Tuesday, March 31, 2015

MEREKA MENYINTAI ISLAM



Piccredit: dakwahbookstore.com.my

KELOMPOK BAHARU
DI ANTARA KITA

PADA Sabtu dan Ahad minggu lalu, saya menghadiri The Straight Path Convention ~ Destination: Jannah atau Jalan Yang Lurus; Matlamat Syurga. Konvensyen yang diadakan di Shah Alam Convention Centre ini mendapat sambutan yang luar biasa. Tiket yang berharga RM100 habis terjual. Menjadikan dewan konvensyen itu padat untuk kedua-dua hari.

Lazimnya, majlis-majlis ilmu agama berbentuk ceramah adalah percuma. Jika ada bayaran pun, biasanya pihak penganjur mendapat penaja untuk membiayainya. Justeru itu, siapakah mereka yang sanggup membayar tiket untuk menghadiri konvensyen berbayar ini?  Mereka bukan membayar untuk menonton wayang, perlawanan bolasepak, konsert atau seminar motivasi dan perniagaan. Sebaliknya, mereka membayar untuk mendengar kuliah agama! Dan, mereka mendengar tentang Islam dalam bahasa Inggeris!

Alhamdulilah, saya berpeluang untuk ke konvensyen Jalan Yang Lurus; Matlamat Syurga itu. Selain daripada mendengar kuliah daripada penceramah antarabangsa terkenal iaitu Syaikh Abdurraheem Green dari Manchester, UK; Syaikh Saed Ragaeh dari Toronto, Canada; Dr Muhammad Salah, dari Texas, US dan pendakwah terkenal, Mufti Ismail Menk dari Harare, Zimbabwe; saya turut merayau di antara hadirin untuk mengenali satu kelompok manusia dalam masyarakat yang saya anggap kelompok yang baharu.  

Sebahagian besar daripada mereka adalah orang Melayu, orang Malaysia seperti kita juga. Malah, terdapat di kalangan mereka adalah orang yang saya kenali. Tetapi dalam suasana konvensyen dakwah itu, dari luar dewan konvensyen pun saya mula merasai suasana yang berbeza.

Saya lihat wajah-wajah gembira dan tenang mereka. Mereka datang secara berbondong-bondong dengan wajah-wajah yang manis. Bila bertembung pandangan dengan orang yang berada di sekeliling, mereka menghulurkan senyuman. Bukan dengan muka ketat bila terpanah pandangan dengan orang di sisi bila kita mengunjungi pasaraya.

Ramai di kalangan mereka yang bertanyakan arah tempat mendaftar kepada para petugas dengan tertib. Ketika beratur untuk mendaftar, mereka yang berdiri di belakang, menanti dengan sabar. Tidak terintai-intai ke hadapan atau menunjukkan wajah berkerut sepertimana ketika kita berbaris di mesin ATM. 

Apabila memasuki dewan, mereka patuh dengan para petugas dengan memenuhkan tempat kosong yang diajukan. Masing-masing bersalaman dengan orang di sebelah. Jika di tempat lain, kita akan buat-buat tak nampak dengan orang di sisi ketika melabuhkan punggung.

Apabila program bermula, hampir seluruh para hadirin menumpukan perhatian kepada penyampaian penceramah. Adatlah, bila ada beberapa orang di antara mereka yang membelek telefon. Itupun buat seketika. Bila ada perkara yang menggelikan hati disampaikan penceramah, mereka akan tertawa. Tetapi tidak diiringi dengan jeritan atau suara-suara sumbang yang menyampuk seperti bila kita menghadiri majlis ceramah politik.

Para penceramah menyampaikan kuliah mereka dengan penuh tertib. Mereka bercakap mengenai Islam yang mendamaikan dan menginsafkan hati. Mereka menjaga lidah ketika berkata. Hampir tiada sindir dan perli kepada mana-mana pihak di luar sana tatkala menyampaikan kuliah. Mereka juga menjaga akhlak dan murah dengan puji-pujian kepada ALLAH SWT. Dan tabiat ini mereka galakkan kepada para hadirin. Kata-kata pujian masya-ALLAH, alhamdulilah dan mengaminkan doa menjadi selingan yang sungguh mendamaikan.

