Tuesday, February 25, 2014

TEGUR ITU MEMBINA, MARAH ITU MENGHANCURKAN



Piccredit: psychotherapisttoronto.org

JANGANLAH

MARAH-MARAH LAGI

PERNAHKAH kita dimarahi? Apa perasaan kita tatkala dimarahi? Perasaan malu, takut, kesal dan sakit hati bercampur-baur di dalam fikiran. Jika kita tidak tergamak untuk melawan balik, barangkali perasaan ingin menjawab kata-kata orang yang memarahi itu terlintas di fikiran.

Setelah semuanya berakhir, rasa malu, takut, kesal dan sakit hati itu tidak berhenti sebaik sahaja orang yang memarahi kita itu berlalu. Sebaliknya, perasaan-perasaan negatif kekal berlegar-legar di dalam fikiran. Kita akan terfikir, alangkah baik jika kita bertengkar sahaja dengan orang yang memarahi kita. Perasaan sedih dimarahi membuat kita berasa seolah-olah kitalah orang yang paling malang di dunia ini. Kesannya, kita tidak lalu makan pada hari itu.

Namun, pernahkah kita terfikir apakah yang bermain di fikiran orang yang memarahi setelah dia berhenti bersyarah di hadapan kita? Besar kemungkinannya, sebaik sahaja dia mengangkat kaki meninggalkan kita, kemungkinan besar dia akan minum kopi, membuka laman facebook, berbual dengan rakan-rakan, menjawab telefon atau buat bodoh sahaja.

Seterusnya, dia akan menonton televisyen, berjalan-jalan, bershopping dan melakukan apa yang disukainya. Pagi tadi, seminit selepas dia meleteri kita selama sejam,  dia dah lupa apa yang dia telah katakan kepada kita. Benarkah dia begitu? Benar.

Jika tidak percaya, tanya diri kita sendiri. Bukankah kita juga pernah memarahi orang? Bukankah kita juga boleh lupa akan sumpah seranah kita begitu sahaja setelah kita menghamburkan kemarahan walaupun ketika memarahi, wajah kita lebih garang daripada singa?

Justeru itu, buat apa kita bermuram durja sampai ke malam hingga tidak boleh tidur kerana dimarahi pada waktu siangnya? Mengapa kita asyik memikirkan episod dimarahi itu sedangkan orang yang memarahi kita itu sudah melupakannya?

Ironinya, apabila kita berada di tempat sebagai orang yang memarahi, apakah kita pernah terfikir kesan kata-kata kita terhadap orang yang kita marahi itu? Apakah kita punyai pertimbangan bahawa kemarahan kita itu mungkin sudah merosakkan hari dan hati orang itu? Atau mungkin juga kita telah merobek egonya hingga dia begitu malu dengan dirinya sendiri.

Mengapa terjadi begitu? Jika kita boleh melupakan sahaja kemarahan kita itu sejurus setelah melakukannya, apakah kita bukan betul-betul marah tetapi hanya berlakon marah? Ataupun apakah kita tidak serius bila memberi kuliah berbisa itu? Renungkan kembali.

Jika kita boleh melupakan apa yang kita marahkan itu, mungkin sekali isunya tidaklah begitu serius hingga perlu disampaikan secara berapi-api. Mungkin juga kita sebenarnya hanya melepaskan kemarahan secara membuta tuli. Setelah angin kemarahan itu hilang, kita berasa puas hati menyusahkan hati orang lain lalu kita angkat kaki. Adilkah? Tepatkah cara begitu?

Mengapa tidak kita pasang niat terlebih dahulu sebelum memarahi seseorang? Dengan cara itu, kita sedar akan apa yang ingin kita lakukan. Apabila kita peka dengan apa yang ingin kita buat, baharulah kita dapat jelmakan kemarahan itu menjadi sebuah teguran.

Bila kita marah, pada saat itu kita amat mementingkan diri kerana bertindak untuk melepaskan apa yang bersarang di hati. Sebaliknya, apabila kita menegur, ia adalah untuk kebaikan orang yang ditegur. Hakikatnya, komunikasi berbentuk teguran itu adalah untuk membetulkan orang itu. Yang penting, tindakan kita itu berhasil dan bukannya sia-sia.

