Tuesday, April 30, 2013

MENJELANG PRU13


 
Photo credit: kamusberita.com
 
MEMILIH
BERDASARKAN PARTI

ATAU PERIBADI

5 MEI Ahad ini adalah hari mengundi. Inilah hari yang dinanti-nantikan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Inilah hari mereka memilih parti manakah yang boleh membela nasib mereka atau yang dipercayai akan menjamin masa depan yang lebih baik. Masing-masing berpeluang menjalankan tanggungjawab (pada waktu yang sama, melepas geram) dengan mengundi. Ada yang memangkah dengan semangat slogan ‘ini kalilah.’ Tidak kurang juga yang memangkah dengan harapan, ‘lain kalilah!’

Bagi pengundi yang sentiasa mengikuti perkembangan politik, mereka tahu ia adalah pertandingan di antara BN dan PR.  Setiap detik dan denyut peristiwa akan menjadi pertimbangan mereka. Segala isu pengurusan kewangan, pentadbiran ekonomi, aktiviti sosial, halatuju politik dan cara sesuatu parti menangani isu-isu agama menambah atau mengurangkan markah sesebuah parti di mata pengundi.

Malah isu-isu peribadi seperti skandal, konspirasi dan  kronisme, meskipun banyak yang berupa permainan persepsi dan manipulasi akan turut mencalar imej mana-mana personaliti politik dan parti yang akan dipilih.

Semakin menjelang PRU13, kian banyak maklumat yang bersimpang-siur di alam siber. Ia sudah sampai ke tahap tepu hingga para pengundi muak dan loya dengan apa yang dipaparkan oleh kedua-dua pihak. 

Dengan jumlah tentera siber masing-masing yang ramai, ditambah pula dengan jumlah akaun atau profil palsu yang beribu-ribu jumlahnya, mereka menyangka beribu-ribu pengikut menyokong sesuatu pihak. Padahal, yang bertugas membentuk persepsi itu hanya ratusan jumlahnya.

Betapa pun, ia tetap membentuk persepsi bahawa sesebuah parti itu amat kuat. Herd mentality serta kesan mob psychology menjadikan pengundi tertipu dan terpengaruh untuk sama-sama menyokong pihak yang dianggap hebat itu.

Jumlah hadirin juga memberi kesan kepada pengundi untuk mempercayai sesuatu parti itu kuat. Lagi ramai hadirin, lagi hebatlah parti itu. Pengundi tidak sempat untuk menyelidik atau mengesahkan yang para hadirin itu boleh sahaja penyokong fanatik yang datang daripada seluruh pelosok atau mereka yang datang berbondong-bondong itu diupah untuk hadir.

Bagaimana pun, di sebalik riuh rendah perang saraf ini masih ramai para pengundi yang berfikiran simple. Mereka mengundi bukan untuk memangkah parti yang disokong. Ini kerana bukan semua pengundi berpegang kepada idea sistem dua parti. Malah, ramai yang tidak melihat penting dan atau sisi ideal sistem dua parti dalam sebuah negara demokrasi.

Ramai juga yang memilih berdasarkan personaliti calon. Calon mana yang lebih hensem, yang cantik atau yang mana lebih sedap mata memandang menjadi pilihan. Wajah-wajah calon di poster-poster yang tersidai di tepi-tepi jalan, terpampang di bulatan atau yang terpapar di skrin TV atau komputer menjadi pertimbangan. Ada yang memilih berdasarkan bangsa atau jantina. Ada pula yang memilih kerana kewarakan, kepandaian dan ketrampilan calon.

Dan, tidak kurang juga yang memilih kerana calon itu orang kampung sendiri atau kerana dia ada bau-bau bacang dengan pengundi. Pendek kata, faktor-faktor selain daripada dari parti manakah seseorang calon itu mewakili barangkali ada lebih banyak, malah lebih pemberatnya.

Mereka memangkah calon yang berkenan di hati. Kemudian mereka pulang ke rumah dan menonton keputusan pilihanraya berselang-seli dengan program hiburan atau pengetahuan di saluran lain.

Jika calon yang mereka pilih itu menang, mereka akan gembira. Sebaliknya jika calon yang mereka pilih itu kalah, mereka terima keputusan itu seadanya. Mereka tahu, walau siapa atau parti manakah yang menang, mereka tetap akan melihat mentari bersinar pada esok hari.

