Tuesday, October 27, 2015

DI ANTARA KERJA DAN KERJAYA



Piccredit: carolyncoke.com


INILAH KERJA YANG KAMU PILIH!

SEMALAM, rebut petir telah mengganggu konfigurasi pelayan sistem komputer kami. Akibatnya, operasi penerbitan Sinar Harian lumpuh sejak jam 5.00 petang hingga ke jam 1.00 pagi. Mulai saat itu, para petugas IT kami bertungkus lumus untuk memulihkan sistem. Warga editorial pula keletihan menanti. Hendak tidur atau keluar makan, takut-takut sistem pulih dan kerja perlu diterkam untuk disudahkan segera. Deadline harian ialah pada jam 10.00 malam. Tetapi apabila menunggu, tiada apa pula yang berlaku. Serba salah dibuatnya.

Suara-suara mengeluh kedengaran untuk melepas kebosanan. Namun, masing-masing tahu ia bukan salah sesiapa. Mana mungkin hendak menyalahkan cuaca kerana itu bererti menyalahkan Tuhan pula! Alhamdulilah, beberapa minit setelah jam 1.00 pagi, sistem mula dapat dipulihkan. Mula-mula tidak stabil ~ sekejap O.K, sekejap K.O. Tetapi akhirnya lancar sehingga penerbitan akhbar dapat disiapkan pada jam 2.30 pagi dan Sinar Harian mula naik lori ke seluruh pelosok tanahair menjelang jam 3.00 pagi.

Begitulah kerja di dunia persuratkhabaran. Versi cetaknya mesti cepat, tepat dan jitu kerana ia juga bersaing dengan versi internetnya. Akhbar dalam talian biasanya lebih pantas. Jika akhbar versi cetak tidak bijak menangani persembahan berita, hasil karyanya akan ketinggalan dan dianggap basi untuk tatapan. Dan, dalam mengejar masa itulah, sedikit gangguan peralatan bisa menyesak nafas para pengkaryanya.

Meskipun kerja di dunia surat khabar ini meletih mahupun menyakitkan hati dan perasaan, namun itulah gaya kerjanya, renyahnya atau halangan-halangannya. Ada masanya tidak tidur malam apabila terjadi peristiwa penting dan besar seperti pilihanraya ataupun malapetaka negara. Ada ketikanya tidur terganggu apabila berlakunya tragedi di malam hari. Ada musim kemaraunya berita apabila kebanyakan personaliti yang menjadi sumber berita hilang dari pandangan kerana bercuti hujung tahun ke luar negara.

‘Inilah kerja yang kita pilih!’ Begitulah saya pujukan kepada warga Sinar Harian setiap kali mereka berdepan dengan halangan dalam menjalankan tugas. Sebenarnya, ada pro dan kontra dalam apa jua bidang kerjaya yang kita ceburi. Dunia askar, polis dan ahli bomba itu kita lihat membosankan dalam suasana yang aman damai. Tetapi nyawa mereka senantiasa di hujung tanduk setiap kali berlakunya bala bencana.

Doktor adalah sebuah profesyen yang mulia dan penuh glamor. Walaupun mereka tidak menggadai nyawa seperti askar, polis dan bomba, mereka bertugas untuk menyelamatkan nyawa orang pula. Sakit cedera seorang askar yang tertembak itu tidak semestinya tidak sesakit perasaan seorang doktor yang gagal menyelamatkan nyawa seorang insan.

Jika kita lihat secara luaran betapa mudahnya kerja seorang guru itu yang kononnya bertugas hanya separuh hari, bayangkan mereka juga senak fikiran memikirkan kemajuan pelajar mereka. Jika memikirkan masa depan kita sendiri itu cukup memeningkan, betapa pula tanggungjawab seorang guru yang memikirkan masa depan berpuluh-puluh anak muridnya!

