Tuesday, May 20, 2014

PUJUKLAH ROH


Piccredit: transformation.ker.uz

PILIHAN UNTUK
PENGAMAL MEDIA


MINGGU lepas saya berkesempatan meraikan kunjungan Sheikh Muhammad Alshareef, Presiden AlMaghrib Institute ke Kumpulan Media Karangkraf. Institut AlMaghrib ini mempunyai lebih 40 pusat ilmu di merata dunia. Dalam perbualan saya dengan salah seorang delegasinya yang berasal dari United Kingdom, saya bertanya beliau apakah orang barat benar-benar islamophobic?  Beliau tersenyum lebar sebelum menggeleng beberapa kali.

Katanya, islamophobia hanyalah mainan media barat. Sebenarnya, masyarakat di sana tidak takut dengan orang Islam. Mereka bukan sahaja menghormati malah senang dengan kaum muslimin dan muslimat. Masyarakat Islam di sana bergerak bebas. Wanita Islamnya boleh sahaja berpurdah tanpa dipandang serong oleh masyarakat. Hebat sungguh mainan media selama ini untuk memesongkan pandangan masyarakat.
Saya teringat betapa risaunya saya tatkala bersedia untuk melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur. Saya risau bila membaca pelbagai berita dan rencana di akhbar mengenai orang Kuala Lumpur yang bersikap kau-kau dan aku-aku, jiran sebelah pun saling tidak mengenali dan hidup masing-masing umpama enau di dalam belukar.

Namun, apabila saya tinggal di rumah bujang di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur,  kami mempunyai jiran-jiran yang amat baik hati. Apabila hujan turun tatkala kami keluar bekerja, makcik di sebelah kiri rumah kami bukan sahaja mengalih ampaian baju, malah dia mengangkat serta melipat baju kami, budak-budak bujang.  
Gadis-gadis jiran di sebelah kanan rumah kami juga bukannya jenis gadis-gadis pekerja yang nakal dan liar. Mereka bertudung dan bila berjalan sentiasa menundukkan pandangan. Kalau menegur pun hanyalah sekadar berbasa-basi. Kalau ada pun hanyalah setakat membantu mereka mengangkat tong gas memasak.

Kerana semangat kejiranan, kami selalu mendapat ole-ole buah-buahan tempatan bila salah seorang daripada mereka pulang ke kampung. Apabila saya berpindah ke Subang Jaya tidak lama kemudian, saya mempunyai jiran-jiran yang peramah. Betapa media telah mewujudkan kebimbangan yang tidak berasas mengenai kesombongan orang kota di fikiran saya ini.

Melalui saluran televisyen, kita masih disajikan dengan cerita-cerita isteri menengking suami, pembantu rumah yang menipu majikan dan watak berpangkat datuk yang jahat. Di dunia realiti, walaupun ada, saya tahu lebih ramai isteri yang menghormati suami, ramai sekali bibi yang menjaga anak majikan seperti anak sendiri dan tidak kurang  mereka yang berpangkat datuk yang mengimarahkan masjid.

Begitu juga apabila ke surau-surau, khususnya di kompleks membeli-belah, saya bertemu dengan golongan remaja yang sama ramai bersolat dengan mereka yang telah berusia seperti saya. Yang ke masjid lebih ramai daripada mereka yang ke disko, remaja yang beriadah di taman rekreasi lebih ramai daripada mereka yang berempit dengan motorsikal. Gambaran yang dipaparkan media mengenai remaja kota juga ada yang tidak tepatnya.

Secara relatifnya, manusia yang baik itu jauh lebih ramai daripada mereka yang jahat. Jika kita berjalan di mana-mana tempat awam dan bila kita perhatikan di sekeliling, kita tahu hampir kesemua mereka itu bukannya penjenayah. Kita masih boleh berjalan sendirian dengan selamat. Bila dalam kesusahan, masih ramai yang akan datang memberi pertolongan ikhlas.

Namun, apabila keburukan, kejijikan dan kebobrokan pula saban hari dipaparkan, kita yang sentiasa disajikan dengan segala yang negatif akan menjadi mangli dengan keadaan itu. Sehinggakan ia menjadi santapan minda harian yang menjadi kesukaan pula untuk kita.

Benarkah manusia suka pada yang danur? Apakah itu yang dimahukan mereka? Maaf cakap… kucing yang sentiasa diberi tulang ikan itu bukannya hanya sukakan tulang. Cubalah beri ia isi ikan dan tulangnya tidak akan  ia pandang lagi.