Lampu elektrik akan tetap ada, air paip akan tetap keluar, cukai serta saman masih tetap perlu dibayar dan mereka tetap akan bekerja pada hari esok. Pendek kata, walaupun mereka tampak berfikiran simple, mereka pengundi yang praktikal.  
Mereka tidak kecoh-kecoh dengan perseteruan politik kerana mereka biasa nampak orang politik yang berlainan parti bergelak-gelak sambil duduk-duduk minum kopi di lobi parlimen.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, insya-ALLAH...

Tuesday, April 23, 2013

BERTINDAK SENDIRIAN



Photo credit: wallpaperpassion.com

BEZA RAMAI-RAMAI DAN SENDIRI-SENDIRI

DALAM hidup ini, terdapat banyak situasi di mana kita bersendirian, meskipun berada di tengah-tengah ramai manusia. Misalnya, ketika dalam kedukaan, segala keriuhan manusia di sekeliling tidak akan kita hiraukan. Bahkan, kita berasa kesunyian di dalam kebisingan.

Saat kita memandu juga adalah waktu di mana kita bersendirian meskipun di hadapan, belakang dan di kiri kanan kita dipenuhi dengan kenderaan lain. Andainya berlaku kerosakan kenderaan atau kemalangan (nauzubillah), hanya kita seoranglah yang berdepan dengan keadaan itu.

Tatkala kita sakit seperti pening, meskipun kita mengadu kepada teman, dia hanya boleh memicit kepala dan memberi ubat. Tetapi rasa berat seperti batu di dalam kepala itu kita tanggung bersendirian. Pasangan tidak boleh hilangkan pening itu. Kita sendiri mesti menanti kesan ubat yang ditelan itu untuk menghilangkan sakit.

Banyak lagi keadaan dan situasi di mana kita bersendirian. Tatkala kita menjawab soalan di dewan peperiksaan, memasuki pertandingan nyanyian, memasak, bersukan mahupun beribadah, kita lakukannya dengan bersendirian.

Sebenarnya, kita mempunyai pengetahuan mahupun pengalaman dalam menghadapi hampir semua aktiviti mahupun situasi yang kita hadapi secara bersendirian itu. Ditinggalkan orang yang disayangi, memandu, menghadapi kesakitan, duduk di dalam dewan peperiksaan, memasuki pertandingan, memasak, bersukan mahupun beribadah tentu sekali sudah kita alami sebelum ini.

Jika tidak pun, kita sudah punyai pengetahuan melalui tontonan di televisyen mahupun dari bahan bacaan. Misalnya, andainya kita tidak pernah mengalami keadaan ditinggal kekasih, kita peroleh pengetahuan bagaimana bereaksi melalui tontonan drama televisyen atau kuliah ringkas menangani putus cinta di youtube.

Betapa pun, biarpun kita punyai pengalaman mahupun pengetahuan menangani sesuatu secara bersendirian, kita sukar mengendali emosi meskipun bila berdepan lagi dengan keadaan yang sama pada waktu yang lain. Misalnya, walaupun kita pernah menduduki peperiksaan sebelum ini, perasaan stres, dada berdebar-debar, panik takut masa habis, rasa was-was dengan jawapan yang diberi, bimbang terlalu over-confident hingga memberi jawapan yang salah, akan kita alami walaupun kita telah menghadapi pelbagai peperiksaan PMR, SPM, mahupun peperiksaan di universiti sebelum ini.

Mengapa ini terjadi? Bukankah apa yang telah dialami sebelum ini boleh menjadi pengajaran agar kita lebih bersedia, berhati-hati dan tenang? Sebenarnya, kita akan emotif kembali walaupun bila menghadapi keadaan yang sama kerana ia dihadapi sendirian.

Ini berbeza dengan keadaan jikalau kita lakukan sesuatu secara berkumpulan. Aktiviti bergotong-royong, berkoir, bertahlil, menyokong pasukan sukan yang bertanding, menyokong parti politik yang bertanding, boleh kita lakukan dengan perasaan yang lebih relaks kerana ia dilakukan secara beramai-ramai.