Saya teringat sebuah insiden apabila mikrofon penceramah Mufti Ismail Menk tidak berfungsi dengan baik tatkala beliau menyampaikan kuliah. Apabila meminta mikrofon ditukar, juruteknik yang bertugas kelihatan malu-malu untuk naik ke pentas untuk menggantikannya. Seseorang telah menggalakkannya untuk naik. Lalu juruteknik itu naik ke pentas dengan segan silu.

Penceramah itu berasa lega bila mendapati mikrofon itu berfungsi dengan baik. Lantas beliau mendoakan untuk juruteknik itu dengan kata-kata, ‘May ALLAH, grant him with Jannah.’ Dewan bergema dengan ‘amin’ para hadirin. Bayangkan. Doa seorang ulama telah diaminkan oleh 3,000 hadirin kepada seseorang yang datang untuk bertugas, bukan untuk mengikuti program itu. Beruntunglah dia jika pada saat doa itu diaminkan, ia dimakbulkan pula oleh ALLAH SWT!

Selain daripada penyampaian ceramah yang saya sifatkan terbaik, kekurangan dan kelemahan yang terdapat di konvensyen itu diterima oleh para hadirin dengan redha. Bilik solat yang kecil hingga ada yang bersolat di depan ruang lif, alat penghawa dingin yang tidak berfungsi selama beberapa jam pada hari kedua dan keadaan tandas yang tidak sempat diselenggara dengan baik kerana kesesakan para hadirin, tiada yang bising-bising komplen kepada para penganjur.

Hujan rahmat turun dengan lebatnya sebaik sahaja program berakhir. Saya berjalan keluar dari aura yang penuh kedamaian itu. Berasa teruja kerana dapat berada di kalangan insan-insan yang tenang lagi membahagiakan itu. Inilah kelompok manusia yang cintakan Islamnya tanpa nama dan tanpa syarat. Dan, golongan ini semakin ramai dan kian berkembang.

Pihak manakah yang sedar akan bercambahnya segmen masyarakat ini?
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.4.2015.

Tuesday, March 24, 2015

DI SEBALIK PERADUAN


 
 
Piccredit: kopitarikkaw2.blogspot

PR1
M BUKAN
URUSAN SERI PADUKA BAGINDA

SEJAK idea Peraduan Rakyat 1Malaysia (PR1M) dicetuskan oleh CEO kami Datuk Hussamuddin Haji Yaakub dalam sebuah mesyuarat khas akhir tahun 2014, kami semua berasa amat teruja. Teruja dengan konsep PR1M sebagai sebuah peraduan yang amat mudah untuk seluruh rakyat Malaysia. Tujuan PR1M sememangnya hendak memberi hadiah kepada para pembaca kami. Hanya dengan sebuah akhbar dan sebuah jawapan yang dihantar, sesiapa sahaja berpeluang untuk memenangi wang tunai RM1,000.

Soalan yang diberi pun adalah soalan-soalan yang mudah. Jawapannya ada di dalam akhbar. Kadangkala, setiap kali soalan ‘ya’ atau ‘tidak’ dikemukakan, ‘ya’ adalah jawapannya. Justeru, ia bukan peraduan yang menyusahkan di mana mereka yang menyertainya terpaksa mengumpul soalan demi soalan untuk beberapa hari sebelum menghantar kepada kami. Ataupun soalan yang diberi begitu sukar seolah-olah seperti tak mahu memberi hadiah kepada pesertanya seperti beberapa peraduan yang lain.

Bagaimana pun, oleh kerana soalan-soalannya mudah, ada pembaca yang marah-marah kerana soalan sebegitu memberi peluang kepada lebih ramai pembaca untuk memenangi hadiah dan mengurangkan kebarangkalian baginya untuk menang. Ada juga yang mencadangkan agar pihak Sinar Harian menyukarkan soalan supaya ia lebih mencabar minda. Untuk senam otak, kata mereka.

Apabila PR1M bermula pada 1 Februari lalu, seperti dijangka, jumlah yang menyertainya hanya suam-suam kuku. Dalam minggu pertama, hanya sekitar 100-200 penyertaan sahaja yang diterima. Bagaimana pun, setelah keputusan PR1M 1-7 Februari diumumkan pada 15 Februari, jumlah penyertaan mula meningkat kepada 1,000 penyertaan sehari, 2,000 dan kini melebihi 3,000 penyertaan sehari. Kini, ia adalah peraduan yang paling mendapat sambutan dalam sejarah Kumpulan Media Karangkraf.