Walau apapun kerja, ia tentu ada senang dan sukarnya, seronok dan deritanya, situasi berasa bangga dan momen rasa terhinanya. Sesuatu kerjaya itu mempunyai pakej yang seimbang pro dan kontranya. Seseorang itu tidak bolehlah hanya hendak seronok sahaja apabila menyandang sesuatu jawatan itu.
Kita bukan berada zaman dahulu di mana kerjaya yang semua murid pilih adalah posmen, askar, cikgu, jururawat dan doktor semata-mata kerana golongan itulah yang selalu di depan mata. Bukan juga berfikiran seorang kanak-kanak yang bertukar cita-cita dari peguam menjadi seorang polis semata-mata kerana telah menonton filem Polis Evo!

Sebaliknya, sekarang ini zaman internet di mana seseorang itu boleh menelusuri apa jua bidang kerjaya yang bakal dipilih. Terdapat beratus ribu profesyen yang terdapat di dunia ini. Pilihlah sahaja profesyen yang kerjanya samada di darat, laut dan udara.

Selagi ia suatu profesyen yang halal, ia adalah profesyen yang mulia. Gah atau tidaknya profesyen itu hanya bergantung kepada persepsi manusia. Lihatlah bagaimana profesyen tukang masak telah menjadi hebat apabila ia digelar chef dalam dunia kulineri. Imejnya dibina hingga popular setelah muncul dalam rancangan TV.   Begitu juga profesyen yang tidak dilihat hebat pada waktu dahulu, kini menjadi kerjaya pilihan. Kerjaya pelukis, pelakon, novelis, tukang jahit malah ustaz adalah di antara kerjaya yang dahulunya dianggap tiada masa depan tetapi kini menjanjikan kehidupan yang bukannya setakat cari makan.


Sebab itulah, jika seseorang yang memilih sesuatu kerja hanya kerana imej glamor dan gajinya tanpa mengambil kira tanggungjawab yang dia harus pikul di dalam kerjaya itu, dia hanya makan gaji. Jika dia hanya mahu kemudahan tetapi senang-senang mahu angkat kaki apabila berdepan dengan kesusahan, dia hanya bekerja, bukannya bekerjaya!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.10.15.

Tuesday, October 20, 2015

MENANGANI GENERASI Z


Piccredit: youtube

APA YANG
PELANGGAN MAHU?


ALHAMDULILAH. Alhamdulilah kerana jualan akhbar Sinar Harian meningkat lagi. Pada bulan Ogos lalu, jumlahnya bertambah lebih 15,000 naskhah  sehari. Kami hampir tidak percaya kerana jualannya meningkat sebegitu banyak. Dalam keadaan keseluruhan pasaran akhbar yang kian merosot,  dua atau tiga ribu kenaikan jualannya ia boleh dikatakan logik. Tetapi, kenaikan 15,000 naskhah boleh dianggap mustahil meskipun ia benar.

Kejayaan itu membuatkan kami gembira bercampur bimbang. Gembira kerana akhbar ini kian mendapat sambutan pembaca. Bimbang kerana pada bila-bila masa sahaja jumlah yang meningkat itu boleh sahaja merosot. Kemerosotan jualan akhbar ini telah kami rasa pada tahun lalu. Kami tidak dapat meneka mengapa ia mula merosot pada tahun lepas kecuali kerana trend pembaca beralih untuk melayari berita di internet.

Tetapi, kenaikan pada bulan Ogos lalu tidak sekali-kali pula bererti pembaca sudah melupakan internet dan mula membaca akhbar versi cetak kembali.  Oleh sebab itu, hasil kenaikan hingga 15,000 naskhah tanpa apa-apa promosi itu adalah kerana apa? Secara spesifik, kami tidak tahu! Namun, tabiat pelanggan mutakhir ini mungkin berpunca daripada sikap mereka yang mudah beralih selera.

Ini adalah kerana, kemajuan dalam pelbagai bidang pembuatan, ciptaan mahupun pengeluaran menawarkan aneka pilihan kepada para pelanggan. Semakin banyak pilihan, semakin mudah dan cepat mereka berubah selera. Jika kita ambil contoh mengenai tabiat membeli-belah di pasaraya bagi orang Kuala Lumpur, pada tahun-tahun 70an, pilihan warga kota hanyalah di Ampang Park dan  Pasaraya Campbell. Di situlah tempat tumpuan mereka berlibur dan berbelanja.