Malah, kita berani tonjolkan diri kerana kita tahu yang kita punyai ramai rakan-rakan di belakang yang turut bersama kita. Mereka akan membantu kita andainya kita melakukan kesilapan. Namun, apabila tiba dalam situasi seorang demi seorang atau one-to-one, segala keberanian itu akan hilang. Malah, kita akan lebih berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk kita.

Dari segi aktiviti politik contohnya, kita begitu berani berhujah, berdebat dan mengkritik dengan lantang bila kita berada di dalam kumpulan kerana kita tahu ramai yang akan menyokong pendapat kita. Bagaimana pun, tatkala berdiri di petak undi untuk memangkah, di waktu itulah kita akan bersendirian.  

Meskipun segala input melalui akhbar, televisyen, media baharu, ceramah, risalah dan seumpamanya sudah kita peroleh dan kita sudah memutuskan untuk memilih siapa yang kita mahu, suasana di tempat itu tidak semestinya sama meskipun kita sudah mengundi lebih 10 kali sebelum ini.

Lebih-lebih lagi pada kali ini, jari akan dicalit dan alat tulis yang disediakan adalah pen dan bukannya pensil, apabila melangkah ke bilik mengundi, menghulur kad pengenalan hingga kita berdiri di petak undi, kita sudah tidak teringat suara-suara dan wajah-wajah calon dan parti yang kita ingini.

Mengapa? Kerana kita bersendirian di saat itu. Di sana, kita berseorangan bersama dengan kertas undi yang mempunyai lambang parti dan nama calon. Meskipun kita tahu apa yang kita hendak pilih, kita akan lebih berhati-hati kerana tidak mahu terpangkah calon yang kita tidak pilih.

Seperti memilih hidup atau mati, segala perasaan ketika itu kita tanggung sendiri. Di saat itu, pengetahuan kognitif dan asosiatif akan diterjemahkan secara autonomik yang lebih bersifat emotif. Pertimbangan baru boleh sahaja muncul di minda pada saat itu.

Dan, kita boleh sahaja bertindak berbeza dengan apa yang kita telah putuskan.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 24.4.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, April 16, 2013

SPESIS UNIK


 
Photo credit: puteraduyung.com
GOLONGAN
ATAS PAGAR YANG
TERMAHAL

5 MEI adalah hari mengundi. Akhirnya, apa yang ditunggu sudah tiba. Ceramah, forum, wacana, perhimpunan, demonstrasi, road tour dan segala macam majlis kempen kian meningkat momentumnya. klimaksnya bakal disaksi dan dialami pada malam 5 Mei kelak.  

Keadaan semakin hangat menjelang tarikh penamaan calon pada Sabtu ini. Kehangatan sudah pun bertukar panas. Suhunya yang semakin menggelegak emosi itu menjadikan PRU13 dianggap sebagai ibu segala pilihanraya. Mudah-mudahan biarlah ia setakat menjadi ibu segala pilihanraya Malaysia dan tidak lebih daripada itu, kerana bapa segala pilihanraya Malaysia adalah pada tahun 1969!

Pilihanraya adalah cara demokrasi untuk memilih calon bagi mewakili mereka di Parlimen ataupun di Dewan Undangan Negeri. Calon yang mendapat lebih banyak undi akan diisytihar sebagai pemenang. Malangnya, kempen yang dijalankan oleh pihak yang bertanding kebanyakannya bukan sahaja memuji calon mereka tetapi sebaliknya mengeji calon lawan.

Cara kempen sebegini bertentangan dengan teknik promosi dalam pemasaran untuk menambah permintaan. Dalam konteks politik; menambah sokongan. Bila kita mengatakan produk kita bagus tetapi pada waktu yang sama mengatakan produk saingan tidak bagus, akhirnya ia melahirkan polarisasi pemikiran. Yang suka akan tetap suka. Yang benci akan terus membenci.

Akhirnya, ia akan melahirkan para penyokong yang fanatik. Ia memang bagus untuk mengekalkan sokongan mereka yang menerima kumpulan politik itu. Namun, pada waktu yang sama, ia sukar membeli jiwa, simpati dan empati, apatah lagi sokongan baru daripada pihak lawan untuk berpaling tadah.

Ironinya cara ini sebenarnya menyukarkan kedua-dua pihak untuk reach out kumpulan yang lebih besar iaitu pengundi atas pagar. Dalam mana-mana kumpulan manusia, sama ada dalam persatuan. organisasi mahupun negara, kumpulan atas pagar inilah yang paling besar. Mereka yang digelar sebagai the silent majority ini boleh mengubah keputusan pengundian.