Para petugas yang menyisih surat-surat penyertaan kini mengambil masa setengah hari untuk menyudahkannya. Menjelang petang, para Editor Edisi pula bagai berpesta bila berpeluang untuk memilih para pemenang. Mereka lebih-lebih lagi teruja apabila mencabut pemenang yang datang daripada pembaca edisi negerinya.

Selain daripada RM1,000 sehari, apakah uniknya PR1M ini? Barangkali daripada segi kecepatan kami menyampaikan hadiah. Jarang sekali sesebuah peraduan melalui mel mengambil masa begitu singkat dalam menyampaikan hadiah. Lazimnya, dalam tempoh 14 hari sahaja para pemenang akan memperoleh hadiah wang tunai. Ia berbeza daripada banyak peraduan-peraduan lain di mana pengumuman keputusannya mengambil masa berbulan-bulan. Ada juga yang bila ia diumumkan, para pesertanya mungkin tidak tahu kerana kurang hebahan atau telah terlupa mengenainya.

Lazimnya, tiga hari setelah pemenang dikejutkan dengan sebuah panggilan oleh Editor Tugas Khas Saudari Lailatun Khalilah Nasir yang menyatakan beliau memenangi PR1M, Skuad Sinar yang berada di daerah akan menghubungi pemenang untuk mengatur temujanji dan pemberian wang tunai RM1,000. Pemenang, pasti mendapat peluang wajahnya terpapar di akhbar Sinar Harian pada Ahad berikutnya. Kecepatan ini kami lakukan bagi mengelak daripada berlakunya penipuan dari mana-mana pihak yang mengambil kesempatan.

Dalam pada itu, kami banyak menerima jawapan yang dipersembahkan dalam bentuk bingkai gambar, dihiasi dekorasi, berbau wangi dan dalam sampul surat yang besar. Pihak juri kami sudah siang-siang lagi mengambil keputusan untuk mengutamakan mereka yang mengirim dengan sampul surat biasa atau melalui Pos Ekspres dan Poslaju sahaja. Sesuai dengan konsep sebagai sebuah peraduan rakyat, biarlah kita merakyatkan cara penyertaan. Dan iya, terdapat juga mereka yang menggunakan sampul surat syarikat ataupun sampul Urusan Seri Paduka Baginda. Bagi para juri, mereka tidak dapat memproses penyertaan begini kerana elemen kurang jujurnya.

Walau apa pun, wajah-wajah ceria mereka yang memenangi peraduan itu memberi kebahagiaan buat kami. RM1,000 begitu bermakna buat para pemenang. Ada yang hendak menyimpan, membesarkan perniagaan, membuat akikah, persiapan perkahwinan, persediaan sekolah anak-anak atau membuat kenduri. Bermacam-macam boleh dilakukan oleh mereka dengan RM1,000. Petanda, ia akan dibelanjakan dengan cara yang penuh berkat. Justeru, syukurlah mereka terpilih memperoleh rezeki hadiah tersebut.

Jika dapat kepada kita yang kurang bijak menilainya, mungkin setengah hari di spa dan setengah hari lagi bershopping, wang itu boleh habis begitu sahaja!
 
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.3.2015.

Tuesday, March 17, 2015

BELAJAR ATAU KERJA?


 
Piccredit: essayhelpros.com

DI ANTARA
BELAJAR &
BEKERJA

SETIAP kali Sinar Harian mengiklankan tawaran pekerjaan sebagai wartawan, saya menerima tidak kurang 200 permohonan. Daripada jumlah itu, lebih 80 % adalah daripada mereka mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang komunikasi atau yang setaraf dengannya. Sekitar 10 % pula adalah mereka yang mahu bertukar majikan dan yang selebihnya adalah wartawan sambilan yang ingin bekerja tetap.

