Tuesday, January 27, 2015

DISIPLIN MELALUI HADIAH DAN HUKUMAN



Piccredit:erakablog.wordpress
 
DI ANTARA ROTI DAN ROTAN
DALAM tiga empat hari ini, kita berpolemik mengenai isu rotan apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kementeriannya sedang menggubal akta baharu yang mengenakan hukuman kerana merotan anak. Katanya, akta itu kini dalam peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara.

Kenyataan beliau menerima banyak tentangan kerana hampir kesemua pihak mengatakan bahawa merotan itu adalah pendekatan dalam mendidik anak di Malaysia. Ia juga adalah pendekatan yang dibolehkan oleh agama Islam. Tentangan yang sebenarnya maklumbalas ini akan diperhalusi agar ia benar-benar adil supaya ibubapa mahupun para guru tidak sewenang-wenangnya boleh dipenjarakan kerana menghukum dengan merotan. Begitulah respon TPM, yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula.

Merotan adalah suatu bentuk hukuman yang lazim dikenakan oleh ibubapa, guru dan juga guru besar di atas sesebuah kesalahan seseorang pelajar. Sebagai kanak-kanak, saya pernah dirotan oleh emak dan ayah. Saya masih ingat ada lima batang rotan yang tersisip di dinding. Apabila menakal seperti lambat pulang ke rumah selepas mengaji kerana melencong bermain dengan kawan-kawan, rotanlah hukuman yang menanti apabila pulang ke rumah melewati waktu maghrib.

Saya disuruh untuk memilih rotan mana yang saya mahu. Pilihlah di antara yang paling halus, kira-kira setebal penyedut minuman, atau yang tebal sebesar ibu jari. Yang halus, pedihnya membakar bila terkena betis. Yang tebal menimbulkan rasa sengal dan kebas. Di zaman sekolah pun begitu. Saya dan  kawan-kawan sekolah pun pernah dirotan guru dan gurubesar.

Sakit memanglah sakit. Ia menghentikan kami daripada melanggar sesebuah peraturan. Tetapi seketika sahaja. Sebagai budak-budak yang mudah lupa akan kesilapan, esok lusa kesalahan bising dalam kelas diulangi kembali dan kami dibelasah lagi. Pendek kata, serik tetapi tidak semestinya sudah bertaubat. Sekali pandang, memanglah tidak elok bila kesalahan lalu itu diulang sampai dihukum lagi.

Tetapi moral yang lebih utama daripada kedegilan itu ialah sikap berani buat, berani tanggung. Ertinya, bila tidak siap kerja rumah dan dipanggil cikgu ke hadapan kelas, masing-masing sudah sedia menghulur tangan ke hadapan untuk dilibas dengan rotan. Ataupun menyediakan punggung yang sudah dilapik buku. (Biasanya cikgu akan tahu dan si pembuatnya akan mendapat hukuman dua kali).

Kami semua bersikap gentleman. Tidak pernah lari daripada hukuman apabila melakukan sesebuah kesalahan. Tidak pernah juga berbohong dengan menafikan kesalahan yang telah sendiri lakukan. Apatah lagi menuduh orang lain pula yang melakukan kesalahan yang tertuduh ke atas kami.

Rotan tetap menjadi kenangan sampai bila-bila. Alat itu memudahkan kami ingat yang mana jalan tidak betul yang telah kami lalui. Malah ia adalah alat yang paling sederhana buat kami. Alat pembaris yang digunakan untuk memukul itu tidak menakutkan. Alat lain seperti talipinggang mahupun kerengga itu dikira sebagai tahap mendera. Seelok-eloknya biarlah rotan sahaja digunakan sebagai alat yang sederhana untuk menghukum.  Apabila direnungkan, ia adalah alat bantu yang membentuk saya dan kawan-kawan menjadi orang.

 Kita membesar dengan rotan sebagai alat mendidik melalui peraturan dan hukuman. Ia adalah classical conditioning. Pendekatan mendidik melalui peraturan dan hukuman sudah sebati dengan kita. Rotan adalah metaforanya. Pihak penguatkuasa lebih banyak mendisiplinkan kita dengan cara classical conditioning ini.

Malah, pendekatan dalam didikan agama pun lebih banyak memperkatakan mengenai dosa dan larangan dalam mencari jalan yang lurus. Topik neraka lebih banyak diperkatakan daripada syurga. Apakah ini bagus? Tidak semestinya. Namun, ia adalah cara yang paling praktikal buat masa ini.