Siapakah mereka? Mereka adalah golongan yang memerhati, membaca, mendengar dan membuat keputusan berdasarkan apa yang diingininya. Mereka memerhati dari jauh. Di mana mereka? Pergilah di pasaraya, pawagam dan taman-taman. Dengar apa yang mereka bualkan. Mereka akan bercakap apa sahaja kecuali politik.

Bila melayari internet, kita akan dapati blog-blog, laman web berita dan laman sosial politik dipenuhi mereka yang meminati bidang itu. Jangan ke sini. Layari laman-laman web sukan, rekreasi, ekspedisi, fotografi, melukis, muzik, menjahit, spiritual, mental, membaca, menulis dan memasak. Di laman-laman ini, kita sukar menemui mereka yang membicarakan mengenai politik.
Akhbar apakah yang mereka baca? Akhbar terlaris berbahasa Melayu ialah Harian Metro (sekumpulan dengan Berita Harian), dan Kosmo (yang juga menerbitkan Utusan Malaysia). Ini menunjukkan akhbar-akhbar lain daripada politik yang diminati mereka. Berdasarkan kepada jualan kedua-dua akhbar itu, ia menunjukkan golongan yang tidak meminati aktiviti politik adalah jauh lebih besar.

Saluran TV manakah yang mereka tonton?  Jika dikatakan tidak ramai yang menonton RTM kerana ia media kerajaan, ramai juga yang menonton TV Hijrah dan Bernama TV. Jika ramai yang punyai persepsi berita di TV3 itu berat sebelah, rating rancangan-rancangan lain saluran itu di antara yang tertinggi. Siapakah yang menontonnya melainkan mereka yang tidak meminati politik pada setiap masa. Itu belum lagi termasuk saluran-saluran Astro yang berpuluh-puluh itu.

Dalam pada itu, seandainya kita melayari laman-laman politik atau media sosial yang berkaitan dengan politik, kita akan dapati lebih 95 % mereka yang memberi komen dan kritik mengkritik adalah lelaki. Di mana golongan wanita? Sebahagian besar daripada golongan ini tidak membaca malah tidak suka kepada politik caci mencaci ini.

Apa yang golongan wanita mahukan? Sesuai dengan peranan mereka sebagai jantina yang melahirkan zuriat, fitrah mereka lebih mahukan keselamatan, ketenangan dan kebahagiaan. Sesuai dengan naluri yang lembut, mereka inginkan keindahan, kecantikan dan ketersusunan. Kecoh-kecoh mereka tak mahu.

Justeru itu, belum terlewat untuk memenangi hati golongan atas pagar yang cantik-cantik ini.   
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 17.4.2013, insya-ALLAH... 

Tuesday, April 9, 2013

ETIKA BERPERANG



Photo credit: mole.com
 
PILIHANRAYA
SATU BENTUK
PEPERANGAN

PADA asasnya manusia adalah spesis yang rasional dalam menyelesaikan pertikaian sesama mereka. Bagaimana pun, mereka kerap juga menyelesaikannya melalui jalan emosional, iaitu melalui pertengkaran, pergaduhan dan akhirnya peperangan.  

Pergaduhan pertama dalam sejarah manusia ialah di antara Qabil dan Habil bilamana Qabil membunuh Habil kerana dengki dan tamak. Dengki kerana Habil diberi peluang untuk beristeri cantik sementara dia pula dipinta ayahandanya Adam a.s memilih kembar Habil yang tidak cantik. Qabil juga tamak kerana inginkan sesuatu yang bukan haknya.

Sejak zaman dahulu lagi, peperangan terjadi kerana merebut kawasan dan harta di antara kabilah. Ia kerana dengki dan tamak juga. Apabila kumpulan manusia menjadi semakin ramai, pertelingkahan di kalangan suku kaum itu kemudiannya menjelma menjadi peperangan di antara wilayah dengan wilayah, empayar dengan empayar dan akhirnya di zaman moden pula, antara negara dengan negara.