Saya pernah menerima calon temuduga daripada kalangan mereka yang masih belajar di semester akhir. Meskipun belum habis belajar, mereka memohon sebab mahu menempah kerja. Bijak sungguh mereka mencatur masa depan. Tetapi, saya terpaksa menolak permohonan mereka kerana Sinar Harian mahukan calon yang terpilih untuk memulakan kerjaya by yesterday. Saya amat menghormati mereka kerana proaktif. Namun, kerap terlintas di fikiran saya mengenai kadar pengangguran yang kian meningkat di kalangan siswazah. Mereka yang hadir temuduga untuk menempah tempat sebelum tamat belajar itu adalah golongan yang tidak mahu menganggur.

Kerana itu, saya mula tertanya-tanya mengapa terdapat sebilangan besar daripada mereka yang sudah memperoleh diploma mahupun ijazah yang masih ingin melanjutkan pelajaran? Bukankah lebih baik mereka masuk ke dunia pekerjaan bagi memenuhi permintaan pasaran? Lainlah, jika mereka memilih kerjaya dalam dunia akademik kerana lagi tinggi kelulusan, semakin mudah mereka memperoleh kerja. Tetapi dalam bidang selain daripada akademik, kelulusan yang lebih tinggi itu bukan pasport mereka mendapat peluang kerja yang lebih baik.

Berkelulusan diploma mahupun sarjana muda dalam bidang komunikasi misalnya, adalah kelayakan asas untuk memohon. Orang kata, just to open doors atau tersenarai dalam pilihan bakal majikan untuk ditemuduga. Dalam pasaran kerja yang semakin sesak, di mana kelulusan di peringkat diploma, sarjana muda, sarjana, malah kedoktoran sudah berlambak di pasaran, apa yang diingini oleh bakal majikan ialah mereka yang ada pengalaman dan juga yang punyai kebolehan yang pelbagai.

Saya banyak menerima pemohon kerja daripada kalangan mereka yang sudah punyai ijazah sarjana. Meskipun berkelulusan yang lebih tinggi, saya tidak mahu memilih mereka kerana mengutamakan pengalaman bekerja dan bukannya kelulusan semata-mata. Andainya seseorang calon itu punyai pengalaman menolong kawan di gerai pasar malam, bekerja kilang, presiden persatuan pidato, pengarang majalah sekolah, seorang pemain futsal untuk daerah atau mengambil upah memanjat pokok kelapa, dia akan termasuk dalam senarai pendek saya.

Saya percaya, kian banyak jabatan-jabatan sumber manusia di pelbagai syarikat swasta mahupun awam yang telah mengubahsuai pemilihan calon-calon yang layak untuk terpilih bekerja di tempat masing-masing. Meskipun ia tidak tercatat dalam kriteria rasmi, namun itulah yang kini diutamakan.

Kerana itu, saya berasakan rugi seandainya seseorang itu belajar hingga memperoleh kelulusan tertinggi sehingga memperoleh dua atau tiga kelulusan sarjana. Jika setelah memperoleh semua itu, kerja pula menjadi masalah, segala impian akan musnah.  

Keadaan pada hari ini bukannya seperti 50 tahun lalu. Dalam tahun-tahun 60an, hanya ada sebuah universiti iaitu Universiti Malaya. Ijazah sarjana muda adalah jaminan mendapat kerja yang baik. Kerana itu, terdapat para pelajar di zaman itu boleh mengambil Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran (kini STPM) berulang-ulang kali semata-mata untuk memasuki Universiti Malaya.

Ramai dari kalangan guru lulusan maktab perguruan terutamanya mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran hingga sanggup menjadi mahasitua kerana kelulusan daripada satu-satunya universiti itu memberi jaminan kerjaya yang baik. Dapat naik pangkat dan naik gaji bagi guru-guru. Mereka dari bidang perkhidmatan awam pula berpeluang menjadi pegawai PTD.

Setelah wujudnya pelbagai universiti awam, universiti swasta dan juga pelbagai institut, kolej dan politeknik, berpuluh ribu mereka yang berkelayakan menyesakkan pasaran pekerjaan. Siapa cepat, dia dapat. Kerana itu, kerjalah dahulu. Setelah mendapat kerja, banyak pula peluang belajar secara pendidikan jarak jauh mahupun universiti terbuka sudah terbentang luas. Belajar sambil bekerja kini merupakan pilihan yang lebih praktikal.

