara kilo. Harganya pula tidak sampai RM5, berbanding yang di dalam tin yang berharga RM12.90!

Kita beli tudung  kelihatan cantik bila ia disinari lampu di rak pameran. Harganya kadangkala harganya hingga beratus ringgit. Tidak mengapalah kerana ia adalah trend terkini. Padahal jika kita ke gedung-gedung besar yang menjual dengan harga borong, kita boleh dapat tiga helai tudung dengan harga yang sama. Jika ingin menghadiahkan kepada saudara mara atau membuat bisnes secara kecil-kecilan dengan belian pukal, kita boleh dapat harga yang jauh lebih murah. Kualitinya pun setanding.


Oleh kerana harga bukan menjadi faktor utama dalam memilih, kita terlupa, ada barangan berkualiti yang berharga murah. Dan, banyak juga produk dari jenama yang sama dijual di pasaraya kecil dengan harga yang jauh lebih murah daripada pasaraya-pasaraya besar. Tetapi kita tidak ke pasaraya itu kerana kurang umph dan glamornya. 

Justeru itu, bila kita membeli kerana sebab-sebab gaya, prestij atau keseronokan selain kerana harganya, mengapa bising bila harga barangan semakin naik?Ia bukan faktor yang menjadi pertimbangan kita, pun!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit esok, 18.11.15 di akhbar Sinar Harian.

Monday, November 9, 2015

MEMPERBETUL NAWAITU BELAJAR


Piccredit of ivory tower: energise 2-0.com
BUAT APA BELAJAR TINGGI-TINGGI?

PADA tahun ini,  lebih 440,000 orang calon menghadapi peperiksaan SPM. Sekitar bulan Mac 2016 nanti, apabila keputusan peperiksaan diumumkan, sejumlah daripada mereka akan melanjutkan pelajaran.  Yang lain akan memasuki pasaran pekerjaan ataupun pasaran pengangguran.

Dahulu, pendidikan adalah salah satu cara orang Melayu dapat meningkatkan taraf hidup mereka. Setelah begitu lama orang Melayu hanya terpilih menjadi peon dan derebar di zaman British kerana kononnya mereka adalah bangsa yang pemalas dan bodoh, dasar pelajaran kebangsaan membuka peluang yang luas kepada orang Melayu memperbaiki mobiliti sosial mereka.

Sejak itu, semakin ramai anak-anak Melayu berpeluang memasuki universiti. Apabila mereka keluar dari menara gading, ramai yang memilih untuk bekerja dalam sektor kerajaan sebagai guru atau penjawat awam. Yang lebih menyerlah pula berpeluang menjadi Pegawai Daerah, sebuah jawatan yang dikira berprestij.

Apabila pemerintah menggalakkan anak-anak Melayu menceburi bidang kedoktoran, kejuruteraan, perakaunan dan lain-lain bidang professional, maka semakin ramai anak Melayu mula menceburi sektor swasta. Dengan kejayaan pelajaran yang diikuti dengan pendapatan yang lebih baik, anak-anak yang berjaya di dalam pelajaran dan kerja itu dapat membantu keluarga kembali.

Tetapi, itu dahulu. Pada zaman itu, penjurusan pelajar di sekolah dan pengambilan pelajar untuk sesebuah kursus di universiti atau kolej adalah untuk memenuhi rancangan perkembangan pasaran pekerjaan di pelbagai sektor di sebuah negara yang sedang membangun. Di zaman itu,  hampir kesemua mereka yang melanjutkan pelajaran di universiti akan mendapat kerja. Oleh kerana universiti tidak banyak,  lulusan universiti juga tidaklah ramai.  Justeru itu, hampir kesemua mereka memperoleh kerja dengan mudah.

Kini, zaman sudah berubah. Pendidikan bukan lagi semata-mata komitmen perancangan sosial dan ekonomi pemerintah. Ia turut menjadi sumber ekonomi pula. Apabila pendidikan sudah diniagakan, universiti-universiti swasta pun tumbuh bagai cendawan. Biasiswa dan dermasiswa pula kian sukar diperoleh oleh kerana demikian ramainya para pelajar yang memohon.