Seandainya rotan sebagai alat mendidik ingin diketepikan melalui undang-undang dengan menjadikan si perotan sebagai penjenayah, kita perlu memperbanyakkan pula pendekatan memberi roti sebagai cara mendisiplinkan seseorang. Yang melanggar lampu merah dihukum, yang bergerak bila lampu hijau mesti diberi hadiah. Yang tak bayar bil elektrik menerima notis pemotongan, yang membayar tepat pada masanya perlu diberi diskaun. Yang habiskan makanan dipinggan restoran diberi minuman percuma, yang tidak habiskan nasi perlu bayar tambahan 10 %.

Kita sedang melalui jalan yang masih jauh. Rotan tidak perlu terburu-buru diketepikan atau dilihat sebagai objek mendera. Dalam pada itu,  kita perlu cepat-cepat rangsang masyarakat untuk mendapat roti sebagai insentif apabila mereka mematuhi sistem, bukan setakat sebagai hadiah apabila berjaya mencapai sesuatu tahap yang diinginkan.  

Jangan ketepikan rotan selagi roti tidak cukup.

Insya-ALLAH akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.1.2015.

Tuesday, January 20, 2015

MENANGANI PROVOKASI


 
 
Piccredit: ap-download.bestsitehoster.com
ADA ORANG MENGATA
UNTUK MENGUJI

TIRA tidak mahu keluar bilik apabila saya berkunjung ke rumah jiran saya, Hasri. Biasanya, dialah yang akan membuka pintu sambil tersenyum meleret. Setelah bersalam dan mencium tangan saya, baharulah dia masuk ke bilik. Tetapi petang itu, wajah anak kecil 5 tahun itu tidak kelihatan menyambut kedatangan saya. Hanya kelibatnya yang saya lihat sebaik sahaja saya melabuhkan punggung di sofa.  Saya jadi hairan, mengapa dia tidak tampil untuk bersalam dengan saya seperti lazimnya.

Sambil tersenyum, ayahnya berbisik kepada saya. Katanya, Tira kini murung kerana tidak tahan dengan ejekan kawan-kawan kerana digelar ‘Tira K-Pop,’ kerana kononnya berpeluk di khalayak ramai. ‘Semalam, masa saya nak ambil Tira, dia tidak sempat mengelak seorang budak lelaki yang sedang bermain kejar-kejar di belakangnya. Ketika dia menoleh, budak lelaki itu tiba-tiba datang menerpa… langsung terpeluk. Riuh sungguh bebudak lain ketawakan dia.’ kata Hasri. ‘Saya ingatkan, kes semalam sudah selesai. Tapi hari ini dia masih diejek. Itu yang buatkan Tira tak mahu keluar bilik. Seolah-olah satu dunia dah tahu dia terpeluk budak lelaki. Malu kalau-kalau awak jugak yang ketawakan dia.’

Saya tidak hairan dengan apa yang Tira alami. Salah faham orang hingga menjadi ejekan sudah jadi lumrah. Semakin dia membesar, dia akan berdepan dengan keadaan yang lebih menghiris perasaan lagi. Mudah-mudahan, Tira dapat bertenang menerima ejekan. Ia adalah di antara kemahiran yang perlu dia hadapi di dunia ini.

Zaman sekarang bukan sahaja zaman seseorang mengkritik seseorang yang lain dengan telus. Sebaliknya, ia adalah zaman mengata, mengumpat, menggelar, mengejak, menyumpah seranah dan memaki hamun. Banyak situasi pada hari ini bilamana orang yang dikritik itu tidak ada kena mengena dengan si pengkritik. Malah, yang dikritik itu pun tidak tahu menahu yang dia dikritik hebat. Yang penting, si pengkritik itu puas mengata. Dia tidak peduli samada orang yang dia kritik itu mendengar kritikannya ataupun tidak. Yang penting, dia dapat melepaskan perasaannya.

Media sosial adalah tempat bercambahnya budaya kata mengata ini. Seseorang yang tidak biasa dengan terjahan kata-kata nista ini boleh jatuh murung hingga menjejaskan psikologi diri. Banyak juga kes-kes bunuh diri yang berlaku apabila seseorang itu tidak tahan dengan tulisan laser orang lain. Ia sudah termasuk di bawah kategori jenayah siber.

Saya sendiri pernah berdukacita apabila dikata nista oleh mereka yang mengkritik karya kreatif awal saya di sebuah ruangan forum. Terasa dunia menjadi gelap. Dada berdegup kencang. Hati seperti dicarik-carik kerana berasa bodoh dan terhina. Saya pinta nasihat seorang sahabat untuk menenangkan hati. Tetapi setelah sekian lama, saya sudah bersedia dan boleh menerima kritikan yang pedas mahupun pahit. Orang kata, boleh maintain cool.

