Tuesday, October 29, 2013

UNTUK APA MENJAGA STATUS

Poto credit: charlesopersonality.blogspot 

MENJADI ORANG BIASA YANG BAHAGIA

Kawan saya Faizal, seorang eksekutif yang metrosexual, suka mengemas pinggan dan cawan setiap kali selepas makan di restoran. Tidak padan dengan gaya machonya yang segak berdandan, dia selamba sahaja melakukan kerja itu. Satu hari saya tanya kenapa dia berbuat begitu? Jawabnya, dia pernah bekerja sambilan di restoran sewaktu dia pelajar dahulu. Katanya lagi, ketika itu dia memang penat mengemas jika ada pelanggan yang tinggalkan meja bersepah.

Bila Faizal menjadi pelanggan kini, dia berasa prihatin dengan para pekerja restoran. Tak sedap hati kalau dia tak kemas meja selepas makan. Cukup setakat himpunkan pinggan dan gelas kembali ke dalam dulang. Dan, sekadar mengelap sedikit air yang tumpah di meja dengan kertas tisu.

Betul juga kata dan tindakan kawan saya itu. Sejak itu, bila saya makan di restoran dan teringat apa yang Faizal lakukan, saya turut susun pinggan dan cawan, sudu dan garfu agar mudah para pekerja restoran membersihkan meja. Baru-baru ini, saya terpandang satu keluarga besar yang menjamu selera menyusun kerusi yang mereka duduki apabila bangun untuk meninggalkan restoran. Sesungguhnya ia adalah perbuatan yang baik dan patut dicontohi.

Apabila saya menulis mengenai hal ini di laman Facebook saya, rupa-rupanya ada yang lakukan apa yang saya dan Faizal buat. Malah, ada di antara mereka yang memberi reaksi terhadap entri saya itu adalah mereka yang tidak pernah memberi komen terhadap entri saya selama ini.

Kalau hendak diikutkan, mengemas meja selepas makan di restoran tidak perlu dilakukan. Sementelah kita membayar caj perkhidmatan di restoran yang ada kelas, perbuatan sebegini boleh dilihat sebagai kekampungan pula. Samalah juga kita dianggap kekampungan apabila mengambil tisu, sudu dan garfu sendiri tanpa memanggil pekerja menyediakannya untuk kita.

Malah, pergi ke kaunter untuk membayar pun tidak kena kerana sepatutnya kita hanya perlu melambai pelayan supaya mereka menghantar bil. Kemudian, apabila si pelayan datang dengan resit dan wang baki, kita dengan penuh gaya menyatakan padanya ‘keep the change,’ lalu mengambil sahaja resit, kononnya untuk tuntutan elaun keraian, padahal jawatan kita itu tidak melayakkan kita untuk mendapat elaun itu.

30 tahun lalu, tatkala baharu berhijrah di Kuala Lumpur, saya belajar makan KFC menggunakan pisau dan garfu. Sebagai orang kampung, saya tidak pernah makan menggunakan pisau. Tidak sedar kalau ada orang tertawa melihat saya memotong ayam dengan pisau tetapi menyuap potongan ayam itu dengan pisau juga.

Seperti Mr. Bean, saya tidak rasa malu dengan apa yang saya buat kerana berasa saya sudah ada gaya orang Kuala Lumpur. Sehinggalah pada suatu hari, saya terpandang sepasang pelancong mat salih yang makan ayam dengan tangan, baharulah saya berani mencekau ayam goreng dengan tangan di KFC di segitiga emas, Kuala Lumpur. Rupa-rupanya tiada guna berlagak tidak kena pada tempatnya.

Saya kenal dengan beberapa orang berpangkat tetapi amat marhaen dalam tindak tanduk mereka. Saya pernah bekerja sepejabat dengan seorang bos yang selesa mengelap mejanya daripada menyuruh tukang cuci melakukannya. Saya kenal dengan beberapa orang pegawai berpangkat yang lebih suka duduk di sebelah pemandunya, atau menjadi pemandu sedangkan drebarnya duduk di kerusi sebelah. Dan seorang tokoh korporat yang selalu saya lihat  menjinjing ikan bila menemani isteri ke pasar tani.

Hidup ini mengajar kita untuk berani menjadi diri sendiri agar kita senang hati. Tidak perlu berlakon, bergaya dan menyamar semata-mata kerana takut dilihat kekampungan mahupun tiada stail. Orang kata, jikalau ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya. Asalkan apa yang dilakukan itu bukannya sesuatu yang mengaibkan, kita perlu membuang topeng kelas, status dan kasta di dalam minda.

