Tuesday, November 25, 2014

MENTALITI MELAYU



Piccredit: majalahniaga.com

USAH PERSENDA MINDA MELAYU

PAGI Ahad lalu, saya ternampak sebuah gerai nasi ayam berhampiran dengan rumah. Sebelum ini saya belum terpandang gerai ini. Pasti baharu dibuka. Saya memberhentikan kereta dan singgah. Gerainya kelihatan kemas. Khemahnya berwarna merah dan meja tempat mempamer makanannya pun berwarna merah. Kelihatan berseri dipanah mentari tengahari. Anak saya yang berkelulusan kulineri pernah berkongsi ilmu dengan saya. Katanya, warna merah itu membangkit selera.
Peralatan di gerai itu tampak moden. Set plastik makanan bawa pulang bukannya daripada jenis polisterin putih yang lazim terdapat di pelbagai gerai dan restoran. Tetapi ia kotak bento iaitu hidangan untuk seorang yang biasa digunakan di restoran Jepun. Apa yang menariknya, terdapat sebuah sepanduk besar yang tertulis Grilled Chicken Rice Ball  atau dalam bahasa kita bermakna, ayam panggang nasi kepal. Pandai si peniaga memodenkan persepsi terhadap nasi ayamnya.
Saya bertanya siapakah tuanpunya gerai kepada seorang anak muda yang sedang sibuk membakar ayam. Katanya, gerai itu diusahakannya sendiri. Munawar, anak muda yang ligat membuat persediaan hidangan berkata, dia baru tiga minggu berniaga di situ. Selalunya dia membuka gerai pada waktu malam. Hanya pada hari minggu lalu dia cuba berjual pada siang hari.
Apabila saya bertanya mengenai pengalaman bekerjanya, seperti yang saya jangka, Munawar bukannya orang yang pada asalnya berniaga. Dia bertugas di bahagian pemasaran di sebuah stesen televisyen sebelum berhenti bekerja dengan orang. Saya teringat pada peniaga-peniaga gerai di kawasan kediaman saya. Saya teringatkan Pak Syed yang menjual nasi lemak. Dia adalah seorang broker tanah. Begitu juga dengan Ariff yang menjual sate. Beliau adalah seorang jurutera sivil. Dan saya tidak lupa kepada tauke sebuah restoran berdekatan yang sebenarnya adalah seorang pensyarah di sebuah universiti. Mereka semua adalah peniaga yang berpelajaran.
Berniaga bagi orang Melayu pada hari ini bukan lagi sesuatu yang memalukan. Dahulu, pada tahun-tahun sebelum merdeka dan tahun-tahun 60an, mereka yang berniaga kebanyakannya berniaga untuk sesuap nasi. Pendek kata, hanya orang miskin sahaja yang berniaga. Orang lain bekerja dengan kerajaan. Oleh kerana tiada pendidikan, maka tiada kerja yang baik boleh dilakukan untuk hidup atau menyara keluarga dengan berniaga. Biasanya, ramai yang menjual kuih muih. Ada juga yang membuka kedai makan, kedai jahit atau kedai menjual songkok dan capal. Pada ketika itu, saya tidak pernah lihat orang Melayu membuka kedai hingga dua pintu.
Hanya setelah kerajaan melancarkan program menyusun sosial masyarakat melalui ekonomi yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru, baharulah nampak perubahan minda orang Melayu terhadap perniagaan. Majlis Amanah Rakyat atau MARA mula membina kawasan-kawasan perniagaan untuk orang Melayu berniaga. Yang belum pandai berniaga pun bersemangat berniaga. Ramai yang berjaya tetapi lebih ramai yang gagal kerana berniaga begitu asing dengan masyarakat Melayu meskipun orang Melayu di zaman kerajaan Melayu Melaka terdiri daripada peniaga dan pedagang.
Ketika keghairahan kerajaan ingin membina usahawan Melayu, ramai yang mengambil jalan mudah dengan cara yang dikenali sebagai pendekatan Alibaba iaitu mendapat kontrak kerajaan menerusi kuota Melayu atau bumiputera tetapi memberinya kepada pihak yang mempunyai modal. Orang Melayu yang berniaga secara Alibaba juga dikenali dengan istilah OKB atau orang kaya baharu. Mereka membeli kereta besar seperti Mercedes. Walaupun ia hanya second-hand, tetapi cukup gah untuk bergaya. Pejabat mereka pula dihiasi dengan wall-to-wall carpet. Ramai usahawan begini adalah peniaga buluh kasap ~ hujung hilang, pangkal lesap. Mereka bukan sahaja tidak menjaga amanah yang diberi, malah memalukan bangsa Melayu.
Dalam pada kerajaan menggalakkan orang Melayu menceburi bidang perniagaan, bidang pendidikan adalah sebenarnya bidang yang menjadi pelaburan pemerintah untuk membina masa depan orang Melayu. Pendidikan banyak memainkan peranan untuk mobiliti sosial bangsa Melayu. Untuk mengimbangi kelulusan profesional antaranya jurutera, arkitek, doktor, akauntan, peguam berpuluh ribu anak-anak Melayu diberi peluang untuk belajar di IPTA mahupun ke luar negara.
Hasilnya, orang Melayu pada hari ini bukan sahaja ingin bekerja sebagai kerani, guru dan askar. Ramai yang sudah menjadi jurutera, arkitek, doktor, akauntan dan peguam. Ramai lagi yang bebas memilih bidang-bidang yang diminati oleh mereka seperti jurutera komputer, pereka industri, chef, pemuzik, pelakon, pakar terapi, juruterbang dan entah apa lagi.
Orang Melayu sudah bangun, berdiri dan berlari. Jangan beri mereka tongkat lagi. Ia bagai mempersenda daya keintelektualan mereka. Jika mereka tidak ingat jasa siapa yang memperjuangkan mereka seperti peribahasa kacang lupakan kulit, usah dirisaukan lagi. Bukankah peribahasa itu adalah peribahasa Melayu yang dicipta untuk bangsa yang mempunyai mind-set sebegitu? 
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.11.2014

