Wednesday, July 30, 2014

OLE-OLE DARI DESA



Piccredit: jutawankampung.wordpress

APA YANG ADA DI KAMPUNG

Alhamdulilah, hari ini adalah hari raya ketiga kita menyambut Syawal. Setelah berjam-jam berkenderaan, sampai juga kita ke kampung halaman. Mudah-mudahan kita hilang rindu setelah menatap wajah orang tua dan mereka yang kita kasihi setelah sekian lama kita tinggalkan.

Hari raya adalah period kita memutar kembali skrip hari raya yang kita lalui bertahun-tahun yang lalu. Kita suka jika dapat berkunjung ke surau yang sama, duduk di saf hadapan untuk memimpin takbir raya, terkesan mendengar suara parau Ustaz Haji Moh yang akan menangis setiap kali berkhutbah raya, serta bersalam-salaman selepas solat dengan mereka yang tua dan teman-teman sepersekolahan.

Kita makan ketupat dan rendang yang mempunyai rasa yang sama kerana ibu yang menyediakannya. Kunjungan ke rumah saudara mara juga mengikut skrip yang sama, dimulai dengan rumah Mak Long, Tok Mat dan diakhiri dengan rumah Ayah Lah kerana rumahnya terletak paling jauh di hujung kampung.

Kita sudah boleh agak, Mak Long akan hidangkan serundingnya yang tiada tandingan sedapnya. Kuih sampan, putu kacang dan samperit Tok Wan juga memang kita suka kerana kita tak jumpa kuih-kuih itu di bandar. Ada lagikah pokok mempelam di belakang rumah Ayah Lah? Kalau ada, tentu orang tua itu sudah sediakan di belakang pintu sebungkus buah-buahan itu untuk kita bawa pulang.

Pada cuti raya kita berehat dan bersantai, malah membiarkan diri kita dibawa arus kampung yang serba-serbinya perlahan. Orang kampung tidak perlu terkejar-kejar kerana mereka sudah menerima budaya menunggu sebagai gaya hidup. Kita juga yang rata-ratanya berasal daripada kampung sudah terbiasa dengan kehidupan santai sebegitu. Penantian tidak pernah menjadi suatu siksaan. Malah, bagi orang kampung, kecepatan itu bermakna kekelamkabutan.

Oleh kerana itu, apabila kita pulang ke kampung, tinggalkanlah segala yang pantas, yang hebat dan yang gah. Kembalilah kepada suasana dan ketika persekitaran kampung seperti yang pernah kita lalui dahulu. Kenalah mempraktikkan peribahasa masuk kandang kambing mengembek kerana kita insan kerdil yang berada di sebuah persekitaran yang besar.

Tidak perlulah membunyikan hjon kereta yang bergerak 10kmj di depan kita. Dia mungkin memandu pulang daripada pasar yang jaraknya hanya 400 meter dari rumahnya. Dia tak perlu bawa kereta laju-laju. Tidak moleklah jika tidak mengangkat tangan sebagai tanda hormat apabila berselisih dengan pakcik yang berbasikal di lorong sempit. Bagi pakcik itu, bila sekampung, kita patut mesra dengan semua orang walaupun kita tidak mengenalinya. Tidak cantik apabila memanggil anak turun ke dapur untuk makan dengan menggunakan WhatsApp. Kita guna cara melaung sahaja seperti ketika mak panggil kita untuk mandi perigi sewaktu ita kecil dahulu.

Usah hendak berlagak seolah-olah kita sudah jadi orang kota yang mahu cepat dan pantas dalam serba-serbinya. Usah jua berbuat bosan dengan segala kekutrangan yang ada. Bukankah kita datang daripada kampung yang serba sederhana? Jika kita bawa perangai tergopoh-gapah orang kota di kampung, kita tidak berpijak di bumi nyata.

Kita yang membawa anak-anak yang biasa dengan kehidupan kota seharusnya mendidik mereka dengan cara hidup kampung. Simpan sahaja telefon bimbit mereka. Suruh mereka menyapu laman, mengintai perigi untuk melihat bayang sendiri, meredah semak-samun untuk mencari pucuk paku sambil mengajuk bunyi burung dengan menggunakan daun lalang.

