Tuesday, December 31, 2013

CARA LEBIH TEPAT MEMASANG AZAM



Photocredit: blog.search-mojo.com

APAKAH AZAM BAHARU
HANYA DI TAHUN BAHARU?

SUDAH bertahun-tahun saya tidak berazam baharu sebagai salah satu cara saya beresolusi di tahun baharu. Saya tidak lakukannya kerana semangat berazam baharu ketika menyambut tahun baharu hanya mampu bertahan selama tiga-empat hari. Kemudian azam itu entah ke mana. Saya tidak dapat mempertahankan azam itu kerana saya selalu terlupa yang saya sudah memasang azam. Oleh kerana saya dapati ia tidak praktikal buat saya, maka saya tinggalkan niat berazam baharu di tahun baharu.

Bagaimana pun saya masih berazamkan sesuatu. Tetapi bukan sempena tahun baharu. Sebaliknya, saya berazam kerana berasakan ia perlu saya lakukan untuk kebaikan saya sendiri. Dua azam yang berjaya saya lakukan ialah berhenti merokok dan mengurangkan makanan bergula. Azam berhenti merokok itu saya lakukan ketika saya hendak menunaikan fardu haji pada tahun 2003. Saya berazam mengurangkan makanan bergula kerana diserang diabetes di penghujung tahun lalu.

Alhamdulilah kedua-duanya berjaya. Sudah 10 tahun saya berhenti menjadi penagih rokok. Sudah setahun pula saya berhenti menggemari makanan manis. Paras gula dalam darah menurun daripada 32 mmol/l(milimole per litre) ketika saya diserang diabetes kepada sekitar 5-7 mmol/l sejak 1 Januari 2013 hingga ke hari ini. Pada hari ini, sudah setahun azam saya ini tercapai meskipun azam ini bukan sempena tahun baharu. Sebaliknya kerana keperluan untuk sihat badan.

Saya percaya sebahagian besar daripada kita yang berazam sempena tahun baharu tidak dapat mempertahankan azam itu. Ia tidak kekal kerana ramai yang merangka azam tahun baharu pada malam tahun baharu itu sendiri apabila ramai yang bercakap mengenainya. Bila dilakukan, hasilnya hanyalah seperti jerk reaction ~ sebuah reaksi luaran yang dilakukan tanpa berfikir panjang sebagai respon kepada apa yang berlaku di sekelilingnya. 

Bagaimana pun, ramai juga di kalangan kita yang telah berjaya mempertahankan atau menunaikan azam masing-masing bukan kerana memasang azam di tahun baharu. Sebaliknya kita berjaya mencapai azam itu kerana keinginan yang tinggi untuk menjayakannya atas sebab-sebab yang tersendiri.

Misalnya, ada yang berazam untuk tidak memandu melebihi had laju kerana pernah mengalami kecelakaan di jalan raya hingga patah kaki. Ada yang berazam berjaya dalam pelajaran sebagai syarat dari si gadis sebelum dapat memperisterikannya. Ada yang berazam menjadi orang beriman kerana insaf setelah terjerumus dalam ajaran sesat.

Azam baharu sempena tahun baharu biasanya gagal kerana ia tidak kukuh. Azam yang dipasang itu hanya punyai satu tiang iaitu visionary thinking. Hanya memandang ke hadapan. Azam yang kukuh mesti mempunyai dua lagi tiang iaitu reflective thinking atau memandang ke belakang dan contemplative thinking iaitu memandang ke dalam diri.

Pendek kata, berazam itu mesti dipasak dengan memandang ke hadapan, ke belakang dan juga ke dalam diri. Visionary thinking atau memandang ke hadapan(berwawasan) itu penting kerana ia membantu kita melihat matlamat. Reflective thinking atau memandang ke belakang(bertaddabur) itu kita lakukan supaya kita tidak mengulangi kesilapan lampau. Dan, contemplative thinking atau memandang ke dalam diri(muhasabah) itu penting kerana ia berhubung dengan hati. Jika hati mengikut apa yang diazamkan, insyaALLAH sesuatu azam itu bukan sahaja dapat dicapai, malah boleh dipertahankan.

Dengan kenaikan pelbagai barangan harian dan perkhidmatan, kita wajib memasang azam supaya bajet tidak lari. Dalam pada itu, agak over seandainya kita berikrar pula sempena tahun baharu untuk berjimat cermat. Bukankah berjimat cermat itu sudah semestinya menjadi amalan sesiapa sahaja?