Tuesday, November 18, 2014

MENGENDALI HATI





Piccredit: vi.sualise.us
APABILA HATI SUDAH BERKARAT

TIMBANG RASA itu ialah menimbang dengan akal dan berasa dengan hati. Orang yang bertimbang rasa itu adalah orang yang prihatin, yang cakna atau yang empatik dengan orang lain. Justeru itu sebelum dia bertindak, dia akan memikirkan kesan tindakannya terhadap orang yang bakal dikenakan tindakan itu.


Kita seringkali mengaitkan apa jua bentuk keputusan yang kita lakukan itu datangnya daripada fikiran. Meskipun kita tahu ada peranan hati dalam membuat sesebuah keputusan, tetapi kita banyak mengaitkannya dengan otak kerana beranggapan bahawa hati itu tidak boleh berfikir. Tentu sekali ini tidak benar. Hati kita boleh berfikir.


Jika tidak, bagaimana pula apabila kita berasa geram, cemburu, dendam mahupun bahagia, kita menyentuh dada dan bukannya kepala? Bukankah ia menandakan bahawa hati juga ada peranan berfikirnya? Seorang pakar neurokardiologi, Dr. Andrea Armour daripada Universiti Montreal, Kanada telah menemui jaringan neuron di dalam hati yang beliau namakan ia sebagai ‘otak di dalam hati’ yang turut menyimpan memori jangka pendek dan juga jangka panjang.


