Tuesday, July 30, 2013

CERITA DUNIA BUKU



Photo credit: igniteme.com

SIAPA YANG NODAI DUNIA PERBUKUAN

SAYA ada beberapa orang kenalan yang berjaya sebagai penulis buku. Ada yang berhenti kerja dan menjadikan bidang penulisan sebagai kerjayanya. Jika dahulu, seseorang tidak boleh cari makan dengan menulis buku, kini keadaan sudah berbeza. Mereka bukan setakat boleh cari makan, malah mereka boleh selalu makan-makan.

Pada hari ini, penulis buku boleh hidup senang. Jika sebuah judul buku yang terbit itu dicetak hingga 50 ribu naskhah, royalti bagi buku itu cukup untuk hidupnya sendiri buat setahun. Andaikata bukunya berharga RM10 senaskhah, royalti yang diperoleh, biasanya 10 peratus daripada harga pasaran buku membolehkan dia mendapat RM50,000.

Menulis sebuah buku setahun, dengan anggaran cetak sebanyak 50,000 naskhah, bila didharab dengan jumlah tahun dia menulis, misalnya 10 tahun, membolehkan seseorang penulis itu memperoleh RM500,000. Ini belum termasuk dengan jumlah ulangcetak. Andainya bukunya laris, penulis itu boleh mendapat dua kali ganda daripada jumlah itu. Diam tak diam, ramai penulis buku sudah jadi jutawan.

Ada banyak faktor yang membolehkan seseorang menjadikan menulis buku sebagai kerjaya yang berjaya lagi mengayakan. Yang pertama ialah kerana minat membaca rakyat Malaysia sudah meningkat. Jika kajian dibuat, rakyat Malaysia sudah tidak lagi membaca dua halaman setahun. Mungkin mereka sudah membaca dua buah buku setahun.

Kemunculan rangkaian kedai-kedai buku yang cantik seperti MPH Bookstores dan Kedai Buku Popular menjadikan tabiat berkunjung ke kedai buku adalah satu aktiviti yang bergaya. Kalau dahulu, kedai-kedai buku hanya dipenuhi dengan buku-buku teks dan panduan menjawab soalan peperiksaan, kini kedai-kedai buku sarat dengan pelbagai buku novel, motivasi, buku agama, panduan perniagaan, psikologi, memasak dan banyak lagi yang memenuhi citarasa golongan yang ingin membaca.

Sudah tiada lagi kedai-kedai buku yang menyimpan buku-buku yang berhabuk dan berlapuk. Rangkaian kedai-kedai buku yang lebih kecil seperti Syarikat Muda Osman dan Kedai Buku Intan yang bersaing di pasaran di Pantai Timur, Kedai Buku Hasani di Utara dan Kedai Buku Thai Kwang di Selatan serta Pustaka Rakyat di Lembah Kelang sudah berani menggajikan petugas-petugas untuk mempromosi buku, menghias rak-rak buku dengan poster, memberi diskaun dan kad keahlian kepada para pelanggannya. Ini merancakkan jualan dan meningkatkan juga pendapatan penulis.

Dunia penerbitan buku di Malaysia sendiri sudah berubah. Jika dahulu, penerbit buku banyak bergantung hidup dengan menerbitkan buku-buku teks, yang mana pusingan modalnya lambat, kini bila penerbit-penerbit buku beralih kepada penerbitan buku-buku novel dan umum, mereka memperoleh pulangan terus daripada pelanggan.

Tambahan pula, bila penerbitan buku bukanlah sesuatu yang eksklusif dan golongan penulis pula celik penerbitan, celik niaga dan undang-undang, penerbit-penerbit putar alam terpaksa gulung tikar. Bila golongan penulis kian bertambah dan rangkaian sosial mereka lebih terbuka dan telus, penerbit-penerbit yang menipu penulis tidak dapat bertahan lama. Si penipu kini mudah didedah dan dihebah hingga terus diboikot. Beberapa tahun lalu, sebuah penerbit dari selatan tanahair terpaksa tutup kedai akibat diboikot oleh golongan penulis kerana menipu royalti.

Kini, gergasi-gergasi penerbitan seperti Grup Buku Karangkraf, PTS dan Telaga Biru adalah di antara penerbit yang memberikan ruang, peluang dan masa depan yang cerah kepada golongan penulis kerana mereka jujur dalam pembayaran royalti serta menjaga hubungan baik dengan mereka. Kejujuran penerbit-penerbit ini menghasilkan suasana menang-menang bila penulis yang ada nama mula memberi keuntungan kepada syarikat. Walhal, di peringkat awal penulis itu, dialah yang bergantung kepada penerbit.

