Tuesday, April 29, 2014

CARA BARU BERHIBUR


Piccredit: alloyentertainment.com
MEMBACA ITU SUATU HIBURAN

SEMENTARA menanti segmen temubual saya ke udara di rancangan Selamat Pagi Malaysia untuk memperkenalkan buku MAAF CAKAP baru-baru ini, saya berbual dengan saudara Sayed Munawar, penyampai rancangan. Beliau juga adalah Ketua Pegawai Eksekutif  Kota Buku, sebuah agensi perbukuan negara.

Oleh kerana sama-sama meminati buku, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung adalah topik perbualan kami. Saya menyentuh mengenai kegilaan kepada buku yang semakin menyemarak di kalangan masyarakat. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur adalah tempat kita memerhati kegilaan itu.

Kata saudara Sayed, jumlah pengunjung semakin meningkat. Mereka bukan sahaja datang daripada Lembah Kelang, malah, sejauh Singapura dan Brunei. Saya pula berkata, ramai peminat buku datang ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur umpama sebuah pilgrimage atau perjalanan tradisi ke sebuah tempat yang amat penting. Ia menjadi acara tahunan jutaan peminat buku di Malaysia.

Saudara Sayed Munawar mengiyakan. Katanya, dia bertemu dengan sepasang suami isteri bersama anak-anak yang datang dari Kelantan dengan menaiki keretapi semata-mata untuk berkunjung ke pesta buku. Mereka bermalam di Kuala Lumpur selama tiga hari dan setiap hari jugalah mereka ke PWTC untuk mencari buku. Dan, itu adalah kunjungan tahun yang ketiga bagi keluarga seorang pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan.

Keluarga itu adalah di antara beribu-ribu lagi keluarga lain yang saban tahun datang ke pesta buku. Setiap hari bas-bas sekolah tiba dengan membawa ribuan para pelajar dari pelbagai negeri untuk ke pesta buku. Mereka diberi baucar yang boleh ditukarkan dengan buku. Para pelajar universiti juga adalah di antara golongan yang ramai ke pesta buku. Mereka turut membawa Baucar Buku 1Malaysia yang menggalakkan mereka membeli buku.

Nampaknya misi membentuk budaya membaca telah mula menampakkan kejayaan. Kita tidak lagi berasa malu dengan kenyataan bahawa masyarakat Malaysia hanya membaca dua halaman buku setahun sepertimana kajian UPM pada tahun 1983. Malah, barangkali kita sudah membaca lebih daripada dua buah buku setahun sepertimana dalam penemuan kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia  oleh Perpustakaan Negara pada tahun 1996.

Membaca sudah menjadi suatu kegilaan masyarakat. Di sebalik minat sebahagian besar daripada mereka dengan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, membaca buku masih menjadi salah satu pilihan penting mengisi untuk waktu lapang. Kini, membaca novel misalnya menjadi suatu bentuk hiburan selain berekreasi dengan melayari internet, menonton, bershopping dan makan-makan.

Buku tidak boleh dipisahkan dari penulisnya. Golongan penulis pada hari ini turut menyemarakkan minat pembaca terhadap buku yang mereka tulis. Jika dahulu, penulis itu rata-rata adalah golongan yang tidak sukakan publisiti, penulis pada hari ini adalah golongan yang mahukan publisiti kerana mahu menjual karya masing-masing. Mereka bukan setakat seniman, mereka juga adalah usahawan.

Jika dahulu, penulis menggunakan nama samaran kerana tidak mahu dikenali, penulis pada hari ini menggunakan nama samaran sebagai jenama. Nama-nama seperti Aisya Sofea, Anis Ayuni dan Damya Hanna adalah di antara nama samaran para penulis novel yang indah-indah. Mereka yang glamor, yang menjadi penghibur kita pada hari ini bukan sahaja pelakon, penyanyi, pemuzik, penyampai rancangan, ustaz, pakar motivasi dan chef. Golongan penulis juga sudah menjadi di antara para penghibur kita melalui karya-karya mereka kerana membaca kini adalah suatu bentuk hiburan.