Lagi pun, apabila kita menegur, ia menjadi lebih objektif iaitu memperbetul sikapnya bukan orang yang ditegur itu. Maknanya, ‘aku bukannya marah engkau, tetapi sikap engkau.’ Kita menegur apabila tidak suka kepada salah satu aspek orang yang ditegur itu. Kerana itu ia menjadi kecil. Oleh sebab ia kecil, tindakan kita tidak perlu over hingga menaikkan tekanan darah sendiri.

Apabila ia objektif, orang yang ditegur itu tidak akan berasa terhina. Kesannya, dia hanya tersentap seketika dan dia tidak akan mengulangi kesilapan. Hasilnya baik untuk kedua-dua belah pihak. Oleh kerana menegur itu lebih tertib, objektif dan berkesan daripada memarahi sedangkan tujuannya adalah sama, buat apa kita guna pendekatan marah-marah lagi?

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah telah bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu orang yang selalu menumpaskan orang lain, sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.”

Marah itu api. Menegur itu bara. Kesannya tetap terasa.
 
Artikel ini insya-ALLAH akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.2.2014.

Tuesday, February 18, 2014

HERO DI ANTARA KITA



Piccredit: jessy-scarlet.deviantart.com
 
MENJADI HERO
YANG DISUKAI


BARU-BARU ini saya bersembang dengan seorang remaja yang sedang giat menulis novel pertamanya. Dalam perbualan kami, dia bertanya saya, bagaimanakah hendak melahirkan watak hero yang disukai pembaca? Jawab saya, selain daripada melakarkan fizikalnya yang menyenangkan iaitu yang hensem, tegap dan sentiasa penuh dengan senyuman, saya juga menyatakan peri pentingnya kita menggarap mental hero itu. Hero mestilah seseorang yang  berfikiran positif serta mempunyai motivasi yang tinggi.

Dia adalah seseorang yang fokus terhadap apa yang diingininya. Ia adalah kompas kepada segala tindak tanduknya. Apa sahaja yang dilakukannya mestilah ke arah matlamatnya. Oleh sebab motivasinya tinggi, dia melihat segala masalah sebagai peluang dan halangan pula sebagai cabaran.

Dia tidak boleh berputus asa dan berfikiran negatif. Pendek kata, membujur lalu, melintang patah. Datanglah apa jua halangan, dia tidak akan peduli. Dia akan berfikir dan bertindak mengatasi apa sahaja yang mendatang bagi mencapai matlamatnya.

Pembaca sukakan watak yang sebegini kerana mereka jelas akan kehendak si hero. Hero yang tegas disukai kerana dia tidak teragak-agak. Oleh sebab dia bertindak dengan yakin, pembaca pun turut konfiden dengan watak ini, langsung menyukainya.

Dalam dunia realiti pun, kita juga melihat sesetengah daripada mereka yang berada di depan mata sebagai hero. Sama ada dia orang tua, orang terhormat, artis, ahli sukan, ustaz, pensyarah, guru mahupun ahli-ahli politik, secara bawah sedar, kita menganggap mereka sebagai hero atau idola kita. Tindakan mereka memberi kesan terhadap kita kerana mereka adalah watak di pentas kehidupan kita.

Dalam dunia yang semakin rancak dengan sandiwara di mana garis pemisah di antara fiksyen dan realiti itu semakin kabur, tidak boleh tidak, kita mahukan karektor hero dari kalangan para pemimpin kita. Kerana itu kita mahu pemimpin kita seseorang yang jelas dengan apa yang dia mahukan. Dia juga perlu cepat dan tepat membuat keputusan. Pemimpin kita tidak boleh membuat kita ternanti-nanti untuk melihat apa yang mereka hendak lakukan apabila masalah datang bertandang.

Dalam era yang serba pantas ini, reaksi yang lewat daripada 24 jam sudah dikira terlambat. Jika pemimpin kita berdiam diri seolah-olah tidak sedar dengan apa yang menjadi cabarannya, kita akan berasa bosan. Kita mahu pemimpin kita bertindak. Sama ada keputusan yang dia lakukan itu betul atau salah, ia tidak menjadi keutamaan.