Nabi Muhammad SAW juga bersabda mengenai peranan hati dan pengaruhnya terhadap peribadi manusia. Baginda menjelaskan, "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, kemajuan pendidikan dan pemikiran pada hari ini hanya membicarakan mengenai minda, akal dan otak. Yang selalu dibicarakan ialah mengenai kekuatan otak dan fungsinya di mana setiap insan mempunyai dua otak iaitu otak kiri dan otak kanan. Otak kiri berfungsi untuk hal-hal logika, analisa, objektif dan ketersusunan sementara otak kanan pula lebih bersifat subjektif dan intuistik. Maka, perkara yang lebih dititikberatkan ialah mengenai Intellectual Quotient atau IQ. Terdapat cara permarkahan untuk menguji IQ seseorang yang telah dirangka oleh pakar psikologi William Stern dari Jerman pada tahun 1912.

Hanya setelah 80 tahun kemudian, iaitu pada tahun 1990, baharulah apa yang dikenali sebagai Emotional Intelligence atau EQ itu dikaji. EQ pula adalah kemahiran seseorang untuk menelah, menguasai mahupun mengendalikan emosi. Emosi pula berkait rapat dengan hati. Tentu sekali hati yang dimaksudkan di sini bukannya hati atau jantung sebagai organ yang mengepam darah, tetapi hati yang bersifat seni.

Ramai penyelidik membuat kajian mengenai EQ termasuk Peter Salovey dari Universiti Yale dan John D. Mayer dari Universiti New Hamshire. Apa yang menarik ialah, Emotional Intelligence ini dikatakan sebagai sesuatu yang ada bersama kelahiran bayi. Jika begitu, apakah tidak mungkin hati ini datang daripada alam lain, yang bukan bersifat fizikal?

Berbalik kepada hadis Rasulullah SAW mengenai hati yang menentukan akhlak seseorang, maka peranan hati ini amat besar sekali terhadap diri manusia. Soalnya, mengapa kita seringkali terlalu mengutamakan otak hingga terlupa peranan hati?  Banyak sekali situasi bilamana kita hanya menggunakan otak tetapi mengenepikan peranan hati.

Kita mengejar apa yang kita nampak. Kita mengukur kejayaan secara kuantitatif. Kejayaan ialah berapa ‘A’ yang anak kita peroleh tanpa menyedari ada ramai mereka yang mendapat ‘C’ mahupun ‘D’ yang telah menjadi orang dan ramai juga penyandang ‘A’ kini menjadi marhaen. Kita memilih sekolah yang terbaik untuk anak-anak dan memandang sebelah mata pada sekolah biasa tanpa mengambil kira bahawa yang baik hanyalah sekolah dan guru-gurunya, bukan anak kita.

Kejayaan itu ialah kebolehan untuk mempunyai sebanyak mungkin harta untuk diri sendiri sedangkan kejayaan juga adalah kebolehan untuk memberi sebanyak mungkin harta kepada orang lain. Hilangnya punca pendapatan diertikan sebagai gelap masa hadapan sedangkan banyaknya punca pendapatan itu boleh bererti gelap juga masa depan. Cahaya di hujung terowong itu boleh bermakna ada harapan kembali. Tetapi cahaya di hujung terowong itu juga mungkin  datang daripada keretapi yang bakal datang merempuh kita!

Peribahasa Melayu ada mengumpamakan, terkilas ikan di air sudah kutahu jantan betinanya. Betapa handal dan pantas hati boleh menelah andainya kita sentiasa mengasahnya. Mengapa pula kita harus percaya pada apa jua bentuk khabar yang belum tentu asal usulnya hingga kita melatah tak sudah-sudah? Bukankah kerana kita hanya mengunakan akal maka kita mudah percaya dengan apa jua berita yang tiba semata-mata kerana ia terpapar di telefon bimbit kita? Bukankah semalam, kita melompat pada suatu berita yang palsu? Bukankah minggu lepas begitu dan bulan lalu pun macam itu?

Bukan semua benda boleh difahami dengan akal. Ada banyak perkara lain yang perlu dirasai melalui hati. Akal adalah alat untuk jasad yang bersifat kasar. Hati pula alat untuk roh yang bersifat halus. Jangan asyik mengasah fikiran. Hati pun perlu digilap.

Insya-ALLAH artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.11.2014.