Betapa pun, para penerbit turut memainkan peranan yang penting dalam mengalakkan pembacaan. Dahulu, penerbit hanya menjadi tukang cetak dan jual karya penulis. Kini, penerbit lebih terbuka dan akrab dengan para penulis. Mereka menjadi rakan niaga dalam situasi menang-menang. Kerjasama ini menggalakkan penulis menjadi prolifik dan ia akhirnya mengumpul khalayak pembaca yang semakin meningkat.

Pembaca pada hari ini bukan setakat memperoleh bahan bacaan. Melalui interaksi maya, mereka memberi maklumbalas kepada penulis, buku apakah yang mereka minati. Penglibatan penerbit, penulis dan pembaca menghasilkan sinergi yang bermanfaat buat semua pihak.

Rugilah jika ada penerbit yang masih menganggap penulis adalah tempat mereka mencari makan. Mereka hasilkan buku untuk untung semata-mata tanpa mengira tebal nipis poket pembaca. Tidak untung juga jika penulis menganggap tulisannya tidak boleh disentuh langsung oleh penerbit meskipun satu ayat. Akhirnya, buku yang mahal dan tidak sedap sebagai santapan minda akan diketepikan. Itulah yang menyebabkan fenomena rakyat Malaysia dahulu malas membaca. 
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 30.4.2014 insya-ALLAH... 

Tuesday, April 22, 2014

HARI RAYA UNTUK SEMUA PEMINAT BUKU









Piccredit: karyabestari.com
PESTA BUKU PEMANGKIN
BUDAYA MEMBACA

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR yang ke-33 akan bermula esok iaitu 24 April hingga 4 Mei 2014 di PWTC. Ini adalah pesta buku yang terunggul di Malaysia. Terunggul kerana usia dan kelestariannya. Apabila mula dianjurkan pada tahun 1981, ia berskala kecil ~ hanya sekadar menamakan dirinya Pesta Buku Kuala Lumpur.
Hanya sesudah sedekad penganjurannya, ia menukar namanya menjadi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.  Pada tahun itu, hanya 300 gerai diperuntukkan dan hanya 100 syarikat tempatan dan antarabangsa yang terlibat. Namun dari setahun ke setahun, ia menjadi semakin popular dan berjaya menarik pengunjung daripada jumlah puluhan ribu kepada ratusan ribu dan kini jutaan pengunjung datang ke pesta buku ini.

Ia sudah jauh maju ke hadapan sama ada daripada segi penyertaan pemain industri dan juga dari segi para pengunjung berbanding dengan tahun-tahun awal penganjurannya. Ini menjawab persoalan pihak yang cintakan budaya membaca yang bimbang dengan minat membaca rakyat Malaysia berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan pada tahun 1983. Kajian oleh ahli akademik dari universiti tempatan di bawah pimpinan Allahyarham Prof. Atan Long dari Universiti Putra Malaysia, menunjukkan bahawa minat membaca buku di Malaysia sangat rendah. Mereka membaca dua halaman setahun!
Penemuan itu mencetuskan polemik. Bagaimana sebuah negara membangun yang disegani di Asia Tenggara mempunyai rakyat yang malas membaca? Mungkin kita terlalu serius membina minda anak bangsa dengan menumpukan kepada pelajaran. Pencapaian akademik adalah agenda negara. Pelajar dididik untuk belajar hingga ke universiti bagi memenuhi pasaran pekerjaan untuk membangun negara. Justeru, mereka membaca untuk lulus peperiksaan dan untuk bekerja. Mereka bukan belajar untuk menambah ilmu.
Kita tersilap langkah di situ. Kerana itu, kita memulakan program menggalakkan membaca iaitu membaca untuk menambah ilmu yang tidak semestinya bertujuan untuk mendapat markah tertinggi. Bibit-bibit kejayaannya mula kelihatan. 13 tahun kemudian iaitu pada tahun 1996, kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia  oleh Perpustakaan Negara Malaysia mendapati setiap orang secara purata membaca dua buku setahun. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan Program Galakan Membaca untuk pelajar sekolah atau lebih dikenali dengan program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca).