Kampung masih mempunyai kedamaian dan misterinya yang tersendiri. Ia begitu hampir dengan alam. Airnya ada di sungai, bukan dari paip; lampunya pelita yang apinya meliuk lentuk, bukan elektrik yang terang benderang. Angin dinginnya datang dari perbukitan, bukannya daripada hembusan alat pendingin hawa. Tanahnya pula lembut walaupun tengik, bukannya simen atau marmar yang keras.

Unsur alam iaitu air, api, angin dan tanah sebagai empat unsur kejadian manusia masih terdapat secara asli dan meluas di kampung. Apabila kita dan ahli keluarga bergelumang dengan unsur-unsur asli ini, kesegaran jiwa akan meresap kembali. Ia makanan roh di dalam jasad kita.

Semoga kita pulang ke kota membawa bersama segala keaslian dan kesegaran desa.

Insya-ALLAH, artikel ini sudah terbit di akhbar Sinar Harian pada 30.7.2014



Tuesday, July 22, 2014

APA ITU PRIHATIN?


Piccredit: aljazeera

BERASA APA YANG
ORANG LAIN ALAMI


9 Julai 2014 ~ Jet-jet pejuang Israel mula mengebom lebih 150 penempatan di Gaza. 40 bedilan roket Israel gugur ke bumi Palestin. Konflik ini berlaku berikutan dengan penculikan dan pembunuhan remaja Palestin Muhammad Abu Khdeir, 16. Rakyat Israel dikatakan menculik remaja ini sebagai tindakbalas terhadap pembunuhan tiga pelajar Israel sebelum itu. Setakat ini konflik telah mengakibatkan lebih 500 warga Palestin terbunuh.

 14 Julai 2014 ~ Video seorang gadis Melayu yang bertindak agresif terhadap seorang apek berikutan dengan sebuah kemalangan kecil, merebak seperti api di alam siber. Di atas sebabnya yang tersendiri, si gadis mengherdik dan menggunakan pengunci stereng untuk memukul kereta si lelaki Cina itu.  Si gadis akhirnya dibawa ke muka pengadilan dan didenda RM5,000 serta diperintah melakukan khidmat masyarakat selama 240 jam.

17 Julai 2014 ~ Kemalangan tragik penerbangan MAS, MH17 yang ditembak jatuh di wilayah Ukraine mengakibatkan kesemua penumpang dan kru yang berjumlah 298 orang maut. Kemalangan yang berlaku di wilayah konflik di antara kerajaan Ukraine dan golongan pemisah pro-Russia itu menimbulkan kerumitan kelancaran proses penyiasatan. Hanya selepas seminggu ia berlaku, baharulah ketua pemberontak pro-Russia, Alexander Borodai  menyatakan persetujuan dan terus membantu pihak Malaysia melicinkan proses penyiasatan.

Konflik yang melibatkan saudara seIslam di bumi Palestin, menjadikan kita marah, bersedih dan berdoa memohon keampunan buat saudara-saudara kita yang maut. Insiden pengunci stereng itu telah mempopularkan Siti Fairrah Ashykin Kamaruddin, 30, meskipun ia bukannya bentuk popular yang diingini. Begitu juga, nahas kapalterbang MAS yang mengakibatkan 44 rakyat Malaysia terkorban itu menyentap perasaan kerana trauma insiden MH370 belum lagi larut dari ingatan kita.

Meskipun ketiga-tiga perkara itu tidak terjadi di depan mata, namun ia tetap menimbulkan rasa cemas, geram, marah dan simpati. Walaupun kita tidak terlibat secara langsung, peristiwa-peristiwa yang berlaku itu amat menarik perhatian kita. Ia menjadikan kita mahu mengikuti perkembangan terkini melalui apa jua saluran media. Dalam pada kita begitu mengambil perhatian mengenai ketiga-tiga peristiwa itu, kita masih boleh tidur nyenyak apabila kita menutup komputer, televisyen mahupun akhbar setelah menghabiskan berjam-jam untuk mengikuti perkembangan mutakhir mengenai isu-isu itu.

