Tuesday, April 28, 2015

MENCARI DIRI


 
Piccredit: betheheroeducator.com
 
DI MANA
DIRIMU YANG TERCICIR?

PETANG itu, perut saya terasa amat lapar.  Maklumlah, saya hanya bersarapan roti canai kerana tiada selera. Sebaik sahaja tamat mesyuarat, saya bergerak ke sebuah restoran mamak di Seksyen 3, Shah Alam. Tatkala memilih lauk, saya perasan ada seseorang yang merenung saya sambil menyuap makanan dengan matanya yang tidak berkelip. Saya tidak pedulikan kerana tidak mahu dikatakan perasan seandainya saya menjeling.

Sudah hampir separuh makanan tengahari saya habiskan, saya ditegur seseorang. ‘Awak Norden?’ Saya mendongak dan memandang lelaki yang menyapa saya. Oh, dialah orang yang memandang saya tadi. Lantas saya mengangguk. ‘Kenal lagi tak? Aku… Berahim… Burn!’ Nama itu mengingatkan aku padanya. Kami bertukar senyuman lalu bersalaman.

Saya memandang wajahnya yang membulat. Terdetik di hati saya, apa yang sudah jadi padanya? Berahim Burn adalah rakan sekolah yang paling aktif. Dia pelari jarak dekat, pelari jarak jauh, wakil sekolah dalam bolasepak, sepak takraw, ragbi, hoki, pendebat yang disegani, ketua pengawas, pelajar contoh, pak imam di asrama dan juga pelajar yang digilai oleh pelajar-pelajar perempuan. Di universiti pun, Berahim Burn menyerlah dalam pelajaran dan aktiviti lasaknya. Saya sempat tinggal seasrama dengannya pada semester pertama.

Di hadapan saya kini ialah Berahim Burn yang berbeza. Misai dan janggutnya kusut masai. Rambutnya sudah jarang-jarang. Dagunya berlapis. Dia duduk tersandar sambil tersenyum. Saya terjeling pada perutnya yang memboroi. Mungkin beratnya sudah melebihi 120 kilogram. Wah, ke mana pergi semua otot-ototnya?

Saya tidak sedar yang lamunan saya diperhatikannya. Berahim Burn tersenyum sumbing. Tanpa saya bertanja, dia bercerita tentang kisahnya. Dia pernah bekerja dengan sebuah badan berkanun, bekerja di sektor swasta, NGO, bekerja sendiri dan kini hanya duduk rumah. Isterinya yang tatkala masih muda disuruhnya berhenti kerja untuk menjaga anak, kini menggantinya sebagai pencari rezeki.

Berahim Burn bercerita tentang zaman jahiliahnya. Dia mengimbau zaman berjudinya, zaman minum-minum, zaman berparti dan berpeleseran sehinggalah dia diserang gout dan radang paru-paru yang menoktahkan segala aktiviti buruknya. Kini, dia sedang melangkah kembali ke arah cahaya. Saya tahu Berahim Burn tahu mencari jalan pulang. Tidak perlu saya memberinya nasihat tambahan untuk menoreh luka jiwanya yang sudah tinggal parut. Kami bersalaman kembali sebelum berpisah. Namun hati saya sebak memikirkan bagaimana seorang rakan sekolah yang saya anggap akan jadi juara di sepanjang hayatnya boleh tersadung dan tersungkur di laluan kehidupan.

Saya teringat akan madah yang dipopularkan oleh Nelson Mandela, ‘I am the master of my fate and the captain of my destiny.’ Seseorang itu, (dengan izin ALLAH SWT) boleh memandu dirinya untuk memperoleh takdir yang terbaik kerana dia adalah nakhoda kepada matlamat hidupnya. Semakin usia kita beranjak, kita mengumpul segala ilmu dan pengalaman untuk dijadikan teladan dan sempadan.