Perubahan paradigma hubungkait dunia pelajaran dan kerjaya ini perlu disedari oleh mereka yang masih belajar pada hari ini. Kelulusan itu penting, tetapi pekerjaan mesti menjadi prioriti para pelajar. Selepas tamat pendidikan sekolah, sebaiknya seseorang itu perlu mendapat tajaan dari pihak kerajaan atau mana-mana institusi GLC.  Jika ingin terus belajar dengan cara meminjam, seseorang perlu mengubah haluan untuk bekerja dahulu. Untuk apa berhutang sebelum ada cara untuk melunaskannya? Apabila ada pendapatan, pinjaman PTPTN itu tidak perlu diambil sepenuhnya kerana seseorang sudah ada gaji untuk membiayai pelajarannya sendiri.

Tiada glamornya menjadi pelajar di universiti seandainya GPA dan CGPAnya hanya cukup makan. Lebih baik kerja dahulu. Biasanya, mereka yang bekerja sambil belajar itu lebih cekap dan pintar memahami pelajaran.

Menara gading bukan lagi satu-satunya tempat membina menara impian.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 18.3.2015.

Tuesday, March 10, 2015

KEKUATAN DARI DALAM


Piccredit: behindthehustle.com
BERANI MENGAKU
SILAP DAN SALAH

DALAM kehidupan ini kita kerap melakukan kesilapan. Malah, pada setiap hari, kita akan melakukan kesilapan akibat kecuaian. Kecuaian ini berpunca kerana salah pertimbangan.  Apabila menuang air ke dalam gelas yang dipenuhi ais, air yang dituang boleh memercik ke meja kerana kita tidak terfikir air itu akan terjirus ke atas ais lalu tumpah dari gelas.

Kesilapan juga bisa terjadi akibat kegopohan. Oleh kerana terlalu yakin yang kita akan sempat lolos lampu merah di persimpangan, kita memecut hingga nyaris menyondol motorsikal yang melintas apabila lampu dari hala hadapan sudah bertukar hijau. Pada banyak ketika, perkara yang kita lakukan setiap hari pun boleh tersilap seperti tersalah pilih kunci untuk membuka pintu rumah.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan? Demikian kata-kata orang tua yang membawa maksud, manusia manakah yang tidak membuat kesilapan? Mana mungkin kita lari daripada melakukan kesilapan? Ya, kesilapan akan membuat kita kesal. Kesal kerana kita berasa yang kita tidak patut melakukan sesuatu kesilapan.

Jika kesilapan itu diketahui orang, kita jadi malu kerana reaksi mereka yang mempersenda atau mentertawakan kita. Lebih-lebih lagi, masyarakat di luar sana, yang tidak mengenali kita pun adalah masyarakat yang tidak cakna. Apabila mereka tahu kita melakukan kesilapan, kita akan dikata dan dikutuk tanpa belas kasihan. Dalam pada itu, jika kita melakukan sesuatu yang betul, tidak ramai yang tahu, apatah lagi yang peduli, lalu memuji.

Kerana itu, apakah pilihan kita? Apakah jalan terbaik ialah berdiam diri kerana tidak mahu mengulangi kesilapan lagi? Sebenarnya, terdapat dua golongan manusia yang tidak akan membuat kesilapan. Yang pertama, mereka yang belum lahir. Kedua, mereka yang telah meninggal dunia. Justeru itu, jika kita memencilkan diri, biarlah ia sekadar untuk bermuhasabah dan mengumpul kekuatan sebelum kita tampil kembali ke khalayak ramai.

Bila kita renungkan, kesilapan itu adalah pengajaran yang amat berkesan. Tanpa kesilapan, kita akan berasa diri kita sentiasa betul. Sepertimana kita sesat jalan apabila hendak pergi ke sesebuah tempat, sesat itu sendiri adalah kesilapan-kesilapan yang kita harungi sebelum bertemu dengan kebenaran, iaitu tempat yang dituju. Apabila kita pernah sesat ketika mencari tempat itu, hampir mustahil kita akan sesat lagi jika kita ke tempat itu di lain waktu.

Kerana itu, kita seharusnya memandang kesilapan itu dari sudut yang positif. Sekurang-kurangnya ia memberi gambaran bahawa kita adalah manusia siuman kerana dapat membezakan yang mana betul dan yang mana salah. Kesilapan itu umpama jalan-jalan berliku yang harus kita lalui untuk tiba ke matlamat yang dituju. Tanpa kesilapan, kita tidak akan tahu untung rugi apa yang kita pilih.  