Maka muncul PTPTN sebagai salah satu tempat mereka yang ingin melanjutkan pelajaran mendapat pembiayaan. Pada waktu yang sama, agensi itu turut memberi nafas kepada universiti-universiti swasta untuk mendapat pelajar dan bertahan serta berkembang. Apa yang digusarkan ialah apabila sesetengah universiti-universiti ini condong untuk mendapat keuntungan, bukan sebagai tempat seseorang itu menjadi seorang intelektual. Kualiti pendidikan sudah ditolak ke tepi. Ada yang menaikkan gred kelulusan para pelajarnya semata-mata untuk membantu mereka mengelak membayar balik pinjaman PTPTN seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar baru-baru ini.

Malangnya, realiti ini kurang disedari oleh ramai ibubapa. Mereka masih berpegang kepada kepercayaan bahawa melanjutkan pelajaran di universiti adalah satu-satunya jalan untuk memperbaiki masa depan anak mereka. Sedangkan ia sebenarnya belum tentu menjamin kualiti pendidikan, mendapat pekerjaan, apatah lagi memperbaiki diri anak-anak mereka dan akhirnya ekonomi keluarga.

Namun, ada yang tetap mahu menghantar anak-anak mereka memasuki universiti meskipun keputusan anak masing-masing hanya cukup-cukup makan. Padahal, anak-anak mereka, melalui pendedahan yang begitu luas pada hari ini, boleh sahaja memasuki pasaran pekerjaan. Dalam masa tiga tahun, berkat ketekunan mereka, pendapatan mereka sudah jauh melebihi mereka yang baharu lulus universiti jika memperbaiki ekonomi menjadi tujuannya.

Anak-anak yang sudah berpengalaman bekerja itu mempunyai kemahiran praktikal yang jauh lebih baik daripada mereka yang baharu keluar universiti. Mereka yang baharu memegang segulung ijazah masih tercangak-cangak dan teragak-agak untuk menyeiringkan ilmu teori dengan kemahiran praktikal di alam pekerjaan yang sebenar. Sedangkan, mereka yang berpengalaman kerja pula boleh sahaja belajar secara sambilan. Mereka ini lazimnya menjadi para pelajar yang lebih faham teori ilmu kerana sudah mempraktikkannya terlebih dahulu.

Lihatlah di sekeliling. Semakin ramai di antara mereka yang tiada diploma dan ijazah telah memasuki pasaran pekerjaan. Samada mereka pendawai elektrik, penjual burger mahupun seorang usahawan, mereka mampu untuk berdikari dan membina kehidupan masing-masing. Jalan untuk mencapai kejayaan di dunia semakin luas dan bercabang-cabang. Tidak perlu bersesak untuk ke menara gading kecuali jika benar-benar mahu mencari ilmu.

Jika belajar hingga memperoleh ijazah tetapi masih tidak pandai mencari kerja hingga jadi penganggur, ada nawaitu yang tidak betul ketika mula melangkah ke menara gading.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 11.11.2015...










Tuesday, November 3, 2015

APA TUJUAN MAKAN?


Piccredit: catatan-ezlinda.blogspot

MAKAN TIDAK SEMESTINYA KERANA LAPAR
SAYA terserempak dengan seorang rakan yang sedang menjinjing empat bekas plastik besar berisi minuman berais. Bekasnya bersaiz sebantal roti Gardenia Original. Saya tanya dia, di mana dia beli minuman itu? Katanya ada seseorang yang menghantar minuman itu ke pejabat. Harganya RM4.50 sebekas. Oleh kerana ada kos penghantaran, maka harganya RM5.00 sebekas.

Saya nampak ketul-ketul ais kecil  di permukaan minuman itu. Nampak aisnya sebanyak suku bekas. Pada agakan saya, jenuh juga hendak menghabiskan minuman sebegitu banyak. Baharu menghirup separuh bekas secara berdikit-dikit, aisnya akan cair dan minuman akan jadi tawar. Si peminumnya tidak akan habis pun meneguknya kerana kekenyangan.

Saya berpandangan, pesanan minuman itu dibuat oleh mereka yang hendak merasa sahaja. Kebarangkalian untuk dia memesan lagi sebagai minuman pilihan rutin adalah sukar. Minuman teh ais, sirap atau milo aislah yang lazimnya menjadi minuman pilihan kerana ia mudah diperolehi dan harganya pun lebih murah.