Semakin sehari, segala yang kita lalui itu membina karakter. Jika kita sudah cerdik, kita  seharusnya semakin bijak. Pengalaman yang dihimpun sepatutnya semakin bergumpal menjadi semakin besar ~ character snowball. Tidak bolehlah dengan segala yang mengajar kita dalam kehidupan itu menjadikan karektor kita semakin mengecil ~ eroded character.

Andainya berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti sakit dan kecederaan, ia mungkin boleh menjadi alasan yang munasabah kerana hal-hal itu akan merencat pembinaan jatidiri. Tetapi, seandainya tiada apa-apa yang terjadi kepada kita, sepertimana sebahagian besar dari kalangan kita, kita sepatutnya semakin bestari dalam menangani hidup ini.

Ramai sungguh tokoh-tokoh yang seharusnya menjadi contoh sebagai pembakar semangat, bagaimana mereka yang semakin berusia menjadi semakin berpandangan jauh, tenang dalam berfikir dan bertindak. Mereka tidak tumpul pemikiran dan daya imaginasi mereka konsisten jika tidak pun bertambah semakin mereka meningkat usia.

Yang perlu diasah senantiasa ialah usia mental, usia fizikal dan usia spiritual. Untuk usia mental, kita tidak boleh berhenti membaca walaupun sudah meningkat usia. Membaca mengaktifkan sel-sel otak dan mengurangkan risiko nyanyuk. Usia fizikal perlu sentiasa diremajakan dengan pemakanan dan senaman yang terkawal. Begitu juga usia spiritual seharusnya ditambah dengan hal-hal yang membahagiakan jiwa khususnya dengan melakukan ibadah dan amalan baik.

Seandainya ketiga-tiganya tidak diasuh dan diasah, segala yang dianugerahkan di sepanjang jalan kehidupan itu akan hilang meninggalkan diri. Maka jadilah kita manusia yang lemah, longlai dan lembik kerana segala yang kita peroleh dalam hidup ini tercicir entah di mana-mana. Jika begitulah keadaannya, tiada sesiapa pun yang boleh membantu melainkan diri sendiri.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.4.2015...

Tuesday, April 21, 2015

JANGAN CURAH PASIR DALAM PERIUK SENDIRI



Piccredit: serenityvista.com

MARI BERDOA UNTUK
TEMPAT KERJA KITA

PERNAHKAH kita bertemu dengan seorang rakan sepejabat yang tak sudah-sudah mengkritik syarikat tempatnya bekerja? Ada sahaja perkara yang tak kena pada pandangannya. Kalau syarikatnya membuat peraturan baharu agar setiap kakitangan mengisi buku kedatangan apabila hendak ke luar pejabat untuk urusan peribadi, dia akan mengata yang syarikatnya mengongkong pekerja kerana mengadakan peraturan yang ketat.

Jika bosnya lewat mengadakan mesyuarat kerana ada hal yang tak dapat dielakkan, dia akan mengutuk bos sebagai orang yang suka menangguhkan kerja. Jika bosnya mempercepatkan mesyuarat, dia akan kata pula yang bosnya gila mesyuarat. Apabila gajinya tidak naik kerana prestasi kerjanya yang buruk, dia kata yang syarikat telah memeras tenaganya. Pendek kata, ada sahaja yang tak kena dengan syarikat dan majikannya.

Sebenarnya, tiada sesiapa pun yang memaksa dia bekerja di syarikat tempatnya bertugas. Malah, dia sendiri yang memilih untuk menghadiri temuduga syarikat dan datang apabila diminta melapor diri. Dia juga yang menandatangani surat perlantikannya sebagai pekerja di syarikat itu. Malah, tiada sesiapa pun yang memaksanya untuk terus bekerja walaupun dia tidak setuju dengan segala yang ditentukan oleh syarikatnya.

Pekerja begini sebenarnya rugi. Dia rugi kerana berasakan bahawa bosnya menguasai segala-galanya daripada segi peraturan, kelengkapan tempat kerja serta tangga gajinya. Dia punyai konsep bahawa dia makan gaji. Gajinya diberi oleh majikan. Apabila gajinya tidak naik, dia mencerca syarikat. Sesungguhnya dia telah terlupa bahawa segala-galanya sudah ditentukan oleh Ar-Razzak, Yang Menganugerahkan Rezeki.