Apabila kita terlalu menjaga status semata-mata kerana untuk mempamerkan kehebatan, stail dan  imej kekotaan, percayalah ia tidak akan menggembirakan hati. Sebaliknya kita akan tenggelam dalam tempurung yang kita bina sendiri. Akhirnya orang di sekeliling kita hanya berlakon untuk menyedapkan hati kita. Layanan mereka palsu kerana kita juga sudah jadi sombong kerana kepalsuan.

“Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dgn sombong, karena sesungguhnya kamu sekali-kali tak dapat menembus bumi & sekali-kali kamu tak akan sampai setinggi gunung.” (al-Isra; 37)

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 30.10.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, October 22, 2013

ASPEK FIZIKAL YANG DIKETEPIKAN


 
Photo credit: bitbroken.com

CEKAP BERFIKIR TETAPI TIDAK SIHAT

MEMANDU untuk mencari  rumah pengantin turut memberi saya peluang meninjau dan melihat kawasan perumahan baru, taman rekreasi, masjid, sekolah, pasaraya, kolam kumbahan, tempat pelupusan sampah serta pelbagai lagi tempat yang menarik dan juga yang menyakitkan mata.

Biasanya, bila kita ke tempat yang lazim kita pergi, pandangan kita hanya ke hadapan, melihat lampu trafik dan tol. Tetapi, bila memandu ke rumah pengantin pula kita akan ke tempat yang tidak pernah kita sampai. Segala mercu tanda kita perhati dan bandingkan dengan peta di kad jemputan kahwin. Kita akan lebih peka dengan suasana sekeliling.

Baru-baru ini saya terpandang sebuah bangunan tinggi yang cantik tatkala memandu ke rumah pengantin di pinggir Lembah Kelang. Apabila melewati, bangunan yang cantik itu rupa-rupanya adalah sebuah kolej swasta. Bangunan-bangunan di sekeliling kolej swasta itu adalah bangunan rumah kedai tiga tingkat. Ertinya, kolej swasta itu menyewa bangunan tinggi itu kerana ia terletak di kompleks perniagaan.

‘Kolej tu tak ada padang ke?’ tanya anak saya yang duduk di kerusi belakang. Walaupun baru selesai menduduki peperiksaan PMR, anak saya sudah berangan untuk belajar hingga ke universiti. Sejak di sekolah rendah lagi dia sudah bercita-cita hendak menuntut di Universiti Malaya seperti abangnya atau di UiTM seperti kakaknya. Malah, dia sudah biasa masuk ke dalam kampus tatkala saya menghantar abang dan kakaknya pulang pada hujung minggu.

Soalan anak bongsu saya itu membuat memori saya mengimbau dan perasan sekurang-kurangnya ada dua lagi kolej swasta yang ditempatkan di bangunan tinggi. Sebuah kolej berada di tepi jalan dan sebuah lagi di kawasan perumahan. Tiada padang bola atau taman rekreasi disediakan untuk para pelajarnya seperti kolej swasta yang baru saya lewati itu. Mengapa ya?

Apakah tiada peraturan dan syarat ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan kepada mana-mana kolej swasta untuk menyediakan padang untuk para pelajarnya beriadah? Bukankah pendidikan itu seharusnya komprehensif iaitu membina mental, fizikal dan spiritual? Bukan semata-mata membina mental?

Bukankah falsafah pendidikan Malaysia dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(PPPM) 2013-2025 itu mengambil semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu, Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’

Membina intelek memang kita cambahkan di mana-mana institusi pengajian kerana pendidikan pada asasnya adalah untuk membina daya fikir dan pengetahuan. Kita menyediakan pensyarah, perpustakaan dan makmal. Kita galakkan kajian, hujah, wacana, seminar, forum dan seumpamanya. Penyediaan prasarana dan pemupukan budaya ilmu amat digalakkan.

Pembinaan rohani dan emosi boleh diukur dengan penyediaan masjid dan surau bagi para pelajar beragama Islam serta penggalakkan aktiviti-aktiviti keagamaan. Ruang-ruang untuk mengamalkan budaya dan agama bagi yang bukan Islam juga diizinkan. Dari pandangan kasar, memang ramai dari kalangan pelajar yang dapat memperkukuh rohani dan emosi di pusat pengajian tinggi. Itu petanda bahawa selain membina mental, aspek spiritual turut terbina.