Esok pagi kita menghadap lagi komputer, televisyen dan akhbar untuk meneliti apa yang kita tertinggal. Kita akan bercakap, berbincang, mengkritik, malah mengutuk apa-apa perkara yang kita tidak setuju. Namun, apabila perhatian kita teralih daripada berita-berita itu, kita boleh menjalankan kehidupan seharian seperti biasa ~ menyiapkan tugasan, berkunjung ke bazar Ramadan, berbuka, bersolat, bertarawih, bertadarus, bersahur dan sempat lagi melangut ke langit untuk melihat bulan yang semakin mengecil sambil teringatkan lagu Selamat Hari Raya.

Perkara malang dan gembira yang berlaku di sekeliling kita, mahupun yang terjadi jauh di hujung dunia itu bisa mencetus pelbagai rasa. Namun, tidak boleh tidak kita akan mudah melupakan kerana ia berlaku kepada orang lain, bukannya pada diri sendiri. Selalunya, begitulah.

Yang putus jari kerana main mercun itu anak orang lain. Yang hilang ibu dan bapa akibat kemalangan itu ibu dan bapa orang lain. Yang kecoh mencari anak yang lari ikut kekasih itu adalah anak orang lain. Yang kena saman kerana memandu di lorong kecemasan itu orang lain. Yang masuk hospital akibat demam denggi itu kakak orang lain. Malah, hampir kesemua perkara malang yang terjadi itu mengenai orang lain, bukannya diri kita. Bersyukurlah.

Bersyukurlah kerana segala musibah itu terkena pada orang lain. Sebaliknya, apabila ia terjadi pada diri sendiri atau ke atas keluarga sendiri, kita kecoh dan ribut walaupun ia hanya kes anak lewat balik ke rumah kerana ditinggalkan bas! Begitulah kita. Walaupun boleh berbincang secara biasa-biasa sahaja mengenai apa yang terjadi pada orang lain, kita cepat lemah dan lelah apabila berdepan dengan musibah sendiri yang kecil-kecil.

Sesungguhnya untuk mengambil iktibar terhadap malang yang dialami oleh orang lain itu tidaklah semudah bercakap sahaja. Sebaliknya, untuk menghayati agar kita benar-benar berasa seperti apa yang orang lain rasa, kita perlu terlibat secara langsung. Tolong cari anak jiran yang hilang, ziarah kawan yang terlantar di hospital, usung jenazah jiran yang kematian, menderma untuk membantu atau kunjungi gelandangan dan hulurkan makanan kepada mereka. Nescaya cara itu akan menimbulkan rasa prihatin yang bukan sedikit.

Bukan setakat mencurah perasaan secara simulasi di papan kekunci. Meskipun ia dilakukan berjam-jam dan bermalam-malam, maaf cakap… cara itu palsu!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.7.2014, insya-ALLAH...

Tuesday, July 15, 2014

ROH LAWAN NAFSU


Piccredit: islandaniman.blogspot
SANTAPAN MEWAH
UNTUK ROHANI


SATU-SATUNYA ketika bilamana orang kita begitu bersedia, berpandangan jauh dan fokus dengan matlamat walaupun sebelum tiba masanya ialah apabila kita hendak menyambut bulan Ramadan! Apabila bercakap sahaja mengenai bulan puasa, memang ramai yang hebat kerana sudah bersiap sejak awal-awal lagi. Namun, persediaannya bukan pula pada Ramadan, tetapi untuk menghadapi Syawal.

Belum puasa pun lagi kita sudah bersesak di stesen bas untuk mendapatkan tiket pulang ke kampung. Qada puasa tahun lalu belum selesai tetapi sudah siap menempah berpasang-pasang busana untuk hari raya. Puasa baharu sehari tetapi sudah sibuk menempah kuih raya. Seolah-olah, puasa itu hanyalah suatu fasa untuk dilangkaui tetapi bukan benar-benar suatu tempoh untuk diharungi. Ruginya jika kita begitu.