Lagi pula, berjimat cermat itu pendekatan yang tidak tepat. Yang tepat, yang seharusnya menjadi azam, iltizam dan istiqamah kita semua ialah menjauhi pembaziran. Mengelak pembaziran itu amat dituntut kerana, Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (al-Isra’27)

Ada sesiapa di antara kita yang ingin terus bersaudara dengan syaitan pada tahun 2014 ini?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 1.1.2014, insya-ALLAH...

Tuesday, December 24, 2013

JAWAPAN DIDAHULUKAN


 
STRESNYA WARTAWAN
MENCARI JAWAPAN

MENGIKUT kajian di Careercast.com, kerjaya dalam bidang kewartawanan adalah di antara sepuluh kerjaya yang punyai kadar stres yang tinggi. Wartawan foto menduduki tangga ke tujuh kerjaya yang paling stres, sementara wartawan akhbar pula di tangga kedelapan.

Kajian untuk tahun 2013 itu membariskan sepuluh kerjaya yang paling stres. Tugas sebagai askar berada di tangga pertama. Ini diikuti dengan kerjaya jenderal tentera, ahli bomba, juruterbang komersial, eksekutif perhubungan awam, eksekutif korporat, wartawan foto, wartawan akhbar, pemandu teksi dan anggota polis di tempat ke sepuluh. Akhbar Sinar Harian telah menyiarkan penemuan ini dalam Edisi Isnin, 23 Disember lalu.

Benar. Tidak kiralah di kedudukan ke berapa pun, kerjaya di bidang kewartawanan atau persuratkhabaran, secara keseluruhannya sememangnya mempunyai kadar tekanan yang tinggi. Sama ada seseorang itu menjadi wartawan, sub-editor, wartawan foto, pereka grafik akhbar, pelukis, pencetak mahupun pengedar akhbar sekali pun, ia adalah kerja yang penuh dengan adegan kejar mengejar dengan masa. Tentu sekali kerjaya di bidang yang seiring dengannya iaitu di bidang penyiaran atau akhbar dalam talian juga mempunyai kadar stres yang tinggi.

Jika kerjaya lain punyai deadline seminggu atau sebulan sekali, ataupun mengikut tempoh perlaksanaan sesebuah tugasan atau projek, kerjaya di bidang kewartawanan berdepan dengan deadline secara harian. Hari-hari perayaan adalah juga hari kerja seperti hari-hari yang lain. Semakin ada hari perayaan, semakin pentinglah akhbar itu diterbitkan kerana orang ramai lebih suka membaca pada hari cuti umum.

Namun ironinya, semakin kerap dan panjang cuti umum seperti pada hari-hari akhir tahun ini, semakin keringlah bahan berita yang sampai ke pengetahuan orang surat khabar. Namun, di antara orang penting yang boleh menjadi sumber berita adalah pak menteri. Mereka punyai pelbagai jawapan kepada banyak persoalan. Tetapi, andainya pak menterilah orang yang ingin ditemui, pada waktu inilah mereka sukar dihubungi kerana pada hujung tahun juga adalah masa bagi mereka bercuti.

Meskipun mereka kesemuanya berada di hujung jari, hanya tekan sahaja nombor telefon mereka dan suara mereka akan kedengaran menjawab panggilan, tetapi ada yang tutup telefon kerana tidak mahu diganggu. Maka tinggallah para wartawannya terkontang-kanting mencari jawapan.

Situasi begini biasa terjadi apabila pihak akhbar mahukan maklumbalas mengenai sesebuah isu yang tercetus. Misalnya, bila terjadi banjir kerana parit besar tersumbat, masalah mendapat respon akan terjadi apabila nada panggilan telefon kepada pak menteri tidak berjawab.

Pegawai bertanggungjawab di jabatan yang dihubungi untuk mendapat maklumbalas pula mati-mati tidak mahu memberi respon kerana katanya, hanya bosnya sahaja yang boleh memberi jawapan bilakah parit tersumbat itu boleh dikorek. ‘Kes parit tersumbat ini hanya menteri sahaja yang boleh jawab,’ demikian katanya. Sedangkan bukankah semua tugasan dalam ruanglingkup sesebuah jabatan itu mempunyai prosedur operasi standard yang boleh menjadi rujukan?