Sebenarnya apabila tiada sesiapa pun yang memaksa dia menghadiri temuduga, datang melapor diri, menandatangani surat tawaran sebagai pekerja dan mula bertugas di syarikat itu, siapa lagi jika tidak ALLAH SWT yang telah menempatkannya di situ. Dialah yang telah tentukan bahawa rezeki pekerja itu datang melalui pendapatan syarikat tempatnya bekerja.

Justeru itu, dia seharusnya berdoa agar bosnya berjaya mengendalikan syarikat hingga mendapat keuntungan. Kejayaan syarikat tempatnya bekerja itu bermakna, bosnya juga yang mendapat keuntungan dan keuntungan itu mengalir dalam bentuk gaji, bonus dan segala kemudahan baharu yang akhirnya dia juga akan yang perolehi.

Soalnya, dia tidak percaya yang apabila syarikat untung, bosnya sahaja yang mendapat labanya dan dia hanya dapat sedikit. Bos dapat isi, dia dapat tulang. Sebenarnya, dia bukan tidak percaya kepada bosnya. Sebaliknya, dia terlupa bahawa ALLAH SWT yang memberinya rezeki. Kerana itulah, walaupun dia sembahyang lima waktu sehari, bersolat sunat qabliyah dan ba’diyah, siap dengan tahajjuddnya pada setiap malam, berdoa untuk diri, keluarga serta seluruh muslimin dan muslimat samada yang hidup atau yang telah mati, dia tidak pernah mendoakan walau satu ayat pun untuk syarikat tempatnya bekerja.

Dia tidak pernah mendoakan agar segala urusan syarikat tempat kerjanya dipermudahkan, diperluaskan rezeki serta dijauhkan daripada segala masalah dan musibah. Malah, dia tidak juga mendoakan agar bosnya itu dikurniakan kesihatan dan keafiatan supaya bosnya itu diberikan tenaga dan idea yang mencurah-curah agar rezeki syarikat melimpah-ruah sehingga dia turut mendapat bahagiannya.

Sebaliknya, apabila dia berterus-terusan mencerca syarikat, memperli dalam perbualan dengan rakan sepejabat, mengumpat apabila berpeluang bercerita dengan kawan-kawan, mengeluh dan mencerita yang buruk-buruk dengan ahli keluarga, mengutuk pula melalui laman-laman sosial hingga satu dunia tahu cacat cela syarikat tempatnya bekerja, sesungguhnya dia telah mencurah pasir ke dalam periuknya sendiri!

Sepatutnya jika dia berasa yang syarikatnya tidak berguna walau satu sen pun, pada waktu yang terdekat, dia seharusnya menghantar surat perletakan jawatan. Habis cerita. Jika syarikat tempat kerjanya itu teruk sangat, apabila dia mengundur diri, syarikat itu pasti runtuh akibat ketiadaannya! Jika itulah yang diharap-harapkannya.

Tetapi, tidak patut pula mendoakan agar syarikatnya itu lingkup. Kasihan dengan kawan-kawan yang tinggal mencari sesuap nasi dengan terus bekerja di syarikat itu. Kasihankan juga diri sendiri kerana tidak fasal-fasal telah mencatat dosa akibat mendoakan kemusnahan terhadap orang lain.

Sedarilah. Apabila dia memohon kerja di sesebuah tempat, biasanya syarikat itu sudah wujud. Ini bererti, sebelum dia ada, syarikat itu sudah beroperasi. Apakah besar kebarangkalian sekiranya apabila dia tiada kelak, syarikat itu akan turut tiada? Sedarilah, Yang Menghidup dan Yang Mematikan makhluk itu adalah ALLAH SWT. Bukannya kita yang boleh menghapuskan sesuatu apabila kita tidak sukakannya.