Begitu juga, manusia yang menatap yang tidak baik sebagai santapan mindanya bukan kerana mereka sukakan segala yang hedonis. Cubalah sajikan yang baik-baik, yang indah-indah dan yang penuh dengan pahala. Mereka akan gemarkan itu. Peningkatan majalah Islamik, rancangan televisyen yang Islamik dan pelbagai persidangan dan konvensyen yang Islamik kini sudah menjadi kesukaan.

Malah golongan protaz atau ustaz yang profesional dan uspro iaitu ustaz yang muncul dari kalangan golongan profesional sudah seramai dan sepopular golongan artis. Fitrah manusia memang mahukan kebaikan kerana roh itu datang dari daerah yang suci. Jika santapan untuk roh itu sentiasa dihidangkan, tubuh dan akal manusia itu akhirnya akan berpaling dari kelazatan palsu dunia dan kembali ke fitrahnya yang mendamba kebaikan.


Ajaklah, hidanglah dan penuhkan segala persembahan dengan segala kebaikan. Ia akan mendapat sambutan dan diterima dengan penuh kesukaan. Pengamal media yang mensajikan itu juga akan berasa bahagia dengan apa yang dilakukan kerana sajian itu juga yang akan dihidangkan ke hadapan ALLAH Al-Hasib.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.5.2014...

Tuesday, May 13, 2014

BIAR CARIK JANGAN PUTUS


Piccredit: brucemctague.com

UNTUK APA
MEMBAKAR JAMBATAN?


PADA Ahad lalu saya berkunjung ke rumah seorang rakan di Subang Jaya.  Rumahnya terletak di deretan rumah teres dua tingkat. Sedang berbual, isteri rakan saya hendak keluar untuk mengambil anaknya dari pusat tuisyen. Sejurus dia ke keretanya, dia masuk kembali lalu duduk di sofa. Wajahnya tergambar keresahan. Saya bertanya beliau apakah dia tidak jadi mengambil anaknya?

Jawabnya, dia tidak boleh keluar kerana laluannya dihalang kereta anak jirannya. Kata rakan saya pula, setiap kali anak jirannya mengunjungi orang tuanya, dia punyai perangai meletak keretanya menyenget hingga memakan laluan ke rumah rakan saya itu.

Saya mencadangkan, mengapa mereka tidak menekan loceng rumah jiran untuk memanggil anaknya itu supaya mengalihkan keretanya? Sambil itu, mereka boleh sahaja menegur anak jiran itu agar memarkir kenderaan dengan elok hingga tidak menghalang laluan orang. Kadangkala, seseorang itu melakukan sesuatu tindakan yang mengganggu orang lain kerana dia tidak perasan akan kesilapannya itu.

Rakan saya dan isterinya sama-sama menyambut cadangan saya dengan senyuman. Kedua-duanya menggeleng. Lantas rakan saya berkata, jirannya itu adalah orang yang baik hati. Banyak jasa yang telah mereka lakukan. Mereka biasa tolong menjirus pokok-pokok bunga bila rakan saya sekeluarga pulang ke kampung.

Mereka pernah bantu rumah rakan saya dari diceroboh perompak dengan memanggil polis. Jika fasal kenduri kendara, jiran mereka itulah yang sentiasa izinkan rakan saya menggunakan halaman rumahnya sebagai ruang tambahan. Jasa mereka terlalu banyak.

Jika mereka menegur perangai anak jiran itu, mereka mungkin berkecil hati walaupun benar anak mereka itu telah menimbulkan masalah. Apakah berpadanan, jika masalah yang terjadi sekali-sekala itu mengakibatkan mereka bermasam muka dan tidak akrab lagi?

Ya, hampir kesemua perhubungan kita dengan orang lain mempunyai pelbagai rangkaian jalinan. Ia bukannya perhubungan hanya sekali jalan seperti bila kita berurusan dengan petugas di kaunter pertanyaan di pasaraya, dengan pembaca meter elektrik yang datang ke rumah atau petugas di pondok tol.  Perhubungan begitu akan selesai dalam beberapa saat sahaja. Mungkin kita tidak akan bertemu dengan orang itu lagi.

