Monday, October 27, 2014

MEMILIH SEBUAH KEPUTUSAN


Piccredit: jeffkorhan.com

CELARU AKIBAT 
BANYAK RUJUKAN

APABILA saya memesan nasi lauk ikan goreng, telur asin, sedikit sayur dan kuah campur di kedai makan kegemaran saya iaitu Restoran Vanggey di Seksyen 19 Shah Alam. Air sirap atau teh tarik sebagai minuman pilihan sudah memadai. Dalam masa setengah jam, saya sudah selesai makan dan kembali ke pejabat.

Jika saya hendak menjamu selera secara beramai-ramai dengan kawan-kawan, saya pastikan ia dilakukan semata-mata untuk bersantai di luar waktu kerja. Bila makan dengan kawan-kawan, masa yang diambil boleh melebihi sejam. Maklumlah, apabila pergi beramai-ramai, tentulah kami menaiki kenderaan.

Sebelum bertolak, kami terpaksa menunggu semua masuk ke dalam kereta. Pastinya akan ada seorang yang terlewat kerana ada urusan. Bila kereta bergerak, di antara soalan yang ditanya sesama sendiri ialah, hendak makan di mana? Apabila sampai ke medan selera pula, masing-masing bertanya pendapat sesama sendiri hendak makan di gerai mana pula?

Sesudah melabuhkan punggung, bertanya pula, apa yang masing-masing hendak makan dan minum? Dengan buku menu yang mempunyai berbelas halaman, kami jadi pening untuk membuat pilihan. Akhirnya, makanan yang diminta itu mengikut apa yang dimakan oleh pelanggan di meja sebelah!

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Cantiknya peribahasa Melayu. Secara logiknya, sesuatu yang sukar itu menjadi mudah jika dilakukan beramai-ramai. Tetapi keadaan itu tidak semestinya boleh dipraktikkan dalam semua situasi. Ada kalanya, jika sesuatu itu dilakukan secara beramai-ramai, ia menjadi sukar pula. Too many cooks spoil the soup; terlalu ramai tukang masak, sup pun tak menjadi.

Ada perkara yang lebih praktikal bila dilakukan berseorangan; ada yang lebih bagus disudahkan secara berkumpulan. Dalam dua situasi di atas, makan bersendirian lebih menjimatkan masa berbanding jika dilakukan bersama kawan-kawan. Mengapa? Apabila kita bersendirian, kita tidak memerlukan banyak rujukan untuk melakukan sesuatu.  Sebaliknya, apabila beramai-ramai pula, kita mengambil masa lebih lama untuk membuat keputusan kerana bertanya kawan-kawan sebagai rujukan. Bukankah kita boleh sahaja buat keputusan tanpa merujuk kepada sesiapa pun?

Pada hari ini, kita berdepan dengan terlalu banyak sumber rujukan. Information overload, infobesity atau infoxication adalah keadaan di mana seseorang itu sukar membuat keputusan kerana kita mempunyai terlalu banyak rujukan. Alvin Toffler, di dalam buku terkenal tulisannya Future Shock (terbitan 1970) menyebut, ketepuan maklumat ialah situasi di mana terlalu banyak input telah mengatasi kebolehan memproses maklumat.
Akibat terlalu banyak maklumat, kualiti keputusan akan terjejas. Jika sebelum ini kita membuat keputusan berdasarkan dua atau tiga pilihan, kini kita punyai berpuluh-puluh pilihan. Tentu sekali kebarangkalian memilih satu daripada tiga pilihan itu lebih meyakinkan daripada memilih satu daripada lima puluh pilihan.
Ini adalah kerana, apabila kita menggunakan akal untuk memilih satu daripada tiga pilihan, kita akan menggerakkan hati atau gut feeling bagi melaksanakan keputusan itu. Kita lebih yakin kerana pilihan itu adalah terbaik daripada dua lagi pilihan. Sedangkan, jika kita memilih satu daripada 50 pilihan, bila-bila masa sahaja hati kita akan terganggu dengan rasa bahawa mungkin salah sebuah daripada 49 pilihan lain adalah pilihan yang tepat.
Analoginya, seseorang wanita itu mudah memilih satu daripada 10 tudung yang dijaja oleh rakan sepejabatnya.  Sebaliknya, dia mungkin tidak berkenan walau sehelai kain tudung pun dari sebuah gedung yang mempamerkan seribu rekaan kain tudung. Ertinya, dia tidak memilih kerana khuatir pilihan satu di antara seribu itu bukan pilihannya yang terbaik.
Era teknologi maklumat turut mengheret bersamanya ledakan maklumat. Internet dan enjin carian seperti Google memaparkan ratusan maklumat mengenai sesuatu topik. Pada mulanya ia mempesona kita. Lama kelamaan, kita mula rambang mata dan fikiran untuk memilih. Ini akan memenatkan fikiran. Akibatnya fikiran kita tidak tajam lagi membuat pilihan mengikut keperluan peribadi.
Kemunculan telefon pintar pula seolah-olah menjadikan dunia di dalam genggaman apabila internet bersama kita di mana-mana sahaja. Kita juga tidak bersendirian pada setiap ketika kerana  ruang sembang berkumpulan seperti WhatsApp atau Telegram menghadirkan kawan-kawan dan keluarga pada setiap ketika. Memanglah ia amat baik sebagai medium untuk bertukar maklumat dan bersilaturrahim.

