Tuesday, January 28, 2014

MENGAPA ANDA HANYA BACA TAJUK?



Piccredit: sinarharian
DI ANTARA
BERITA DAN CERITA

SUDAH sekian lama radio dan televisyen menjadi pencabar kepada penerbitan akhbar. Kemunculan internet pula bukan setakat mencabar, malah berdaya mematikan banyak penerbitan akhbar versi cetak. Untuk terus wujud, akhbar pula terpaksa melaksanakan langkah-langkah inovatif untuk memanjangkan hayatnya.

Melalui internet, sesiapa sahaja boleh jadi wartawan. Berita kemalangan jalanraya di Lebuhraya Utara-Selatan pada pagi tadi boleh terpapar di internet dalam masa beberapa saat. Foto, video dan berita bertulisnya boleh tiba ke genggaman pembaca melalui smartphone. Mereka tidak perlu lagi membuka komputer di pejabat atau di rumah untuk mengetahui berita itu.

Berbeza sekali dalam keadaan konvensional apabila berita dan foto kemalangan itu diambil oleh wartawan yang kemudiannya dihantar ke pejabat untuk disunting oleh sub-editor dan akhirnya ke mesin percetakan dan beritanya hanya terbit pada esok pagi. Berita yang panas sudah jadi sejuk dalam masa 24 jam kerana akan ada berita hot baharu yang menjadi tumpuan pembaca.

Kecepatan berita dapat disebar melalui internet inilah yang melelahkan penerbitan akhbar. Kerana tidak berdaya mengejar, maka banyak akhbar menerbitkan versi online masing-masing. Tujuannya untuk setanding atau berlawan dengan internet.

Namun, rupa-rupanya banyak juga penerbitan akhbar bercetak tewas dengan diri sendiri apabila para pembaca lebih sukakan akhbar online daripada akhbar bercetak. Mereka bertukar selera. Para pembaca baharu turut menyukai akhbar online sehinggakan pembaca akhbar versi cetak semakin mengecil dan akhirnya gulung tikar.

Setiap yang baik itu ada buruknya. Dan setiap yang kuat itu pasti ada kelemahannya. Berita yang terbit melalui internet ada buruknya dan ada kelemahan-kelemahannya. Di antara keburukan berita daripada internet ialah daripada segi ketepatan. Oleh kerana sebilangan daripada mereka yang memaparkan berita di internet itu mahukan kecepatan atau scoop berita, ketepatan sudah menjadi perkara kedua. Akibatnya berita yang sama dari laman yang berbeza boleh mempunyai berlainan fakta. Pembonceng motorsikal yang melecet kakinya akibat kemalangan, boleh patah kakinya dalam sebuah laporan daripada laman yang lain atau sudah meninggal pula dalam laman-laman yang lain.

Bayangkan jika yang melecet, patah kaki atau yang meninggal itu adalah seorang menteri, kemungkinan berita kecil itu meledak menjadi sebuah berita sensasi yang dikongsi melalui viral hingga bisa menggemparkan dan menimbulkan kekeliruan. Fakta akan menjadi auta seandainya sebuah berita benar itu diputar untuk memperoleh rating yang tinggi agar memperoleh iklan online yang mendatangkan wang.

Akhbar Sinar Harian mula memahami psikologi mereka yang membaca berita secara online. Oleh kerana itu, Sinar Online menumpukan perhatian kepada berita, sementara Sinar Harian versi cetak pula membuat persembahan melalui cerita. Benar, para pembaca di internet mahukan berita itu disampaikan segera. Justeru itu, apa sahaja berita besar yang sampai ke pengetahuan kami akan dipaparkan secepatnya melalui Sinar Online.

Bagaimana pun, berlainan pula dengan cerita daripada berita yang sama. Seorang bayi yang mati akibat didera itu adalah cerita. Apabila kisah itu diketahui, dalam masa beberapa minit sahaja berita itu tersebar di internet dan dipaparkan di Sinar Online. Namun, bagi akhbar versi cetaknya pula, Sinar Harian akan memaparkan berita latar, berita sampingan dan juga berita susulan kejadian.

Sinar Harian, dengan kekuatan pasukannya di seluruh semenanjung mampu mendapat dan memaparkan siapakah kedua-dua ibubapa bayi, kampung asal mereka, kerjaya mereka, kes-kes penderaan sebelum ini, pandangan NGO, pakar psikologi, pakar undang-undang dan juga maklumbalas orang ramai terhadap kes itu.

