Tuesday, February 26, 2013

MENANGANI PERUBAHAN



Photo credit: workplacepsychology.com

BERSEDIA MENGUBAH
SUDUT PANDANGAN

SEMALAM, saya terbaca entri seorang penceramah terkenal yang dipaut oleh seorang sahabat ke halaman Facebook saya. Setelah meneliti entri penceramah tersebut, saya geleng kepala. Hampir tidak percaya penceramah terkenal itu beremosi. Saya tidak nafikan selagi kita bernama manusia, kita tentu beremosi. Tetapi bila dia orang yang bernama dan terkenal, dia tidak boleh mempamerkan sikap tidak thiqah atau semenggah, berpadanan dengan statusnya sebagai seorang penceramah.

Apa yang beliau paparkan amat biasa dikomplen oleh rakyat seperti kita iaitu menzahirkan kemarahan bila lewat mendapat layanan perkhidmatan. Ceritanya, beliau telah pergi ke sebuah jabatan kerajaan untuk membuat satu aduan, tetapi terpaksa menanti sejam kerana pegawai berkenaan dikatakan bermesyuarat, padahal dia minum kopi di waktu pejabat.

Saya menggeleng lagi bila penceramah tersebut turut mempamerkan foto seorang pemimpin BN bersama kapsyen ucapan mengenai nilai-nilai mulia seperti memenuhi janji, amanah dan bertanggungjawab. Apa kena mengena lambat menerima layanan dengan wajah pemimpin itu?

Setelah merenung seketika,  saya simpulkan,  kelewatan penceramah itu mendapat layanan daripada pegawai jabatan itu membuat beliau marah kepada BN! Persepsinya, kakitangan awam adalah orang BN. Oleh kerana beliau punyai persepsi pemimpin BN tidak amanah, kakitangan awam yang beliau percayai kesemuanya orang BN tentu juga tidak amanah juga.

Keadaan sudah berubah. Persepsi selama ini bahawa kakitangan awam kesemuanya orang BN sudah tidak boleh dipakai lagi kerana kini ada negeri yang ditadbir oleh kerajaan PR.  Malas dan culas adalah sikap manusia. Di bawah pentadbiran kerajaan mana pun, mereka tetap curi tulang.

Sudut pandangan penceramah tersebut seharusnya bertukar memandangkan sudah hampir lima tahun lanskap politik di negara kita ini sudah berubah. Malah, menjelang PRU13 ini kita semua seharusnya sudah bersedia untuk menerima kekalahan parti pilihan kita dan juga kemenangan parti yang tidak kita sukai.

Bila memerhati ke sekeliling, saya dapati masih ramai lagi yang masih belum sedar untuk mengubah sudut pandangan. Yang menjadi penyokong fanatik, masih tetap menjadi penyokong tegar. Tidak kira apa yang pemimpin mereka kata dan lakukan, mereka tetap akan menyokong dan memperlekeh sesiapa sahaja yang tidak sependapat dengan pemimpin mereka.

Mereka tidak sedar akan perubahan pada hari ini di mana kritikan terhadap seseorang pemimpin itu bukan setakat terluah di kedai-kedai kopi, malahan boleh ditatap oleh pemimpin itu sendiri kerana beliau memperolehi akses daripada alam siber.

Oleh kerana para pemimpin pada hari ini boleh mendapat maklumbalas secara langsung daripada sesiapa sahaja pada setiap masa tanpa melalui tapisan daripada para pegawainya,  pola pemikiran dan tindakan pemimpin itu akan sentiasa berubah pada bila-bila masa juga. Dia tidak lagi bertutur secara lembut dan tenang semata-mata. Tiba-tiba sahaja dia boleh menjadi agresif dan vokal. Tiba-tiba juga dia boleh sahaja berdiam diri tanpa bercakap sepatah pun.

Kerana itu, para pengikut tidak dapat mengagak apa yang akan dilakukan oleh pemimpin mereka. Keadaan ini pula akan memeningkan para pengikut yang fanatik. Seolah-olah pemimpin mereka berbolak-balik fikirannya. Padahal pemimpin hanya mengubah pendekatan, bukannya prinsip. Malangnya, kesan timbal balas ini menjejaskan sokongan terhadap pemimpin itu sendiri. Pemimpin mesti peka akan kebingungan penyokong akibat tindak-tanduknya jika dia tidak mahu menerima kejutan kehilangan sokongan.