Namun, bagaimana pula dengan pembinaan jasmani? Apakah ia benar-benar digalak dan disarankan oleh pihak institusi pengajian kepada para pelajarnya? Jika diukur pada denai joging kampus dan padang yang tidak meriah pada hujung-hujung minggu dengan mereka yang bersenam, tidak nampak ada usaha kita yang serius untuk membina kekuatan jasmani sebagai salah satu aspek yang perlu buat seseorang pelajar. Bagaimana pula dengan tiga kolej yang tidak mempunyai padang itu? Kalau pun di situ ada gimnasium, ia tidak boleh menampung hingga 500 pelajar untuk beriadah pada satu-satu masa.

Di mana aspek jasmani atau fizikal ini? Apakah ia tidak penting? Apakah jurutera petroleum tidak perlu fizikal yang kuat untuk memanjat dan melompat di celah-celah palang di pelantar minyak? Ataupun juruukur bahan yang dalam kerjayanya nanti perlu tahan mengharung selut dan bermain dengan pacat dalam menjalankan tugasnya? Ataupun seorang doktor veterinar yang dapat menarik lembu untuk ditambat sebelum memeriksanya?

Ada banyak ketika bilamana seseorang itu perlukan kekuatan fizikal dalam menjalankan tugasnya. Jika pembinaan fizikal tidak dianggap penting dalam pembinaan pendidikan, lebih-lebih lagi di universiti, kita hanya melahirkan manusia yang pandai berfikir, kuat beragama, tetapi boyot dan cepat mengah. Bersukan sebenarnya memperkuat semangat juang di dalam diri. Justeru itu, aktiviti jasmani perlu diperkasakan. Barulah sistem pendidikan itu holistik.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.10.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, October 8, 2013

ADA BANYAK CARA BERJIMAT



Photo credit: wargamarhaen.blogspot

SATU CARA
JIMAT
BELANJA NEGARA

SIAPA yang tidak sakit hati apabila Laporan Ketua Audit Negara 2012 sekali lagi memaparkan kesilapan, kelemahan malah mungkin juga penyelewengan dalam sistem perolehan pelbagai jabatan, kementerian dan agensi kerajaan?

Benarkah tiris yang sudah menjadi bocor ini terjadi kerana pihak yang bertanggungjawab tidak cekap membuat bajet, tidak pandai mengurus dan mentadbir perbelanjaan atau tidak tahu cara memantau perlaksanaan sesebuah projek? Kerana kelemahan ini, barangan yang dibeli, perkhidmatan yang diperoleh mahupun kos kerja yang diberikan kepada sesuatu pihak menjadi jauh lebih mahal daripada harga pasaran, rendah hasil dan kualiti hingga akhirnya terbiar begitu sahaja.

Siapa yang tidak marah bila pihak yang bertanggungjawab tidak pandai menilai kebolehan sesebuah syarikat? Mengapa projek sesebuah bangunan itu melebihi bajet? Bukankah pihak yang ingin menawarkan kerja itu akan memilih syarikat-syarikat dari yang disenaraipendek? Kemudian, syarikat yang berjaya itu dipilih kerana ia menepati kriteria dari segi kelayakan, pengalaman dengan sebutharga yang paling berpatutan?

Siapa yang tidak sakit hati apabila pihak berwajib tidak pandai mengurus? Misalnya, pelaburan yang dibuat untuk menambah pendapatan sesebuah agensi itu menjadi rugi apabila sewa bangunan tidak dapat dikutip daripada penyewa, dokumen perjanjian tidak dikuatkuasakan hingga penyewa tinggal melebihi tempoh sedangkan premis itu boleh sahaja disewakan kepada pihak yang boleh membayar?

Siapa yang tidak tepuk dahi apabila membaca laporan audit yang menunjukkan sesuatu barangan yang dibeli itu berpuluh kali ganda lebih mahal daripada harga yang sepatutnya? Samada membeli jam mahupun jentera, penilaiannya tetap sama iaitu membeli barangan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan. Jika barangan yang dibeli itu tidak masuk akal mahalnya, maka apakah orang yang meluluskan dan membayar harga barangan yang mahal itu tidak menggunakan akal?