Walau betapa zalimnya peperangan itu, daripada sudut pandang yang lain, ia dilihat sebagai satu cara untuk mengasah nilai-nilai murni manusia. Di zaman Rom, peperangan itu mempunyai nilai untuk menunjukkan kekuatan (fortitudo), disiplin (disciplina), ketegasan (constantia), ketahanan (patientia), menyintai keagungan (amor laudis) dan mendambakan kemenangan (cupido victoriae).

Ia turut diperlihatkan kepada rakyat sebagai tontonan melalui pertarungan para gladiator dengan singa di arena. Di situ, gladiator yang berjaya akan disanjung dan yang gagal akan dihina jika tidak menemui ajal. Meskipun kita pada hari ini melihatnya sebagai sadis, namun begitulah nilai yang dipegang masyarakat Rom pada ketika itu.

Falsafah peperangan oleh Carl von Clausewitz, seorang pakar peperangan German dalam bukunya On War, menggabung pemerhatian beliau daripada sudut strategi. Apakah peperangan itu jalan penyelesaian atau ia sendiri adalah penyelesaiannya. Pakar strategi China, Sun Tze dalam bukunya The Art of War pula memerhati peperangan daripada sudut taktikal.

Peperangan manusia di zaman ini pula terjadi bukan setakat merebut kawasan dan pengaruh pemerintahan semata-mata. Malah ia berlaku kerana perbezaan anutan agama dan ideologi sosial, ekonomi mahupun politik. Bagaimana pun, peperangan pada hari ini tidak semestinya memerlukan senjata membunuh secara fizikal. Sebaliknya, ia terjadi dalam bentuk peperangan melalui perniagaan, media dan juga dunia siber.    

Dalam dunia yang bertamaddun, peperangan berubah menjadi pertandingan dan peraduan dalam arena sukan. Dilihat daripada sudut yang positif, peperangan dalam konteks sukan seperti Sukan Olimpik juga menyatukan semangat perpaduan di kalangan rakyat agar seiya sekata untuk menentang dan memenangi perlawanan.

Bolasepak sebagai salah sebuah acara sukan, menyatukan penyokong bagi sesebuah pasukan untuk menentang pasukan yang ditandingi. Bolasepak bukan sahaja menjadi keseronokan, malah satu bentuk kegilaan manusia sedunia pada hari ini. Ia menjadikan kumpulan yang menang menepuk dada dengan bangga dan kumpulan yang kalah pula tertunduk dan terduduk. Yang penting, peperangan bentuk ini tidak menghilangkan walaupun sebuah nyawa.

Islam yang membolehkan peperangan pun mempunyai etika yang antaranya, tidak boleh memulakan peperangan; tidak boleh menyerang wanita, orang tua, kanak-kanak dan orang cacat; merosakkan harta benda kecuali darurat; memerangi mereka yang berdamai; mengaibkan mayat musuh; wajib mentaati perjanjian damai dan tidak menganiaya tawanan.

Begitu juga, Konvensyen Geneva yang diperakukan oleh 194 negara di dunia mengandungi empat perjanjian dan tiga protokol, menggariskan tindakan kemanusiaan dalam peperangan seperti hak tawanan, perlindungan terhadap yang cedera dan perlindungan masyarakat sivil di dalam wilayah peperangan. Semua etikanya perlu ditaati.

Berperang itu boleh, tetapi mesti ada peraturannya. Bukan seperti penceroboh Sulu yang tiada langsung adab dan etika berperang. Bendera putih dikibar tetapi bertujuan untuk memerangkap. Lawan yang maut dianiaya kerana sudah tiada peri kemanusiaan lagi.

Berperang dan berperanglah juga bila ia dinamakan pilihanraya. Apabila peraturan peperangan pilihanraya telah ditetapkan, patuhilah ia seperti manusia bertamaddun. Ia adalah untuk kesinambungan kedaulatan sebuah negara. Pilihanraya ialah untuk memilih dan mengambil alih, bukan untuk merampas. Yang kalah mesti bersedia untuk melepaskan. Yang menang bukannya berperilaku seperti sudah menakluk negara yang dinamakan Malaysia.
 
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 10.4.2013, insya-ALLAH... 

Tuesday, April 2, 2013

ANTARA TEORI DAN PRAKTIK


Photo credit: inneractivecoachingonline.com 
MENGAPA FIKIR TIDAK SERUPA BIKIN?