Apakah yang tidak berubah, melainkan perubahan itu sendiri? Untuk mengilustrasikan lagi perlunya perubahan persepsi pemikiran, saya lakarkan sebuah SMS seorang kenalan lama. Katanya, ‘Aku adalah penyokong pembangkang!’ Saya tahu dia adalah penyokong BN yang tegar. Tetapi mengapa dia menulis begitu? Setelah berfikir sejenak, saya tersenyum sendiri kerana dia menetap di Kedah!

Rupa-rupanya saya juga belum dapat mengubah sudut pandangan sepenuhnya.
Artikel ini akan terbit di akhabar Sinar Harian esok, insya-ALLAH...

Tuesday, February 19, 2013

KE MANA HALA CONDONGNYA SINAR HARIAN?


 
Photo credit: cj.my
SINAR HARIAN
SOKONG SIAPA?

HARI ini, saya ingin memperkatakan mengenai liputan politik dalam akhbar Sinar Harian. Walaupun akhbar ini menerbitkan banyak berita human interest dan sering kali menjadikan berita bolasepak sebagai berita muka depan, banyak pihak beranggapan akhbar Sinar Harian adalah akhbar politik. Demikian persepsi ramai.

Ya, semakin hampir PRU13, kian rancaklah para pemimpin politik berkempen. Siri jelajah, lawatan, penyampaian, perasmian, ceramah, debat, wacana dan ucapan dilakukan oleh mereka yang ingin menawarkan diri serta memperhebatkan imej kumpulan yang diwakili.

Jentera parti yang terdiri daripada pakar strategi, pakar perunding imej, gerak saraf, perang saraf malah kini, perang gerila sudah menyusun dan mula melakukan serangan. Itu belum termasuk cyber troopers yang akan mencanang dan mencanai kesemua kemudahan komunikasi melalui alam siber yang digunakan semaksima mungkin hingga membolehkan kehadiran pemimpin-pemimpin politik dirasai pada bila-bila masa, di mana-mana jua.

Dalam pada itu, media massa sebagai rangkaian komunikasi turut digunakan. Oleh kerana  media akhbar, radio dan televisyen itu tidak semestinya dipunyai oleh mana-mana parti politik secara langsung, maka ia cuba didekati oleh pihak yang ingin mempromosi diri bagi mendapatkan ruang berita.

Sinar Harian sebagai akhbar yang mampu bersikap neutral  kerana ia dipunyai oleh sekumpulan ahli perniagaan yang tidak mahu terlibat dalam politik partisan turut menjadi pilihan parti-parti politik sebagai medium penyebar aktiviti mereka.

Dalam keadaan yang semakin hangat, terdapat juga pihak yang beranggapan Sinar Harian akan mengambil pendirian untuk menyokong Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat. Banyak juga pihak yang meneropong untuk mentafsir, apa juga isu yang didapati condong kepada salah satu pihak akan mengakibatkan Sinar Harian terus dilabel sebagai berkepentingan dan mempunyai agenda.

Sebenarnya Sinar Harian adalah entiti bisnes yang tidak mampu menyokong mana-mana pihak pada bila-bila masa pun. Kalau adapun dilihat sebagai condong, besar kemungkinannya Sinar Harian memperoleh respons dari pihak yang dihubungi. Siapa yang beri lebih respons akan diberi ruang yang lebih besar. Ia juga bergantung pada isu. Ada hari bila mana Sinar Harian mendapat respons yang banyak daripada BN, ada hari daripada PR pula. Kerana itulah Sinar Harian dilihat berpihak kepada BN pada hari ini didapati condong kepada PR pada keesokan harinya.