Justeru itu, seandainya ‘dia’ di dalam tulisan ini adalah anda, maka renung-renungkanlah…

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.4.2015.

Tuesday, April 14, 2015

MEMBINA PERSAUDARAAN


Picccredit: digitaltrends.com

DI ANTARA KAWAN & SAHABAT


BARU-BARU ini, tatkala membuka laman sosial Facebook, saya menerima friend request daripada Chan Ee Mei, rakan sekelas di sekolah rendah. Hati saya berbunga kerana memang sudah lama tidak bersua muka dengannya. Gadis Cina yang cilik ini sudah menjadi seorang wanita dan ibu. Setelah menjadi rakan siber, kami saling berkomunikasi bercerita kisah-kisah di sekolah tatkala belajar di Sekolah Rendah Sri Mersing.

Saya juga masih berhubung dengan beberapa orang kawan sekolah. Di antaranya ialah Hamzah Mohamed, Jamil Sulaiman, Azman Nasir, Mohd Khairul Bahri Ahmad, Jaafar Lamri dan Lim Ten Hock. Meskipun sudah berpuluh tahun tidak bertemu, kami amat mesra apabila berjumpa. Perangai kami berubah seperti budak-budak apabila bersama. Tiada halangan kami bergurau senda meskipun ada di antara kami dari kalangan yang sudah berpangkat dan bergelar.

Pada tahun lepas, kemudahan perisian WhatsApp turut menemukan saya dengan 100 orang kawan sekolej yang sama-sama menuntut Art and Design di kampus UiTM Dungun pada tahun 1975. Saban hari, hingga ke saat saya menulis ini pun, kami sentiasa berkomunikasi. Jika dahulu kami lebih gila-gila sebagai orang kreatif, kini kami yang sebahagian besarnya sudah bercucu, lebih gemar berkongsi ilmu dunia dan akhirat.

Untuk keduniaan, ada di antara kami yang saling bertandang untuk berjalan-jalan. Apabila sudah lanjut usia, berjalan-jalan menjadi agenda yang merehatkan. Ada di antara kami yang berkongsi resipi, makanan, menghadiahkan pokok, buah-buahan, tips perubatan, malah ada yang menaja pakaian dan menyediakan tempat penginapan percuma apabila berkonvoi dan berkunjung menghadiri majlis perkahwinan anak masing-masing. Dalam hal-hal akhirat, kami saling pesan memesan, bertukar pengalaman, ayat al-Quran dan hadis, saling mendoakan serta mengucapkan salam pada pagi hari dan mengucapkan selamat malam.   

Saya gembira dengan kehadiran kawan-kawan sekolah dan juga teman-teman sekolej. Mereka sudah menjadi para sahabat saya. Kehadiran mereka membawa saya ke dalam sebuah dimensi yang aman. Sahabat adalah teman-teman yang sanggup berkongsi susah dan senang, saling berpesan dan menegur untuk kebaikan bersama.  Dengan teknologi siber yang canggih, mereka seolah-olah hadir siang dan malam bersama saya. Menjadikan hidup ini semakin bererti kerana ada sahabat-sahabat di sisi.

Jika direnungi, kita sebenarnya selesa berkawan dengan rakan-rakan sekolah dan kolej. Dengan kawan-kawan sekolah, kita bukan sahaja mengenali dirinya, tetapi ibubapa dan adik beradiknya. Kita biasa berkawan hingga makan minum dan tidur baring di rumahnya. Keluarga kita dan keluarganya turut saling mengenali. Begitu juga dengan rakan-rakan sekolej. Tatkala berkawan, masing-masing baharu hendak hidup. Baharu hendak mengenal selok-belok kehidupan. Baharu hendak mencari identiti untuk ‘menjadi orang.’ Justeru itu, masing-masing jujur dalam pergaulan. Kejujuran inilah yang mengekalkan persahabatan.