APAKAH kita perasan, biasanya tindakan kita selalunya tidak selari dengan apa yang kita fikirkan? Meskipun ada frasa ‘fikir dua kali,’ lazimnya tindakan yang dilakukan setelah kita berfikir selalunya tersasar daripada apa yang kita niatkan. Ini bukan kes cakap tidak serupa bikin, tetapi fikir tak serupa bikin.

Kita ambil contoh. Dari semasa ke semasa, kita berasa kesal mengabaikan masa kerana melayari internet, sedangkan kita sepatutnya membuat kerja-kerja pejabat. Setelah beberapa lama melayarinya, barulah kita perasan masa kita banyak terbuang. Bila tersedar, baharulah kita memulakan kerja sambil berazam tidak mahu curi tulang pada keesokkannya. Malangnya, perkara yang serupa kita lakukan pada hari esok.

Kita selalu berazam untuk berjimat belanja bila mendapat gaji. Tidak mahu membeli benda yang tidak kita perlukan. Namun, sebaik sahaja kita menghadap mesin ATM, niat asal untuk mengeluarkan RM100 berubah menjadi RM200. Niat hendak membeli barang perlu bertukar setelah duit ada di tangan.

Setiap kali berdiri di tikar sembahyang, kita berniat untuk bersolat dengan khusyuk. Namun belum pun tamat doa iftitah, fikiran sudah melayang jauh dengan hal-hal dunia hingga terlupa rakaat solat.

Banyak lagi contoh-contoh yang kalau kita fikirkan, seolah-olah kita ini sentiasa lalai bila bertindak lain daripada apa yang kita niatkan. Bertindak tidak serupa fikir. Mengapa ini terjadi? Mengapa, meskipun telah fikir dua kali, malah berkali-kali, kita tidak dapat patuh dengan nawaitu asal?

Kita mempunyai otak kiri dan otak kanan. Otak kiri adalah otak logik yang akan membuat kita berfikir panjang. Otak kanan pula adalah otak yang banyak berkaitan dengan rasa. Pendek kata, otak kiri, otak rasional, otak kanan pula otak emosional. Memang mudah untuk rasional apabila kita duduk diam dan berfikir. Namun, apabila kita mula berdiri dan melangkah, emosi mengambil peranan hingga apa yang dirancang menjadi tersasar dan hancur lebur.

Tiadanya kesinambungan di antara berfikir dan bertindak ini sememangnya satu kelemahan. Dalam sehari, hampir mustahil seseorang itu dapat bertindak berdasarkan apa yang diputuskan oleh fikiran. Pasti ada tindakannya di luar apa yang dirancangkan oleh fikiran. Sebaiknya kita perlu sentiasa waspada dengan kelemahan ini ~ seolah-olah khusyuk dengan tingkah tanduk kita agar seiring dengan apa yang difikir, meskipun ia amat sukar.

Bagaimana pun, selagi tindakan yang tidak sebanding dengan fikiran itu bersifat peribadi, tentulah ia hanya member kesan pada kita sendiri. Namun, seandainya tindakan kita itu member kesan kepada orang lain, ia mempunyai risiko yang membahayakan.

Bayangkan, jika seseorang bapa itu walaupun telah berfikir untuk memberi nasihat kepada anaknya yang nakal tiba-tiba menerima ejekan pula daripada anaknya? Kata-kata nasihat boleh sahaja disusuli dengan penampar. Betapa andainya seorang ketua yang mahu menerangkan mengenai masalah syarikat, sebaliknya diprovok oleh kakitangannya dengan kata nista? Dia boleh sahaja melepas geram dengan mengambil tindakan yang memberi kesan terhadap masa depan kakitangannya itu sendiri.

Kita bukan sahaja wajib memimpin diri sendiri. Sebaliknya ada ketikanya perlu memimpin mereka yang bergantung harap dengan kita. Kerana itu, andainya kita pula tidak boleh diharap oleh mereka yang menjadi anak buah, pengikut atau ahli-ahli kita, lebih baik kita melepaskan tanggungjawab itu kepada orang lain.

Inilah padah apabila tidak boleh menseiringkan apa yang dikikir dengan apa yang dibuat. Ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah masa depan orang lain. Biarlah bikin serupa fikir.

Artikel ini akan terbit di akhbar SInar Harian, 3.4.2013, insya-ALLAH...