Tuesday, June 25, 2013

MEMELIHARA MENTAL, FIZIKAL & SPIRITUAL


Photo credit: geografialamsekitar.blogspot.com
MENGHINDAR JEREBU DI HATI DAN MINDA

JEREBU melanda lagi. Bagi yang alah dengan asap, mereka akan mudah diserang batuk, selesema dan lelah. Bila jerebu datang, pandangan jadi terbatas. Debu yang hangat akan membuat suasana jadi membahang dan hati turut panas. Semalam, hujan mula turun di beberapa kawasan.

Ramai yang terpegun menyaksikan air gugur seolah-olah sudah berbulan-bulan tidak nampak langit menangis. Hati masing-masing mengucapkan syukur kehadrat Illahi. Mudah-mudahan IPU akan turut turun bila kualiti udara makin baik setelah asap ditelan hujan. Walaupun hujan turun tidak lebat, asalkan indeks pencemaran udara tak naik lagi, itupun sudah cukup baik.

Jerebu. Siapa yang suka suasana yang menyesakkan dada dan menyakitkan mata itu? Pembekal topeng pun walaupun suka topeng-topengnya laku, mereka juga tidak sukakan jerebu. Namun, mengapa ada orang yang membakar hutan hingga mengakibatkan jerebu walaupun mereka juga tidak suka pada keadaan cuaca sebegitu?

Atas kepentingan mahu jimatkan kos operasi pertanian bila membuka atau membersihkan hutan, cara yang cepat adalah dengan membakar. Mereka sanggup mengundang malapetaka yang mereka sendiri tidak mahu, asalkan mereka dapat jimatkan duit. Duit, soal jangka pendek. Jerebu pula, kesan jangka panjang.

Ertinya mereka berfikiran singkat. Walaupun mereka dapat jimatkan kos operasi, kos perubatan mereka pula sebaliknya meningkat bila para pekerja mereka sakit kerana berada di kawasan titik panas! Jelas sekali, hati dan minda mereka yang tidak bertanggungjawab itu turut kabut asap!

Mereka hanya nampak duit yang kononnya untuk kebahagiaan, sedangkan mereka akhirnya terpaksa gunakan duit untuk membeli kesihatan akibat tidak berfikiran jauh. Untuk sekian kalinya, matlamat tidak menghalalkan cara kerana jika apa juga cara dihalalkan, risikonya seringkali tidak berbaloi. Apatah lagi bila akibatnya terkena kepada berjuta manusia lain.

Dalam kehidupan seharian kita sendiri, berapa ramaikah di antara kita yang pada zahirnya okey, tetapi tanpa disedari sebenarnya sedang diselaputi jerebu fikiran dan hati? Jika jerebu udara dapat dilihat dan dielak, apakah kita boleh menangkis jerebu yang menyerang minda dan jiwa?

Jerebu fikiran datang dalam bentuk audio dan visual. Ia mengganggu fikiran untuk melihat dan mendengar dengan jelas. Seperti jerebu di udara, jerebu di fikiran adalah apa jua berita, cerita dan maklumat yang dikaburi oleh zarah-zarah kepalsuan dan kepesongan hingga kita tidak dapat mentafsir menggunakan akal yang sejernih hablur.

Ertinya, jerebu fikiran itu mengkaburi apa yang dipandang dan didengar hingga ia merencat minda untuk menelah dan mentafsir. Akibatnya, kita hanya menengok, tetapi tidak berdaya memerhati dan merenungi. Kita hanya mendengar, tetapi tidak mampu lagi mengamati. Sesuatu yang sampai ke minda yang berjerebu itu hanya dibaca secara lahiriah atau selapis. Tidak lagi batiniah dengan makna.

Jerebu hati pula tiba apabila kita membiarkan ia bertindak sesukanya. Orang kata, membiarkan diri mengikut perasaan apabila sampainya bisikan prasangka. Akibatnya, prasangka yang menjerebu di hati itu menjadikan ia tidak lagi dapat menerima kebaikan dan kemurnian. Sebaliknya yang buruk dan kotor itulah yang dibiarkan hingga menjadi noda yang menghitamkan hati.

Jerebu di hati dan minda akan merosak dan memusnahkan diri. Fikiran dan perasaan akan menjadi tumpul. Berapa ramai di antara kita yang mengetahui kesusahan orang lain, tetapi tidak berasa sedih. Melihat orang miskin, tanpa berasa simpati. Berdepan dengan kemungkaran tetapi buat-buat tidak tahu kerana tidak mahu terlibat.