Dalam pelbagai keadaan, kita akan berdepan dengan kritikan. Ada kritik membina, tetapi lebih banyak kritik untuk menjatuhkan. Ia menyakitkan. Tetapi yang lebih penting ialah bagaimana kita menanganinya. Kita boleh ambil sesebuah kritik samada yang disampaikan dengan bahasa yang berlapik ataupun membuta tuli secara positif. Jika kita ambil ia secara peribadi, ia boleh memakan hati hingga kita menjadi stres, marah, malah boleh bertindak liar!  

Sesiapa sahaja boleh mengkritik. Tetapi bila kita yang menerimanya boleh mengawal diri, baharulah kita boleh bertenang. Yang lebih penting bagi kita ialah pendirian untuk memaafkan sesiapa sahaja yang mengkritik kita sebelum mereka membuka mulut atau mencatat di halaman sosial kita. Memaafkan sebelum menerima kritik itu bermakna, kita sentiasa bersedia untuk menjawab kritik dengan senyuman.

Ada orang yang memang biasa menggunakan kata-kata yang hodoh tatkala bertutur mahupun menulis. Jangan berasa hati. Anggaplah mereka ini sebagai manusia yang tidak cukup perbendaharaan kata yang indah-indah kerana membesar dalam persekitaran yang kasar. Tidak wajar jika kita pula membalas segala kata nistanya terhadap kita. Itu akan menjadikan kita serupa seperti dia.

Akhir-akhir ini terdapat perangai sesetengah manusia yang kerjanya bukan mengkritik apa yang dia anggap keburukan yang telah kita lakukan.  Sebaliknya, mereka hanya sengaja mengacum perasaan ~ memukul gendang agar kita menari kerana latah. Usah dilayan pada semua provokasi terutamanya daripada mereka yang tidak ada kena mengena dengan kita. Ini adalah kerana, semakin dilayan, semakin galaklah mereka mengacah perasaan kita.

Buat-buat tidak tahu sahaja. Buat-buat bodoh sahaja. Seperti kanak-kanak yang mengejek kita, apakah kita akan berasa hati? Kita hanya gelak sahaja dan tidak berasa hati kerana tahu kanak-kanak belum cerdik akalnya.  Begitu juga dengan orang yang melakukan provokasi. Mereka tidak perlu dipedulikan. Usah hiraukan mereka sehingga orang yang melakukan provokasi itu penat terlompat-lompat sendirian.

Maaf cakap, lidah dan pena hanya boleh mencederakan perasaan jika kita tidak kebal jiwa.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.1.2015.

Tuesday, January 13, 2015

ORANG LAIN ADALAH CERMIN KITA


 
Piccredit: themalaymailonline

APA KURANGNYA
DOSA AKU DAN DIA?

KITA kecoh pula dengan insiden beberapa orang gadis memeluk, dipeluk dan dicium oleh penyanyi sebuah kumpulan K-pop dalam sebuah acara di konsert mereka baru-baru ini. Kecoh kerana belum pernah terjadi perlakuan begitu oleh gadis-gadis bertudung. Tudung tidak menggambarkan kealiman seperti juga, kopiah tidak menggambarkan kewarakan seseorang terhadap agamanya.

Sebelum ini, ada juga insiden terpencil di mana terdapat peminat wanita atau gadis yang naik ke pentas untuk mencium artis tempatan yang mereka gilai. Apakah tiada peminat lelaki yang naik ke pentas untuk mencium penyanyi wanita? Belum pernah terdengar pun. Namun, ia bukan bererti peminat lelaki tidak berbuat begitu. Kita ada juga terbaca insiden di mana penyanyi wanita diraba oleh peminat lelaki. Itu lebih berbahaya kerana mempunyai niat berbuat begitu sebelum melangkah ke atas pentas.

Saya juga menonton klip video berdurasi 3.22 minit yang menjadi viral itu. Daripada perlakuan gadis-gadis itu, saya tidak nampak ada unsur paksaan ke atas mereka. Namun, terdapat unsur galakan dan gesaan daripada para penonton sehingga kelakuan mereka yang pada mulanya teragak-agak  berubah menjadi perbuatan yang merelakan.

Gadis-gadis itu mula terpana kerana kesan mob psychology yang memuncak dalam suasana yang gamat itu. Perilaku khalayak yang bersorak-sorai mempengaruhi mereka hingga hilang rasa tanggungjawab terhadap diri mereka sendiri.