Sebaliknya, perhubungan kita dengan mereka di sekeliling kita contohnya seperti dengan suami mempunyai pelbagai rangkaian jalinan. Selain daripada peranannya sebagai suami, dia juga adalah teman bersembang, kaunselor, pelindung, rakan kongsi dan bapa kepada anak-anak. Dia ada bapa dan ibu yang juga ibu dan bapa mertua kita.  Ada di antara teman-teman sepejabatnya adalah juga kenalan kita. Adik beradiknya juga adalah saudara kita. Dan begitulah sebaliknya.

Rangkaian jalinan yang berselirat ini memang sukar terurai. Seandainya putus salah satunya, misal kata seandainya kita berselisih faham dengan suami, kita masih ada banyak lagi rangkaian jalinan ibu dan bapa mertua, anak-anak, adik beradiknya yang lain serta kawan-kawannya yang mengikat perhubungan kita dengannya.

Mengapa pula apabila berselisih faham dengan suami, seseorang itu mudah sangat menguraikan semua ikatan dengan memusuhi semua mereka yang ada kena mengena dengannya? Mengapa memutuskan perhubungan kesemuanya hanya kerana seorang manusia? Sebaliknya jika kita mengambilkira kesemua rangkaian jalinan yang ada kena mengena dengan suami, ia cukup besar dan kukuh hingga tidak akan menjejaskan perhubungan kita dengannya.

Ramai di antara kita yang mempunyai pandangan yang kabur dalam perhubungan manusia dan juga pendirian terhadap sesuatu perkara. Jika dia sukakan seseorang, dia akan mati-mati sukakan seseorang itu. Sebaliknya, jika dia tidak setuju dengan seseorang itu, dia akan membenci sepenuhnya. Tiada maaf baginya buat orang itu.

Bila dia mempunyai pandangan yang positif terhadap sesuatu perkara, isu malah sesebuah institusi, dia akan taksub dengannya. Sebaliknya apabila dia tidak bersetuju dengan salah satu daripadanya, dia akan menolak semua yang ada kena mengena dengan perkara, isu atau institusi itu.

Pendek kata, membakar jambatan kerana tidak bersetuju. Hanya kerana sekeping papan yang berlubang, dia bakar jambatan itu hingga tiada sesiapa pun termasuk dirinya yang boleh menggunakan jambatan itu lagi. Membakar jambatan atau menolak sesuatu secara total  itu adalah tindakan senget akal. Esok lusa, dia akan terpaksa menjilat kembali ludahnya. Jika malu menjilat ludah, dia akan sendirian menelan liur akibat kekesalan.


Soalnya, bila seseorang itu membakar jambatan, dia bukan sahaja tidak adil kepada pihak yang tidak dipersetujuinya. Dia juga tidak adil pada dirinya sendiri. Dia tidak memberi peluang kepada diri dan juga orang lain untuk memperbetul keadaan. 

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.5.2014.

Tuesday, May 6, 2014

JAGALAH SANTAPAN MINDA KITA


Piccredit: rodalenews.com

MINDA KITA
YANG SEMAKIN PENAT


DALAM suatu perbualan selepas majlis kenduri di rumah jiran, seorang sahabat berkata kepada saya, ‘Aku nak beri kau dua kuiz. Kau dengar baik-baik, ya? Kuiz yang pertama ialah, di Malaysia ini, ada seorang manusia yang telah buat pelbagai kejahatan, tetapi masyarakat masih percaya dia seorang manusia yang baik. Siapakah orang itu?’

Soalan sahabat saya itu pelik bunyinya. Tetapi dia tampak serius dengan kuiznya. Beberapa buah nama bersimpang-siur di memori saya. Akhirnya, sebuah nama terpapar di layar minda. Namun apabila saya ingin menyebut nama itu, dia lantas tidak mengizinkan. Sebaliknya dia terus mengemukakan soalan kuiz yang kedua.

Katanya, ‘Di Malaysia ini ada seorang manusia yang telah lakukan pelbagai perbuatan yang baik, tetapi masyarakat masih melihat dia seorang manusia yang jahat. Siapakah orang itu?’ Sekali lagi memori saya berputar dan memaparkan beberapa buah nama. Setelah termenung sejenak, sebuah nama timbul di fikiran saya. Sekali lagi sebaik sahaja saya ingin membuka mulut, dia melarangnya.