Bagaimana pun, ia turut melambatkan proses membuat keputusan. Kemukakanlah soalan hendak masak apa pada hari ini. Nescaya, soalan kita itu akan dibalas dengan berbelas cadangan daripada rakan-rakan dan ahli keluarga, siap dengan resipi dan foto masakannya. Maaf cakap... asyik sangat dengan pilihan, dapur belum berasap lagi walaupun suami dah pulang!
Insya-ALLAH, artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.10.2014...

Monday, October 20, 2014

SEJARAH ITU MISTERI DAN MISTIK SIFATNYA



Piccredit: carigold.com

SEMANGAT
 ITU
SUMBER INSPIRASI

SEWAKTU kecil dahulu, nenek rajin mengajak saya menemaninya bertandang ke rumah saudara mara. Kadangkala, nenek akan membawa saya menziarahi ke rumah seorang saudara yang tidak pernah kami sampai. Dalam perjalanan pulang, saya selalu tanya pada nenek, ‘Siapa saudara kita tu, nek?’

Maka nenek pun mulalah menjawab dengan panjang lebar, ‘Dia tu bukannya orang lain. Kalau nak tau, Tok Mat tadi tu besan adik beradik tiri dengan tiga pupu kepada mak saudara Ngah Siti engkau. Itu kalau ikut susur galur saudara sebelah ayah kau. Kalau ikut sebelah mak engkau pulak, Tok Mat tu pangkat anak saudara pada mertua abang ipar jiran mak engkau, yang bernama Pak Not, tu.’ Sambil memerhati nenek yang memberi taklimat sambil termuncung-muncung bibirnya, saya hanya mengangguk walaupun saya tak faham apa pangkat Tok Mat dengan saya. Tapi saya yakin, Tok Mat adalah saudara kami!

Orang dahulu amat mengutamakan salasilah. Malah mereka menghafalnya hingga segala pangkat ipar-duai, mertua-menantu, besan-biras, sepupu-sepapat, long, ngah, usu dan segalanya dapat dilafazkan dengan selamba. Ini menandakan yang mereka amat menitikberatkan persaudaraan dan yang lebih penting ialah susur galur keturunan.

Di kalangan orang Melayu terdapat keturunan seperti Wan, Nik dan Megat yang tentunya datang dari seorang manusia yang berwibawa dan berwawasan hingga dapat menghidupkan identiti Wan, Nik dan Megat hingga ke hari ini. Dalam masyarakat Cina pula terdapat nama keluarga seperti Lee, Wong dan Ng. Dalam masyarakat India pula ada nama keluarga seperti Pillai, Dass, Khan dan Shah.

Orang-orang Arab juga mementingkan salasilah. Nasab Nabi Muhammad S.A.W mencatat bahawa baginda adalah anak Abdullah bin Abdul Mutthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qushay bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab hingga seterusnya. Malah Muhammad bin Ishak bin Yasar al-Madani dalam salah satu riwayatnya telah menyusurgalur salasilah baginda  sehinggalah ke Nabi Adam a.s.

Nama keluarga adalah identiti. Ia penting kerana boleh dijadikan bara semangat seseorang. Menjadi generasi ke sembilan Laksamana Bentan membuat saya yakin bahawa saya punyai darah dan semangat seorang perwira yang tegas berpegang kepada kebenaran. Sekali-sekala, apabila semangat juang di dalam kerja mula terhakis, semangat pahlawan itulah yang membingkas saya untuk terus tegas dan tegar menggenggam kebenaran.