Wartawan yang tidak mendapat jawapan seperti yang diharapkan itu akan bengang kerana petang nanti stresnya akan melonjak apabila editornya pula akan memberi komen dengan selamba, ‘Kita terbit Sinar Harian, bukannya Sinar Mingguan. Kenapa tak dapat maklumbalas pada kes yang mudah begini?’

Ada juga orang politik yang dihubungi tatkala tercetus sesebuah isu itu berjanji akan memberi jawapan bila dia selesai mesyuarat. Namun, apabila hingga ke senja pun panggilan daripadanya tidak diterima, itu bukan petanda orang politik itu sudah terlupa, tetapi sudah buat-buat lupa.

Membuat temujanji pula boleh menjadi satu masalah. Selain daripada jadual yang ketat orang politik yang ingin ditemui, panggilan wartawan akan ditapis oleh pegawai yang akan menjawab dengan pelbagai alasan yang menyukarkan temujanji dibuat. Kerana itulah jalan segera wartawan mendapat maklumbalas ialah dengan menerjah ke majlis orang politik. Biarlah ia kelihatan menggesa, tetapi tugas wartawan ialah menghebahkan jawapan kepada pelbagai persoalan.

Membaca akhbar adalah seperti menonton cerita bersiri. Pembaca yang didepankan dengan persoalan pada hari ini perlukan jawapan pada hari esoknya. Andainya jawapan tidak diperoleh pada hari berikut, dia tidak akan berpuashati. Semakin lama jawapan tidak diperoleh, rasa jengkel, meluat dan akhirnya marah akan berkerak di dalam jiwanya.

Kerana itu, di antara tugas penting orang politik selain daripada berucap dan berdebat ialah menjawab. Walaupun akan timbul persoalan lain sesudah sebuah jawapan, yang penting ia menggambarkan keprihatinan orang politik terhadap kerisauan orang ramai. Samada sesebuah jawapan itu diterima atau tidak, ia berupaya mengubat segala prasangka.

Benar, bekerja itu lebih baik daripada bercakap. Benar, rakyat patut didahulukan. Tetapi jawapan pula harus didahulukan sebelum janji dapat dipenuhi.
 
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 25.12.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, December 17, 2013

GOLONGAN PENYATU UMMAH



Piccredit:murai.com

GOLONGAN USTAZ
SEMAKIN GLAMOR

SEDARI dahulu hingga kini, golongan ahli politik adalah mereka yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Namun, dari semasa ke semasa akan terdapat golongan lain yang turut menjadi popular. Penampilan, persembahan mahupun fikiran mereka akan menjadi rujukan dan ikutan. Pendek kata, mereka adalah golongan yang glamor pada satu-satu masa itu.

Bila kita susur kembali ke zaman pra-merdeka dan tahun-tahun  akhir 50an, golongan sasterawan adalah kumpulan yang menjadi perhatian dan ikutan. Karya mereka menjadi bahan bacaan dan tontonan. Mereka turut berganding bahu dengan golongan ahli-ahli politik untuk meniup semangat kemerdekaan. Siapa tak kenal dengan golongan sasterawan Usman Awang, Keris Mas, Mahsuri S.N, Samad Ismail dan A. Samad Said pada zaman itu?

Pada ketika itu juga golongan artis juga adalah golongan yang glamor. Nama-nama seperti P. Ramlee, Jamil Sulong, M. Amin, S. Roomai Noor, Nordin Ahmad, Sarimah, Latifah Omar dan Roseyatimah adalah di antara biduan dan biduanita yang disukai masyarakat. Kemudian pada tahun-tahun 60an, muncul pula nama-nama artis seperti A. Rahman Hassan, A. Rahman Onn, Fatimah M. Amin dan Sanisah Huri di era pop yeh-yeh mendapat ruang di hati masyarakat.

Beranjak ke tahun-tahun 70an, golongan artis masih menjadi sebutan. Penyanyi seperti D.J Dave, Uji Rashid dan Hail Amir serta pelakon seperti Yusof Haslam, Zulkiflee Zain dan Normala Omar adalah di antara nama-nama yang meniti di bibir para peminat. Tahun-tahun 80an pula menyaksikan kumpulan rock kapak mendapat tempat. Kumpulan Search, Wings, Febians, Lefthanded dan Gersang adalah di antara berpuluh-puluh band rock yang menjadi glamor.