Hanya setelah Kompleks Pertama muncul,  mereka beralih ke situ. Kemudian Plaza Bukit Bintang dan Plaza Sungai Wang menjadi tumpuan. Apabila muncul Plaza Yow Chuan, Subang Parade, Lot 10 dan seterusnya Pavilion, orang Kuala Lumpur mempunyai lebih banyak pilihan. Begitu juga dengan munculnya hypermarket iaitu daripada era emporium seperti Emporium Keramat, Yaohan, Carrefour, Jaya Jusco(Aeon), Giant dan kemudiannya Mydin, tumpuan pelanggan sudah terpecah menjadi pelbagai.

Makan nasi beriyani yang sedap sudah bukan lagi di Restoran Bilal. Mereka boleh menjamahnya di Restoran Syed, Restoran Hakim, Restoran Kayu, malah di hampir kesemua restoran mamak. Ini belum termasuk beriyani Melayu seperti di JM Beriyani atau nasi di restoran Arab seperti di Al Rawsha, Hadralmaut atau de Arab. Pelanggan juga punyai pilihan untuk merasa masakan Thai, Jepun, Korea, Perancis, Itali apatah lagi ala-Amerika dengan burgernya.

Pada hari ini, pelanggan singgah ke sesebuah restoran bukan semata-mata kerana lapar dan hendak makan. Mereka makan kerana hanya ingin merasa masakan di sesebuah restoran itu. Meskipun sedap, ia belum menjamin pelanggan itu datang lagi kerana pada hari esok dia hendak merasa masakan di restoran lain pula.

Kita lihat munculnya pelbagai restoran konvensional, ala-bistro, café dan juga yang menggunakan konsep hipster. Semakin banyak restoran, semakin banyak pilihan. Semakin banyak pilihan, semakin mudah sesebuah restoran itu hilang pelanggan dan gulung tikar! Jika tidak punyai rangkaian dan jenama besar, amat sukar sesebuah restoran itu dapat bertahan lama.

Kepelbagaian pilihan inilah yang memunculkan tabiat pelanggan yang tidak setia kepada sesuatu barangan. Jika lebihkurang 15 tahun yang lalu, seseorang rakyat Malaysia hanya dapat menonton tidak lebih 10 saluran, pada hari ini mereka mempunyai pilihan untuk menonton daripada lebih 70 saluran. Setiap saluran mempunyai tarikan dan keistimewaan sendiri hinggakan seseorang itu boleh sahaja, menekan lebih 10 saluran rancangan berita mengikut kehendaknya.

 Jika seseorang itu boleh menukar 10 saluran berita dalam 10 saat, bayangkan betapa mudah dia mengubah selera hingga ia menjadi suatu tabiat. Kepelbagaian pilihan telah menjadikan kita manusia yang mudah bosan dengan sesuatu dan menukar selera pada bila-bila masa. Apa yang dikatakan sebagai customer loyalty mahupun brand loyalty sudah tiada lagi. Relationship marketing, atau cara pemasaran mendekati pelanggan agar mereka terus setia kepada sesuatu jenama semakin sukar diaplikasikan. Inilah yang memeningkan mereka yang ada dalam bidang pemasaran.  

Generasi X yang lahir di antara tahun 1966-1976 adalah meraka yang lebih sukar mengubah selera berbanding dengan generasi Y yang lahir di antara tahun 1977-1994. Sedangkan generasi Z yang lahir di antara tahun 1995-2012 adalah generasi yang semakin bebas memilih apa yang mereka suka. Merekalah golongan yang terdedah kepada dunia internet yang cepat pantas dan berubah-ubah. Oleh kerana pantasnya perubahan apa sahaja di depan mata, mereka boleh suka dan benci dalam sekelip mata. Mereka yang daripada generasi X dan Y tidak akan terkejar dengan pola perubahan minat generasi Z ini. Generasi Z ini semakin ramai. Kita tidak akan dapat mengubah mereka. malah kitalah yang harus berfikir seperti mereka agar dapat menangani kehendak mereka.


Orang politik dari ‘generasi V atau W’ nampaknya dah tak dapat menjiwai aspirasi mereka.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.10.15.