Tuesday, November 11, 2014

MASALAH IMEJ DIRI


 
Piccredit: kylefacts.com
 
MENGAPA MENIPU
UNTUK BERGAYA?

SAYA masih ingat lagi sebuah insiden ketika saya menuntut di UiTM Dungun pada tahun 1975. Suatu hari, tatkala berjalan pulang dari kampus, teman sebilik saya, Halim mengadu pening kepala. Lantas kami singgah ke sebuah kedai ubat lalu bertanyakan Panadol kepada taukenya.

Lelaki itu menyerahkan sepapan pil. Seketika membelek pil yang dipeolehi, Halim mengembalikan ubat itu semula. ‘Kenapa engkau tak jadi beli Panadol, tu?’ tanya saya kehairanan tatkala kami melangkah keluar dari kedai itu. Sambil tergelak besar, Halim menjawab, ‘Tauke tu bukannya beri aku Panadol… tapi Panatot!’

Saya tidak pernah terjumpa lagi produk Panatot di pasaran. Tetapi Panatot adalah contoh sebuah produk ciplak atau tiruan. Dengan menggunakan jenama yang hampir sama dengan  sebuah produk yang laris, Panatot mendapat keuntungan dengan cara mengelirukan pengguna. Dalang di sebalik produk tiruan ini hidup senang lenang dengan cara menipu.

Selain daripada produk ciplak, kita tahu terdapat banyak lagi produk cetak rompak. Cetak rompak lebih tidak bermaruah kerana menggunakan nama produk asal, walhal barang yang dijual itu adalah barang tiruan. Di antara punca keruntuhan industri muzik dan filem di Malaysia adalah akibat cetak rompak.  

Salinan asal karya muzik dan filem itu dicuri dan kemudiannya disalin, dicetak dan dijual ke pasaran. Kadangkala, hasil cetak rompak itu lebih dahulu muncul di pasaran berbanding dengan karya original. Ia menjejaskan jualan karya asal lebih-lebih lagi apabila ia dijual dengan harga yang lebih murah.

Jika dahulu, produk cetak rompak mempunyai kualiti yang rendah. Kini, dengan  kecanggihan teknologi, produk cetak rompak juga mempunyai kualiti yang sama. Para peminat yang menyukai muzik semata-mata tetapi tidak menghormati karya seni akan memilih barangan cetak rompak.

Busana, aksesori, beg, tas tangan dan kasut juga adalah di antara barangan cetak rompak yang popular. Pembelinya memilih barangan cetak rompak itu kerana hjenamanya. Selain daripada itu, banyak sekali perisian cetak rompak seperti permainan, program, operasi, sistem dan aplikasi menjadi pilihan  Apakah mereka peduli menikmati harta intelek melalui barang curi? Tidak. Apakah mereka berasa bersalah? Tidak. Mengapa? Kerana jualan barangan cetak rompak begitu berleluasa hingga penggunaannya tidak lagi dianggap sebagai suatu kesalahan. Malah, penjual dan pembeli sama-sama faham keperluan masing-masing. Penjual mahu buat duit. Maaf cakap,  pembeli pula mahu bergaya dengan cara menggunakan barangan tipu!

Begitu pun, pembeli masih punyai pilihan. Tidak semua barangan yang mereka gunakan itu barangan cetak rompak kerana bukannya semua pakaian, aksesori, perisian mahupun cakera padat muzik di dalam koleksi seseorang itu adalah barangan cetak rompak. Mungkin tidak sampai separuh pun barangan peribadi mereka adalah barangan tiruan. Jika kempen kesedaran sentiasa dibarakan mengenai tidak baiknya menggunakan barangan tiruan, ia akan sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada para penggunanya.

Bagaimana pun, apabila bercakap mengenai barangan plagiat, ciplak, tiruan mahupun cetak rompak, ada satu lagi bentuk penipuan yang dilakukan oleh sebilangan anggota masyarakat kita semata-mata untuk bergaya. Caranya ialah dengan menipu kelulusan. Daripada semasa ke semasa, kita akan temui si penipu kelulusan ini. Ia dilakukan oleh mereka yang gagal memperoleh kelulusan mengikut jalan yang diiktiraf dunia pendidikan.