Persembahan kesemuanya di dada akhbar lebih merehatkan berbanding jika seseorang itu terpaksa scroll dari halaman ke halaman untuk mengetahui keseluruhan beritanya. Perbuatan itu amat memenatkan jari dan juga mata. Inilah kekuatan akhbar versi cetak yang masih sukar ditandingi oleh internet.

Berita yang dibaca melalui internet itu lebih berat kepada informasi. Ia hanya merangsang otak kiri. Berita yang ditatap di dada akhbar pula dipersembahkan dalam bentuk cerita. Ia merangsang otak kanan. Justeru, seseorang itu lebih mudah jemu membaca berita di internet berbanding membaca di dada akhbar. Ini boleh dilihat kepada fenomena mereka yang hanya membaca tajuk berita semata-mata dan bukan berita itu sendiri.

Ini terbukti kerana banyak sekali komen-komen pembaca berita secara online itu hanya berdasarkan tajuk, bukan isinya. Justeru itu, banyak komen mereka yang lari dari tajuk, penuh persepsi dan prasangka akibat tidak mahu membaca keseluruhan berita akibat kepenatan.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok pada 29.1.2014, insya-ALLAH...

Tuesday, January 21, 2014

ANAK-ANAK YANG TAK SEDAR DIRI



Piccredit: utuhpaloi.com
KITA YANG MEROSAKKAN ANAK-ANAK

KITA semua sedang mengikuti perkembangan kes pasangan Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Norshal yang didakwa memukul tangan salah seorang daripada anak mereka yang tidak bersolat. Pihak kerajaan Malaysia sedang mengusahakan agar mereka segera dibicarakan dan anak-anak mereka dapat ditempatkan di bawah jagaan keluarga Muslim. Pihak NGO juga sudah mula membantu daripada sudut perundangan dan kemanusiaan.

Betapa pun, pasangan tersebut sebenarnya melaksanakan saranan Rasulullah s.a.w mengenai cara menyuruh anak sembahyang. Sabda baginda:  Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukul mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkan tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).” (Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam pada kita mengikuti kes itu, apakah kita juga seperti mereka di Sweden itu? Apakah kita memukul anak kita yang tidak solat seperti saranan Rasulullah s.a.w? Atau apakah kita setakat berleter kepada anak yang leka bermain komputer hingga lewat untuk solat? Atau lebih buruk pula, apakah kita ingat akan tanggungjawab ini? Jika kita sendiri sudah lupa, bolehkah kita mengandaikan diri kita sendiri sebagai ibubapa yang tidak bertanggungjawab?

Sebahagian besar daripada kita adalah generasi pasca merdeka. Kita adalah generasi dalam sebuah negara membangun dan yang ingin maju menjadi sebuah negara perindustrian enam tahun lagi di mana Wawasan 2020 menjadi realiti bila fajar pagi 1 Januari 2020 bersinar di ufuk timur.

Oleh kerana kita seronok menjadi anak-anak merdeka dengan segala pembangunan di sekeliling kita, maka kita sudah lupa pada susah payah, jerih perih, kehidupan merana dan melarat yang kita sendiri lalui.

Sebenarnya, sebahagian besar daripada kita ini adalah dari golongan miskin. Kita juga orang kampung. Tidak ramai ibubapa kita terdiri daripada mereka yang berpendidikan sekolah menengah, apatah lagi universiti. Tetapi mereka ada ilmu survival. Dengan ilmu itu, mereka membina kita.

Ramai di antara kita yang hanya ada sepasang sepatu untuk ke sekolah pagi. Sepatu yang sama digunakan untuk ke sekolah petang. Kita berjalan kaki atau berbasikal. Kita belajar di bawah sinar pelita minyak tanah yang sawangnya menghitamkan hidung. Bagi yang bernasib baik sedikit, mereka akan gunakan lampu pam yang lebih terang.

Ramai yang lelaki pula berseluar pendek ke sekolah meskipun sudah ke sekolah menengah. Yang perempuan pun rata-ratanya tidak bertudung. Pada zaman selepas merdeka, hanya orang tua bertudung yang dinamakan selendang. Emak-emak kita yang memakainya masih menampakkan rambut dan sanggul. Ramai yang mandi perigi, mandi sungai atau mandi di pili air yang kerajaan pasang di tepi jalan. Ketika itu, ramai ibu-ibu yang mandi berkemban. Tidak ada orang kisah pun kerana itulah cara hidupnya.