Jerebu di udara akan merosakkan fizikal, jerebu di hati akan merosakkan spiritual dan jerebu di minda akan merosakkan mental. Soalnya, bagaimanakah kita menghindarinya? Seperti jerebu di udara yang dielak dengan menggunakan topeng sebagai perisai, jerebu di fikiran boleh dilawan dengan ilmu. Hanya pengetahuan sahaja yang dapat menangkis segala kepalsuan. Dan, jerebu di hati pula boleh dikesampingkan dengan perisai keikhlasan.
 
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.6.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, June 18, 2013

BILA KEGANASAN ITU TIDAK MENYAKITKAN


 
Photo credit: activities.fit.edu
KITA YANG MULA
SUKA KEGANASAN

FILEM Man of Steel kini ditayang di pawagam. Filem adiwira bikinan Hollywood itu adalah versi Superman terkini. Sebelum ini terdapat berpuluh-puluh versi Superman yang diaksikan oleh beberapa orang pelakon iaitu Kirk Alyn, George Reeves, Dean Cain, Brandon Routh, Tom Welling,  Christopher Reeves dan yang terkini, Henry Cavill.

Filem ini dikatakan lebih banyak memaparkan babak keganasan. Malah, lebih banyak kemusnahan daripada filem Iron Man 3 dan juga Transformers 3. Tentu sekali ia memaparkan lebih banyak adegan kehancurkan daripada filem-filem adiwira Amerika yang lain seperti The Avengers, Thor, Fantastic Four, The Flash, Captain America dan tidak ketinggalan siri The Batman.

Hollywood semakin suka memaparkan keganasan. Siri Superman bukan lagi kisah hero yang menyembunyikan identiti sebagai wartawan, bercinta dengan rakan setugas; Lois Lane, menyelamatkan penumpang keretapi daripada berlanggar dengan menggunakan cahaya laser di mata yang mencairkan besi atau menyelamatkan dunia daripada makhluk asing tanpa membinasakan apa sahaja di sekelilingnya.

Superman pada hari ini melakukan kesemuanya dengan menghancurkan apa sahaja untuk keamanan dunia meskipun dalam proses itu, bumi dirosakkan. Tindakan matlamat yang menghalalkan cara ini adalah pendekatan menyelesaikan masalah anutan Amerika. Justeru itu, sama ada secara simbolik mahupun bawah sedar warga Hollywoodnya, maka itulah yang dipaparkan tanpa rasa bersalah.

Betapa pun, tindakan mengeksport keganasan melalui filem sudah mendarahdaging di kalangan pembikin filem di Amerika. Saya percaya, kajian psiko-grafik pihak pemasaran Hollywood menunjukkan bahawa para peminat filem seluruh dunia sukakan keganasan. Kerana itu, tidak hairanlah jika cerita lukisan DC Comics dan Marvel Comics yang boleh dibaca oleh sesiapa sahaja terutamanya kanak-kanak kini sudah tidak semestinya selamat untuk ditonton oleh kanak-kanak.

Malah, keseronokan Hollywood mengganaskan filem-filem dongeng yang dahulunya dipaparkan dalam bentuk kartun Walt Disney, penuh dengan aksi melucukan dengan lagu-lagu yang membuai jiwa kanak-kanak kini sudah tidak lagi begitu. Lihat sahaja trend mereka menggarap versi baharu filem-filem dongeng.

Filem kartun Hensel and Gretel(2011), sebuah kisah dongeng dua orang kanak-kanak yang diperangkap nenek kebayan di dalam rumah yang diperbuat daripada gula-gula dan cokelat kini sudah bertukar kepada Hensel and Gretel(2013), kisah dua beradik di usia 20an yang membunuh sekumpulan nenek kebayan menggunakan mesingun!

Pelbagai versi terkini filem-filem Snow White(2012), Snow White and The Huntsman(2012) dan Alice in Wonderland(2010) banyak sekali memaparkan keganasan berbanding dengan filem-filem Snow White (filem kartun terbitan 1993) dan Alice in Wonderland(versi-versi kartun terbitan 1951 & 1981). Filem Little Red Riding Hood(2011) lebih ganas daripada animasi The Little Red Riding Hood yang terbit pada tahun yang sama. Pendek kata, versi mutakhir akan dipersembahkan dengan ramuan keganasan.  