Bagaimana pun, generasi pasca merdeka yang digalakkan membaca untuk lulus peperiksaan masih tidak teruja untuk membaca. Ibu-ibubapa yang muda ini hanya membawa anak-anak mereka ke kedai-kedai buku hanya untuk membeli buku-buku teks dan ulangkaji peperiksaan. Kunjungan mereka ke kedai-kedai buku bukan suatu tabiat dan tentu sekali bukan budaya keluarga.
Namun, semakin mereka berusia dan stabil ekonomi, nilai-nilai kehidupan mereka turut berubah. Keperluan material sudah dipenuhi. Kerana itu mereka mahukan santapan rohani dan minda. Justeru, mereka menambah cara bersantai daripada menonton dan melancong kepada membaca. Anak-anak yang membaca akan mempengaruhi ibubapa untuk membaca. Sebaliknya, ibubapa yang membaca akan mempengaruhi anak-anak untuk membaca. Tidak dinafikan, budaya membaca yang diterap kepada pelajar sekolah telah mempengaruhi ibubapa mereka juga untuk kembali kepada buku.

Tentu sekali, kerancakan para pemain dalam industri buku yang berkembang selari dengan pendapatan keluarga dan keperluan intelek rakyatnya telah mencambah minat membaca. Jika pada tahun-tahun 90an, buku-buku bukan akademik yang dicari adalah buku-buku agama, pada tahun-tahun 2000 bacaan novel menjadi bahan bacaan pilihan yang paling popular. Ia diikuti dengan buku-buku motivasi, masakan, deko, kesihatan dan akhir-akhir ini, minat membaca masyarakat nampaknya sudah kembali semula kepada buku-buku agama. Suka dinyatakan di sini, buku-buku agama dahulu nipis-nipis, kini sudah tebal-tebal dan berjilid-jilid!
Pada hari ini, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur mempunyai peranan yang amat signifikan dalam menelah trend budaya membaca. Di sinilah tempat di mana barometer genre bacaan diperhati oleh para penerbit. Di sini jugalah para penulis dapat inspirasi buku apakah yang menjadi pilihan pembaca.

Di peringkat pembaca pula, di pesta buku ini mereka mengambil peluang untuk mendapatkan buku-buku yang sukar dicari dengan harga yang amat berpatutan. Meskipun ada suara yang mengatakan jualan murah oleh para penerbit tidak menepati ciri sebuah pesta buku, namun inilah uniknya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Ia adalah hari raya untuk semua yang cintakan buku dan suka membaca.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 23.4.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, April 15, 2014

BUKAN AIR SAHAJA YANG BERCATU


Piccredit: terbakor.com

APABILA HIDUP
MULA BERCATU

BUAT seminggu dua ini, memandu di dalam hujan sepulang dari pejabat menimbulkan keseronokan. Hati berasa riang melihat air yang menyimbah skrin kereta. Kalau boleh, biarlah pengelap cermin diputar hingga ke kelajuan maksima, menandakan hujan turun mencurah, memberi makna bumi menjadi basah, air di empangan dah melimpah dan akhirnya catuan air sudah tak payah.

Negeri Selangor, negeri termaju yang mempunyai penduduk teramai dan industri yang terbanyak sedang mengalami krisis air. Mereka di zon satu menerima catuan sejak ia dikuatkuasakan. Ertinya sudah lebih sebulan mereka menerima bekalan air berjadual. Buat mereka yang baharu sahaja dikenakan catuan, ia adalah sesuatu yang bisa mencetus panik dan mengubah gaya hidup seisi keluarga.