Cuba kita congak, berapakah kawan atau rakan yang kita ada berbanding dengan sahabat? Sudah pasti kita mempunyai lebih ramai kawan daripada sahabat. Kawan-kawan pula berbeza daripada sahabat. Kawan dan rakan biasanya terjalin kerana masing-masing punyai kepentingan. Rakan sekerja misalnya, walaupun kita rapat dengan mereka tidak kurang lapan jam sehari, namun pergaulan kita dengan mereka hanya setakat hal-hal kerja.

Jika hendak bergaul lebih daripada itu mungkin setakat teman untuk pergi makan tengahari, menonton dan berombongan. Mungkin juga saling membantu dalam soal kerja. Ataupun ke majlis-majlis keramaian. Tetapi, setakat itu sahajalah. Walaupun rapat, tetapi ia tidak sama dengan pergaulan dengan rakan-rakan sekolah dan kolej.

Apakah kita tidak mahu rakan-rakan sepejabat menjadi sahabat kita pula sepertimana kawan-kawan lama kita? Jika kita mahu, jaringan persahabatan boleh melangkaui peranan sebagai rakan sekerja. Kenalilah jiran-jirannya, ahli keluarga dan sanak saudaranya. Dan jika kita bergaul dengannya di luar kawasan pejabat, kita akan memperoleh seorang sahabat yang baharu.

Sahabat-sahabat lama yang saling berhubung di alam siber, meskipun intim siang dan malam, sebahagian daripada mereka bagai ilusi melainkan bila dapat berdiri di depan mata. Sebaliknya rakan-rakan sekerja, apabila dikenali rapat hingga menjadi sahabat, mereka akan sentiasa berada secara live dan akan hadir untuk membantu, meskipun untuk menukar tayar kereta kita yang pamcit.
 
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar harian esok 15.4.2015, insya-ALLAH...

Tuesday, April 7, 2015

BAHAYA BERFAHAMAN GLOBAL


Piccredit: survivaltraining-wonderhow-to.com
 
DUNIA BUKAN
KITA YANG PUNYA

SEANDAINYA kita berada di dalam sebuah pesawat yang sedang mendekati bumi sebelum mendarat di KLIA, kita akan dapat lihat bandaraya Kuala Lumpur dengan bangunan-bangunan pencakar langit yang tingginya berpuluh tingkat.

Jika kita berada di dalam pesawat yang hendak mendarat di Atlanta City, Amerika Syarikat; bandaraya Tokyo, Jepun; Jakarta, Indonesia mahupun bandaraya Hong Kong, kita akan lihat bangunan-bangunan pencakar langit yang panoramanya hampir serupa dengan bandaraya Kuala Lumpur. Apabila menghampiri bandaraya-bandaraya ini, kita dapat lihat lingkaran lebuhraya bersimpang-siur yang penuh dengan pelbagai kenderaan dan juga taman-taman yang mempunyai tasik yang membiru. Kesemuanya tidak banyak bezanya dengan apa yang ada di ibu negara kita.

Apabila kita menapak di celah-celah orang ramai di mana-mana lapangan terbang, kita akan melihat ribuan manusia yang berpakaian yang hampir serupa. Pakaian kot dan bertali leher, berbaju-T, berjaket, kemeja mahupun jean, berseluar, berskirt, bertopi dan berkacamata adalah di antara pakaian sebilangan besar di kalangan mereka.

Melangkahlah ke mana-mana kompleks membeli-belah di mana-mana tempat di dunia. Kita akan berasa seolah-olah berada di kompleks membeli-belah di Kuala Lumpur kerana akan terpandang gedung-gedung berjenama global seperti Fendi, Guess, Valentine, Dior, Burberry, Cartier, Chanel, Nike, Adidas, Umbro, Mercedes, Toyota, BMW, Apple, Sony, Samsung dan iPhone. Lihatlah wajah-wajah yang terpapar menghiasi iklan di skrin-skrin pusat membeli-belah. Kita boleh melangut menatap wajah-wajah pelakon terkenal  Nicole Kidman, Beyonce dan David Beckham. Di merata dunia, inilah wajah-wajah yang menjadi ikon di dunia.