Hari Nuzul Quran sepatutnya dilihat sebagai pengingat bahawa kita sudah menempuhi lebih separuh tempoh berpuasa.  Seharusnya, semakin lama berpuasa, masa untuk beribadah itu makin ditambah. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Ramai yang tergelincir, ketinggalan dan gugur daripada paksi ibadah Ramadan masing-masing menjelang pertengahan hingga ke akhir Ramadan.

Jika pada hari-hari awal bulan puasa, bacaan al-Quran dapat dibuat pada setiap waktu selepas solat, kini ia tidak lagi dapat dilakukan. Bila sempat, buat. Jika tak sempat, ia ditinggalkan. Bagi lelaki, kalaupun solat Terawih dapat ditunaikan saban malam di surau, kini memadai sahaja dilakukan di rumah. Jika sebelum ini, dapat juga bertahajjud sebelum menonton bolasepak Piala Dunia, (maaf cakap, bangun untuk qiamulail atau menonton bola?) kini dengan tamatnya Piala Dunia, ada yang tidur mati hingga selalu lewat untuk bangun sahur.

Puasa adalah tempoh untuk berubah ~ kembali kepada fitrah. Salah satu faktor untuk berubah ialah dengan mengubah suasana persekitaran. ALLAH SWT telah menyediakan Ramadan dengan set-up lengkap yang mampu mengubah fizikal, mental dan spiritual kita. Fizikal kita dikawal dengan larangan makan minum pada waktu siang, mental kita diperkuatkan dengan insentif bonus pahala dan subsidi pengampunan. Spiritual kita pula dibantu untuk hidup aktif dengan terbelenggunya syaitan.

Pola makan minum sebagai makanan fizikal kita berubah di bulan ini. Sahur menggantikan sarapan, berbuka mengganti makan tengahari dan moreh menggantikan makan malam. Waktu sahur itu dua jam sebelum waktu sarapan, berbuka pula lebihkurang lima jam lewat daripada waktu makan tengahari dan moreh itu pula dua jam lewat dari waktu makan malam. Larangan makan pada siang hari itu sendiri sudah mengubah pola tabiat harian.

Bila tidak mengingati untuk makan, maka kita tidak berasa lapar. Tiadanya sarapan dan makan tengahari, membolehkan kita mengguna masa itu untuk membaca al-Quran. Solat sunat terawih itu sendiri adalah latih tubi untuk meningkatkan kebiasaan untuk selesa di tikar sejadah. Tidur kita diawalkan agar dapat bangun bersahur dan kesempatan untuk berqiamulail.

“Apabila masuk sahaja Ramadan, maka pintu-pintu syurga pun dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan-syaitan pula dibelenggu.” (Hadis riwayat al-Bukhari) Bila syaitan dibelenggu pada bulan ini, nafsu kita lebih mudah dikawal. Nafsu itulah yang mengawal minda kita untuk melakukan yang sia-sia. Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”(Yusuf, 53)
Jika pada bulan puasa pun, kita tidak mengurangkan perkara-perkara yang membuat kita lalai seperti mendengar muzik, menyanyi, menonton wayang, tidak mengawal waktu melayari internet atau berbual kosong; kita hanya berpuasa dari segi fizikal, tetapi bukan daripada segi mental.

"Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha dan tidak bercakap perkataan yang keji." (Hr Hakim, Ibnu Hibban & Baihaqi)
Andainya kita dapat berpuasa fizikal iaitu mengawal makan dan minum, berpuasa mental dengan mengawal nafsu yang mengajak kita melakukan perkara-perkara yang membuang masa, puasa spiritual pula sebaliknya. Jika makanan fizikal dan mental kita dikawal, makanan untuk spiritual atau roh pula dijamu sebanyak-banyaknya. Membaca al-Quran, berzikir, bersolat terawih dan solat malam adalah makanan untuk menghidup dan mengaktifkan roh yang pada bulan-bulan lain kita ketepikan.
Apabila ajal kita sampai, yang keluar dari tubuh dan terbang kembali ke alamnya ialah roh. Yang tinggal hanyalah jasad yang diperbuat daripada tanah. Ia hilang bersama nafsu. Puasa menghidupkan roh. Jika selama ini hubungan roh dengan tali ALLAH SWT itu terhijab dengan kekuasaan nafsu yang sentiasa diberi makan apabila kita sentiasa melayaninya, puasa itu menghidupkan roh dan membebaskan ia untuk mudah kembali kepada Yang Maha Pencipta.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.7.2014.

Tuesday, July 8, 2014

BERCAKAP DENGAN MESIN


Piccredit: scenicreflections.com

BILA KOMPUTER BERSUARA MANUSIA

LAZIMNYA saya akan menggunakan telefon bimbit untuk mendapat maklumat terkini bil telefon saya. Pada minggu lepas, bila saya mengirim SMS untuk mendapatkan maklumat itu, saya menerima mesej yang mengatakan bahawa perkhidmatan itu telah dihentikan.  Kerana itu, saya terpaksa menggunakan talian bebas tolnya untuk mendapatkan maklumat mengenai bil saya.

Seperti yang saya jangkakan, panggilan saya dijawab dengan suara berkomputer. Kerana tidak mahu menunggu, saya mematikan panggilan dan saya mendail lagi. Setelah lebih lima kali saya menelefon, akhirnya oleh sebab penat dan tidak mahu menangguhkan niat, saya layan jugalah arahan suara komputer yang menyuruh saya untuk ‘tekan satu,’ ‘tekan dua,’ dan ‘tekan tiga.’

Penyudahnya, panggilan tidak disambungkan tetapi muncul pula suara iklan produk syarikat itu pula! Oh, mengapalah saya terpaksa menunggu lama. Mengapa agaknya syarikat telco itu memasang iklan produk syarikatnya? Bukankah saya tidak ada masa dan perasaan untuk mendengar kempen produknya berulang-ulang kali pada saat saya hendak membayar bil telefon?

Tambahan lagi, bukankah saya sudah menjadi pelanggannya? Buat apa pancing saya ~ umpama pengail yang memberi umpan pada ikan yang sudah ditangkapnya? Daripada segi kos efektif pengiklanan, ia amat merugikan kerana hati saya meronta-ronta mahukan panggilan saya dijawab oleh suara manusia sebenar. Iklan itu tidak saya dengar dan justeru itu ia tidak berkesan.

Semakin canggih teknologi komunikasi, ia bukan merapat malah menjarakkan kita dengan orang lain. Sentuhan manusia semakin sukar kita terima. Pada hari ini, andainya kita menghubungi sebilangan syarikat-syarikat korporat dan jabatan-jabatan kerajaan, suara komputer juga yang akan kedengaran melayani panggilan kita.

Komunikasi yang baik adalah komunikasi dua hala. Bukannya sehala. Jika komputer sahaja yang menjawab, itu komunikasi sehala namanya. Dan, tentunya ia bukan komunikasi yang baik. Jika ia bukan cara berkomunikasi yang baik, akhirnya ia merugikan pihak yang mengaplikasikannya.

Kononnya, penggunaan komputer itu menjimatkan kos kakitangan. Memang betul, apabila komputer digunakan, pihak syarikat tidak perlu membayar gaji komputer. Tetapi itu hanya untung daripada segi material. Namun sebaliknya syarikat itu pula rugi daripada segi keinsanan. Ia sudah hilang perasaan terhadap pelanggannya kerana membiarkan mereka bercakap dengan mesin. Akhirnya para pelanggannya tiada hati lagi dengan jenamanya lagi. Brand loyalty akan terpadam, sedangkan perniagaan pada hari ini amat memerlukan kesetiaan para pelanggannya!