Ganas sudah menjadi suatu kebiasaan. Kita, yang dibiasakan dengan adegan sebegitu dalam filem hingga tidak gentar lagi menonton keganasan di dunia realiti. Dalam laman sosial Facebook mahupun di dalam YouTube, ramai sekali mereka yang mempunyai akaun, memuatnaik insiden-insiden buli, rompakan, pergaduhan malah peristiwa tragis rogol untuk tatapan umum.

Dan, jumlah mereka yang share atau menontonnya boleh mencapai ke angka hingga ratusan ribu. Ini menandakan jumlah mereka yang menyukai paparan mengenai keganasan amat ramai. Memang keganasan itu berpunca daripada rasa kekecewaan, pengalaman keganasan di rumah atau di kawasan sekeliling. Makanan, minuman, pergaulan dengan mereka yang kasar dan penuh provokasi juga akan meningkatkan tindakan agresif.

Namun, bila kita lihat di sekeliling, suasana yang boleh menimbulkan keganasan itu hampir tiada. Pergilah di kompleks membeli-belah atau tempat awam yang lain dan perhatikan gelagat orang ramai hingga sejam ~ kita tidak dapat lihat keganasan di situ. Tetapi, pergilah menonton di pawagam, menatap televisyen mahupun komputer ~ segala bentuk keceluparan, provokasi dan kebiadapan dapat kita tatap. Malah, mungkin ada di antara kita yang tumpang semangkuk.

Jika selama ini anak Malaysia yang sopan santun dikatakan boleh berubah menjadi ganas tatkala berada di belakang stereng, kini anak Malaysia yang penuh beradab itu juga akan berubah menjadi ganas bila duduk di hadapan televisyen dan komputer. Dan, menonton keganasan sambil mengunyah bertih jagung di pawagam juga punyai ciri mereka yang sukakan keganasan.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.6.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, June 11, 2013

KENAPA PILIH JALAN SUKAR?


 
Photo credit: androsym.com
YANG MANA SUSAH, YANG MANA SENANG

MANUSIA di zaman batu mencari makan apabila lapar. Mereka memburu binatang untuk dibunuh dan dimakan. Jelas, mereka makan untuk hidup. Manusia hari ini pula makan bukan setakat kerana kelaparan. Malah, sebagai spesis yang kian kompleks, kita makan kerana pelbagai sebab.

Ada di antara kita makan kerana sudah tiba waktunya ~ time makan. Ada yang makan kerana menemankan kawan, makan kerana hendak mencuba sesuatu hidangan baru yang baru diperkenalkan di skrin televisyen. Ada juga di antara kita yang makan untuk mencuba resipi yang kita atau teman kita masak. Ada yang makan sesuatu kerana mengikut trend atau untuk menjaga kesihatan. Pendek kata,  manusia hari ini makan kerana banyak sebab lain selain daripada kerana lapar.

Begitu juga, kita pada hari ini bukan tidur semata-mata kerana kita mengantuk. Sebaliknya, kita tidur kerana sudah tiba waktunya, tidur kerana jika kita tidak tidur sekarang, kita tidak akan cukup tidur bila tiba waktu bangun. Kita juga tidur kerana kita hendak bekerja pada hari esok. Jika kita tidak tidur, kita akan mengantuk di tempat kerja.

Apa yang kita pakai juga semakin kompleks. Kita bukan setakat berpakaian untuk menutup aurat dan melapik tubuh dari kesejukan atau panah mentari. Pada hari ini, kita bukan setakat berpakaian, malah memilih pakaian. Kita ada pakaian untuk ke pejabat, untuk bersukan, untuk menonton, untuk berparti, pakaian petang, pakaian malam dan pakaian tidur.

Kita yang seharusnya membayar wang parkir yang tidak sampai seringgit, sebaliknya mengambil tindakan untuk tidak membayar langsung. Apabila surat saman tiba, kita terpaksalah ke pejabat Pihak Berkuasa Tempatan, mengambil angka giliran, menanti dan akhirnya membayar sepuluh kali ganda yang sepatutnya kita bayar. Bayaran bertambah, masa pula terbazir secara sia-sia.