Dunia sudah disatukan secara global. Daripada arkitektur, pakaian manusianya, jenama-jenama yang digunakan, muzik kegemaran, tontonan, bacaan dan makanan, ia bagai seragam. Menjadikan manusia bercitarasa global. Di mana-mana, manusia sudah pernah merasa burger, steak dan sushi. Di mana-mana mereka juga boleh berbahasa atau sekurang-kurangnya memahami bahasa Inggeris. Di mana-mana juga, mereka tahu membuka dan menggunakan Youtube, WhatsApp, Instagram dan Facebook.

Daripada segi fizikal dan mental, hampir kesemua yang mereka nikmati itu semakin menghanyutkan mereka ke budaya hedonism iaitu budaya seronok yang tidak berkesudahan. Oleh kerana ingin bersuka-suka, mereka sudah malas untuk berfikir secara kritis. Mereka lebih suka mengikut apa yang orang lain buat.

Bila kita teliti sesebuah paparan di laman Facebook, komen-komen yang kita baca itu biasanya bukan komen terhadap paparan itu, tetapi komen yang melarat berikutan dari komen mereka yang terakhir. Berapa banyak paparan berbentuk troll iaitu sesuatu yang sengaja dipapar semata-mata sebagai bahan provokasi yang akhirnya menjadi viral? Berapa banyak lagi paparan fitnah, falsu dan auta yang disebar dipercayai tanpa usul periksa? Sudah banyak kali juga, paparan yang telah diketahui kepalsuan pada tahun-tahun yang lalu muncul kembali dan dipercayai  semula?

Kita menjadi manusia global kerana mempunyai budaya yang sukakan keseronokan, celupar, kasar dan ganas. Kita menjadi manusia global kerana mempunyai selera makan umtuk melahap yang hampir sama. Kita menjadi manusia global kerana mempunyai cara berfikir yang sama iaitu menyukai pemikiran yang berubah-ubah, pendek akal, singkat memori dan herd mentality.

Dalam pada itu, manusia mempunyai inspirasi agar dunia menjadi aman damai mengikut acuan global yang hanya bersandarkan kacamata manusia semata-mata. Setelah mempunyai budaya, ekonomi dan pemikiran global, kita mula mahukan kepercayaan agama yang global. Kita mula percaya, oleh kerana semua agama itu adalah untuk kebaikan, maka semua agama adalah sama. Walaupun menyembah tuhan yang berasingan, asalkan ia untuk keharmonian manusia sejagat, maka ia harus menjadi dokongan sekelian manusia. Maka muncullah pemikiran pluralism yang menyemaratakan agama mengikut kacamata global.

Bila manusia berfikir yang dia telah memaju dan mengindahkan dunia, mereka sangka ia sudah mencukupi. Penyatuan mereka untuk menyelamatkan ekonomi dunia, peperangan dunia, kemiskinan dunia, kebuluran dunia dan malapetaka dunia tanpa memikirkan dari mana datangnya segala cabaran, ujian dan dugaan masih bertahap pendek akal.

Sebab itu, apabila manusia terlupa pada Yang Maha Pencipta, mereka akan cepat panik dan putus asa apabila apa yang dirangka itu tidak menjadi. Bukankah ALLAH sudah berfirman dalam al-Quran, “Dan mereka merancang(tipu daya), Allah juga merancang(membalas tipu daya), dan ALLAH sebaik-baik perancang(membalas tipu daya).”(Al-Imran 54)

Sentiasalah ingat, walaupun kita adalah manusia global, kita tetap melangkah di bumi kepunyaan Yang Maha Perkasa. ALLAH SWT juga sudah mengingatkan kita,  "Jangan kamu berjalan di bumi ini dengan sombong, sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembusi bumi dan tidak akan sampai setinggi gunung. Tiap-tiap satu perintah itu, menyalahinya adalah kejahatan yang dibenci di sisi Tuhanmu." (al-Isra' 37-38)
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 8.4.2015.