Kini, kehidupan dengan teknologi memaksa kita berkomunikasi dengan komputer. Suara komputer di dalam lif yang boleh menyeramkan jika kita bersendirian menaikinya di malam hari; suara alat GPS yang tidak henti-henti bebelannya seolah-olah kita tidak pandai memandu dan suara komputer di mesin bayar parkir yang menyebut ‘ringgit’ sebagai ‘ringit,’ terpaksa kita layani. Itu belum lagi suara komputer memanggil angka giliran kita tatkala berada di mana-mana bank dan jabatan kerajaan. Tiada suara lain ke selain daripada suara meleweh itu?

Perhubungan melalui e-mel juga menjarakkan perhubungan manusia. Memanglah penggunaannya ringkas dan cepat. Ia mengganti perhubungan melalui surat menyurat. Tetapi ia hanya baik seandainya dua pihak yang terlibat berada ribuan kilometer jaraknya.   Namun, amat tidak praktik apabila perhubungan secara e-mel itu digunakan apabila orang yang hendak dihubungi itu berada di sebelah meja sahaja di pejabat. Bukankah lebih molek bila dapat berhubung dengan cara bercakap?

Bayangkan... bagaimana perhubungan untuk memutuskan sesuatu perkara yang besar yang memerlukan perbincangan secara berdepan hanya dilakukan secara e-mel? Mana mungkin dia boleh membuat keputusan yang tepat kerana perhubungan melalui tulisan itu jauh sekali berbeza dengan perhubungan secara bersemuka.

Saya teringat kunjungan seorang pegawai tinggi kerajaan ke pejabat saya baru-baru ini. Setelah bersalam dan mengambil tempat, dengan wajah manis dan penuh senyuman, dia menyampaikan komennya terhadap sebuah kenyataan bosnya di dalam akhbar Sinar Harian. Dia hanya mahu membetulkan hanya sebaris ayat yang kami tersilap lapor.


Setelah memohon maaf, saya bertanya kepadanya, mengapa beliau datang ke pejabat saya semata-mata kerana hendak menyampaikan teguran yang begitu pendek? Bukankah memadai seandainya beliau menelefon sahaja saya? Jawabnya, ‘Kalau dengan cara telefon, nanti apa pula kata tuan, sebab tuan tak kenal saya dan tak nampak wajah saya. Bila kita berjumpa, kita boleh menjalinkan silaturrahim.’

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 9.7.2014...

Tuesday, July 1, 2014

STOP IT! JUST STOP IT! FULL STOP!


Piccredit: socialchangeconsulting.com
BILA LAGI MAHU
BERHENTI?


APABILA ALLAH s.w.t mencipta masa, maka bermulalah detik waktu. Cakerawala yang terbentuk dari The Big Bang mula bergerak tanpa henti hingga ke saat ini. Bumi berputar di paksinya; menukar siang menjadi malam. Ia mengelilingi matahari dan terjadilah peralihan bulan, tahun dan kurun. Manusia pula memberi sukatan untuk masa dan terbentuklah jam yang membahagikan masa kepada 24 jam untuk sehari, 60 minit untuk sejam dan 60 saat pula untuk seminit.

Daripada saat terbentuknya alam semesta, waktu tidak pernah berhenti. Segala-galanya akan bergerak dan berputar hingga ke hari kiamat. Betapa kuatnya kuasa pergerakan yang dipacu oleh masa ini menjadikan kita sebagai manusia tidak boleh duduk diam. Ia begitu mempengaruhi hinggakan akan berasa mati apabila kita tidak bergerak. Daripada segi manusia dan tabiatnya, jika kita sudah memulakan sesuatu, amat sukar bagi kita untuk berhenti.

Bergerak dikonotasikan dengan kebaikan. Berhenti pula dikaitkan dengan keburukan. Berhenti berbohong, berhenti menipu, berhenti meminum arak, berhenti merokok, malah berhenti di lampu merah kesemuanya membawa erti, jika tidak berhenti dalam melakukan sesuatu itu, masalah atau musibah akan datang menimpa.

