Tuesday, August 25, 2015

MELAYU BISNES



 
 
Piccredit: mara.gov.my
MELAYU SUDAH
PANDAI BERNIAGA

BARU-BARU ini saya berurusan di sebuah bank di Shah Alam. Sambil menanti nombor diumum, saya terpandang seorang lelaki Melayu yang berpakaian kemas sedang menerangkan sesuatu kepada seorang pegawai bank. Suaranya agak jelas. Jadi, saya terdengar juga sebahagian daripada butir bicaranya.

‘Dekat bahagian ini saya akan pasang kaunter, ada papan tanda besar di belakang. Di bahagian depan ini saya akan pasang karpet dan sebuah kerusi cantik di sini…’ Demikian ujar lelaki itu. Sambil bercakap, tangannya terkibar-kibar menunjukkan bahagian-bahagian di mana dia akan bina kaunter, papan tanda, permaidani dan juga menempatkan kerusi khas itu. Pegawai bank yang ada bersamanya kelihatan terangguk-angguk tanda jelas dengan penerangan itu.

‘Oh… kontraktor Melayu. Hebat!’ detik hati saya apabila dapat mengagak yang lelaki Melayu itu sedang menerangkan kepada pegawai bank mengenai sebuah binaan yang akan didirikan. Sambil memerhati, saya turut berasa bangga kerana sudah ada anak Melayu yang mendapat kepercayaan pihak bank. Maklumlah, bank adalah di antara institusi swasta yang amat ketat dalam apa-apa pemilihan, penilaian dan membuat keputusan. 

Khayalan saya terhenti apabila terdengar suara seorang lelaki Cina yang berbaju-T dan berseluar yang ada banyak poket. Dia sedang memegang pita pengukur. Lelaki Cina itu kelihatan sedang berkata sesuatu dengan lelaki Melayu itu. Tampak lelaki Melayu itu memberi penerangan dan arahan-arahan kepada lelaki Cina itu. Dan, lelaki Cina itu kelihatan terangguk-angguk faham. Daripada bahasa tubuh mereka saya andaikan yang lelaki Cina itu adalah pekerja yang akan melaksanakan tugas membuat binaan di dalam bank itu. Ya, Melayu jadi tauke, pekerjanya pula Cina.

Perjalanan kita sudah jauh. Ia juga sudah berubah. Situasi yang saya lihat itu tidak dapat saya temui 30-40 tahun dahulu. Di tahun-tahun 60-70an khususnya, kita biasa dengar klise bahawa orang Melayu tidak tahu berniaga. Kalau ada perniagaan pun, perniagaan alibaba di mana orang Cina menjadi rakan yang menjalankan perniagaan, tetapi orang Melayunya hanya menjadi sleeping partner ~ jual nama.

Kalaupun orang Melayu mendapat kontrak, kontrak itu akan dijualnya. Jika memperoleh pinjaman daripada badan kerajaan seperti MARA, perkara pertama yang dilakukannya ialah membeli kereta, mempunyai pejabat wall-to-wall carpeting, dia bermain golf, makan-makan dan minum-minum sahaja kerjanya.

Orang Melayu yang ingin berniaga tetapi tidak pandai akan menggunakan kabel politik untuk mendapat tender, kontrak dan juga pinjaman.  Saham yang diperoleh dan permit AP pun akan segera dijualnya untuk memperoleh untung semerta. Akibatnya, hasrat pemerintah untuk membantu orang Melayu berjaya di dalam ekonomi memang tidak berapa berjaya. DEB hanya mencapai 17% daripada sasaran 30 % pada 1990.

Tun Dr. Mahathir, dengan segala semangat, kuasa dan tindakan pun tidak dapat mengubah mentaliti orang Melayu untuk berjaya di dalam perniagaan. Namun, semakin masa berlalu, perlahan-lahan kita mula nampak orang Melayu yang berjaya di dalam bidang yang diceburi. Ramai yang berjaya dengan bantuan kerajaan. Tetapi lebih ramai lagi yang bergerak tanpa bantuan secara langsung daripada kerajaan. Malah, ada Melayu yang tidak mahu meminjam daripada mana-mana institusi kerajaan dan bank untuk membesarkan perniagaan.

Mereka mengikut jalan biasa ~ jalan yang seharusnya seseorang usahawan lalui; tanpa subsidi kerajaan atau tanpa kabel politik. Yang menjayakan mereka ialah orang Melayu juga kerana orang Melayu di Malaysia mempunyai kuasa beli kepenggunaan yang tinggi. Pergilah ke mana-mana sahaja dan kita akan jumpa orang Melayu berbelanja. Mereka inilah yang menghidupkan perniagaan orang Melayu. Malah, orang Melayu juga punyai  kuasa pasaran. Kian banyak entiti perniagaan yang mendapatkan sijil halal Jakim kerana sedar akan kuasa beli orang Melayu di pasaran tempatan.

Apakah orang Melayu akan berjaya dan mengatasi kaum lain dari segi kek ekonomi? Orang Melayu masih tercicir jauh. Lagipun, itu sudah tidak menjadi penting. Yang mustahak ialah membina jatidiri keusahawanan orang Melayu. Walaupun akan ada pusat IT ala Low Yat misalnya, orang Cina masih memperoleh peluang menjadi pembekal barangan IT kepada peniaga-peniaga Melayu. Maknanya, orang Cina akan kekal menjuarai bidang perniagaan di Malaysia untuk berpuluh tahun akan datang.

Dalam pada itu, sudah ada orang Melayu yang biasa pergi ke Hong Kong, Shanghai, Chengdu dan Kunming mahupun di mana-mana sahaja pelosok Asia Tenggara, India dan juga Afrika untuk mendapatkan bekalan secara terus.

Golongan Melayu ini masih kecil, tetapi kental berdepan dengan sepak terajang dunia perniagaan. Kata-kata bahawa orang Melayu tidak pandai berniaga, alibaba atau menjual kontrak adalah klise yang menjadi kepercayaan umum orang Melayu kerana hanya memandang dan tidak memerhati dunia perniagaan orang Melayu yang sedang berubah rancak untuk menjadi kukuh dan hebat.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.8.15.

 

No comments:

Post a Comment