Tidak adil mengatakan bahawa gadis-gadis itu sudah biasa dengan perbuatan sumbang sebegitu. Body language mereka tampak takut, malu dan kekok. Petanda mereka bukannya jenis gedik malah tidak biasa berkelakuan begitu. Tetapi, apabila dipanggil menaiki pentas, mereka menjadi captive audience. Terperangkap dengan suasana kerana sudah tidak boleh lari.

Keseronokan bertemu dengan penyanyi yang diminati secara live itulah yang menjadikan mereka hilang pertimbangan lalu mereka lemas. Ada juga yang mula malu lalu menutup wajah setelah dipeluk. Tersedar dengan apa yang terjadi. Tetapi, terdapat insiden di mana salah seorang gadis pula yang menerpa minta dipeluk penyanyi K-pop itu!  

Yang pasti, apabila video perlakuan mereka tersebar, sudah pasti terdapat yang menonton video itu terdiri daripada sahabat handai mahupun saudara mara mereka. Mungkin pada saat ini, insiden itu sudah sampai kepada anggota keluarga masing-masing. Mudah-mudahan mereka sedar di atas keterlanjuran mereka dan memohon maaf kepada semua yang tersayang dan tidak lupa untuk bertaubat kepada Yang Maha Pengampun.

Kita semua yang membaca berita mahupun menonton klip video itu jangan pula melihat ia sebagai kisah orang. Ia adalah juga kisah kita dalam bentuk yang berlainan, dengan wajah yang berbeza. Malah, pada setiap saat, kita juga berdepan dengan cabaran-cabaran yang menggugat iman. Kita semua adalah insan-insan yang membuat pahala. Kita juga adalah manusia yang berbuat dosa. Bezanya kita dengan orang lain ialah besar atau kecilnya pahala dan dosa kita.  

Kita boleh kata yang kita tidak mungkin naik ke pentas untuk diciumi penyanyi. Seandainya kita berdepan dengan keadaan sebegitu, kita boleh sahaja menolaknya. Ataupun, kita boleh berkata ‘tidak’ dengan yakin. Tetapi, dalam pada itu, apakah mungkin kitalah peminat yang menyimpan paling banyak CD, video, poster dan memaparkan wajah penyanyi yang kita minati itu di desktop komputer atau di skrin telefon.

Jika gadis-gadis itu telah pergi ke konsert lalu melangkah masuk ke dunia pentas artis yang kita nampak begitu jijik, apa kurangnya kita yang mengizinkan imej dan suara artis-artis itu masuk ke dalam bilik tidur kita lalu mendodoi kita hingga terlena? Oh, rupa-rupanya kita tidak ada kurangnya.

Berhibur ada batasnya. Ia punyai definisi. Jika kita berhibur tanpa memahami apa itu hiburan, ia seolah-olah menggambarkan kita yang tidak tahu apa yang kita buat, atau tidak memahami mengapa kita perlukan hiburan itu sendiri. Jika kita kata yang kita sudah dewasa dan bebas melakukan sesuatu, kita juga mesti berfikiran matang dan bebas untuk meninggalkan kebebasan yang telah kita lakukan.

Apa yang telah kita mulakan boleh sahaja kita hentikan. Apa yang kita sukai boleh sahaja kita bencikan. Apa jua yang kita gemari boleh sahaja kita tinggalkan. Jika kita tidak boleh meletak noktah di hadapan langkah kita ia bererti kita sudah ditawan dengan kebebasan yang kita cari-cari.

Kebebasan yang hakiki ialah kebebasan roh kita untuk pulang ke tempat asalnya. Jangan sekali-kali biarkan ia terperangkap di mana-mana.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Haraian esok 14.1.2015...