Pernah ketika di kolej dahulu saya bertanya dengan kawan-kawan tatkala kami bersembang, apakah mereka punyai darah keturunan orang hebat dahulukala? Masing-masing mula membuka cerita. Ada yang mengaku daripada keturunan Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Maharaja Lela, Rosly Dhobi dan Leftenan Adnan. Mereka mengakui, semangat itulah yang menjadi azimat keberanian, kesungguhan dan keperwiraan mereka. Cuma, mereka juga seperti saya. Kami terjemahkan semangat datuk nenek kami dalam mengharungi cabaran masa kini.

Sejarah bukannya ilmu untuk kita bernostalgik mahupun berapologetik. Bukannya untuk seronok dengan kehebatan datuk nenek dan perasan hebat pada hari ini ataupun berasa takut dan malu di atas kesalahan yang dilakukan oleh generasi terdahulu. Sebaliknya, sejarah adalah ilmu yang mempunyai sifat spiritualnya kerana ia mengkisahkan peristiwa semalam. Sejarah punyai mistik dan misterinya. Kerana itu, sejarah bukannya untuk difahami tetapi lebih untuk dihayati.

Sayang, ramai sekali anak muda pada hari ini bukan sahaja tidak meminati sejarah. Malah, tidak berminat lagi untuk mengambil semangat keperwiraan datuk nenek mereka sebagai azimat agar menjadi manusia hebat dan luarbiasa pada hari ini. Ramai di antara mereka yang sudah meninggalkan nama keluarga Wan, Nik atau Megat itu di kad pengenalan masing-masing. Mereka menggunakan nama-nama timangan yang moden dan yang glamor bunyinya. Tetapi, walaupun ia sedap disebut, ia telah terpisah daripada roh kehebatan itu.

Apabila konsep semangat sejarah keluarga tidak lagi menjadi perkiraan dalam membentuk jatidiri, maka kita hanya akan nampak apa yang fizikal dan material semata-mata. Kita menilai kejayaan diri dalam sifat kuantiti yang hanya boleh diukur dengan angka. Untuk lebih berjaya, kita Cuma nampak caranya ialah menambah kuantiti dan meningkatkan angka semata-mata.

Padahal, dalam mengejar kuantiti dan angka itu, kita menggunakan fizikal semata-mata. Fizikal akan penat kerana ia hanya mengejar matlamat. Tetapi melalui semangat, matlamat itu tidak perlu dikejar-kejar. Malah, ada kalanya ia boleh datang menghampiri andainya kita bijak menggunakan semangat untuk menggamitnya.

Ini adalah kerana, semangat itu lebih lestari daripada fizikal kerana ia adalah enjin dalaman yang bukan didatangkan dari alam fana ini.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.10.2014.