Editorial Sinar Harian yang diterajui (maaf cakap, saya ingin guna istilah ‘dibarisi,’ tetapi dikhuatiri disalaherti) oleh lima anggota pengurusan, lapan editor, lapan penolong editor dan hampir 200 orang wartawan sebenarnya hanya melihat berita yang mempunyai nilai maklumat dan cerita. Hakikatnya, terdapat anggota Sinar Harian daripada ahli-ahli parti politik, antaranya UMNO, Pas, DAP, PKR.

Bagaimana pun, ketika menyusun berita, apa yang diutamakan adalah nilai bahan itu sendiri. Bukannya cerita parti yang disokong secara peribadi. Sebab itulah ada hari di mana berita yang menjadi tajuk utama adalah berita BR1M dan pada keesokan harinya Sinar Harian memilih pula berita Pas sebagai tajuk utamanya.

Baru-baru ini, Sinar Harian tidak teragak-agak memilih berita Datuk Seri Najib di muka hadapan Edisi Kelantan bila beliau menghebahkan tujuh projek besar untuk Kelantan. Berita mengenai penutupan bilik gerakan UMNO di Pasir Gudang, Johor pula dipilih menjadi tajuk muka depan Edisi Johor. Jika mana-mana parti politik menjadi agenda sokongan, sudah tentu hanya berita pro-Pas akan tersiar di Edisi Kelantan dan berita pro-UMNO terpapar di muka hadapan Edisi Johor.

Sinar Harian tiada agenda politik. Siapa yang menang, siapa yang kalah dalam PRU13 kelak perlulah dihormati kerana telah memenanginya secara demokrasi. Kita akan sokong pihak yang menang dan memberi ruang juga kepada pihak yang kalah bersuara seperti apa yang kami lakukan selama ini.

“Di mana ada kebenaran, di situ ada Sinar.” Slogan atau tagline ini mempunyai maksud, kami hanya memihak kepada kebenaran. Ia juga mempunyai selapis lagi makna iaitu, apabila kita memihak kepada kebenaran, kita tidak berada dalam kegelapan – ada sinar di situ!
 
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 20.2.2013, insya-ALLAH...


 

Tuesday, February 12, 2013

PENANTIAN ITU SIKSAAN


 
Photo credit: the celebration.wordpress
MENANTI BUAH
YANG LAMBAT GUGUR

JIKA sebelum ini pejabat Sinar Harian hanya setingkat, kini pejabatnya empat tingkat arasnya. Kerana itu, saya menggunakan lif ke pejabat di tingkat dua. Bila lif rosak, saya naik-turun tangga. Dalam keadaan lif yang okey pun, selalu juga saya menggunakan tangga bila tidak mahu menunggu.
Pada banyak ketika, lif yang dinanti sampai serentak ataupun lebih awal daripada saya yang menuruni tangga. Ketika itu, hati menempelak diri kerana tidak sabar. Tetapi dua tiga hari kemudian saya tidak mahu juga menunggu dan setiap kali  juga kalah dengan kelajuan lif. Dan, rasa kesal bertandang lagi.

Di jalanraya pun begitu, terutamanya ketika pulang kerja. Bila terpandang jalan di hadapan sudah sesak, perasaan tidak sabar mula melonjak. Setelah dua-tiga kali menekan brek bila bersesak di dalam jem, mulalah saya mengensot kenderaan ke sebelah kiri untuk mencari jalan susur.
Sememangnya jalan susur selalunya lebih lengang. Tetapi biasanya hanya setakat di selekoh pertama. Selepas itu, selalunya saya akan terserempak dengan kesesakan yang lebih teruk. Bukankah bila sebatang jalan mulai sesak di waktu pulang kerja, selalunya di jalan-jalan lain pun biasanya akan jem? Ketika bersesak itu juga, saya menyesal kerana menukar haluan. Kalau tidak  jalan susur pun tak mengapa, kerana sesaknya sama sahaja.

Kerap juga ketika memandu di lorong laju, saya terkejut apabila kenderaan saya tiba-tiba dihimpit dari belakang oleh kenderaan lain. Pemandunya tentulah lebih  tidak sabar daripada saya. Setelah cuba menyondol-yondol seketika, belum sempat saya menukar lorong, si pemandu sudah beralih ke lorong sebelah dan cuba mencelah-celah di antara kenderaan yang berada di lorong yang lebih perlahan. Akhirnya, kenderaan itu tercorot bila tidak dapat memotong jentolak di depannya. Kasihan dia yang tidak sabar.
Mengapa kita tidak suka menunggu? Mengapa kita sanggup mengambil jalan yang lebih jauh dan menggunakan lebih tenaga untuk bergerak? Sedangkan biasanya jalan yang satu lagi itu lebih lambat daripada  jalan asal?