Bagaimana pun, dalam keadaan yang cerah dan meriah dunia penerbitan di mana pasarannya semakin berkembang, penerbit semakin bertanggungjawab dan penjual semakin agresif mengedar buku, terdapat pula pihak yang mengeruhkan keadaan. Pihak manakah itu?

Pihak penulis. Jika dahulu, kisah penulis yang dipinggirkan, diperguna dan akhirnya ditipu menjadi cerita sedih dunia penerbitan buku, kini keadaan menjadi sebaliknya. Kini ada pula penulis yang menyertai bidang ini untuk mengambil kesempatan. Mereka menghantar karya yang sama kepada lebih daripada satu penerbit.

Penerbit mana yang memberi harga yang tinggi, maka ke sanalah karyanya dihantar. Karya yang diletak ke penerbit yang satu lagi diambil kembali walaupun proses editing mahupun rekaletak sudah dilaksanakan. Modal yang telah dikeluarkan oleh penerbit itu tidak dipedulikan.

Terdapat juga penulis yang menggunakan nama lain untuk penerbitan yang lain walaupun perjanjian persefahaman kerjasama dengan penerbit asal telah dimaterai. Itu belum termasuk segelintir penulis yang menjaja keburukan penerbitnya yang asal setelah dia berhijrah ke penerbitan baru.

Seseorang penulis yang seharusnya berperibadi tenang, seorang pemikir dan bertindak secara berwawasan. Penulis yang tidak berjiwa penulis telah merosakkan dunia penerbitan buku yang seharusnya tenteram kerana dihuni oleh mereka yang tinggi daya fikirnya.
Artikel ini akan trbit di akhbar Sinar Harian pada 31.7.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, July 23, 2013

RAIKAN PERBEZAAN DAN RAIKAN PERUBAHAN


Photo credit: pdphoto.org
MARI KITA RAIKAN
PERUBAHAN

HUJUNG minggu lalu, saya pulang daripada umrah di tanah suci Makkah. Saya mendaftar untuk ke sana pada akhir Mei lalu. Namun, tarikh pemergian saya masih belum ditentukan lagi walaupun tarikh berangkat telah dinyatakan lebih awal.

Sepatutnya saya pergi pada 5 Julai, namun status visa saya masih belum dipastikan oleh ejen walaupun Julai sudah menjelma.  Pengurangan pemberian visa oleh kedutaan Arab Saudi kerana renovasi di Masjidilharam membuatkan banyak permohonan rakyat Malaysia ditunda atau dibatalkan terus.

Kerana itu, saya terima berita penundaan tarikh pemergian itu dengan hati terbuka. Malah, saya sudah bersedia untuk menerima berita bahawa permohonan visa saya tidak diluluskan. Namun, alhamdulilah saya peroleh jua kebenaran untuk ke sana pada 10 Julai, bersamaan dengan 1 Ramadan.

Penantian adalah satu siksaan. Perubahan pula adalah sesuatu yang menyukarkan. Dalam kehidupan seharian bila mana kita sudah punyai rutin harian dan polanya, apa sahaja perubahan pada pelan harian akan mengganggu emosi.

Bila saya sudah bersedia untuk menekan minyak tatkala lampu trafik bertukar hijau, kereta yang berada di hadapan memandu begitu perlahan sehingga saya tak lepas kerana lampu trafik bertukar merah kembali. Tatkala saya sudah mula menaip untuk menyiapkan artikel ini, ada pula mesyuarat panjang penting yang mesti saya hadiri dari tengahari hingga santak ke waktu berbuka.

Hendak marah? Hendak marah siapa? Pada mesyuarat tergempar yang wajib dihadiri, pada anggota mesyuarat yang berhujah panjang lebar atau marah pada diri sendiri kerana tidak duduk menulis artikel ini lebih awal? Bukankah bila tiada mesyuarat tergempar itu, artikel ini boleh siap pada waktu yang dirancangkan?

Tidak. Saya tidak pasti itu akan terjadi kerana saya mengambil masa yang lebih lama untuk menulis jika masanya panjang. Sebaliknya, saya mengambil masa yang pendek untuk menulis jika masanya suntuk. Apakah saya suka bekerja last minute? Tidak. Saya tidak suka. Tetapi saya lebih produktif bila bekerja pada saat-saat akhir! Ada bezanya, tu.

Berbalik kepada perjalanan ke tanah suci, ia berbeza dengan kali pertama saya lalui sebelum ini. Malah, sememangnya banyak sekali perubahan yang perlu saya hadapi. Pertamanya, saya tidak pernah berpuasa hingga 18 jam. Oleh kerana perbezaan zon waktu Malaysia – Arab Saudi, saya kena hadapi perubahan itu.