Namun pada tahun-tahun 90an, minat masyarakat mula beranjak daripada golongan ahli politik dan artis. Tidak ramai yang menyedari kemunculan golongan ustaz telah mula mengambil tempat di hati masyarakat. Kini mereka adalah golongan yang ketiga terkenal selepas golongan ahli politik dan artis.

Bermula dengan rancangan Forum Perdana di RTM 1 pada setiap malam Jumaat, nama-nama ustaz seperti Ustaz Hassan Din, Ustaz Harun Din, Dato’ Md. Hashim Yahya, Dr. Hassan Ali dan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mula dikenali masyarakat bila diangkat ke kaca televisyen. Mereka membawa imej kemodenan dan persepsi kesemasaan.

Setelah dua dekad berlalu, minat masyarakat terhadap golongan ustaz semakin kukuh. Malah akan jauh lebih kukuh berbanding dengan pengaruh ahli-ahli politik mahupun kepopularan para artis.

Jika kita buka saluran televisyen berbahasa Melayu di waktu pagi, kita tidak akan terlepas untuk menatap wajah ustaz memberi ceramah mahupun menjawab kemusykilan agama. Kemunculan saluran televisyen khas mengisi rancangan berbentuk agama seperti TV AlHijrah, Astro Oasis dan TV9 serta radio IKIM memperkukuhkan kehadiran ustaz sebagai golongan yang glamor.

Saya tertonton rancangan Pencetus Ummah di rangkaian Astro, sebuah program realiti untuk mencari penceramah agama. Di rancangan itu, para pesertanya bukan sahaja diminta berceramah, malah berlakon dan berlawak, siap dengan persembahan efek khas bunyi dan imej sebagai cara mereka menarik hati penonton.

Bersyukur kita kerana mempunyai ustaz-ustaz yang semakin kemas imej dan fasih pertuturan. Ini amat sesuai dengan kehendak masyarakat. Orang sekarang tidak lagi bertanya mengenai mandi hadas dan hukum bersugi sebelum solat. Malah, mereka sudah berani mempersoalkan hal-hal yang lebih berilmu seperti sejarah Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ustaz sudah tidak berketrampilan jika hanya berbaju Melayu atau berjubah, berkain pelaikat dan bercapal.  Mereka kini mempamerkan imej yang dekat di hati khalayak. Mereka sudah berkot dan bertali leher. Mereka tidak lagi membuka kitab kuning, sebaliknya menatap kitab di tab.

Mereka ada akaun Twitter, Facebook dan Instagram. Mereka tidak lagi dianggap golongan yang elit dan eksklusif. Malah mereka telah diterima sebagai golongan yang menjadi pakar rujuk dan penasihat.

Dalam pada memainkan peranan sebagai penyatu ummah, mereka sendiri perlu dilihat bersatu sesama mereka. Kadangkala, hujah dan debat sesama mereka dilihat tidak molek dan tidak thiqah sebagai ustaz. Tidak thiqah itu tidak semenggah. Perselisihan pendapat sesama mereka perlu ditangani secara tertib kerana para ustaz adalah penyatu ummah. Tugasnya berat. Jangan diberatkan lagi.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.12.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, December 10, 2013

MENYANJUNGI SAHABAT


 
Pic credit: danpontefract.com
SIAPAKAH YANG
JADI PENASIHAT KITA?

SEDARI kecil, insan yang paling hampir dengan kita ialah ibu dan bapa. Oleh kerana rapatnya mereka dengan kita, maka kita yakin apabila mereka ada di sisi. Malah, kita tidak berasa selamat tatkala mereka tiada di depan mata, meskipun barang seketika.

Kasih sayang yang ditunjuk dan diberi itulah yang menimbulkan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kita terhadap mereka. Ketika masih bayi yang boleh merangkak, suara lembut atau suara tegas ibu membezakan samada dia membenar atau melarang apa yang kita ingin lakukan. Di kala itu, kita akan patuh dengan segala nasihat mereka.

Di usia sebegitu, selain daripada ibubapa, saudara terdekat yang lain seperti atuk, nenek, abang dan kakak juga membantu kita menimbang apa juga tindakan yang bakal kita lakukan. Mereka juga adalah penasihat kita.

Ketika di zaman persekolahan, selain daripada mengajar, guru juga memainkan peranan sebagai penasihat dengan cara menggalakkan kita mematuhi peraturan dan sistem. Oleh kerana suasana pembelajaran di sekolah itu lebih formal, maka kita beri perhatian yang serius terhadap apa yang mereka sampaikan.