Bilik air yang cantik sudah dipenuhi tong, tempayan dan baldi. Menjirus pokok pun menggunakan air basuhan sayur dan beras. Pinggan mangkuk kaca sudah diganti dengan peralatan plastik. Buat suri rumah, hujan yang turun pun boleh menimbulkan dilema di antara suka dan bimbang. Suka kerana hujan yang turun mungkin akan menamatkan catuan. Tetapi ia juga bererti baju yang bersidai di ampaian susah pula nak kering. 

Walau apa pun, umum nampaknya semakin bersedia secara mental untuk mengharunginya. Kekalutan membeli tong, tempayan dan baldi nampaknya berkurangan kerana surirumah  sudah melengkapkan logistik di kediaman masing-masing. Jika sebelum ini, anak yang ke sekolah dibekalkan minuman manis, kini air putih menjadi keperluan untuk minuman dan membersih diri.

Pencatuan itu memaksa kita belajar kembali untuk menjimatkan air. Sebelum ini, kita bukannya tidak pernah alami kemarau hingga air terpaksa dicatu. Ataupun sekali-sekala pernah juga rumah tak berair kerana paip pecah. Tetapi, apabila bekalan air stabil kembali, kita lupa pada latihan penjimatan yang telah kita lakukan. Perbuatan tinggal perbuatan dan bukannya amalan.

Dalam hidup, ada banyak sekali catuan yang harus kita lalui dan lakukan. Catuan boleh dibuat seandainya sesuatu yang diguna itu akan kehabisan. Tetapi kita percaya keadaan itu hanya sementara kerana apa yang kehabisan itu akan datang kembali seperti juga air. Namun, manusia mudah lupa. Apabila sukar tatkala berdepan dengan apa yang dicatu, yang ada itu mencukupi pula meskipun sedikit. Sebaliknya apabila ia melimpah-ruah, ia tidak mencukupi meskipun semakin banyak yang kita gunakan.

Duit gaji, yang  diterima pada awal bulan boleh langsai lebih daripada separuh pada minggu pertama. Tetapi, jumlah yang separuh itu boleh pula mencukupi hingga ke hujung bulan apabila kita mencatu atau membajet penggunaannya. Tatkala bergaji kecil, pendapatan yang sedikit itu jugalah yang mencukupi untuk diri dan ahli keluarga. Sebaliknya apabila pendapatan bertambah, bagaimanakah gaji yang semakin banyak itu tidak mencukupi? Jika kita ada alasan-alasan lain yang menyebabkan gaji tidak cukup, ada ramai lagi mereka bergaji lebih kecil  daripada kita yang boleh hidup selesa.

Kasih sayang bagi mereka yang terpisah jauh itu sentiasa mencukupi. Tengoklah mereka yang terpaksa bekerja dan meninggalkan keluarga berminggu lamanya. Ramai yang boleh hidup tenang walaupun si suami selalu pergi jauh untuk bertugas. Tetapi buat mereka yang tidak berjauhan, yang perhubungannya sentiasa ada pada setiap saat dan waktu, kompelin tidak cukup perhatian dan kasih sayang biasa terjadi.

Mengapa sesuatu subjek itu amat sukar difahami walaupun berbulan cuba dipelajari dengan pelbagai cara? Mengapa pula apabila hampir peperiksaan, buku yang tebal itu boleh pula dihafal dalam masa seminggu? Mengapa dengan masa yang sedikit itu kita boleh faham apa yang kita tidak fahami sepanjang tahun? Bukankah apabila masa dicatu, segalanya beres?

Pendek kata, apabila sesuatu itu melimpah-ruah dan tidak bercatu, kita akan membazirkannya. Masa, wang dan tenaga akan digunakan sesuka hati. Masa yang luang digunakan untuk banyak perkara yang tidak mendatangkan manfaat masa depan kita sendiri. Wang yang banyak dibelanjakan pula tanpa memikirkan untuk menyimpan buat masa sesak. Dan tenaga yang banyak digunakan untuk lain-lain aktiviti fizikal yang lasak tetapi layu melangkah untuk ke masjid.