Tuesday, October 13, 2015

UNTUK KITA YANG KUAT MENGKRITIK



Piccredit: thenextweb.com
SUSAH ORANG YANG SENANG

MINGGU LEPAS, saya terserempak dengan seorang bekas staf Sinar Harian yang berkunjung ke pejabat untuk bertemu kawan-kawan lamanya. Faryna sudah jadi usahanita sejak berhenti bertugas sebagai wartawan. Dia mengusahakan kek dan pastri secara dalam talian. Itulah cita-cita yang dinyatakan kepada saya apabila menyerahkan surat berhenti kerja tiga tahun yang lalu.

Apabila bertanya mengenai perniagaannya, Faryna tersenyum tawar. Kini, bisnesnya meleset. Pelanggan tetapnya sudah tidak kerap memesan kek dan pastri daripadanya. Untuk mengekalkan kestabilan perniagaan, Faryna  terpaksa menambah customer base secara agresif agar kebarangkalian pesanan jualannya tidak merosot. Apabila saya bertanya kepadanya, apakah dia tidak mahu naikkan harga jualan untuk mengekalkan kadar keuntungan? Ibu muda itu segera menggeleng.

 ‘Pelanggan pun manusia. Kalau dia suka, dia akan terus beli kek dan pastri saya. Kalau dia mula benci, dia boleh cari penjual lain. Mereka ada pilihan. Lagipun, 90 peratus pelanggan saya adalah kawan-kawan, saudara mara dan jiran-jiran. Saya tak boleh naikkan harga sesuka hati. Kita bukan syarikat tol nak naik kadar untuk kekal margin keuntungan!’

Opps… selamba sahaja dia mengenen komennya terhadap kenaikan tol. Sebagai orang yang pernah berada di dunia persuratkhabaran, kepekaan Faryna terhadap hal-hal semasa memang masih tajam. Saya bertanya dia mengenai isu kenaikan harga barang. Katanya, ramai orang yang hidup sederhana selama ini sudah masuk ke golongan orang miskin.

‘Bulan lepas, dalam satu hari, saya sendiri berdepan dengan tiga insiden yang menginsafkan. Selepas membeli barang dapur, saya beratur di kaunter bayaran. Saya berdiri agak lama menunggu seorang pelanggan di kaunter membuat bayaran. Saya nampak dia terseluk ke kiri, terseluk ke kanan poket seluarnya.  Dia hanya membeli sekampit beras 5kg! Tak ada barang lain. Kenapa lama sangat? Rupa-rupanya dia membayar menggunakan wang syiling! Si juruwang asyik memuncung dan membebel.’

‘Pada sebelah petang pula, saya ke kedai makan berhampiran dengan rumah kerana hendak membeli juadah petang. Saya terpandang sepasang suami isteri muda dengan seorang anak yang masih berpakaian sekolah rendah. Mereka sedang makan nasi lemak bunjut. Padahal, di restoran itu ada banyak lauk-pauk yang tersedia. Apa maknanya? Mereka berjimat dengan memilih makanan yang murah!’

‘Sebelah malamnya pulak, saya mendapat pesanan daripada seorang wanita. Rumahnya kira-kira 10 kilometer daripada rumah saya. Saya hantar juga walaupun nilai pesanannya hanya RM20 kerana dia pelanggan baharu. Setibanya saya di kawasan perumahan tanah lot, saya mengirim mesej kepadanya. Oleh kerana jalan masuk ke rumahnya sempit, saya hanya menanti di jalan besar. Pelanggan itu meminta saya tunggu sebentar kerana menanti suaminya balik bagi mendapatkan wang. Katanya, wang gajinya belum masuk lagi.

Alahai. Terpaksalah saya menunggu. Setelah lebih setengah jam, dia muncul dengan segenggam duit. Semuanya wang kertas seringgit. Katanya, dia tak mahu saya lama menunggu. Sebab itu, dia terpaksa meminjam wang daripada tabung anaknya!’