Tindakan yang betul akan kita sanjungi. Bagaimana pun, tindakan yang tidak menepati cita rasa kita, yang tentunya tidak popular akan dihormati seandainya kita lihat pemimpin kita itu tegas dengan keputusannya. Dalam pada itu, tindakan pemimpin kita yang salah itu akan kita terima asalkan dia berani memohon maaf.

Jika kita lihat daripada sudut pandang yang sebaliknya di mana kita menjadi hero di mata orang lain, kita juga perlu pantas membuat keputusan dan segera bertindak. Bukannya membuat keputusan tetapi tidak bertindak. Ataupun bertindak tanpa keputusan.

Dalam pada itu, kita tidak boleh mengumpul terlalu banyak maklumat, mengirai beranika data atau merujuk kepada pelbagai sumber sebelum membuat keputusan. Seandainya kita begitu, kita tidak belajar daripada kisah Luqman al-Haqim, anak dan keldai. Dalam kisah itu, dek kerana terlalu mengikut komen orang, akhirnya mereka yang memikul keldai, bukan menunggangnya.

Terlalu banyak pertimbangan di dalam kepala menjadi kita terlalu akademik kerana terlalu teoris. Justeru itu, kita perlu selalu bertindak mengikut gut feeling atau menurut rasa hati. Namun, rasa hati yang dimaksudkan bukan semata-mata mengikut sesedap hati. Rasa hati yang begitu dikhuatiri disalut dengan nafsu.

Sebaliknya, naluri atau gut feeling yang baik ialah yang mengikut cara yang Rasulullah saw sarankan iaitu melalui solat sunat istikharah. Solat sunat itu juga akan menghasilkan gerak hati atau gut feeling yang terkawal. Kaedah itu membolehkan kita membuat yang cepat tetapi jitu. Kita, sebagai pembuat keputusan dan bertindak melaluinya akan dilihat sebagai pemimpin atau hero yang menyakinkan, justeru digemari.
 
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.2.2014, insya-ALLAH...

Tuesday, February 11, 2014

PELAKON DI ANTARA KITA


 
Piccredit: avinashnagarajan.com
APABILA KITA SEMAKIN PANDAI BERLAKON

MESKIPUN cucu sulung saya Hannah Hilman belum pun berusia setahun, kami sudah merakam beratus-ratus fotonya. Sejak berusia sehari, hingga dia meniarap, merangkak dan diajar bertatih, ada sahaja aksinya terakam. Dek kerana biasa dengan lensa, Hannah tidak pelik mendengar bunyi klik kamera. Malah, dia boleh tersenyum dan posing sebaik sahaja dia nampak kami menghalakan kamera ke wajahnya.

Saya percaya ramai lagi bayi lain yang tidak takut dengan kamera kerana sudah terbiasa. Malah ada ibu bapa yang sudah mengambil foto anaknya di peringkat janin melalui ultrasound. Begitulah betapa biasanya kanak-kanak sekarang dengan kamera. Agaknya, suatu hari nanti, akan ada bayi yang keluar dari rahim si ibu siap dengan senyuman dan menyebut ‘cheese’ bila nampak lensa kamera si ayah menyambut kelahirannya ke dunia!

Kita pun apa kurangnya. Sejak kemudahan kamera dimuatkan ke dalam telefon, kamera sudah tidak merengsakan lagi. Ada sahaja situasi yang membuat kita rakam secara selfie dan kemudian dimuatnaik ke dalam laman sosial untuk tatapan kawan-kawan. Kini, hari-hari kita berfoto. Bukan setakat setahun sekali untuk foto kumpulan darjah atau berfoto di studio pada hari raya.

Pada waktu dahulu, di zaman kamera kotak, ramai yang tak senang duduk bila nampak jurugambar mengendong kamera.  Ada yang terus jadi kejang dan sejuk tangan dan kaki kerana takut melihat kamera. Ada yang puas ditarik untuk bergambar tetapi tetap menolak kerana tidak mahu. Tidak bawa sikat atau baju berbau menjadi alasan kerana malu.

Bila bergambar berkumpulan pun ramai yang masih segan hendak berposing. Kerana itu, gaya yang paling mudah tatkala bergambar secara kumpulan ialah dengan gaya panca sitara, iaitu berdiri menyendeng dengan ibu jari menyentuh pipi. Yang berani sedikit akan bergaya seperti James Bond dengan jari telunjuk dan ibu jari terpacak seperti pistol. 