Mana mungkin semua yang ada itu menjadi kekal selama-lamanya? Bila sesuatu itu mula bercatu tidak kira masa, wang dan tenaga, ingatlah, ia adalah amaran awal akan kehabisannya. Apakah air juga begitu? Maka berdoalah.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.4.2014, insya-ALLAH...

Tuesday, April 8, 2014

KONSEP MENGUMPUL KEKAYAAN


 
Piccredit: ismaweb.net

SUATU PAGI BERSAMA

AHMAD ARIFF

MINGGU lepas saya bermalaman di Pusat Perubatan Universiti Malaya menemani adik ipar yang menjalani pemeriksaan kerana sakit dalam perut. Saya sedia untuk lama menunggu kerana memahami memang ramai pesakit di situ. Maklumlah, di Bahagian Trauma dan Kecemasan, hampir semua yang datang itu tiba tanpa temujanji. Saya sempat lihat seorang mangsa kemalangan yang parah tiba dibawa rakannya dan seorang lelaki kurang siuman yang terpaksa dihambat untuk dibawa masuk ke bilik rawatan.

Dalam kesejukan pendingin hawa, saya dapat juga tidur-tidur ayam. Ipad dan telefon menjadi teman bila terjaga. Bagaimana pun saya banyak juga termenung dan insaf, betapa kita terpaksa mengubah skrip rutin harian apabila kita jatuh sakit atau menemani saudara yang menerima rawatan. Sakit pening adalah ketentuan ALLAH swt. Ia tidak boleh dinyahkan begitu sahaja.

Bila penyakit sampai, kita perlu melayani ia dengan penuh kesabaran. Seperti bidalan, penyakit itu datangnya seperti ribut tetapi perginya seperti semut. Bila kita jatuh sakit, ia mengingatkan bahawa kita sentiasa berada di dalam genggaman-NYA. Satu urat saraf sahaja terusik, tersimpul, terbengkak mahupun terputus, kita tak boleh tidur kerana menanggung sengal dan bisanya.

Masuk waktu subuh, saya ke masjid UIA Petaling Jaya untuk menunaikan solat. Masjidnya makmur dengan para jemaah. Usai solat, sambil menghidup enjin kereta dan memberi laluan kepada kenderaan lain bergerak, kelihatan beberapa orang jemaah lelaki yang nampaknya dari satu grup. Walaupun sedang melangkah menuju ke kereta masing-masing, kedengaran mereka membuat temujanji hendak bersarapan bersama. 

Melihat kepada perawakan mereka, saya pasti mereka orang bersara. Terlintas di hati saya, masing-masing kelihatan begitu gembira menghabiskan sisa-sisa kehidupan. Kereta mereka nampaknya besar dan menjalar. Saya rasa mereka semua mantan pegawai tinggi kerajaan mahupun korporat. Alhamdulilah, masjid dan surau juga dipenuhi oleh mereka yang kaya raya. Itulah realiti. Memang ramai orang berada yang suka beribadah. Bukan seperti stereotaip drama televisyen di mana yang kaya selalu digambarkan lupa akhirat. 

Perut yang lapar membuatkan saya singgah ke sebuah restoran untuk bersarapan. Rupa-rupanya di situ jugalah port kumpulan jemaah yang bersara itu. Walaupun belum jam 7.00 pagi, restoran sudah dipenuhi pelanggan. Saya terpaksa mencari tempat dan duduk semeja dengan salah seorang daripada mereka. Mungkin kerana tiada tempat duduk, dia tidak dapat duduk bersama dengan kawan-kawannya.

Lelaki itu kelihatan serba putih. Rambut, kening, jubah, kopiah, malah wajahnya putih bersih. Saya boleh rasakan aura duduk bersama seorang lelaki yang baik-baik. Saya berasa tenang dan senang dengan senyumannya bila mempelawa saya duduk sekali.