Apabila meningkat remaja dan akil baligh, fikiran kita semakin terbuka. Kita bukan sahaja belajar mengenai hitam-putih kehidupan, tetapi juga perkara-perkara yang kelabu. Pada zaman itu, penasihat yang paling hampir dan dapat memenuhi naluri ingin tahu kita tentulah kawan-kawan.

Pandangan merekalah yang menjadi rujukan. Nasihat mereka lain daripada nasihat daripada ibubapa, guru dan saudara terdekat. Jika selama ini kita menerima nasihat untuk melakukan perkara-perkara yang baik-baik dan elok-elok, nasihat daripada kawan-kawan ini juga termasuk hal-hal yang nakal dan yang haram.

Seterusnya, apabila kita bekerja, keluar daripada rumah untuk melanjutkan pelajaran, dan kemudian berhijrah kerana kerjaya dan berumahtangga pula, semua mereka yang kita kenali itu sedikit sebanyak menjadi penasihat kita. Isteri atau suami, jiran atau rakan sekerja turut menjadi rujukan kita. Walau apa pun, kesemua mereka yang menasihati kita sejak bayi hingga di alam kerjaya ini adalah orang yang kita kenali secara fizikal.

Bagaimana pun, situasi pada hari ini sudah berbeza sama sekali. Perkembangan internet yang menjadikan dunia tanpa sempadan juga telah membuka rangkaian pergaulan kita dengan mereka yang berada di hujung dunia. Teman-teman di laman sosial kini menjadi tempat rujukan kita.

Anehnya, atas nama kawan yang kita tidak sempat pun tahu latar belakang mereka kerana jumlahnya ratusan, malah ribuan, ada di antara kita yang meletakkan kepercayaan kepada mereka. Kerana takjub dengan jumlah mereka yang dikatakan kawan, kita dedahkan diri kita kepada mereka.

Andainya kita berkongsi kegembiraan, tentulah ia sesuatu yang berpada. Tetapi, apabila segala masalah peribadi kita itu kita luahkan kepada mereka yang tidak kita kenali semata-mata kerana hendak meluahkan perasaan, di manakah rasionalnya jika kita terima sahaja nasihat mereka lebih daripada nasihat mereka yang kita kenali sejak bertahun-tahun?

Jika kita demam panas pun, kita berjumpa dengan doktor kerana kita meletak nyawa kita kepada mereka yang mahir, di mana logiknya apabila kita sakit hati, kita menceritakan masalah kita kepada mereka yang kita tidak tahu latar belakang mereka. Berpuluh-puluh respon yang berbagai dari kawan-kawan di laman sosial itu bisa membikin kita bingung. Akhirnya, nasihat siapa yang kita terima?

Mengapa tidak kita bezakan tahap penasihat untuk diri kita? Untuk hal-hal yang peribadi, kita rujuk kepada mereka yang kita kenali secara konvensional. Untuk perkara yang biasa-biasa, untuk suka-suka, kita bolehlah uar-uarkan kepada kawan-kawan di laman sesawang.

Dan, kita sendiri pun tidak perlu menjadi penasihat kepada orang yang tidak kita kenali sebab nasihat itu akan terselit di antara nasihat-nasihat yang lain. Ia belum tentu dibaca pun. Kerana itu, tindakan kita hanya membuang masa. Ada ramai lagi mereka di sekeliling kita yang perlukan nasihat. Kepada merekalah kita tumpukan perhatian. 

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 11.12.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, December 3, 2013

MASA YANG BERLARI


 
Piccredit: icr.org

MENGAPA DISEMBER
CEPAT MENJELMA?

KITA sudah berada di bulan Disember. Cepatnya masa berlalu. Pejam celik, pejam celik sudah bulan 12. Demikian rungut kita. Sedangkan sebenarnya masa bergerak begitu perlahan. Perhatikan jarum saat jam di dinding. Detik demi detik. Saat demi saat. Setiap kali jarum saat itu bergerak, ia hanya beranjak sedikit. Pergerakan satu saatnya amat perlahan.

Setiap langkah kita pun lebih cepat daripada satu saat itu sendiri. Gerakan jari kita yang menggaru pun lebih laju dari sesaat. Begitu juga kerlipan mata kita. Tetapi mengapa kita berasa hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun itu begitu cepat? Mengapa berasa sentiasa kalah dengan masa? Itukah sebab kita sentiasa hidup terkejar-kejar kerana sering ditinggalkan masa?