Sudahlah kita rata-rata miskin, kita juga jahil. Jahil agama kerana tidak pernah dengar erti tutup aurat mengikut cara Islam. Di waktu itu, orang pandai agama yang paling hampir dengan kita hanyalah ustaz sekolah agama, pak imam, pak bilal atau yang dianggap lebih handal sedikit adalah tuan kadi. Tuan kadi pun kita hanya temui bila dia hendak menikahkan pasangan pengantin.

Walau apa pun kesusahan yang dilalui, orang-orang tua kita sentiasa mengingatkan… ‘Kita ini orang miskin, kita ini orang susah.’ Kata-kata yang diulang-ulang itulah yang menjadikan kita sentiasa sedar diri dan tahu dek untung bahawa kita orang miskin. Namun, kata-kata itu jugalah azimat buat kita untuk belajar kerana kata orang tua kita, ‘Kami tidak tinggalkan apa-apa harta. Hanya ilmu pengetahuan sahajalah harta buat bekalan kamu sekalian. Belajarlah rajin-rajin sampai pandai.’ Dalam kesusahan lagi jahil itulah kita belajar hingga berjaya dan berkerjaya.

Tetapi sesudah kita berjaya hingga berkeluarga, kita tidak perturunkan apa jua jerih perih yang orang tua kita alami. Kita juga tidak mahu berkongsi susah payah yang kita lalui. Ketiadaan kita dahulu sudah berganti dengan keberadaan. Susah dahulu tidak mahu diingat-ingat apatah lagi dikenang-kenang.

Kerana itu, anak-anak kita tidak diceritakan segala kesusahan datuk nenek mereka mahupun apa yang kita lalui sebagai ibubapa mereka. Biarlah mereka senang pula sementelah kita susah dahulu. Akibatnya anak-anak kita tidak mengerti apa itu kesusahan, apakah itu kemiskinan? Mereka ingat, ‘yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek’ akan mengiringi mereka di sepanjang hayat. Siapakah yang melalaikan mereka, siapa pula yang merosakkan mereka hingga menjadi manja dan lembik jika tidak kita sendiri?
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.1.2014, insya-ALLAH...

Tuesday, January 14, 2014

HEBAT SANGATKAH KITA?


Piccredit: pengembaraanmencarituhan.blogspot

NABI MUHAMMAD S.A.W
TIDAK PERNAH SAMBUT ULANGTAHUN KELAHIRAN

HARI cuti Maulidur Rasul semalam membolehkan saya keluar ke pasaraya untuk mendapatkan barang keperluan. Sambil melangkah, saya membaca pelbagai mesej di telefon. Saya menerima banyak sekali pesanan serta video melalui SMS dan Whatsapp dari kawan-kawan mengenai selawat, peribadi dan hadis-hadis mengenai keunggulan Rasulullah s.a.w.

Tiba-tiba isteri saya mengunjuk susunan pinggan porselin yang cantik. Bila saya nampak dia begitu teruja, saya mencapai sebuah pinggan dan membeleknya. Memang cantik. Tetapi entah mengapa hati saya bertanya, bagaimanakah bekas makanan baginda?

Saya pernah terbaca dalam sebuah riwayat bahawa gelas minuman Rasulullah s.a.w diperbuat daripada kayu. Apakah pinggannya juga daripada kayu? Samada kayu mahupun porselin, bila mengingatkan kesederhanaan Rasulullah s.a.w, dan gambar-gambar artifek sejarah pinggan mangkuk, saya hampir pasti buatannya tidak secantik mangkuk yang saya pegang ini.

Pada hari ini, berapa bekas makanan yang kita ada? Apakah set 12 keping, 18 keping atau 32 keping? Kita ada piring, pinggan dan mangkuk. Ada cawan, gelas dan kole. Ada sudu, camca dan garfu. Lain hidangan, lain set pinggan mangkuk yang kita akan gunakan. Bandingkan apa yang kita ada dengan apa yang Rasululullah s.a.w gunakan. Kita jauh lebih bermewah daripada nabi kita.

Fikiran saya melayang dan terbayang rumah baginda yang pernah saya tatap di internet. Hanya ada sebuah ruang tamu dan sebuah kamar. Rumah kita pula bagaimana? Dua bilik? Tiga bilik? Sepuluh bilik? Rasulullah s.a.w duduk di atas lantai. Kita ada set sofa di ruang tamu, set kerusi di meja makan dan kerusi di beranda. Ada pelbagai bentuk, buatan dan material.

Tempat tidur Rasulullah s.a.w diperbuat daripada kulit binatang dan berkusyenkan sabut kurma. (HR at-Tirmizi). Bagaimana pula tempat tidur kita? Kita ada katil single atau queen size, king size, siap dengan tilam spring, bantal, bantal peluk, comforter dan selimut. Bilik tidur kita ada tirai, langsir, karpet dengan pencahayaan lampu serta muzik yang boleh membuatkan kita tidur mati.