Kesilapan dan kesalahan yang ditemui perlu diperbetulkan oleh mereka yang melakukannya. Jika perlu, tindakan disiplin untuk menukar, turun pangkat atau memberhentikan orang yang melakukan kesalahan itu perlu dilaksanakan. Namun, andainya terdapat unsur-unsur kecuaian yang disengajakan dengan tujuan untuk menipu, menyeleweng, pecah amanah dan rasuah, ops cantas terhadap mereka ini perlu dilakukan tanpa belas kasihan.

Ini sentimen rakyat. Mereka marah pada pembaziran. Mereka lihat dan tafsir Laporan Ketua Audit Negara 2012 sebagai bukti kelemahan pentadbiran orang yang diamanahkan untuk mengurusnya. Sebab itu di ruangan akhbar, di alam siber dan di mana-mana, orang bercakap mengenainya.

Malah ada yang mencerca kerajaan Barisan Nasional meskipun di peringkat negeri, ada juga kerajaan Pakatan Rakyat.  Ada yang memaki hamun pemimpin dan parti-parti politik yang tidak mereka sukai, meskipun yang bertanggungjawab adalah kakitangan kerajaan yang culas tidak kira di negeri pemerintahan BN mahupun PR.

Pembaziran, lawannya berjimat. Berjimat itu tidak bererti tidak boleh berbelanja tetapi bermakna mencari jalan menurunkan kos. Banyak sekali kos yang dapat dijimatkan jika pihak yang bertanggungjawab mencari jalannya. Kerja-kerja yang asas, yang tidak memerlukan piawaian kualiti antarabangsa dan jutaan nilainya boleh terus ditawarkan kepada mana-mana syarikat yang layak.

Sebaliknya, kerja-kerja yang mudah dan murah boleh sahaja diberikan kepada mana-mana jabatan dan fakulti di universiti. Saya teringat pada tahun-tahun 70an dahulu, kerja-kerja membuat rekabentuk logo seperti logi Pos Malaysia yang lama dan logo lama RTM diberikan kepada para pelajar Kajian Senilukis dan Senireka UiTM. Mereka yang berjaya diberi markah selain daripada imbuhan. Kosnya tidak sampai beribu-ribu ringgit.

Pada hari ini, banyak sekali projek kementerian, kerajaan negeri dan badan-badan berkanun boleh ditawarkan sahaja kepada fakulti-fakulti universiti. Kerja untuk membina laman web, blog dan laman sosial misalnya boleh diberikan kepada fakulti multimedia. Kosnya murah-murah tidak sampai juta-juta.

Kempen-kempen kesihatan, pengguna, kebudayaan boleh sahaja diberikan kepada fakulti perniagaan dan pemasaran. Begitu juga penganjuran majlis yang besar-besar, seperti malam gala itu, malam gala ini berikan sahaja kepada fakulti komunikasi massa. Begitu juga lanskap asas di bulatan dan taman-taman boleh diberikan kepada fakulti senibina atau pertanian.

Banyak sangat boleh dijimatkan. Fikirkan sahaja. Para pelajar fakulti dan pihak universiti sendiri akan menerima segala tawaran ini dengan tangan terbuka. Malah, ia membina rasa patriotik pelajar universiti untuk mencintai negara kerana mereka turut membinanya dengan fikiran dan tangan mereka sendiri.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.10.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, October 1, 2013

MAKANAN SEBAGAI CABANG BUDAYA


 
Photo credit: nasilemaklover.blogspot
BUDAYA YANG SUDAH
KITA KETEPIKAN

KELMARIN saya bertemu seorang teman di sebuah kafe sambil minum petang. Saya pesan minuman cappuccino latte. Bila minuman itu dihidangkan, saya terpegun menatap lukisan latte-art yang cantik di permukaan minuman itu. Memori saya melayang teringatkan awan larat diperbuat daripada santan yang emak lukiskan di permukaan bubur pulut hitam kegemaran saya. Dulu bubur pulut hitam, kini cappuccino. Betapa jauh masa berlalu, betapa berbezanya citarasa berubah.

Saya kata begitu kerana kini saya lebih kerap meneguk cappuccino daripada menjamah bubur pulut hitam. Mungkin kerana di kota, cappucino lebih mudah diperolehi daripada bubur pulut hitam, maka itu yang membezakan kekerapannya. Namun, bila bayangan bubur pulut hitam yang emak buat terpapar di layar minda pada petang kelmarin, saya disentuh dengan rasa bagaimana masa dan suasana menjadikan selera kita sudah berbeza.