Tuesday, October 14, 2014

ALAHAI ANAK



Piccredit: diariuntukmasadepan.blogspot

APAKAH KITA
IBUBAPA YANG
TEGAS?
PAGI Ahad lalu saya mengunjungi kedai runcit berhampiran dengan rumah. Sambil membelek-belek akhbar sebuah tangisan seorang anak kecil menarik perhatian saya. Apabila menoleh, saya nampak seorang kanak-kanak perempuan menangis. Tangannya cuba menggapai sebungkus cokelat yang telah dirampas ibunya.
Saya mengagak yang si kanak-kanak itu mahukan cokelat tetapi tidak dibenarkan oleh si ibu.  Ternyata kanak-kanak itu tidak berputus asa. Dia terus merebahkan dirinya ke simen lalu meraung. Dengan wajah penuh simpati, si ibu hulurkan cokelat itu kembali kepada anaknya. Suasana hingar seketika tadi terus menjadi tenang.
Baharu seketika ke bahagian dalam kedai untuk mencari sebungkus kopi, kedengaran suara seorang lelaki berkata dengan suara yang lantang, ‘Amin… no ice cream!’ Saya terpandang seorang lelaki berbadan tegap yang berwajah garang. Lalu tersenyum sendiri bila menekur dan nampak pula seorang kanak-kanak lelaki yang mengangguk perlahan dengan mata yang sayu kerana dilarang mendapatkan aiskrim. Pasti Amin seorang anak yang patuh dan si ayah seorang bapa yang garang.
Tatkala beratur untuk membayar, si bapa dan Amin berada di belakang saya. Tiba-tiba kedengaran si ayah berkata, ‘Amin nak aiskrim?’ Walaupun tanpa menoleh, saya dapat mengagak bahawa si ayah akan membelikan Amin aiskrim. Terfikir pula, mengapa si ayah melarang anaknya membeli aiskrim tetapi kemudian dia juga yang menawarkan kepada anaknya.
Insiden-insiden ibubapa berdepan dengan ulah anak-anak boleh dikatakan kerap kita lihat di sekeliling kita. Selalunya ia akan berakhir dengan si ibu atau si bapa mengikut kehendak si anak. Agaknya begitulah ibubapa sekarang. Ia berbeza tatkala saya kanak-kanak dahulu. Jika ayah saya kata, ‘jangan,’ dan ‘tak boleh’ ia bermakna jangan dan tidak boleh. Noktah.
Seolah-olah tiada kompromi. Seolah-olah tiada ruang untuk saya sebagai anak untuk dapat apa yang saya hendak. Merengeklah, menangislah, meraunglah sekuat hati. Jika putih kata ayah, maka putihlah yang kita sebagai anak terpaksa terima. Sebaliknya, jika hitam kata emak, maka hitamlah yang kita peroleh.
Ketegasan. Ia adalah kata-kata yang tidak ragu-ragu atau tidak samar-samar, jelas dapat didengar maksudnya, dapat dilihat dengan terang dan nyata serta disampaikan secara pendek dan padat. Malangnya kini ia tidak menjadi pilihan kita dalam melaksana, menguatkuasa atau memutuskan sesuatu ketetapan dan peraturan. Malah, ketegasan tidak menjadi pilihan utama kita sebagai ibubapa. Mengapa?
Jika kita renung kembali mengapa ibubapa dahulu lebih tegas, ia mungkin berkait rapat dengan suasana tidak menentu, mencabar dan darurat yang mereka alami. Mereka yang hidup di zaman sebelum merdeka, di zaman penjajah, di zaman darurat dan di zaman konfrantasi yang memaksa mereka berdepan dengan cabaran getir termasuk nyawa.
Oleh kerana itu, mereka perlu tegas dalam segala tindakan. Mental mereka lebih awas akan bahaya-bahaya yang mengancam nyawa dan masa depan yang tidak menentu. Mereka akan bertindak tegas dalam mempastikan apa yang mereka perkata dan atur itu dituruti. Disiplin pemikiran kemudiannya menjadi paradigma tindakan mereka. Anak-anak mereka didisiplin dengan tegas.
Kita tentu ingat akan pesanan standard si ayah kepada guru sewaktu mereka menghantar anak pada hari pertama persekolahan. ‘Cikgu ajarlah anak saya. Jika dia salah, pukul dia asalkan jangan patah, pekak atau buta.’ Bayangkan. Kata-kata si ayah itu disampaikan kepada guru di hadapan anaknya. Dan, anaknya faham bahawa jika disiplin dilanggar, tindakan tetap akan diambil tanpa kasihan.
Dahulu, rotan adalah alat bantu mendidik. Bontot berbelang dibelasah rotan atau muka berbelak terkena penampar adalah kebiasaan bagi si anak yang nakal. Malah, sekiranya anak itu kembali ke rumah dengan kesan pukulan, si ayah akan tambah lagi hukuman kerana tahu jika anaknya baik, tentu dia tidak dibelasah begitu.
Agaknya, oleh kerana kita serik dan sakit dihukum sebegitu ketika zaman anak-anak, kita tidak mahu apa yang kita alami itu dilalui oleh anak-anak kita pula. Maka, kita berlembut dan menurut apa yang anak mahu hinggakan anak-anak pula yang memerintah kita.  Jika beginilah keadaannya, barangkali pada esok hari kita yang akan menanggung segala kepayahan akibat anak-anak.
Seharusnya, biarlah anak-anak menangis kerana kita, bukan kita menangis kerana anak-anak.
 
 
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 15.10.2014...
 
 

Monday, October 6, 2014

MENELUSURI ERTI KORBAN


 
Piccredit: sogoodwill.org

HADIAH UNTUK
SEBUAH
KEHILANGAN

BERKORBAN itu lazimnya dikaitkan dengan pemberian sesuatu yang berharga kepunyaan sendiri kepada seseorang atau sesuatu tujuan tanpa memikirkan balasan. Sesuatu yang berharga itu mungkin wang, harta, tenaga dan juga masa. Tetapi, berkorban itu hilang erti apabila kita menuntut balik atau mengungkit jasa kita kepada orang yang dibantu.

Berkorban itu juga adalah tindakan seseorang untuk dirinya sendiri seperti meninggalkan sesuatu yang disukai sekarang untuk memperoleh sesuatu yang lebih bermakna kepada dirinya di masa hadapan. Meninggalkan keseronokan jangkapendek untuk sesuatu yang membahagiakan pada masa hadapan. Misalnya, seseorang pelajar mengenepikan kegemarannya bermain komputer untuk menelaah pelajaran agar dia memperoleh kelulusan yang cemerlang di dalam peperiksaan.