Kereta yang dicipta itu akan diuji dengan pelbagai cara untuk mempastikan ketahanannya ketika ia dipandu laju.  Kita pula amat beruntung kerana tidak diuji dalam keadaan yang laju dan deras seperti kereta kecuali apabila kita di dalam kenderaan itu sendiri. Ertinya, dalam apa jua keadaan yang mendatang, apa yang sampai biasanya tiba satu persatu dan jarang sekali serentak.

Jika kita analogikan situasinya, apabila kita berjalan ke sesebuah tempat di dalam kesesakan orang ramai, masalah yang datang itu umpama orang ramai yang menghampiri dan melewati kita. Kita masih sempat mengiringkan tubuh dan mengelak daripada merempuh mereka. Ertinya, betapa banyak pun masalah yang mendatang, kita masih mampu menangani kesilapan yang terjadi kerana biasanya ia akan sampai satu demi satu.

Betapa pun, terdapat dua perkara yang penting dalam menghadapi kesilapan. Pertama, kepandaian kita agar tidak mengulangi kesilapan. Kesilapan yang berulang, lebih-lebih lagi yang disengajakan pula adalah suatu kesalahan. Taubat itu sendiri diampun kerana memohon maaf akibat kesilapan. Ia belum tentu diampun jika kita sebagai pelaku mengulanginya, lebih-lebih lagi berbangga pula dengan kesalahan yang dilakukan.  

Kedua, adalah sikap berani mengaku kesilapan. Mengaku kesilapan adalah sikap terpuji kerana seseorang yang mengaku silap itu sedia menerima ejekan dan cemuhan kerana kesilapannya itu. Dia juga berani dengan risiko seandainya kesilapan itu tidak dimaafkan.

Mengaku akan kesilapan itu adalah pengakuan terhadap kelemahan diri. Sebaliknya, tidak mengaku akan kesilapan itu adalah petanda bahawa seseorang itu sudah bongkak, malah bersikap sombong kepada hakikat kebenaran. Daripada segi lahiriah, dia mungkin kelihatan gagah memperisai diri dengan segala penafian. Daripada segi batiniah, penafiannya itu adalah tembok penghalang yang menyukarkan rohnya untuk pulang.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 11.3.2015.

Tuesday, March 3, 2015

ORANG MUDA DAN BERJEMAAH


 
Piccredit: youtube

KELUARGA MUDA
&
AKTIVITI
SURAU

BARU-BARU ini saya berbual panjang dengan seorang haji yang sudah berusia setengah abad. Haji Naufal menjaga kaunter restoran anaknya pada sebelah pagi. Masuk sahaja waktu zohor, beliau menjadi imam di surau sebuah kawasan perumahannya yang baharu di Shah Alam. Selepas Asar, beliau menjadi guru al-Quran sebelum mengimamkan solat mulai waktu Maghrib. Ada ketikanya beliau memberi tazkirah.

Sebagai orang yang banyak menghabiskan masanya di surau, Haji Naufal sentiasa mengambil bahagian di dalam aktiviti-aktivitinya termasuk majlis ceramah, perayaan agama seperti Maulidur Rasul, karnival buku, kursus kepimpinan atau kursus jenazah serta kenduri kendara kariahnya. Sebagai anggota jawatankuasa surau, beliau adalah bendaharinya. Bagaimana pun, Haji Naufal menyuarakan keluhannya kerana sambutan anggota kariahnya tidak memberangsangkan.
Katanya, tidak ramai daripada kalangan mereka yang hadir dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh jawatankuasa suraunya. Jika ada yang hadir ke majlis khatam al-Quran, mereka tidak datang pula untuk mendengar ceramah Israk Mikraj. Jika ada yang terlibat dalam projek gotong-royong, mereka tidak mengikuti pula kursus tajwid. Ini menjadikan kehadiran pada setiap aktivitinya tidak ramai iaitu kurang 10 orang untuk satu-satu aktiviti. Ini menyebabkan aktiviti di surau kurang meriah.