Saya teringat zaman bujang di Kuala Lumpur pada awal tahun 80an. Kami yang duduk serumah di Bangsar akan bermotorsikal ke Chow Kit untuk makan nasi lemak selepas tamat siaran TV jam 12.00 malam. Pada kali pertama, saya berasa hairan kerana makan nasi lemak di tengah malam.

Walhal sejak kecil di kampung dahulu, nasi lemak adalah hidangan untuk sarapan. Dan, nasi lemak dahulu hanyalah nasi dengan sesudu sambal, sepotong telur dan dilengkapkan dengan dua hiris timun yang dibungkus dalam daun pisang. (Di waktu kecil, saya suka belek timun yang cantik berbunga kerana disagat dengan garfu). Nasi lemak di Chow Kit siap dengan sotong, ayam, kerang dan sayur kangkung!

Namun, sejak dari itu saya mula belajar makan nasi lemak dengan beranika lauk bukan semata-mata untuk sarapan pagi. Malah, kini saya pula terasa ganjil pula bila membeli nasi lemak dengan resipi original timun, telur dan sambal sahaja walaupun, nasi lemak ponjot itu pun turut mengenyangkan hingga ke tengahari.

Tabiat bersarapan dengan roti canai pun saya belajar setelah berhijrah ke Kuala Lumpur. Di zaman persekolahan di kampung, makanan yang sejenis dengan roti canai ialah lempeng yang dimakan dengan sambal kelapa atau sambal tumis ikan bilis. Saya tidak kenal dengan roti telur, roti sardin, apatah lagi roti keju. Kalau dahulu saya bersarapan dengan jemput-jemput ikan bilis, kini sarapannya bertukar kepada nuget. Sama pada saiz tetapi berbeza rasa.

Tatkala kecil, ayam yang hanya mampu saya rasa ketika ada majlis kenduri kahwin atau apabila emak masak untuk menyambut abang saya balik kampung, kini boleh saya mamah pada bila-bila masa. Saya tidak berasa pelik makan ayam goreng tanpa nasi sehinggalah apabila nenek saudara yang berkunjung ke rumah pada bulan lalu menegur hidangan tengahari kami hanya sekotak besar ayam goreng.

Citarasa makanan kita pada mulanya berubah kerana kita tiada masa. Ketika anak-anak masih kecil dan kita sibuk hendak membina kerjaya dan keluarga, mana sempat isteri hendak membuat karipap atau kuih kasui sebagai sarapan seperti yang emak kita dapat lakukan? Maka anak-anak yang hendak ke sekolah dibiasakan dengan roti bersama jem ataupun kentang goreng.  

Bila pulang dan tidak sempat memasak lauk gulai tumis ikan pari atau masak lemak nangka dengan ulam-ulaman sebagai makan malam, satu keluarga akan mengunyah burger atau piza. Kalau pun makan nasi, kita lazimnya akan menjamah nasi patprik, tomyam dan sayur campur yang dibeli dari restoran Siam kerana hampir mustahil kita dapat mencari masakan Melayu di restoran pada waktu malam.

Kerana kesibukan dan menu makanan yang ada, kita mengajar diri dan seluruh keluarga untuk makan apa yang mudah didapati dengan cara membeli. Akhirnya, kita yang menukar selera makanan anak-anak. Tetapi, bila tiba mereka membesar, mereka yang sudah bercitarasa universal pula mempengaruhi kita dengan memperkenalkan masakan Jepun, Korea, China Itali atau Mexico.

Namun, bila difikirkan, bukankah makanan itu sebahagian daripada budaya kita? Bukankah bila kita mengenepikan menu dan resipi tradisi Melayu, ia juga bermakna kita mengkesampingkan sebahagian daripada budaya kita? Tidak rasa terkilankah menolak sebahagian daripada budaya?

Kalau kita boleh marah-marah dengan pengagungan bahasa Inggeris, mempersoal mereka yang berbahasa rojak, berbahasa pasar atau menulis mengikut ejaan SMS, kenapa kita tidak kisah kalau kita suka donat daripada kuih keria? Kalau kita mengkritik pakaian barat, mengapa tidak kisah dengan selera barat kita sekeluarga?

Budaya tetap budaya. Bahasa, tulisan, pakaian, adab sopan, kesenian dan permainan patut kita sanjung dan pertahankan. Makanan? Makanan dikecualikan kerana makan adalah… maaf cakap; soal hidup dan mati!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.10.2013, insya-ALLAH...