Beberapa tahun lalu, pihak pengurusan lapangan terbang di Houston menghadapi masalah perhubungan pelanggan bila para penumpang mengadu kerana terlalu lama menunggu bagasi. Pihak pengurusan mengambil langkah menambah petugas pengendali bagasi dan masa menunggu dapat dijimatkan hingga lapan minit.

Namun, komplen para penumpang tidak terhenti.  Pihak pengurusannya bingung dan terus membuat kajian susulan. Mereka mendapati para penumpang berjalan tidak sampai seminit dari kapalterbang ke bahagian bagasi. Namun, mereka menunggu lebih lapan minit untuk mendapatkan bagasi masing-masing. Inilah punca komplen mereka. Mereka tidak sanggup menanti.
Pihak pengurusan kemudiannya membuat pendekatan baharu. Mereka mengalih pintu masuk lebih jauh daripada terminal utama dan meletakkan kawasan bagasi di hujung terminal. Para penumpang terpaksa berjalan enam kali ganda lebih jauh. Namun, kali ini tiada siapa yang komplen!  

Masa dirasakan merangkak bila kita menunggu tanpa berbuat apa-apa. Lebih baik bergerak daripada berada di tempat yang sama walau pun kita akhirnya tiba ke tempat yang dituju pada jangka masa yang sama.

Menunggu tanpa mengetahui selama mana sepatutnya menanti akan lebih menggelisahkan. Kita akan lebih selesa menanti rakan yang menelefon mengatakan dia akan sampai sejam lagi. Tetapi kita akan mendengus jika rakan itu tidak memberitahu kita akan kelewatannya meskipun dia tiba hanya 10 minit terlewat.

Justeru itu, menanti dengan kepastian tidak merimaskan. Sebaliknya, menunggu tanpa kepastian itulah yang menyakitkan. Seperti kita semua yang menanti pengumuman bilakah parlimen akan dibubarkan… ia sesuatu yang menyiksakan kerana kita tidak tahu kepastiannya. Cuma yang dimbimbangkan, (maaf cakap), apabila terlalu lama menunggu, kita mula berpendirian, yang penting bagi kita ialah bergerak dan melepasi penantian itu  tanpa menilai natijahnya.
 
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.2.2013, insya-ALLAH...

Tuesday, February 5, 2013

BAIK BURUK PENYOKONG TEGAR


 
Photo credit: blogs.e-rockford.com
SOKONG YANG
MEMBAWA REBAH

DALAM sesebuah majlis politik, kita akan dapati individu-individu yang hadir secara berkumpulan. Pakaian mereka mempromosikan imej parti sama ada daripada segi warna mahupun potongan pakaiannya. Bila pemimpin berucap di hadapan, merekalah yang akan menyampuk untuk mengiyakan dan meminta mereka yang di sekeliling diam supaya menumpukan perhatian. Mereka jugalah yang akan memulakan tepukan dan sorakan hingga hadirin yang lain ikut sama.

Siapakah mereka? Mereka adalah penyokong tegar atau ahli fanatik. Tindak tanduk mereka yang sentiasa menghangatkan suasana akan memberi keyakinan kepada pemimpin yang berucap di hadapan untuk berpidato dengan lebih bersemangat. Malah, mereka jugalah yang akan menggamatkan suasana majlis hingga gegak gempita.

Setelah majlis tamat, merekalah yang akan mengerumuni pemimpin mereka dengan perasaan bangga. Mereka akan memandang wajah pemimpin dengan mata mencerlang kerana terpesona dengan ketua mereka itu. Pemimpin yang menyedari kehadiran para penyokong tegar akan menghela nafas lega dan bangga kerana mempunyai penyokong yang sebegini. Apa sahaja yang diperkatakan oleh pemimpin akan diiyakan para penyokong fanatik ini. Pantang pemimpin membuat lawak… para penyokong tegar akan segera memberi reaksi dengan gelak besar yang lebih kuat daripada nilai lawak itu sendiri.