Kisah Faryna melakar senario kehidupan, menunjukkan golongan yang benar-benar susah sudah tak ada masa hendak kompelin. Hidup sudah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Saban hari berfikir bagaimana hendak mencukupkan tambang ke tempat kerja. Menangguhkan bayaran yuran tuisyen anak. Membeli biskut dalam bentuk kilogram daripada yang paket kerana itu lebih murah buat bekal sekolah anak.

Soal pakaian, menonton wayang atau makan di luar sudah tidak menjadi keutamaan keluarga. Berehat cukuplah sekadar berjalan ke taman rekreasi, makan-makan itu sekadar menjamah  char kue tiau yang dibeli di pasar malam dan menonton sahaja televisyen sebagai ganti menonton di pawagam. Jangankan tidak, kata orang supaya anak-anak tetap gembira seperti anak-anak orang lain. Kerana kekangan dan tekanan hidup, mereka lebih berhati-hati mengawal bajet.

Kita yang masih sempat meluahkan kemarahan melalui laman sosial sebenarnya bukannya marah sangat kerana masih berharap orang lain melihat kemarahan kita. Sama seperti orang yang kononnya hendak bertumbuk, tetapi minta kawan-kawan menyabarkan! Masalah negara kita ambil jadi masalah kita. Kita menyelar kononnya untuk menolak pemimpin yang kita rasa menyeleweng, korup, lupa bangsa dan tidak adil. Kita membidas masalah kejatuhan ringgit seolah-olah ia penyebab harga barang naik. Walhal harga barang sudah lama meningkat.  Artis yang pakai baju sendat pun kita selar sedangkan dia sudah kalis kritik dan tak makan saman.

Setelah puas mengata bagai nak rak mengenai sesuatu isu, kita pergi ke laman sembang yang lain untuk memuat naik foto makan tengahari, cincin yang baru kekasih hadiahkan, dan juga video si tompok tidur di atas sofa. Seolah-olah kata-kata dan tulisan yang panjang lebar mengenai sesuatu perkara yang kononnya kita prihatin itu hilang entah ke mana bila mood kita berubah.


Lihatlah masa yang semakin sedikit bagi mereka yang kian terhimpit. Bersyukurlah masa banyak yang kita ada meskipun untuk mengata!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 14.10.15.

Tuesday, October 6, 2015

BILA TAMAK BERCAMPUR HALOBA


Piccredit: friedchillies.com

MARI MAKAN
NASI LEMAK BUNJUT


SELAIN daripada roti canai, nasi goreng, kuetiau, lontong, nasi dagang, nasi kerabu dan mihun, nasi lemak menjadi makanan pilihan yang paling popular untuk sarapan pagi. Bagaimana pun, nasi lemak kini menjadi sarapan berat. Kita boleh pilih nasi lemak dengan lauk telur mata lembu, telur dadar, telur puyuh, sotong, kerang, lala, ayam goreng, paru, hati, daging yang dibubuh bersama kangkung dan timun serta setengah sudip sambal. Lauknya banyak hingga bungkusannya jadi sendat dan terkoyak. Minyaknya pun banyak hingga meleleh ke tangan kita yang memegangnya. Sekali makan, kita boleh kenyang hingga menjelang tengahari.

Di sebalik kepopularan nasi lemak yang beranika lauk, konsep asal nasi lemak iaitu nasi lemak bunjut turut  menjadi pilihan. Nasi lemak berbungkus daun pisang hanya diletak nasi bersama dua hiris timun, sejoreng telur dan sedikit sambal. Di restoran-restoran mahupun di gerai-gerai yang menyediakan nasi lemak, biasanya, nasi lemak bunjut akan habis lebih dahulu daripada nasi lemak yang beranika lauk. 

Tatkala harga makanan juga naik, nasi lemak bunjut masih boleh dijual dengan harga RM1 atau RM2, kadangkalanya tanpa timun dan hanya satu per enam telur rebus. Walaupun kandungan yang sedikit, ia tetap laris, malah lebih laku daripada nasi lemak beranika lauk. Kerana itu,  gerai-gerai yang hanya menjual nasi lemak bunjut akan tutup terlebih dahulu daripada gerai-gerai yang menjual nasi lemak beranika lauk.