Jika bergerak itu mempunyai maksud sebagai sesuatu yang baik, berhenti pula adalah suatu tindakan pencegahan yang amat berkesan. Namun, oleh kerana kelemahan manusia yang sentiasa memaafkan diri, perbuatan berhenti itu tidak suka diamalkan melainkan kerana terpaksa. Sebaliknya, manusia lebih gemar bertindak untuk menghindar, mengelak atau menjauhi. Tindakan-tindakan itu sendiri tumpul kesannya kerana ia berupa keputusan yang boleh sahaja berbolak-balik.

Seseorang itu boleh menghindari dadah, menjauhi zina atau mengelak daripada merokok. Namun, menghindar, menjauh atau mengelak itu adalah tindakan yang mempunyai pergerakan. Dan pergerakan itu sendiri boleh berpaling arah untuk seseorang itu kembali kepada apa yang telah ditinggalkan.

Sebenarnya saya terilham mengenai pendekatan ‘berhenti’ baru-baru ini apabila saya berpeluang mengikuti ceramah Nouman Ali Khan, seorang pendakwah antarabangsa. Ucapannya dalam bahasa Inggeris itu begitu bertenaga seperti penceramah antarabangsa yang lain. Jika dibandingkan dengan penceramah Mufti Ismail Menk dan Dr. Zakir Naik, kuliah Nouman Ali Khan pula agak berat sedikit, tetapi jelas dan berkesan. Oleh kerana mula meminati dengan kuliahnya, saya menelusuri You Tube untuk mengikuti ceramah-ceramahnya yang lain.

Apa yang menarik perhatian saya ialah, pendekatan Nouman apabila mengupas mengenai soal kemungkaran. Lazimnya dalam kuliah-kuliah yang saya ikuti, para penceramah lazimnya akan menggunakan istilah ‘abstain,’ ‘refrain’ atau ‘avoid’ iaitu ‘meninggalkan,’ ‘melarang’ atau ‘menjauhi’ kemungkaran. Sebaliknya, Nouman gemar menggunakan perkataan ‘stop’ atau ‘berhenti.’

Ya, berhentilah daripada melakukan kemungkaran, berhentilah daripada meneruskan kemaksiatan dan berhentilah daripada membuat kejahatan. Demikian ucapnya berulangkali. Istilah ‘berhenti’ yang beliau gunakan itu lebih bermakna daripada perkataan ‘meninggalkan,’ ‘menjauhi’ atau ‘melarang.’

Saya teringat suatu kisah benar, bagaimana seorang kenalan berhenti mengambil dadah dengan cara menghentikan tabiatnya serta-merta. Dia tidak mengurangkan pengambilannya secara sedikit demi sedikit, mengikuti program pemulihan atau melakukan aktiviti lain untuk menghentikan tabiat itu. Pendekata, beliau tidak berjumpa sesiapa atau membaca apa-apa bahan yang membantunya berhenti mengambil dadah. Beliau hanya berhenti dari melakukan kemungkaran itu. Itu sahaja.

Tampak macam mudah sahaja beliau berhenti daripada tabiat itu. Tetapi, beliau melakukannya tanpa proses yang lambat dan penuh bergaya. Sebaliknya, beliau hanya berhenti mengambil dadah dan tidak menoleh ke belakang lagi.

Betapa banyak tabiat buruk yang masih kita lakukan? Tabiat suka tidur lambat, suka bangun lewat. Apakah kita suka mengambil makanan secara berlebih-lebihan tetapi tidak pernah dapat dihabiskan? Atau suka sangat naik angin hingga diri sendiri sesak nafas? Jika kesemuanya tidak dapat diperbaiki, dikurangkan atau dielakkan, apa kata kita berhenti sahaja daripada melakukan kesemua itu?

Bulan Ramadan bukan sahaja bulan ibadah. Ia adalah bulan berkat, berganda pahala dan penuh pengampunan. Untuk apa minta ampun semata-mata? Bukankah lebih elok jika kita berhenti sahaja daripada melakukan apa sahaja yang buruk? Buka sahaja buku baharu.


Stop it! Just stop it! Full stop!

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.7.2014