Dahulu, kepercayaan karut ialah, bergambar bertiga itu tidak baik. Orang kata, jika bergambar bertiga, salah seorang daripada yang bergambar itu akan mati. Padahal, bukan setakat ketiga-tiganya akan mati, malah empat orang akan mati iaitu si jurufotonya juga, bila sampai ajalnya. Begitulah kepercayaan, tabiat dan persepsi kita terhadap kamera.

Betapa pun, kata-kata bahawa sekeping foto itu mempunyai seribu cerita atau a picture is worth a thousand words itu ada benarnya. Sekeping foto itu adalah bukti mengenai sesuatu situasi mahupun insiden. Ia adalah dokumen yang boleh dijadikan bukti. Bagaimana pun, ia tidak semestinya benar kerana kebenaran itu terletak pada saat kamera dipetik.

Contohnya, seorang gadis yang cantik, fotogenik dan sedia menghulurkan senyuman tatkala berdepan dengan kamera, boleh sahaja menahan bersin pada saat kamera dipetik. Hasilnya, gadis yang bermata bundar itu menjadi sepet, bibirnya yang tersenyum berubah berkerinyut dan hidungnya bak seludang itu berubah menjadi seperti jambu air. Si cantik sudah menjadi si hodoh!

Menyedari peri pentingnya momen yang istimewa inilah maka dalam dunia peragaan dan pengiklanan, berpuluh-puluh keping foto diambil hanya untuk menentukan sekeping foto terbaik buat dijadikan iklan atau wajah muka depan sesebuah majalah. Justeru itu, lakonan yang terbaik itulah yang terpilih.

Tokoh politik pun sudah pandai memperagakan diri di hadapan kamera. Tidak kira menteri mahupun pemimpin kecil, masing-masing semakin galak beraksi di depan kamera. Sudah menjadi kebiasaan bila pak menteri menghentikan aksinya buat beberapa saat supaya sekumpulan jurufoto sempat merakam dia menghulur sekampit beras untuk mangsa banjir dengan penuh bergaya. Malah, ada yang sanggup untuk ambil second take, berlakon sekali lagi apabila ada jurufoto tidak sempat merakam posingnya.

Di pejabat akhbar atau majalah pula, editor foto sekali lagi akan memilih gambar yang tercantik, paling terang dan yang paling manis senyuman untuk dipaparkan. Andainya kita tidak pernah bertemu dengan seseorang pemimpin itu, foto senyuman lebarnya itulah yang terlekat di minda kita. Ia membina persepsi bahawa pemimpin itu orang yang baik pekertinya.

Sesungguhnya, apakah yang kita lihat itu benar? Benar. Tetapi bukan yang benar sepenuhnya. Samada ia foto pak menteri, model, mahupun diri kita sendiri, apa yang terpapar di dada akhbar mahupun di laman sosial itu hanyalah foto terbaik, tetapi ia bukan rakaman mood keseluruhan situasi itu.

Walaupun ia bagus kerana kita perlu mempamerkan yang bagus atau yang elok buat tatapan semua, tetapi apabila berfoto itu sudah menjadi suatu gaya hidup, semakin ramai di antara kita yang semakin galak berlakon.  Dikhuatiri apabila kita sentiasa melakonkan yang indah-indah, kita terlupa dengan apa yang kurang, yang tidak molek diri sendiri sedangkan bukankah itu realiti?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 12.2.2014, insya-ALLAH...

Tuesday, February 4, 2014

MENCONTOHI TEMAN


 
Piccredit:lynjyctrz.blogspot.com
ORANG YANG
BAHAGIA DI SISI KITA

DI KALANGAN ramai kawan-kawan kita, pasti kita kenal dengan seseorang yang tidak boleh duduk diam. Ada sahaja perkara yang dilakukannya. Di tempat kerja, dialah penceria suasana. Kehadirannya menyemarakkan aura kegembiraan kerana keramahannya.

Tatkala kita duduk bersahaja dan bersembang kerana bos tidak memberi kita tugasan, kawan kita yang ini tertunduk-tunduk membuat kerja. Oleh kerana dia rajin, bos akan lebihkan tugasannya. Dia tidak akan kompelin. Jika kerjanya sudah selesai, dia bersembang juga dengan kita. Tetapi tangannya pasti tidak diam mengemas meja, menyusun fail atau mengelap komputer.