Malangnya, ia dilakukan oleh mereka yang tinggi IQnya, tetapi rendah EQ dan SQnya. Ada yang mengaku Sarjana daripada sesebuah universiti terkenal di United Kingdom. Padahal, dia tidak pernah menuntut di sana. Ada juga yang mengaku Profesor mahupun Doktor Falsafah yang membawa gelaran pakar daripada pelbagai institusi penyelidikan yang kita tidak pernah dengar.

Oleh kerana mereka bijak menyamar seperti orang pandai, maka mereka terpilih menyampaikan kuliah serta syarahan di pelbagai konvensyen. Kajian-kajian dan penemuan-penemuan yang entah daripada mana dikatakannya sahih. Kita percaya dengan menghebahkan kehebatan mereka, memberi penghormatan besar kepada mereka termasuk pangkat dan darjat.

Namun, apakah bentuk penipuan yang lebih hebat daripada  memplagiat, menciplak, memakai barangan tiruan, cetak rompak mahupun kelulusan palsu? Yang lebih hebat daripada itu tentulah mereka yang mempunyai pangkat dan gelaran palsu. Kalaulah mereka mengaku berpangkat Datuk atau Tan Sri, itu boleh dianggap biasa. Tetapi, jika mengaku mempunyai darah keturunan dan kerabat Raja atau Tengku orang sebegitu memang dianggap berani ~ berani menipu hingga mati.
Mengapa manusia sanggup menipu untuk bergaya? Walaupun masing-masing boleh mempesona manusia lain dengan pelbagai bentuk penyamaran itu, apakah mereka tidak berasa apa-apa apabila bergelumang dengan alam penipuan?


Apa yang seseorang penipu itu nampak tatkala 
menatap wajahnya di cermin? Wajahnya atau wajah makhluk lain?

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 12.11.2014...

Tuesday, November 4, 2014

SOLAT JADIKAN KITA SIUMAN


Piccredit:  wwd.com

BERMAIN HINGGA
TIDAK MAHU BERHENTI

DALAM menjalani kehidupan, pada dasarnya kita melakukan empat aktiviti iaitu bekerja, beribadah, bermain dan juga tidur. Lazimnya, dua aktiviti iaitu bekerja dan beribadah itu menuntut kita lebih serius dalam melaksanakannya. Begitu pun, jika kita terlalu serius dalam bekerja dan beribadah, ia tidak bagus pula buat kita.

Ada ketikanya kita boleh bersantai dalam melakukan sesebuah kerja seperti mengupas bawang untuk menyediakan makan malam sambil menonton televisyen. Begitu juga, selain daripada ibadah khusus seperti bersolat dan membaca al-Quran yang memerlukan kita benar-benar serius, ibadah-ibadah lain seperti bersilaturrahim melalui kenduri kendara boleh diwarnai dengan hilai tawa dan gurau senda. Tidur pula adalah sebuah keperluan kita sebagai manusia.

Semua aktiviti-aktiviti itu sudah terbahagi masanya. Jika kita dapat meluangkan masa kita untuk keempat-empat aktiviti itu, kita boleh menangani kehidupan dengan lebih sejahtera daripada segi mental, fizikal dan juga spiritual. Maknanya, setiap perkara itu perlu ada masanya iaitu masa untuk bekerja, beribadah, bermain dan juga tidur. Jika kita abaikan salah satu daripadanya, kehidupan peribadi kita akan pincang.

Bagaimana pun mutakhir ini, perkembangan teknologi telah menjadikan setiap aktiviti bekerja, beribadah, bermain dan juga tidur itu larut di antara satu sama lain. Garis pemisah yang jelas di antara keempat-empat aktiviti itu kian kabur. Pada hari ini kita tidak terikat dengan waktu pejabat kerana pejabat sudah mengikut kita ke rumah. Jika dahulu, seseorang itu boleh sahaja meninggalkan fail-fail kerjanya di kantor, kini seseorang itu perlu menjawab e-mel yang muncul di telefon bimbitnya.