Saya ke Madinah dua tahun lalu di musim sejuk di mana hembusan anginnya dingin seperti berdiri di hadapan alat penghawa dingin. Kini suhu Madinah sudah membahang seperti berdiri di hadapan unggun api. Saya biasa berterawih kurang daripada 20 minit di Malaysia tetapi berterawih lebih 40 minit di Makkah.

Oleh kerana pada hari sebelumnya saya selesa bersolat di satu sudut berhawa dingin di Masjidilharam, pada hari berikutnya saya bercadang untuk ke situ lagi. Rupa-rupanya, umrah di bulan Ramadan berbeza dari waktu lain. Rancangan saya berubah bila saya tidak dibenarkan ke situ pada hari berikut kerana kesesakan jemaah. Malah, laluan harian saya ke masjid biasa terhalang apabila kawasan itu ditutup secara tiba-tiba kerana pembersihan.

Makkah adalah tempat menerima apa sahaja perubahan. Perubahan pergerakan, masa dan juga tenaga sudah menjadi satu adat di sana. Kita tidak boleh merancang untuk memperoleh sesuatu pada kadar waktu yang kita jangka. Malah, tiada perancangan itu lebih baik kerana rancangan yang terlewat itu akan menyebabkan kita berasa kecewa. Cukuplah sekadar berniat melakukan sesuatu. Biarlah pelaksanaan cepat atau lambatnya diserahkan kepada Yang Maha Memelihara.

Makkah menjadikan kita ingat kembali bahawa kita tidak berkuasa memenuhi kehendak target dengan segala usaha dan motivasi. Yang berkuasa tentunya ALLAH SWT. Justeru itu, di Makkah, kita perlu akur mengikut arus manusia dan suasana. Yang penting, kita berjaya melakukan apa yang kita niatkan. Tempoh masa yang kita kerjakan itu menjadi tidak mustahak kerana apa yang dipentingkan adalah kualiti hasilnya.

Perubahan perlu dimuliakan atau dihormati. Bukan dicemuh bila kita tidak dapat sesuatu itu, sekarang. Jika kita sentiasa ingat bahawa Dialah yang mengatur segala, apa sahaja perubahan perlu diraikan dengan hati yang sabar sambil berdoa agar memperoleh juga apa yang kita hajati.

Kali ini, meraikan segala perubahan adalah makna pada semua yang saya lalui di sana.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 24.7.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, July 9, 2013

JANGAN JEMU MEMBERI NASIHAT


 
Photo credit: austinkleon.com
BELAJAR SECARA
BERULANG-ULANG

ALHAMDULILAH, pada hari ini kita mula berpuasa Ramadan. Mudah-mudahan segala kesilapan dan kekurangan puasa pada tahun lalu dapat diperbaiki pada tahun ini. Mudah-mudahan puasa dan ibadah kita pada bulan ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini.

Puasa dikatakan sebagai latihan sebulan untuk dipraktikkan pada sebelas bulan berikutnya. Ertinya, kita berlatih untuk mengawal hawa nafsu makan, minum, mata, telinga, lidah, minda dan juga syahwat. Kawalan hawa nafsu itu dimotivasikan dengan memperbanyak ibadah solat, membaca al-Quran dan zikir.

Hadiah kepada latihan berpuasa ini ialah pahala yang berlipat kali ganda. Mudah-mudahan kita dilorong dan didorongkan untuk melakukan segala ibadah. Mudah-mudahan kita seronok bila dapat mengawal hawa nafsu dari hari pertama Ramadan hinggalah ke akhir bulan yang penuh kemuliaan ini.

Semoga hati kita akan sedih dan sayu bila menyedari Ramadan hendak meninggalkan kita kelak. Bukannya terlalu gembira pada hari raya akan menjelang. Andainya, kita berjaya mengawal mental, fizikal dan spiritual kita pada kali ini dengan melihat daripada sudut pandang yang berbeza dan segar mengenai puasa, insya-ALLAH ibadah kita dapat diamalkan dengan jayanya.

Empat para yang saya tulis di atas sebenarnya adalah di antara inti amalan puasa yang saya ingat melalui bahan bacaan, pendengaran dan tontonan sebelum ini. Saya susun dan adun kembali intipati puasa itu mengikut apa yang saya fahami. Tentu sekali anda pernah terbaca imbasan ayat saya tulis di atas, di mana-mana medium sebelum ini.