Bukankah jika satu langkah kita itu lebih pantas dari daripada satu saat, kita boleh lebih cepat daripada masa? Maknanya, mengalahkan masa? Kita tidak akan ditinggalkan oleh masa dan tidak akan lewat dalam apa jua perkara yang kita lakukan. Benarkah begitu?

Tidak! Masa itu bergerak dalam satu dimensi; ke satu hala. Ia tidak akan berpatah balik. Sejak ALLAH S.W.T mencipta alam semesta dengan satu ledakan di angkasa raya, seluruh cakerawala bergerak satu arah iaitu arah yang menjauhi paksi ledakan itu. Ledakan itulah yang mencetus apa yang dinamakan sebagai masa. Masa tidak akan berhenti sehingga alam ini digulung dalam erti kata kiamat.

Jam hanyalah sebagai alat pengukur masa iaitu memberi kita gambaran bahawa masa itu wujud. Justeru itu, kita tidak akan dapat mengalahkan masa walaupun betapa cepat kita bergerak. Kita mungkin sampai lebih awal ke sesuatu tempat mengikut anggaran peruntukan waktu kita. Tetapi kita tidak akan dapat memenangi perlumbaan dengan masa. Kerana itu, kita hanya menang dalam peruntukan masa yang kita sendiri peruntukan.

Misalnya, jika kita menganggarkan kita akan menyiapkan kerja dalam masa satu jam tetapi dapat menyudahkannya dalam masa 45 minit, kita hanya berjaya memenangi masa dalam tempoh itu semata-mata.

Oleh kerana masa itu bergerak perlahan, kita perasan yang kita akan memenangi masa jika kita bergerak lebih cepat. Segala perkembangan teknologi daripada zaman perindustrian hingga kini, apa yang dibuat menjurus kepada memantaskan pergerakan. Memberi rasa seolah-olah kepantasan itu semacam satu kemenangan.

Itulah yang menjadikan kita berebut-rebut dalam melakukan sesuatu. Tetapi, berebut-rebut akan membawa sikap gopoh. Gopoh akan membawa kecuaian. Kecuaian pula bererti tewas dan gagal. Namun, oleh kerana bergerak itu membawa perasaan yang kita akan menang dalam perlumbaan dengan masa, maka kita pun tidak boleh duduk diam. Kita akan bangun dan berlumba lagi hanya untuk tersungkur semula.
Kita tentu pernah melihat betapa ada kereta yang bersilang laju  memotong kereta kita di lebuhraya, akhirnya berada di belakang kita kembali kerana terpaksa mengekori lori besar yang bergerak perlahan di lorong sebelah. Begitu juga kita biasa membelok ke jalan pintas kononnya untuk lebih cepat sampai ke destinasi daripada menunggu lampu trafik bertukar hijau di hujung simpang. Namun, bila kita menatap jam, rupa-rupanya kita mengambil masa yang jauh lebih lama daripada menanti di persimpangan itu tadi. Justeru, bergerak laju tidak semestinya membawa kemenangan.

Kehidupan kita pada hari ini sememangnya merangsang mode kepantasan. Menjadikan kita sentiasa ingin terus bergerak. Kerana itu kita rengsa kerana berasa masa bergerak perlahan tatkala kita menanti. Hingga ada frasa, ‘penantian itu satu siksaan.’ Sedangkan bukankah penantian itu juga melatih kesabaran atau penantian itu menimbulkan ketenangan?

Tetapi, oleh kerana bergerak cepat itu menjadi mode kehidupan hari ini hingga sudah sebati dalam naluri manusia, kita berasa seronok dengan kepantasan.  Kita punyai persepsi bahawa masa bergerak begitu pantas tatkala kita melakukan sesuatu yang kita sukai. Sebaliknya, kita alami ilusi masa merangkak perlahan apabila kita tidak suka melakukan sesuatu itu.

Justeru, kita kembali kepada soalan mengapa 2013 bergerak begitu pantas? Apakah kita rasa mengapa Disember begitu cepat menjelma sedangkan Januari dirasakan seperti baru dilalui bulan lepas? Apakah kerana kita berasa masa bergerak begitu cepat sebab kita sebenarnya suka dengan apa yang kita lakukan? Kalau begitu, apakah ia juga bermakna kita sukakan dunia yang fana ini? Atau… maaf cakap, kita tergolong dari orang yang cinta dunia?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 4.12.2013, insya-ALLAH...