Rata-rata, penyokong tegar adalah mereka yang benar-benar ikhlas dengan perjuangan parti yang mereka pilih. Mereka sanggup mengeluarkan belanja untuk parti, menghabiskan masa yang terluang untuk aktiviti parti mahupun mengerah tulang empat kerat daripada menyusun kerusi di sesebuah majlis hinggalah memanjat pokok untuk memasang bendera parti.

Jangan ditentang atau dikata pemimpin mereka. Golongan inilah yang sanggup berarak dan menunjuk perasaan untuk menyatakan sokongan kepada parti. Pihak lawan memang sukar  menang selagi parti yang ditentang itu mempunyai ramai para penyokong yang tegar ini. Dikerat lapan belas atau mati hidup balik pun, mereka akan tetap menyokong parti dan pemimpin yang mereka pilih.

Beruntunglah parti yang mempunyai ahli-ahli fanatik ini kerana ia sudah memperoleh simpanan tetap yang bakal membantu kemenangan parti dalam pilihanraya. Apa sahaja yang diputuskan oleh parti pilihannya akan disokong sepenuh hati. Putih akan dikata putih, hitam akan dikatakan hitam.

Bagaimana pun, apakah semakin ramai ahli-ahli fanatik sesebuah parti itu akan menguntungkan pertubuhan itu? Tidak semestinya. Malah, ia boleh menjadi liabiliti kepada sesebuah parti itu. Sebenarnya, semakin ramai penyokong fanatik bagi sesuatu parti, ia akhirnya boleh menjelma menjadi masalah kepada parti tersebut.

Sekali pandang, alangkah beruntungnya sesebuah parti itu mempunyai ramai para penyokong tegar.  Tetapi, penyokong tegar juga lazimnya menyokong kerana berasa dia wajib menyokong apa sahaja yang diuar-uarkan oleh parti mereka meskipun tidak menyedari, mereka sudah terbuta mata dan tertuli telinga akibat kefanatikan mereka sendiri. Malah, (maaf cakap), mereka jugalah yang akan menjadi penyokong yang membawa rebah!

Pemimpin biasanya berada di kedudukan yang tinggi. Berada di puncak juga bererti sukar dapat berpijak di bumi yang nyata. Dalam keadaan yang jauh daripada akar umbi, pandangan mereka akan terlindung daripada realiti kerana mereka sentiasa dikerumuni oleh penyokong-penyokong tegar ini.

Kerana sentiasa mendengar tepukan dan sorakan daripada mereka ini, pemimpin tidak perasan yang dia hanya dihurungi oleh penyokong-penyokong yang fanatik ini. Walhal, jika dia keluar daripada kelompok yang mengelilinginya, rupa-rupanya penyokongnya bukanlah ramai sangat. Hanya memenuhi sudut kecil sebuah padang yang luas.

Ramai pemimpin dan banyak parti yang kecundang kerana mempunyai penyokong-penyokong yang fanatik ini. Tetapi, hakikat bahawa pemimpin atau partinya itu sebenarnya tidak kuat hanya dapat dimengerti setelah tewas dalam pertandingan. Keadaan ini akan berulangkali terjadi kepada mana-mana parti.

Ia seolah-olah menjadi putaran dan juga kitaran sejarah mana-mana parti yang berjaya. Ketika kecil, ia kukuh dengan semangat ahli-ahlinya. Semangat itulah yang membesarkan parti dan meramaikan ahli-ahli yang fanatik. Ahli-ahli yang fanatik, dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi akan membuat para pemimpinnya berasa apa yang dibuatnya itu tiada cacat celanya. Kesalahan yang dilakukan menjadi betul kerana sokongan penyokong-penyokong yang tegar. Akhirnya parti itu tumbang menyembah bumi lalu menimbus para penyokong tegarnya. Dan, si pemimpin itu pula menjadi batu nesannya. Menakutkan!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.2.2013, insya-ALLAH...