Malah, coretan mengenai puasa seperti di atas sudah beratus kali anda baca. Itu tidak termasuk segala bentuk ceramah puasa di pejabat, di masjid dan surau serta melalui bahan-bahan bacaan di buku, kitab, laman-laman web dan juga video di internet.

Namun, apakah dengan membaca, mendengar dan menonton beratus-ratus kali rencana dan kuliah mengenai puasa itu akan membuatkan kita jemu dan jelak untuk mengulang dan mentelaah mengenainya? Mudah-mudahannya tidak.

Saya terjumpa beberapa buah artikel mengenai pentingnya perulangan dalam meningkatkan kefahaman dalam pembelajaran. Layarilah internet dan anda akan menemui banyak sekali artikel yang merumuskan bahawa perulangan adalah inti kepada kepandaian.

Daripada sudut asasnya, perulangan akan menimbulkan conditioning iaitu pola pemikiran yang membantu kita mengingat dan memberi reaksi yang sama apabila suasana yang pernah kita alami itu berulang kembali.

Apabila sesuatu itu berulang, kita akan ingat. Apabila kita ingat, kita boleh memahaminya. Setelah memahami, kita akan mudah menghayati sesuatu yang diulang-ulang hingga kita menjiwainya. Justeru itu, jika kita ingin menghayati sesuatu, perulangan amat mustahak. Kita tidak boleh jemu untuk mengulangi apa yang kita rasa sudah tahu tetapi belum tentu fahami.

Kerap terjadi, apa yang kita anggap biasa pada hari ini, tetapi di lain waktu ia menjadi sesuatu yang begitu bererti buat kita. Misalnya, tatkala kita berasa amat sedih apabila dilanda gosip pejabat, ayat 5 al-Fatihah, ‘Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan,’ menjadi ubat yang amat melegakan ketika kita melafaznya. Walhal sebelum menghadapi masalah, ayat tersebut dibaca tanpa penghayatan.

Dalam pada itu, perulangan juga bukan sahaja ditujukan kepada kita sebagai si penerima. Sebaliknya, kita sebagai pemberi juga perlu ingat bahawa perulangan itu amat penting dalam menyampaikan mesej supaya si penerima itu terdidik dengan perulangan yang kita lakukan.

Contohnya, kita sering terdengar pada ibubapa yang sudah jenuh memberi nasihat kepada si anak yang dikatakan mendengar tidak cakap.  Anak yang degil sememangnya memenatkan apabila masih melakukan apa yang kita larang. Kita tidak boleh jemu menegurnya secara berulang. Tetapi jika nasihat kita tidak diendahkan, mungkin tekniknya perlu dipelbagai.

Kita boleh meminta orang lain menasihatkan atau memberinya bahan bacaan atau tontonan sebagai alat bantu. Jika tidak boleh juga, tentu sekali kita boleh gunakan latihan melalui pengalaman. Jika nasihat jangan bermain mancis itu tidak diendahkan si anak, kita boleh acah untuk cucuh api itu ke tangannya sebagai satu pendekatan mengulang nasihat dalam bentuk praktikal.

Justeru itu, jangan sekali-kali jemu untuk menasihati isteri, suami, kakitangan, rakan sepejabat, saudara-mara atau sesiapa sahaja yang kita rasa memerlukan. Kata pepatah, ‘belakang parang yang diasah lagikan tajam,’ adalah ingatan kepada kita agar sentiasa tidak jemu dalam menasihati orang lain dan juga diri sendiri secara berulang hingga kita memahaminya.

Semoga puasa kita pada tahun ini akan memberi makna baru dalam perjalanan kita untuk menemui Yang Maha Pencipta.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 10.7.2013.