Di dalam mesyuarat, dialah yang akan mengambil inisiatif untuk bangun menuang minuman dan mengagih karipap. Jika dia tidak mulakan untuk menghidang, kita tidak akan melakukannya kerana berasakan tugas itu bukannya kerja kita.

Bila ada tetamu datang ke pejabat, dia akan ambil tahu dengan siapa orang itu hendak bertemu walaupun itu tugas penyambut tetamu. Bila ada mentol lampu terbakar atau sinki di pantri pejabat yang tersumbat, dia akan bersingsing lengan untuk memperbaikinya. Tidak payah kita memanggil pendawai elektrik atau tukang paip untuk memperbetulkannya.

Berkawan dengannya amat menyenangkan. Apa sahaja bantuan yang kita pinta pasti akan dibereskannya. Kerana itu, seandainya dia inginkan pertolongan kita, kita tidak akan teragak-agak menghulurkan bantuan. Tetapi, dia pula jenis orang yang tidak gemar meminta pertolongan kita. Sebaliknya, dia suka menyelesaikan masalahnya sendirian kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.

Kalau kita tahu di mana rumahnya, pergilah berziarah. Kita akan lihat rumahnya serba lengkap. Di kediamannya ada semua. Televisyen, peti sejuk, mesin basuh, komputer, karpet, kerusi set dan segalanya. Namun, segala barangan di rumahnya serba sederhana, tersusun rapi dan bersih.

Berkenalanlah dengan anak dan isterinya. Mereka pun sama juga. Amat menyenangkan. Kerana itu, kita akan menjaga tata tertib bila di rumahnya kerana kita semakin hormat padanya. Kita hormati dia kerana dia telus dan tulus. Peribadinya di pejabat dan di rumah sama sahaja. Bukan hipokrat seperti sesetengah daripada kita.

Siapakah orang ini? Dia adalah orang yang bahagia. Dia bahagia kerana dia sudah berjaya. Berjaya menemui keharmonian di antara dirinya dengan anak isterinya, rakan-rakannya,  jiran-jirannya dan dengan kehidupannya.

Daripada segi fizikal, oleh kerana dia sentiasa ligat bergerak, dia tiada masa untuk berasa risau. Bergerak adalah suatu bentuk tindakan. Orang yang bertindak akan sentiasa berasa yakin dan tetap pendirian. Pergerakannya secara automatik membuatkan dia fokus untuk menyudahkan apa yang ada di depan matanya.

Berbeza sekali dengan kita yang daripada jenis yang lambat bertindak. Bila kita lambat bertindak, kita jadi lembab dan akhirnya  menangguhkan apa yang ingin kita lakukan. Orang tua ada berkata, kerja bertangguh tidak menjadi. Itulah kita berbanding dengan dia.

Daripada segi mental, oleh kerana sentiasa dalam mode bertindak, dia telah menguasai ketakutan.  Istilah takut tiada di dalam kamus fikirannya kerana ia tidak sempat bersarang di dalam mindanya.

Kita, yang hanya membiarkan imaginasi bermain di fikiran akan membangkitkan segala ragu, was-was dan bimbang hingga ia menjelma menjadi ketakutan. Menangguhkan tindakan akan mencambah rasa kegagalan ~ tewas sebelum bermula.

Daripada segi spiritual pula kawan kita itu berasa bahagia kerana dia menjaga keharmonian dengan Tuhannya dengan cara menjaga ibadahnya. Dengan menjaga perhubungan itu, insya-ALLAH, rahmat ALLAH SWT sentiasa melimpahi kehidupan sehariannya.

Kita pula tidak bahagia dari segi spiritual kerana cuai menjaga perhubungan kita dengan ALLAH SWT. Seringkali ibadah kita ditinggalkan di dalam lipatan sejadah. Selepas solat, kita tidak bawa intisari ibadah itu bersama dalam urusan dunia.

Inilah yang membezakan dia dengan kita. Dia punyai segala meskipun sedikit. Kita punyai sedikit meskipun mahu segalanya.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.2.2014, insya-ALLAH...