Dan jangan lupa, hidupnya sebagai pemimpin seperti tiada privasi kerana sentiasa di kelilingi oleh sahabat dan pengikutnya. Hinggakan orang biasa seperti orang kampung badwi boleh sahaja berkunjung ke rumah baginda pada bila-bila masa dengan tiada protokol atau adab hingga ALLAH SWT menurunkan ayat 4 dan 5 surah al-Hujurat yang menerangkan mengenai adab sopan ketika berkunjung ke rumah baginda (merujuk tafsir ibnu Katsir).

Kita orang biasa pun boleh sahaja tutup pintu bila pulang ke rumah kerana mahukan privasi. Ada juga yang gunakan loceng atau gunakan intercom door speaker bagi tetamu memanggil untuk memperkenalkan diri sebelum kita membuka pintu pagar automatik.

Rasulullah s.a.w tidak ada cuti umum, cuti hujung minggu, cuti kecemasan dan apatah lagi cuti tahun. Baginda sentiasa on-call. 24-7. Baginya, tiada istilah penat untuk berdakwah dan berjihad. Baginda pemimpin umat, malah pemimpin dunia. Bandingkan dengan kita yang ada pelbagai cuti. Bila bercuti, kita tutup telefon dan ghaib tak nampak batang hidung.

Apa yang berlaku pada kakitangan, pekerja bawahan atau rakyat tidak kita pedulikan. Tunggulah hingga kita pulang bercuti, baharulah kita akan menjenguk dan baharu hendak bercakap seolah-olah mereka sentiasa di hati kita.

Rasulullah s.a.w merantau jauh untuk menyampaikan seruan Islam. Kita pun merantau jauh juga. Tetapi hanya merantau jauh di alam siber. Dan kita tidak semestinya menyebarkan dakwah agama kita yang suci ini. Malah, ada di antara kita yang tanpa sedar menyebarkan kebencian sesama seagama. Kita handal berdakwah hanya kepada saudara seagama tetapi tidak terucap walau sepatah perkataan mengenai Islam pada jiran di sebelah rumah yang belum mengenali Islam.

Jika kita tidak dapat mengislamkan seorang kafir, mengapa kita tergamak mengkafirkan seorang Islam yang lain? Betulkah perbuatan, perilaku dan pengucapan kita seiring dengan apa yang Rasulullah s.a.w sarankan? Dalam skala 1-10, apakah sudah sampai skala satu?

Dan jangan kita lupa, Rasulullah s.a.w tidak pernah menyambut ulangtahun kelahirannya. Jadi, maaf cakap… kita fikirlah sendiri.

Nota: Saya memerahkan frasa ulangtahun kelahiran untuk mengelak kekeliruan. Ramai yang mengkritik saya bila saya gunakan frasa hari lahir sebelum ini yang membawa maksud hari dalam minggu. Justeru itu, jika saya kata Rasulullah saw tidak menyambut hari lahir, itu salah. Rasululullah saw menyambut hari lahir iaitu hari Isnin dengan berpuasa. Tetapi, Rasulullah tidak menyambut ulangtahun kelahiran, iaitu birthday pada hari dan bulan sekian-sekian seperti ramai di antara kita. 

Maaf kepada anda sekalian di atas kekeliruan tersebut. Semoga ALLAH mengampunkan kelemahan saya dalam penyampaian artikel ini.



Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 15.1.2014, insya-ALLAH...

Tuesday, January 7, 2014

MENGURUS KEMISKINAN


Piccredit: i-property.com.my

GOLONGAN YANG BARU

JATUH MISKIN

MASIH segar lagi pada ingatan saya di zaman persekolahan. Belanja untuk ke sekolah hanya 20 sen. 10 sen untuk nasi lemak, 5 sen untuk air sirap dan 5 sen lagi masih boleh saya simpan. Kalau emak terlupa bekalkan duit 20 sen yang diikat di hujung saputangan, esok saya hanya minum air paip di waktu rehat sebagai penghilang lapar. Saya tidak kisah kerana ramai juga kawan-kawan saya yang minum air paip.

Di rumah, emak berulangkali hidangkan makanan yang sama. Menu standard kami adalah gulai ikan kembung dan lauk kangkung atau ulaman memang dipetik dari belakang rumah sahaja. Kalau emak buat bubur kacang pada hari ini, esok emak akan buat kuih kasturi; lebihan bubur kacang yang tidak habis semalam. Makanan pun emak kitar untuk berjimat.