Tuesday, January 6, 2015

LUPAKAN SENGKETA LAMA



Piccredit: pets.webmd.com
 
UBAT MUJARAB
SENYUM & SALAM
SYUKUR alhamdulilah. Apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sebuah Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir di antara kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat, sesungguhnya ia adalah sebuah berita yang dinanti-nantikan.
Nampaknya, jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas (pusat) Bencana Banjir Negeri Kelantan adalah permulaan kepada suatu persefahaman yang lebih jitu dan bermakna.
Kedua-duanya orang Kelantan. Mereka tentunya dapat menjiwai denyut nadi seluruh rakyat negeri yang mahukan bantuan segera kepada mangsa banjir. Seperti yang disarankan oleh TPM, langkah jangka pendek kerajaan ialah untuk memberi bantuan ihsan kepada mangsa banjir. Mereka sudah lama tidak  bekerja, tidak ada pendapatan. Justeru, mereka perlu dibantu segera agar dapat memulakan kehidupan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat diberi tugas untuk menyediakan keperluan asas makanan seperti beras, susu dan gula untuk seisi rumah. Semua mangsa banjir terutama yang kehilangan rumah atau rosak teruk perlu disediakan tempat berlindung buat sementara waktu sehingga rumah kekal dapat disiapkan. Kediaman yang paling asas ialah khemah, rumah kedai atau bangunan kerajaan yang tidak digunakan sebagai penempatan sementara sehingga rumah yang hilang itu diganti baharu.
Langkah seterusnya ialah proses pembersihan kawasan yang dilanda banjir  termasuk rumah penduduk dan kemudahan awam seperti sekolah, masjid, dewan orang ramai dan pasar awam. Selepas selesai pasca banjir itu, kerajaan akan memfokuskan kepada langkah-langkah jangka panjang menangani banjir seperti mendalamkan sungai.
Penerbit akhbar Sinar Harian, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub ternyata begitu gembira apabila mendapat tahu mengenai perkembangan ini. Katanya, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Kelantan telah memulakan inisiatif pertama di jalan yang betul. Ia langkah yang bagus dan boleh dibawa ke peringkat lebih tinggi lagi. Mungkin doa rakyat mahu melihat kedua-dua pihak ini bersatu mula termakbul bagi memulihkan semula kehidupan rakyat di negeri yang terjejas teruk akibat banjir.
Minggu lalu, Datuk Hussamuddin secara solo telah memulakan sebuah gesaan dengan lantang akan perlunya Pas Kelantan dan UMNO Kelantan mengenepikan kepentingan politik masing-masing bagi mewujudkan sebuah kerajaan campuran. Hasrat untuk melihat kedua-dua pihak bersatu itu juga adalah harapan yang telah dibisikkan oleh ramai individu yang terdiri daripada bekas pegawai kerajaan, usahawan, tokoh pendidikan serta rakyat Kelantan kepadanya.
Mereka penat berdepan dengan pertelingkahan politik di antara Pas-UMNO yang hampir menjangkau ke setengah abad sedangkan mereka mengimpikan Kelantan dengan gelaran serambi Mekah, dapat berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri maju yang lain. Semua ini boleh menjadi realiti seandainya para pemimpin politik kedua-dua parti boleh duduk semeja, berbincang dan bermesyuarah hingga tertubuhnya sebuah kerajaan campuran di negeri itu.
Cadangan ini adalah sebuah cadangan yang praktikal, bukannya politikal. Malah, ia logikal. Namun, bagi yang punyai banyak perkiraan, ia bukannya langkah yang mereka rasa boleh dilakukan secara serta-merta. Bagaimana pun, yang penting ia sudah bermula. Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir yang dianggotai oleh Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat adalah fasa penyesuaian.
Bersatu adalah langkah mulia. Ia adalah tindakan terpuji yang dianjurkan agama. Ia boleh menyelesaikan banyak masalah prasangka, dendam kesumat mahupun khianat. Semua masalah itu hanya terbit di fikiran akibat hati yang keruh. Sebaliknya, apabila dua pihak dapat bersatu, secara fiziknya, ia melahirkan kepadatan dan ketumpatan. Ini akan memercikan tenaga kekuatan.
Apabila bergerak dalam kesatuan, hayunan langkah sederap kaki akan menggegar bumi. Suara yang bersatu akan bergemuruh ke angkasa. Ia akan melahirkan semangat kebersamaan yang akan mengatasi elemen negatif yang mengkeladak fikiran. Pemimpin politik adalah mereka yang berkuasa di dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Mereka dipilih rakyat. Dan rakyat masih mahu mengkedepankan mereka agar terus memimpin mereka. Ini adalah amanah.
Justeru, mereka tidak boleh mengenepikan harapan rakyat. Jangan abaikan harapan ini kerana apabila rakyat mula tidak mengharap lagi, mereka tidak akan peduli kepada pemimpin politik. Ini akan merugikan semua pihak. Apabila pemimpin tiada pengikut, mereka akan rebah. Sebaliknya apabila rakyat tiada pemimpin, keadaan akan menjadi pecah belah.
Renungkan segala saranan Rasulullah SAW mengenai pentingnya bersatu. Rujuklah semua seruan ALLAH SWT yang memerintahkan manusia agar bersatu. Tiada sesiapa pun yang patut menyanggah. Tiada sesiapa pun yang perlu takut tertipu. Ia perintah dari Al-Khalik. Dan, Dia sentiasa memerhati. Apakah kita tergamak berpaling dari perintah itu?
Semoga senyum dan salam akan mengakhirkan segala sengketa lama.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, 7.1.2015.