Apabila saya bersalaman dengannya, lelaki itu, Ahmad Ariff berkata yang dia perasan akan kehadiran saya di masjid tadi. Dia juga nampak kelibat saya di parkir masjid. Latar belakangnya sebagai bekas pegawai polis itu membuat saya mengerti dengan sikap awas dan peka dengan siapa dan suasana di sekelilingnya.

Meskipun beliau kaya raya kerana mempunyai pelbagai perniagaan selepas bersara, Ahmad Ariff sentiasa menganggap harta dan kekayaan yang beliau peroleh hanyalah sementara. Beliau berkata mengenai perebutan manusia untuk memperoleh kekayaan. ‘Pada hari ini kita tidak sedar yang kita mengaut kekayaan dengan pendekatan accumulated wealth - kaya dengan mengumpul harta. Sedangkan seharusnya kita harus berpegang dengan konsep transitional wealth.’

Katanya, ‘accumulated wealth menjadikan kita rakus dan tamak mengumpul harta. Akhirnya kita tak puas mengumpul dan tak puas juga berbelanja. Sedangkan transitional wealth itu ialah menyedari bahawa kita hanyalah tempat mengalirnya rezeki. Apabila kita berpegang dengan konsep itu, kita akan yakin bahawa ALLAH swt mengamanahkan kita kekayaan untuk dizakat dan disedekahkan.

Semakin banyak kita memberi, maka lebih banyak ALLAH menambahnya. Akhirnya kita bukannya mengejar kekayaan, tetapi kekayaan yang datang mencari kita. Tidak tepat apabila kita berdoa memohon kekayaan. Tetapi berdoalah agar menjadi orang yang rajin bersedekah. Percayalah dengan cara itu, kita akan kaya raya tetapi tidak akan terpesona dengan kekayaan itu.’ 

Sebelum berpisah, saya sempat bertanya akan kesihatanya. Kata Ahmad Ariff, dia menghidapi apa yang orang kata sebagai penyakit pakej iaitu kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung. Isterinya turut mempunyai sakit yang sama. Sekali-sekala mereka terpaksa masuk wad. Kadangkala bersilih ganti, seperti bergilir-gilir. Namun, dia reda dengan apa yang dialaminya. Katanya, ‘jika inilah kesusahan yang perlu saya alami untuk masuk ke syurga, saya anggap, inilah bayarannya!’
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, pada 9.4.2014. insya-ALLAH...

Tuesday, April 1, 2014

APABILA WANG JADI ANUTAN


 
Piccredit: mediabistro.com

BILA NO NEWS
BUKAN LAGI GOOD NEWS

NO NEWS IS GOOD NEWS. Bila tiada berita, ertinya semuanya baik. Demikianlah maksud peribahasa Inggeris itu. Dahulu, tatkala kesakitan dan maut begitu kerap terjadi, berita yang diterima kebanyakannya adalah berita yang buruk. Sebaliknya jika dalam keadaan baik, tiada berita yang perlu disebarkan.

Di zaman di mana komunikasi kita adalah melalui surat menyurat dan tidak ramai pula yang mempunyai telefon di rumah, apabila  berita yang datang itu tiba dalam bentuk telegram, ia bermakna ada saudara dekat yang sakit kuat atau sudah meninggal dunia.

Dalam dunia persuratkhabaran bercetak di waktu dahulu, berita yang disampaikan biasanya adalah berita kejadian semalam. Dalam konteks standard hari ini, berita yang sudah berlaku lebih 24 jam sudah boleh dianggap berita basi!

Pemberitaan ketika itu juga berbentuk laporan mengenai apa yang terjadi. Dengan kepayahan komunikasi, berita yang sampai ke pejabat surat khabar juga selalunya lewat. Kerana itu, istilah stop press, iaitu menghentikan mesin yang mencetak akhbar untuk memasukkan berita yang baharu diterima sudah menjadi kelaziman.