Meskipun tampak sedikit, nasi lemak bunjut tetap mengenyangkan. Tetapi pernahkah kita terfikir, jika makan nasi lemak bunjut itu mengenyangkan seperti bila kita makan nasi lemak beranika lauk, mengapa kita lebih kerap pilih nasi lemak beranika lauk? Bukankah kita bersarapan untuk kenyang, dan bukannya bersarapan untuk memenuhkan tembolok?

Jika pun kita katakan bahawa kita makan untuk menjamu selera dan terpulanglah kepada kita untuk membuat pilihan, apakah kita perasan yang  kita kerap tidak dapat menghabiskan nasi lemak beranika lauk kerana sukatannya yang banyak? Daripada segi makan sahaja, ia mencerminkan suatu tabiat kita iaitu suka berlebih-lebihan dalam mendapatkan sesuatu, padahal yang sedikit itu sudah pun mencukupi.

Sebenarnya, selain daripada makanan, ada banyak lagi perkara lain yang kita mahukan tetapi akhirnya kita tidak gunakan kecuali sedikit. Tatkala belum ada saluran televisyen berbayar, kita sudah ada hampir sepuluh saluran televisyen percuma. Apabila terdapat berpuluh-puluh saluran televisyen, kita pun mahu melanggan seberapa banyak saluran yang kita inginkan. Tetapi, pada segi realitinya, berapa jamkah masa yang kita ada untuk menonton? Apakah kita menonton hingga 50 saluran? Jika pada satu-satu hari, kita hanya dapat menonton 10 saluran, (yang mana jarang kita dapat peluang itu) bagaimana pula dengan 40 saluran yang lain? Bukankah kita sudah puas walaupun hanya  menatap tiga atau empat saluran sehari? Macam makan nasi lemak bunjut yang sedikit, tetapi mengenyangkan!

Untuk saluran internet, kita punyai desktop, laptop, tablet dan juga di dalam telefon. Tetapi oleh kerana mudah dan ringan, kita lebih kerap melayari internet melalui telefon pintar. Ia sudah memadai. Bagaimana pula dengan penggunaan jenis-jenis barangan peribadi yang lain? Kita punyai terlebih baju, beg tangan, tali leher, tudung, kasut, pelbagai jenis syampu, sabun mandi, perfum dan entah apa lagi. Berbulan kita tidak pakai  baju tidur corak harimau bintang kerana kita terlupa yang rupa-rupanya  kita ada paten itu.  Bila berbulan kita tidak pakai, apakah baju itu benar-benar perlu?

Bukankah mahukan sesuatu berlebih-lebihan tetapi tidak menggunakan pula apa yang diperoleh secara maksima itu adalah suatu pembaziran? Kita boleh rasionalkan diri bahawa ada masanya kita perlukan benda-benda yang lama kita tidak gunakan itu. Kita akan jimat masa mencari-cari dan membeli kerana ia ada dalam simpanan. Ia betul dari sudut pandang itu. Tetapi sebenarnya kita sudah membuang masa tatkala kita mula mencari barang-barang yang akhirnya tidak kita perlukan itu.

Soalnya mengapa kita perlukan sesuatu itu melebihi daripada apa yang sepatutnya? Apakah ia berpunca daripada rasa kekosongan sehingga kita ingin memenuhkan ruang dengan segala jenis koleksi barangan walaupun ia melebihi daripada seharusnya? Dengan adanya segala macam benda di sekeliling kita, kita berasa selamat kerana rasa berada?
Jika tidak dikawal, sikap mahukan sesuatu melebihi apa yang secukupnya itu akan melahirkan sikap tamak. Sikap tamak iaitu tidak puas dengan apa yang ada akan diikuti dengan sikap haloba iaitu mendapatkan sesuatu untuk diri dengan apa cara sekali pun walaupun dengan buas, rakus dan garang menghalang orang lain untuk mendapatkan apa yang dia hajatkan.

Jika sudah sampai ke tahap itu, kita sudah tiada kemanusiaan. Sebaliknya, naluri kebinatangan sudah menjalar dalam darah di tubuh. 
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.10.15.