Kereta pada asasnya adalah kegunaan untuk membawa kita ke tempat yang kita mahu pergi. Tetapi, lebih banyak masa kita ambil untuk mempertimbangkan bentuk dan gajetnya daripada fungsi asal tujuan kita membelinya. Kita ada komputer yang mempercepatkan kerja. Tetapi kerja kita jadi lambat kerana masa terbuang bila kita gunakan ia untuk fungsi selain daripada mempercepatkan kerja.

Telefon mudah alih yang kita gunakan untuk menghubungi seseorang dan mengirim pesanan ringkas, kini mempunyai pelbagai fungsi yang tidak sampai separuh kita perlu dan apatah lagi gunakan. Telefon pintar juga membawa kerja bersama kita walau di mana pun kita berada. Ketika bila kita sebenarnya bercuti? Jika dahulu, kita bimbang ketinggalan bas kerana takut lewat tiba ke pejabat. Kini, kita takut lewat sampai ke pejabat kerana risaukan telefon mudah alih kita yang pada bila-bila masa akan kehabisan bateri.

Pada hari ini, kita semakin sofistikated kerana membuat pendekatan kompleks untuk hal-hal yang asas dan mudah.  Seolah-olah, kita mencari jalan jauh untuk melakukan sesuatu yang sepatutnya senang. Mengapa kita tidak fikir lagi bahawa kehidupan yang mudah dan asas itulah yang sebenarnya kita perlukan?

Bukankah pada asasnya kita hanya perlukan air, makanan, pakaian dan tempat tinggal? Kita juga perlukan maklumat, pendidikan dan kesihatan selain daripada perhubungan dengan manusia. Mengapa hidup kita yang mudah itu menjadi kompleks?

Memang benar, cara mudah untuk berehat ialah dengan menonton televisyen di rumah. Ia lebih ringkas daripada pergi ke tempat peranginan yang berkilometer jauhnya. Tetapi, sebelum dapat menonton TV, kita perlu membeli televisyen, mendapatkan bekalan elektrik, melanggan saluran, membuat bayaran sebelum dapat berlunjur sambil menonton di depan televisyen. Tetapi, bila kita mendapat jalan mudah untuk berehat, kita sukarkan kembali dengan memilih berpuluh-puluh saluran sedangkan kita hanya benar-benar suka menonton tidak lebih sepuluh saluran.

Benar. Ada masanya kita mahukan yang mudah. Ada ketikanya kita mahukan sedikit cabaran dengan melakukan sesuatu yang sedikit sukar. Namun, di manakah garis pemisah di antara yang mudah dan yang susah? Seolah-olah kini kita sudah selesa memilih jalan yang susah daripada jalan yang senang. Walau apapun, asalkan kita sentiasa ingat dan tahu yang kita mengawal kehidupan sendiri, ia sudah cukup baik.

Yang penting, kita tahu di manakah keutamaan, yang mana patut didahulukan atau kemudiankan. Jangan jadi seperti anak saudara saya yang berusia empat tahun setiap kali dia ke bilik air. Dia akan menggosok giginya selepas mandi, bukannya sebelum mandi. Bila dia menggosok gigi setelah mandi, dia terpaksa mandi semula kerana ubat gigi sudah tumpah ke dadanya. Dia terpaksa buat kerja berulang kerana silap keutamaan.

Apakah ini petanda yang dia bakal menjadi seorang lagi manusia yang suka melakukan cara yang susah untuk sesuatu yang senang?

Tuesday, June 4, 2013

PERANG AKHIR ZAMAN


 
Photo credit: mynewshub.my
BAGAIMANA
MERUNTUHKAN PERSEPSI

PM Datuk Seri Najib, menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa telah berlaku penipuan besar-besaran dalam PRU13. Ucapannya di perhimpunan bulanan JPM kelmarin merujuk kepada berita yang mengatakan terdapat beribu-ribu warga Bangladesh yang didatangkan sebagai pengundi hantu dalam pilihanraya lalu.

Dalam sebuah kenyataan lain, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia AKM Atiqur Rahman turut menafikan dakwaan penipuan itu. Katanya, pihaknya tidak menerima sebarang bukti mengenai pembabitan warganegaranya mengundi secara jahat atau salah di negara ini.

Setakat ini, belum dengar terdapat kes-kes pengundi hantu dari warganegara Bangladesh yang dilapor atau disebut di mahkamah.  Sebaliknya, terdapat beberapa laporan polis dari warganegara Malaysia yang dihalang untuk mengundi kerana dituduh sebagai warganegara Bangladesh.