Di Malaysia, berita yang dipancar melalui radio pada ketika itu juga ada waktu-waktunya. Seingat saya, berita di radio dahulu hanya ke udara hanya lima kali sehari iaitu pada 6.00 pagi, 8.00 pagi, 1.30 tengah hari, 5.00 petang dan jam 10.00 malam. Waktu penyampaian berita itu pun hanya 10 minit. Ia disampaikan oleh pembaca berita di studio. Tiada lintas langsung iaitu berita secara live dari lokasi peristiwa seperti pada hari ini.

Apabila televisyen di perkenalkan pada tahun 1963, persembahan berita juga tidak menarik. Hampir kesemua berita adalah berita majlis-majlis yang dihadiri oleh pak menteri. Sebab itu, bila berita disiarkan pada waktu 9.00 malam, ramai yang mengambil peluang untuk ke bilik air atau membuat kopi sementara menanti cerita Melayu bersiaran selepas siaran berita. 

Samada di akhbar, radio mahupun televisyen, corak pemberitaan sebahagian besarnya masih berbentuk serius. Apa yang menjadi human interest mahupun hiburan serta sukan hanya dianggap selingan. Ia adalah segmen kecil ruang berita di ketiga-tiga medium itu.

Kemunculan stesyen Cable News Network atau CNN pada tahun 1980 merobah sama sekali lanskap dunia pemberitaan. CNN adalah saluran televisyen pertama yang membekalkan hanya berita selama 24 jam dan ia adalah satu-satunya saluran televisyen yang hanya memaparkan berita sebagai rancangannya. 

Memang pada permulaannya kemunculan saluran berita 24 jam ini dipandang dengan sinis. Namun, pandangan umum mulai berubah apabila ia memaparkan tragedi Space Shuttle Challenger NASA yang meletup secara langsung hanya lepas seminit ia meluncur ke udara.  Sejak itu berita sudah menjadi seperti wayang. Perang Teluk, Perang Iraq dan peristiwa 11 September 2001 sudah dapat ditonton di rumah.

Media baratlah yang cepat menjejaki formula CNN. Perkembangan dunia internet juga menjadikan pemberitaan semakin mencabar dan mendesak. 24 jam sehari, setiap minit dan saat, berita mesti disampaikan. Rating perlu dijaga. Untuk mengelakkan agar penonton tidak lari, maka breaking news dan developing story disampaikan secara berulang-ulang.

Perubahan pada kandungan berita hanya dapat dibuat bila ada perkembangan terbaharu. Tetapi, berita bukannya cerita yang boleh direka-reka agar ia sentiasa bersambung. Tetapi, minat penonton perlu sentiasa dirangsang agar tidak mengalih saluran. Maka mulalah sesebuah berita yang kecil itu ditebar seperti roti canai. Ada side story, back story, analisa dan apa sahaja.

Untuk berita tragedi MH370 misalnya, maklumat dan petunjuk satelit dan radar serta aset-aset yang menyertai SAR di Lautan Hindi adalah berita teknikal yang membosankan. Untuk kekal menarik minat mereka yang mengikuti perkembangan semasa, kisah-kisah manusia mula menjadi mainan media barat.

Protes keluarga warga China yang mahukan berita kemalangan itu diputar hingga menjadi isu warga China anti-Malaysia kerana kononnya menjadi paksi keganasan. Minat politik Kapten Zaharie dijadikan isu seolah-olah kemalangan itu terjadi kerana taksubnya. Begitu juga masalah rumahtangga beliau kini menjadi berita sensasi yang menjadi rencah pemberitaan. Teori-teori konspirasi turut dimainkan hinggakan ia menjadi tumpuan penonton. Perasaan mangsa dan sensivtiiti di antara negara tidak penting buat mereka

Jika pada pandangan masyarakat, no news is good news, bagi pihak media pula no news is bad news kerana ia dibaca dalam konteks rating, nilai saham dan keuntungan. Formula pemberitaan sudah ditulis semula dengan wang sebagai denominasinya.

Media kita jangan pula terikut-ikut dengan rentak mereka. Maruah seharusnya menjadi pegangan. Wang jangan mula menjadi anutan. 

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.4.2014, insya-ALLAH...