Citarasa kita sekarang amat berbeza. Jika dahulu, kita makan kerana lapar. Pada hari ini kita makan kerana pelbagai sebab selain daripada kelaparan. Ada yang makan kerana hendak merasa suasana di sesebuah restoran yang berkonsep cafĂ© atau hipster. Rasa nasi goreng kampungnya, char kue teownya, spaghetti carbonaranya atau rib-eye steaknya sama seperti di tempat lain. Namun, walaupun rasanya lebih kurang sama, kita pilih untuk makan di situ untuk ‘merasa’ suasana di situ.

Apabila kita sudah alami suasana di restoran itu, cukuplah kita berasa yang kita ini up-to-date. Kalau kawan bertanya, kita akan kata, kita dah pernah makan di restoran itu. Kerana itu,  jika rasa masakannya gitu-gitu sahaja, kita tidak akan makan lagi di restoran itu. Ke gerai nasi di bawah pokok atau di restoran mamaklah yang menjadi kunjungan tetap kita.

Sebab itulah, restoran yang baharu dibuka dan dipromosikan melalui Facebook atau Instagram akan sesak dengan pengunjung. Tetapi, jika menunya biasa-biasa sahaja, tidak lama selepas itu, restoran itu tidak akan lagi menjadi pilihan. Jika tiada promosi, ia mungkin kehilangan pelanggan. Banyak sekali restoran yang dekorasi dan namanya yang begitu unik akhirnya ditutup kerana memilih konsep sebagai pendekatan perniagaan dan bukannya kesedapan masakan.

Kita dapati juga pelanggan pada hari ini suka mencuba hidangan gabungan timur dan barat misalnya, atau apa yang dikenali sebagai fusion. Masyarakat pada hari ini memang suka mencuba resipi baharu. Akhir-akhir ini banyak hidangan yang dikejukan. Ada roti canai cheese, goreng pisang cheese, apam balik cheese dan juga keropok lekor cheese.
Untuk mereka yang lidahnya sudah biasa dengan hidangan tanpa keju, campuran keju di dalam makanan timur adalah suatu yang dimakan sekadar untuk merasa. Untuk mereka yang lidahnya belum tebal dengan masakan ketimuran atau keMelayuan, campuran keju di dalam makanan adalah sesuatu yang dianggap trendy. Ia kini menjadi resipi pilihan.

 Kita di Malaysia bukan sahaja terdedah dengan hidangan yang berasal dari Cina dan India, malah kini kita boleh menjamah masakan Arab, Korea, Jepun dan Itali dan entah daripada negara mana sekalipun. Mana-mana pendatang yang pandai memasak, mereka boleh hidup di Malaysia kerana rakyat di negara ini boleh makan apa sahaja. Menjamu selera sudah menjadi suatu bentuk rekreasi untuk mengisi masa lapang.

Sebab itulah, ramai dim kalangan kita makan tanpa mengutamakan khasiat. Apa yang sedap, maka itulah yang menjadi pilihan. Kebanyakan jenis masakan yang ditawarkan adalah yang bergoreng dan kita tidak kisah seandainya berat badan akan bertambah dengan masakan sebegini. Harga makanan pun tidak menjadi ukuran. Kadangkala, harga minuman yang dipesan itu lebih mahal daripada harga makanan. Jika dahulu, ia adalah sesuatu yang tidak logik, kini ia dianggap biasa.

Orang kata, berniaga makanan ini menguntungkan kerana selain daripada urusan jual beli yang tunai, pelanggan biasanya tidak pernah menawar harga yang ditentukan. Kerana itu, mereka yang berniaga makanan di gerai pada hari ini boleh buat duit. Malah ada peniaga yang sudah sediakan peruntukan membayar saman. Hari ini dikompaun, hari esok khemah dan meja boleh terpacak semula seperti biasa. Jangan pandang sinis. Mereka bukan tak makan saman atau beri rasuah kepada penguatkuasa.  Tetapi mereka sanggup membayar denda kerana bajetnya ada.

Baru-baru ini saya terpandang iklan sarapan makanan segera yang hanya berharga RM4.75. Jika dahulu ia dianggap mahal berbanding dengan sebungkus nasi lemak dan segelas teh tarik, kini makanan di gerai pun boleh lebih mahal daripada makanan segera.


Semakin lama, nikmat makan telah mengubah persepsi kita daripada makan untuk hidup kepada hidup adalah untuk makan.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 4.11.2015.