Kata sahabat saya, ‘Yang penting bukan jawapan-jawapan kau. Dan aku pun memang tak mahu beri kau apa-apa jawapan pada kedua-dua kuiz aku, tu. Apa yang aku nak sampaikan  ialah bagaimana sukarnya otak kita mengubah persepsi yang telah terbina bila ia menjadi kepercayaan. Walaupun yang putih telah menjadi hitam ataupun yang hitam telah menjadi putih, bila kita sudah percaya, otak kita tidak mahu mengubah tanggapan itu walaupun keadaan telah berubah.’

Benar kata-kata sahabat saya itu. Pandangan kita terhadap seseorang atau sesuatu perkara itu banyak bergantung kepada maklumat yang kita peroleh. Tetapi, pandangan kita terhadap sesuatu itu bergantung kepada maklumat yang paling awal kita terima. Apabila maklumat itu telah diterima oleh minda, ia amat sukar berubah. Inilah yang dinamakan persepsi.

Manusia dikurniakan akal. Akal boleh berfikir untuk memilih yang mana satu yang baik dan yang mana satu yang buruk. Tetapi akal juga sering tertipu atau ditipu. Jika maklumat yang salah itu disalut dengan fakta dan hujah palsu oleh mereka yang bertujuan untuk menipu, minda kita akan percaya kepada yang salah.

Pada hari ini fikiran kita telah dimanipulasi dengan pelbagai fakta yang salah kerana yang salah itu sentiasa berjaya mendahului untuk mendapat tempat di kotak fikiran. Sebaliknya, yang benar selalu kalah kerana lambat merebut tempat di fikiran manusia.  Yang salah benar-benar rajin untuk mengkehadapankan yang salah. Yang benar pula selalu kalah kerana percaya kepada hukum sunatullah bahawa yang benar itu akan menang dan yang batil itu akan kalah akhirnya.

Tepat sekali, kebenaran akan menang. Tetapi kebenaran itu tidak semestinya tertegak ketika kita masih bernyawa. Malanglah sekiranya kita tidak dapat menyaksi kebenaran itu mengatasi kepalsuan. Lebih mendukacitakan apabila kita mati dengan membawa kepercayaan bahawa yang salah itulah yang benar. Maaf cakap… jawapan apakah yang akan dipersembahkan di hadapan Yang Khalik esok?

Minda kita sudah terlalu penat. Penat akibat kita rajin sangat melayani yang melalaikan. Dunia teknologi menjadikan fikiran kita sentiasa melayang dan melarat dari niat asal. Dalam seminit, niat kita boleh berubah bukan sekali, malah berkali-kali. Sedarkah kita berapa kali jejari kita menukar saluran televisyen walaupun ketika hendak menonton siaran berita? Perasan tak kita, niat asal untuk bertanya khabar kepada abang di kampung akhirnya melarat begitu jauh ke Afrika kerana seorang kawan Facebook telah mengirim video mengenai kehidupan ulat di Gurun Sahara? Berapa kalikah fikiran kita melarat ke mana-mana dalam sehari?

Perkara-perkara yang memenatkan fikiran kita inilah yang menumpulkan tujuan asal fikiran iaitu membezakan di antara yang baik dan yang buruk. Meskipun kita semua sudah mumayiz, kita seringkali gagal mengawal apa yang saban hari menjadi santapan minda kita. Jika sampahlah yang menjadi makanan minda kita, bagaimana fikiran kita boleh mempunyai zat pemikiran yang baik?

Dalam apa jua yang kita fikir dan lakukan, kita mesti mencari kebenaran. Ini termasuk menapis apa sahaja yang sampai ke pancaindera kita. Jika kita tidak punyai kesiapsiagaan untuk bertanya pada hati, apakah yang kita terima itu benar atau batil, kita mungkin menerima yang batil sebagai yang benar.

Untuk itu, apa jua yang kita percayai selama inipun perlu sentiasa dipersoal kerana banyak di antara apa yang kita pegang selama ini adalah yang batil. Seandainya apa yang kita pegang selama ini adalah yang batil, kita mestilah membuangnya dari fikiran kita dengan konsep learn, unlearn dan relearn. Proses pembelajaran untuk diri sendiri ini tidak boleh berhenti selagi hayat dikandung badan.


Belajar itu amat memenatkan. Kerana itu tenaga fikiran tidak boleh dipenatkan dengan apa-apa yang tidak berfaedah. Buang apa jua yang melalaikan. Hanya fikiran yang tidak segar sahaja yang boleh mencerap kebenaran meskipun ia umpama sekilas ikan di air. 

Artikel ini insya-ALLAH  akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 7.5.2014.