Saya faham dengan apa yang dihadapi oleh Haji Naufal dan memberi pandangan bahawa memang begitulah keadaan di kawasan perumahan yang baharu. Lazimnya mereka yang mendiaminya adalah terdiri daripada ibubapa muda. Mereka masih belum stabil daripada segi kerjaya, punyai anak-anak kecil yang belum boleh menjaga diri masing-masing. Mereka perlu diuruskan seperti menghantar ke rumah pengasuh, tuisyen dan aktiviti-aktiviti lain. Oleh kerana itu, golongan ibubapa muda ini hanya dapat mengikuti aktiviti di surau jika ada kelapangan.
Orang muda, cara pemikiran mereka pun moden. Ramai daripada mereka yang terdiri daripada anggota profesional. Jemputan ke sesebuah aktiviti surau pun tidak praktikal melalui kunjungan dari rumah ke rumah. Cukup sahaja dengan SMS kerana jika hendak berkunjung, mereka belum tentu ada di rumah menjelang maghrib. Mungkin sekali mereka masih bergelut dengan trafik jem di jalanraya.

Malah, jika hendak mengajak berjemaah pun perlu melalui WhatsApp kerana mereka adalah golongan yang tidak lekang dengan telefon pintar. Kadangkala, suara azan daripada surau mungkin tidak kedengaran kerana laungannya sudah dihalang oleh tembok-tembok bangunan. Sebaliknya, bunyi getaran telefon lebih mudah menyedarkan mereka bahawa waktu solat dah tiba.

Ini berbeza jika kawasan perumahan yang sudah lama didiami. Keluarga yang tinggal sudah besar daripada segi jumlah ahli keluarga. Selain daripada suami isteri ~ datuk, nenek, anak menantu dan cucu pun tinggal sebumbung ~ extended family. Ahli keluarga asal biasanya sudah bersara. Golongan ini mempunyai banyak masa terluang untuk melibatkan diri di dalam pelbagai aktiviti di surau.
Kawasan-kawasan perumahan yang lama lazimnya dihuni oleh mereka yang asalnya lahir di kampung. Budaya kehidupan desa hidup subur di kawasan-kawasan perumahan lama di kota. Konsep berjiran yang baik seperti berkenduri, berziarah dan bergotong-royong menjadi amalan. Aura kekampungan lebih terasa di kawasan sebegini.

Betapa pun, semakin sehari ke sehari, keadaan semakin berubah. Konsep sukarela dalam konteks dahulu di mana kita boleh melakukan amal kebajikan bersama-sama secara beramai-ramai semakin sukar dipraktikkan. Semakin ramai yang tidak semestinya tinggal sebumbung pada setiap hari. Ramai yang menjadi pasangan weekend husband and wife iaitu suami isteri pada hujung minggu kerana si suami atau isteri bertugas di luar daerah.

Justeru itu, mereka sukar terlibat dalam aktiviti surau. Jika mahu mereka hadir, notis di papan kenyataan di surau belum tentu praktikal kerana mereka tidak sempat ke surau pada setiap hari. Mesej melalui sistem pesanan ringkas mahupun WhatsApp jauh lebih berkesan dalam menyampaikan sesebuah hebahan. Oleh kerana mesej dihantar ke telefon, masing-masing pasti menerimanya. Malah, jika tidak dapat hadir ke majlis pada minggu ini, pada minggu yang lain, pastinya mereka akan mencari masa untuk datang.
Cuma apa yang menarik bagi golongan keluarga muda ialah, oleh kerana mereka tidak punyai masa dan tenaga untuk disumbangkan, mereka menggalang-ganti atau compensate ketidakhadiran mereka dengan berlumba-lumba membuat sumbangan material. Bil api, bil air, sejadah, karpet, sistem siaraya, lampu dan paip malah sumbangan al-Quran mudah mereka taja. Jika mahu mereka aktif di surau, tunggulah apabila mereka kesemua semakin berusia. Mereka semua akan menjadi generasi tua dan kawasan perumahan yang baharu menjadi kawasan perumahan lama.

Berjemaah di surau semata-mata apabila sudah berusia bukan sesuatu yang baik. Tetapi inilah realitinya. Mudah-mudahan orang muda yang tidak sempat ke surau di kawasan perumahan mereka sebenarnya berjemaah di surau pejabatnya atau berjemaah di mana-mana R & R dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 4.3.2015