Oleh kerana itu, berkorban itu sendiri adalah kos melepas. Apabila kita mahukan sesuatu,  fokus kita terhadap apa yang diingini itu biasanya menyebabkan kita terpaksa mengenepikan hal-hal yang lain. Jika fokus kita ialah mahukan kejayaan cemerlang di dalam kerjaya, segala bentuk aktiviti yang mengalihkan fokus kita seperti hiburan, riadah malah persahabatan terpaksa diketepikan buat seketika.

Begitu juga seandainya kita mengejar perkara-perkara lain seperti kekayaan, kekasih, pangkat dan juga akhirat, kita terpaksa mengkesampingkan hal-hal yang bukan menjadi keutamaan. Namun, berkorban tanpa menoleh ke kiri dan kanan, tanpa memberi ruang langsung kepada perkara-perkara yang memanusiakan kita akhirnya menjadikan diri kita sendiri terkorban apabila berjaya merangkul apa yang kita mahu, tetapi hilang segala-galanya yang lain. Untuk apa kita berjaya tetapi akhirnya bersendirian; sukses tetapi kesunyian? Di sinilah pentingnya kita belajar menseimbangkan tindakan atau berwassatiyah dalam apa yang kita lakukan.

Bagi saya, sekecil-kecil korban ialah sedekah. Sedekah yang baik ialah sedekah yang besar harga dan nilainya kerana ia bermakna kita yang memberi itu sanggup berpisah dengan sesuatu yang bernilai dan besar sebegitu sahaja. Namun, sedekah yang kecil dan sedikit itu juga punyai nilai keikhlasan yang lebih tinggi kerana sedekah yang kecil dan sedikit itu mudah sekali dilupakan. Apabila ia dilupakan, keikhlasannya akan kekal.

Sebaliknya, sedekah yang besar itu barangkali bisa menjadikan kita teringat-ingat. Mungkin ini boleh menjejaskan keikhlasan jika kita terubah niat. Justeru itu, berkorbanlah walaupun dengan memberi sepuluh sen kerana niat ikhlas itu akan kekal apabila kita telah melupakan pemberian yang sedikit itu.  

Berkorban juga tidak memerlukan kita berhasrat menjadi lilin itu menerangi orang lain tetapi membakar diri. Konsep menjadikan diri sebagai lilin itu bukannya konsep yang tepat kerana berkorban hingga diri terkorban itu bukannya pengorbanan. Sesungguhnya ia adalah suatu kebodohan. Sebaliknya, biarlah diri menjadi matahari yang menerangi sekalian alam tetapi tidak padam-padam cahayanya hingga ke akhir zaman.

Saya pernah mendengar ceramah seorang ahli politik yang saya sudah tidak ingat namanya mengenai pengorbanan. Katanya, korban itu terbahagi kepada tiga fasa. Pertama, berkorban. Kedua, mengkorban. Ketiga ialah terkorban. Sebagai politikus, beliau membuat tamsilan korban dalam konteks politik. Katanya, seseorang yang ingin berjaya di dalam arena politik perlulah berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk mendapat kepercayaan.

Kepercayaan ini akan membuahkan keyakinan orang sekeliling untuk memilihnya menjadi pemimpin. Ertinya, tindakannya berkorban telah membuahkan hasil. Seterusnya, di dalam kedudukan sebagai pemimpin, seseorang itu perlu pula mengkorban. Di dalam politik, ertinya seseorang pemimpin itu perlu berani dan tegas bertindak untuk menghapuskan apa yang dianggapnya tidak baik. Bagi saya, pemimpin hebat mengorbankan nilai untuk menyelamatkan manusia. Pemimpin lemah mengorbankan manusia untuk menyelamatkan nilai.

Tentu sekali seseorang pemimpin yang telah mengkorban itu akan mempunyai mereka yang tidak menyukai apa yang telah dilakukannya. Musuh-musuhnya mungkin mereka yang tidak suka akan keberaniannya mengkorban yang mungkar. Ataupun, mereka yang memusuhinya kerana keburukannya mengkorban segala kebaikan. Kedudukan ini akan menjadikan pemimpin itu terkorban akhirnya samada kerana kebaikan, malah kerana keburukannya.

Biarlah berkorban, mengkorban dan terkorban itu adalah kerana kita berpegang kepada kebenaran. Di dalam apa jua jua situasi dan tindakan, akhirnya yang penting ialah apa yang ALLAH hitung di atas segala perbuatan itu. Selagi namanya berkorban, selagi itulah apa yang dikorbankan itu akan diganti dengan sesuatu yang lebih baik.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 8.10.2014...