Begitu juga dalam menjalani ibadah-ibadah yang bukan khusus. Puasa sudah jadi pesta yang dipenuhi dengan pelbagai jualan makanan dan persediaan berhari raya. Ibadah bersedekah sudah menjelma menjadi sebuah majlis makan-makan, persembahan pentas dan acara penyampaian cek gergasi yang ditonton oleh ratusan hadirin di dewan dan ribuan penonton melalui televisyen. Malah, berselawat dan berzikir pula adalah ibadah yang dihiasi dengan pelbagai alat audio visual. Ia sudah tidak semestinya dilakukan secara perlahan di dari bibir turun ke hati.

Aktiviti bermainlah yang sebenarnya mengambil banyak ruang dalam aktiviti bekerja dan beribadah. Apa sahaja yang serius sudah disantaikan menjadi permainan. Jika dahulu, aktiviti bermain itu ada peruntukan waktunya, kini ia boleh dilakukan pada bila-bila masa. Pada hari ini, kita bukan bermain dam haji, daun terup sebagai permainan di rumah atau permainan bolasepak dan tenis pula di luar rumah.

Sebaliknya, kesemua permainan itu  kini boleh dilakukan di dalam rumah melalui perisian di komputer atau telefon bimbit. Malah, ia boleh dimainkan di sekolah, pejabat, di tepi jalan mahupun di dalam masjid; di mana-mana, pada bila-bila masa, 24 jam sehari. Oleh kerana itu, aktiviti tidur sebagai sebuah aktiviti rehat yang menghentikan hampir seluruh pergerakan fizikal telah menerima akibatnya. Oleh kerana bermainlah maka ramai yang  mengorbankan waktu tidur untuk segala aktiviti-aktiviti ini.

Di manakah sempadannya? Di manakah hadnya? Komunikasi dengan rakan dan taulan melalui perisian Whatsapp itu baik kerana ia mengeratkan siilaturrahim. Tetapi, jika ia menjejaskan perhubungan dengan ahli keluarga di depan mata, ia sudah tersasar daripada keutamaan apabila sebahagian besar daripada apa yang disampaikan di dalam komunikasi itu adalah sembang kosong, bertukar jenaka, menyampai berita yang tidak tentu sahihnya ataupun bertukar-tukar fitnah semata-mata. Ini juga bermain-main namanya.

Bagaimana kita dapat menghentikannya kerana setiap kali kita bermain, kita lalai hingga tidak mahu berhenti? Bagaimana kita boleh mengatasinya hingga ia melarat memakan waktu pejabat, waktu makan dan waktu rehat? Setiap kali kita bermain hingga lupa sempadan waktu, kita berasa kesal kerana membuang masa. Tetapi kita liat hendak berhenti kerana telah tumpul daripada rasa siuman. Mujur, kita ada solat sebagai jawapan untuk mengatasi kelalaian.

Solat itu ada waktu dan tempohnya. Apabila masuk waktu solat, kita perlu berhenti. Setelah kita berhenti untuk berwuduk, air wuduk yang dingin itu menyegarkan tubuh. Sebaik sahaja kita mengangkat takbir, fikiran kita mula  terfokus hingga khusyuk. Kekhusyukan itulah yang mengalih perhatian dan fikiran kita hingga hilang rasa bengang akibat lalai dengan segala permainan sebelum itu. Ia umpama restart buat sebuah komputer. Minda kita akan ringan semula dan berputar dengan lebih cepat kerana peka dengan suasana sekeliling kembali.

Sesungguhnya, solat itu umpama checkpoint dalam maraton kehidupan. Pastikan kita singgah di kesemua checkpoint. Jika kita tertinggal, kita boleh sesat jalan pulang.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.11.2014.