Tuesday, July 2, 2013

KETUA DAN ANAK BUAH

 
Photo credit: eileenhsu01.blogspot.com
TIGA TIP MENJADI
BOS YANG PRIHATIN
AHAD lalu, saya bertembung dengan Ershad di sebuah restoran kecil di Shah Alam. Beliau adalah bekas pelajar praktikal dalam bidang penerbitan buku ketika saya mengetuai Alaf 21, sayap Grupbuku Karangkraf. Dia yang dahulunya hensem, kini semakin ganteng seperti anak pak Arab Dubai.
Setelah bertanya khabar, Ershad bercerita yang dia baru sebulan memegang jawatan Pengurus Pemasaran di sebuah syarikat import dan eksport buku. Selain daripada begitu teruja mengetuai jabatan pemasaran yang dianggotai lapan orang petugas, Ershad menzahirkan rasa bimbang andainya dia tidak mampu memikul tanggungjawab yang padanya begitu berat. Berat bukan kerana tugasnya, tetapi sebaliknya berat kerana terpaksa berdepan dengan kerenah manusia.
Pelantikannya itu mengundang pelbagai gosip di pejabat. Maklumlah, dia melangkau orang nombor dua iaitu Penolong Pengurus di jabatannya. Apabila ketuanya bersara, Ershad yang berjawatan Eksekutif dipilih menjadi ketua. Dia dikatakan menjadi anak emas tuanpunya syarikat. Dia juga dikatakan bakal dipilih menjadi menantu taukenya yang bertugas di syarikat yang sama.
Ershad terpaksa memimpin teman-teman sebayanya. Kalau dahulu, dia boleh sama-sama ngeteh dengan rakan-rakan sepejabatnya, kini teman-teman sepejabatnya mula berasa kekok untuk bergurau senda dan bertepuk tampar dengannya. Ini menjadikan Ershad tidak selesa. Dia ingin suasana yang mesra seperti dahulu, tetapi keadaan sudah tidak begitu.
Dengan wajah serius, Ershad meminta panduan dan nasihat daripada saya. Apa tip yang boleh beliau gunakan agar dia boleh menjadi seorang ketua yang baik. Ershad minta sekurang-kurangnya tiga tip. Dia tidak mahu panduan yang diperoleh daripada buku kerana semua teori itu sudah dibacanya. Jadi, apa lagi yang saya boleh kongsikan kepada Ershad kecuali menyampaikan apa yang terlintas di hati saya.
Kata saya, di antara perkara yang perlu diingat sebagai ketua ialah keadaan timbal-balik. Seandainya kita mahu staf kita lakukan sesuatu perkara itu, kita mesti peka bagaimana jika kita sendiri yang melakukan tugas itu. Sebaliknya, jika kita tidak mahu staf kita melakukan sesuatu itu, kita juga tidak boleh melakukan perkara itu.
Perkara pertama ialah pembawaan seseorang ketua. Jika dia tidak suka kepada staf yang besar kepala, dia juga tidak boleh menjadi bos yang besar kepala. Ada staf yang engkar secara diam-diam, melawan kata tanpa hujah munasabah dan degil bila mengulangi kesilapan. Mereka ini harus ditegur dengan lisan, dengan tulisan dan dengan hukuman.
Tidak patut memarahi anak buah dengan cara menengking-nengking atau membaling kertas kerja atau laporan staf yang tidak menepati kehendaknya.  Ketua juga tidak boleh berkata kepada anak buahnya, apa yang diputuskannya itu tidak boleh dipersoalkan kerana dia bos. Itu sikap ketua yang besar kepala namanya. Bos yang besar kepala itu lebih teruk daripada orang bawahan yang besar kepala.
Perkara kedua ialah apabila berdepan dengan staf yang cuba memijak kepala ketuanya dengan berpura-pura baik, berkomunikasi dengan ketuanya seperti seorang kawan, tetapi sebenarnya melakukan tindakan yang menyalahi peraturan syarikat. Staf yang berpakat menolak ketua secara halus dengan mengadakan konspirasi dengan staf lain untuk memboikot arahan ketua juga patut menerima tindakan.
Dalam pada itu, ketua pula tidak boleh memijak kepala stafnya. Dia perlu adil dalam memberi arahan dan tugasan. Tidak boleh memerintah staf menyiapkan sesebuah laporan pada tempoh masa yang dia sendiri tidak boleh lakukan. Tidak boleh memberi tugas yang bertimpa-timpa sedangkan dia sendiri tidak mahu diperlakukan sedemikian.
Perkara ketiga ialah jika seseorang ketua itu terkilan kerana stafnya tidak mempunyai pengetahuan dalam sesuatu bidang tugasnya, dia perlu melengkapkan dirinya dengan pengetahuan yang tidak diketahui oleh stafnya itu. Seseorang ketua mesti tahu apa yang stafnya tahu. Sebaliknya, stafnya tidak semestinya tahu apa yang dia tahu. Pendek kata, ketua sudah semestinya lebih pandai daripada stafnya.
Ketiga-tiga perkara yang diperkatakan itu kesemuanya berkaitan dengan sikap. Sikap adalah soal hati dan hati pula adalah soal semangat. Sesebuah organisasi itu wujud, berdiri dan bergerak dalam satu pasukan kerana semangat. Dalam bahasa motivasi; team spirit atau esprit de corps. Ketua sebagai pembawa obor pasukannya perlu ada semangat. Tanpa semangat, segala keputusan syarikat akan diputuskan tanpa roh organisasinya.
Ershad terangguk-angguk dan tersenyum bila mendapat tiga tip daripada saya.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.7.2013, insya-ALLAH...