Tetapi keadaan itu biasa dan kami semua bahagia. Malah, semua orang kampung pun tidak berasa apa-apa. Mereka mudah berasa qanaah kerana semua orang hidup dalam kemiskinan.  Tetapi tidak lagi pada hari ini kerana jurang miskin dan kaya semakin ketara. Jangan sangka pada hari ini ada ramai orang kaya hanya kerana bila ramai orang kita yang suka makan di luar atau ke sana ke mari membelek smartphone. Di sebalik zahir yang kononnya makmur, kemiskinan sudah menjalar kerana ramai yang malu menunjukkan kemiskinan seperti orang dahulu.

Apakah kita tidak berjimat? Sebilangan daripada kita mengatakan kita sudah berjimat. Hendak berjimat apa lagi jika pendapatan kita hanya cukup-cukup untuk membayar tambang, bil, makan dan pakaian. Dan, simpanan di bank semakin susut kerana kesemuanya terpaksa dikeluarkan untuk belanja wajib. Malah ada yang terpaksa menambah hutang pula untuk mencukupkan belanja.

Tidakkah semua ini bermakna semakin ramai yang sudah jatuh miskin? Maaf cakap, ya. Kita yang menghadapinya tidak boleh nafikan realiti ini. Kian ramai yang sudah buntu. Tidak tahu apa hendak dibuat.

Rutin seharian dari saat bangun pagi, pergi kerja, pulang kerja dan berehat sebelum tidur menyukarkan seseorang untuk mengubah pola pemikiran dan pergerakan masing-masing akibat kepenatan. Tidak sempat hendak berfikir bagaimanakah cara untuk mengatasinya.

Benar. Ada juga yang buat kerja sambilan. Siang kerja di pejabat, malam memandu teksi. Atau pergi ke pejabat dengan membawa pek-pek jajan untuk dijual. Ada yang jual tudung, jual apa sahaja untuk menambah pendapatan.

Ada juga yang masih punyai cara untuk berjimat. Jika selama ini makan tengahari dengan nasi, ada yang hanya makan buah atau tunggu petang sedikit sekitar jam 3.00 petang untuk membeli cekodok di kantin. Harganya murah sedikit. Pakaian pun tidak perlu diganti kecuali bila benar-benar perlu.

Jika ada mentol lampu bilik tidur yang terbakar, biar sahajalah dahulu. Cukuplah biasan cahaya lampu dari ruang tamu menerangkan bilik. Bersolat di dalam gelap pun tidak mengapa. Pakaian, kasut dan beg sekolah anak-anak pun tidak perlu diganti dahulu. Jika kain sekolah terkoyak, nasib baiklah jika masih boleh dijahit selagi ia tidak perlu ditampal hingga compang-camping. Saya sebak menulis mengenai hal ini kerana saya juga memerhati apa yang berlaku di sekeliling kita. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Bezanya kita pada hari ini dan orang dahulu ialah, kita pandai menyembunyikan kedukaan. Orang dahulu menerima kemiskinan sebagai suatu kebiasaan kerana di waktu dahulu hampir semua daripada kita terdiri daripada orang miskin!

Kita ada golongan yang kaya dan golongan yang miskin dalam negara kita. Golongan yang kaya boleh menjaga diri dan golongan yang miskin dibela dengan pelbagai program membasmi kemiskinan. Tetapi, kenaikan kos sara hidup mewujudkan golongan sederhana yang jatuh miskin.

Inilah golongan yang marah bila disuruh berjimat. Mereka naik angin kerana belum sempat mereka melihat sinar kemakmuran, istana impian mereka sedikit demi sedikit terhakis menjadi debu. Golongan inilah yang perlu dibela. Pihak pemerintah wajib melihat golongan yang menggelongsor miskin ini secara mikro. Jika selama ini golongan miskin dibela, dengan agenda membasmi kemiskinan, segmen rakyat yang bekerja tetapi sudah tidak berdaya menanggung kos kehidupan yang semakin meningkat ini perlu ditangani dengan agenda mengurus kemiskinan.

Inilah golongan yang cepat dan mudah memberi respons jika diberikan latihan kemahiran dan modal kerana mereka lasak bekerja. Mereka tahu berkomunikasi, mereka tahu IT dan mereka akan ligat menjana ekonomi sendiri yang akhirnya mengembangkan ekonomi negara.  Selamatkan golongan ini. Mereka adalah jambatan di antara yang kaya dan yang miskin. Lakukan sekarang!
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 8.1.2014, insya-ALLAH...