Jawapan PM dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh itu sudah terlewat untuk memperbetul persepsi kerana cerita warganegara Bangladesh sebagai pengundi hantu sudah tersebar dengan begitu meluas pada hari-hari menjelang mengundi. Malah, kita dapat tonton beberapa video kes-kes rakyat Malaysia yang diherdik dan dikutuk oleh orang ramai di pusat-pusat mengundi semata-mata kerana mereka percaya pada maklumat rekaan itu.

Ia terjadi kerana cerita rekaan itu telah mencipta persepsi. Apabila persepsi telah terbentuk, maka ia amat sukar untuk diubah. Sesebuah persepsi terjadi hasil daripada maklumat yang tiba kepada seseorang. Ia melibatkan memori yang dibentuk berdasarkan kepada pengalaman panca indera. Persepsi yang terbentuk sukar disedari kerana ia berlaku di bawah sedar.  

Propaganda sebagai senjata politik yang begitu popular mudah disedari kerana ia biasanya berbentuk kempen yang sengaja melebih-lebihkan kebaikan sesuatu yang ingin diperkenalkan. Begitu juga dengan promosi dalam dunia pengiklanan. Ia biasanya disampaikan bersama bunyi, suara dan warna yang menceriakan.

Bagaimana pun, persepsi bukan ditujukan langsung kepada sesuatu sasaran. Malah ia disampaikan secara kenen, bermaksud atau secara muslihat. Ia disampaikan dalam bentuk maklumat palsu atau disinformation. Ia juga adalah suatu rekaan yang disampaikan dengan penuh logik seolah-olah ia benar hingga sesiapa yang menerimanya akan yakin ia adalah realiti.

Ia sama juga seperti bagaimana kita boleh percaya kepada fiksyen sains  filem Jurassic Park. Dengan menggunakan fakta sains sebagai maklumat benar, kisah ternakan makhluk dinosaur disampai dan diyakinkan bersama imej dan bunyi hingga kita percaya dinosaur boleh hidup di zaman ini. Sedangkan hampir mustahil untuk mendapat DNA pelbagai dinosaur dalam darah fosil nyamuk yang tersimpan berjuta tahun di dalam tanah, apatah lagi untuk menternaknya hingga berpuluh ekor bagi sesuatu spesis.

Make-believe. Itulah istilah dalam dunia karya kreatif. Ketika menonton filem itu, kita boleh terpengaruh dan terpedaya. Ia terjadi kerana ketika kita menyaksikan filem itu, fakta sains dan rekaan telah diadun begitu rupa hingga membentuk persepsi bahawa ia boleh terjadi.

Isu kononnya 40,000 warganegara Bangladesh yang dikatakan akan dibawa masuk dari Sabah dengan kapalterbang sebagai pengundi hantu adalah fakta dan rekaan yang mencipta persepsi bahawa ia akan terjadi.

Negeri ‘Sabah,’ ‘40,000 warganegara Bangladesh,’ ‘kapalterbang’ dan ‘pengundi hantu’ adalah imej-imej yang  akan terpapar di fikiran bila kita menerima maklumat ini. Imej-imej akan muncul di otak kanan iaitu otak yang berfungsi membina persepsi. Ia akan menjadi wayang di layar minda hingga kita percaya dengan maklumat rekaan ini.

Peranan otak kiri yang menggunakan logik diketepikan kerana ia dikuasai oleh emosi otak kanan. Kerana itu, bagaimana hendak menyembunyikan 40,000 orang pengundi hantu warganegara Bangladesh yang ramainya seperti jemaah Malaysia di musim haji tidak dapat dicongak oleh otak kiri untuk berlawan hujah dan menafikan persepsi yang terbentuk di otak kanan. Akhirnya begitu ramai yang percaya pada cerita rekaan itu.

Soalnya, bagaimanakah untuk meruntuhkan persepsi yang palsu itu? Jawapannya terletak kepada bagaimana semerta ia ditangani. Ertinya, apabila terbinanya sesebuah persepsi yang palsu, ia mesti diruntuhkan segera dengan maklumat yang benar. Jika dibiarkan, kita akan percaya dan hidup dalam kepalsuan persepsi. Kerana itu, selagi ada maklumat palsu lain yang membina persepsi palsu yang lain pula, ia mesti dihapuskan segera.

Benar, ia memenatkan dan tidak berkesudahan. Itulah perang namanya.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.6.2013, insya-ALLAH...