Tuesday, October 30, 2012

ALAM REALITI, ALAM SIBER



Photo credit: robotplunger.com

TULISAN TIDAK
MENUNJUKKAN PERIBADI

PENAT melayan tetamu sambutan Hariraya Aidiladha Kumpulan Media Karangkraf semalam sudah hilang bila saya tidur awal. Bila bangun pagi ini, tubuh sudah segar kembali. Begitulah bila ada majlis di Karangkraf… para jemputan yang datang cukup ramai. Ada yang sempat dilayan dengan makan bersama. Lebih ramai lagi yang hanya dapat dirai setakat menghulur salam dan mempersilakan mereka menjamu selera.

Terima kasih kepada teman-teman, rakan media dan rakan niaga yang sudi meluangkan masa untuk sama-sama memeriahkan majlis. Tidak mengapa kepada teman-teman yang menelefon untuk mengkhabarkan anda tidak sempat datang kerana ada urusan yang di luar jangka. Tahun depan ada lagi jemputan, insya-ALLAH. Bila dijemput, silalah datang ke tempat kami.

Hampir acara berakhir, saya menerima panggilan dari teman-teman Kuala Lumpur yang baru tiba ke Shah Alam. Mereka sampai lewat dan segan hendak ke Karangkraf. Puas memujuk, mereka enggan juga. Akhirnya saya  pula yang keluar untuk menjamu mereka di sebuah restoran berhampiran dengan pejabat.

Sedang asyik berbual selepas minum-minum, saya perasan ada seorang pemuda berambut panjang sampai ke bahu, di meja sebelah. Tubuhnya gempal. Sejak mula dia duduk saya nampak dia hanya minum teh tarik. Dalam masa setengah jam, dia sudah meneguk hampir dua gelas teh. Saya nampak dia asyik mengetuk sesuatu di komputer ribanya. Apa yang menyibukkannya?

Untuk menghilangkan rasa ingin tahu, saya mengalih kerusi dan menghadapnya. Kami bersalaman dan saling bersapa. Katanya, dia kenal saya melalui tulisan saya. Suaranya perlahan, tutur katanya penuh beradab dan gerak gerinya menggambarkan dia seorang yang amat menghormati orang. Bila dia memperkenalkan diri, saya pula terkejut kerana berkenalan dengan seorang blogger yang selama ini saya hanya tahu nama, tetapi bukan orangnya.

Betapa dirinya itu jauh sekali berbeza dengan apa yang ditulisnya. Tulisannya sentiasa pedas menikam perasaan. Bahasa yang digunakannya celupar. Ada maki, ada hamun. Apabila saya terbaca tulisannya, biasanya saya akan kerap menggeleng kesal. Malah saya terfikir, apakah si penulis tidak mengerti apa yang ditulisnya itu kerap melukakan hati ramai orang?

Sekali lagi saya terjumpa dengan manusia yang baik pekerti tetapi terlalu liar tulisannya. Sebelum ini, saya pernah bertemu dengan seorang lagi blogger yang tidak kurang kasar dan kesat bahasanya, tetapi sebenarnya dia seorang lelaki yang toya.

Begitu jugalah, ramai lagi mereka yang menulis di Facebook dan Twitter amat berbeda personaliti jika dibandingkan dengan tulisan masing-masing. Tulisan mereka, panas. Diri mereka, dingin. Ayat-ayat mereka, kesat. Pertuturan mereka, penuh ketertiban.

Dwi-personaliti ini menambah satu lagi perangai orang kita. Jika selama ini kita selalu berkata, orang Malaysia ini baik-baik. Tetapi bila mereka berada di belakang stereng, perangai mereka berubah ganas. Kini, kita juga boleh katakan, orang Malaysia ini baik-baik. Tetapi bila mereka berinteraksi di alam siber, peribadi mereka bertukar sebaliknya. Apakah ini sejenis penyakit?

Kerana itu, kita tidak boleh ambil hati dengan apa jua bahasa yang digunakan oleh mereka yang menulis di alam siber. Sebahagian besar daripada mereka adalah orang biasa seperti kita yang beradab dan berhemah. Mereka hanya menganggap bahasa kasar, kesat dan celupar itu adalah bahasa standard di alam siber. Sebab itulah mereka tidak berasa janggal menggunakannya. Padahal, ia bukannya cara mereka menulis dan bertutur di alam nyata.

Jika kita marah-marah dengan cara tulisan demikian dengan cara menegur, biasanya kita pula akan dibelasah habis-habisan. Tambahan pula, dengan nama samaran atau profil samaran, seseorang itu mungkin sahaja menggunakan sesuatu nama sebagai wataknya di alam siber, iaitu keras dan kasar. Kita kena terima bahawa itu lingua franca dalam internet. Kita perlu terima kenyataan bahawa bahasa di alam siber tidak menggambarkan personaliti insan sebenar.

Dalam pada itu, kita sendiri patut mengubah tanggapan bahawa bahasa dan tulisan di alam siber adalah bebas sebebas-bebasnya. Mana ada kebebasan tanpa sempadan? Jika kita menghormati diri sendiri, kita tidak akan memalukan diri menggunakan bahasa yang tidak molek meskipun orang yang tahu siapakah kita.
Tidak perlu terikut-ikut. Gunakan bahasa yang sopan dan tertib. Jika itulah peribadi kita, mengapa kita perlu berubah personaliti menjadi The Hulk sebaik sahaja menekan papan kekunci?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 31.10.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, October 16, 2012

JANGAN JADI SI TENGGANG



Photo credit: defensetech.org
KEJAYAAN KERANA
ORANG SEKELILING
SAYA sempat menyaksikan terjunan bersejarah Felix Baumgartner secara langsung melalui internet pada pagi 15 Oktober waktu Malaysia. Felix membuat terjunan bebas dari stratosfera ke bumi, dengan ketinggian 180,000 kaki dan kelajuan 1,342 kilometer sejam.

Saya turut gayat bila skrin menayangkan Felix melalui kamera dari atas kapsul. Dengan imej bumi yang berputar sebagai latarnya, saya pasti kecut perut jika berada di tempat beliau. Bila Felix terjun dari jarak 39 kilometer, lebih kurang jarak antara Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang, saya tidak boleh mengelak dari membayangkan apa akan terjadi andainya pakaian Felix tercarik. Tubuhnya akan panas akibat geseran, darahnya akan mendidih dan dia boleh rentung.

Namun, akhirnya Felix mendarat di bumi New Mexico dengan selamat. Persediaan yang memakan masa berbulan lamanya selesai dalam masa kira-kira 10 minit. Tetapi, dia tidak mungkin dapat melakukannya tanpa bantuan beratus petugas lain ~ daripada pemandu kren yang membawa kapsulnya, tukang pam belon helium hinggalah kepada tukang jahit sut khasnya.

Sekurang-kurangnya tujuh orang pakar mengendalikan persediaan batang tubuh Felix Baumgartner. Dia dinasihati oleh pakar olahraga, Andy Walshe; yang menjaga kesediaan fizikal dan mentalnya. Dia juga menerima nasihat pakar perubatan, Jonathan Clarke; pakar keselamatan Mike Todd; pakar teknikal, Art Thompson; pakar sains angkasa Marle Hewett; pakar terjunan, Luke Aikins dan juga Joe Kittinger; manusia yang telah memecah rekod dunia dengan melompat dari langit dengan ketinggian 102,000 kaki pada tahun 1960 sebagai capsule communicator atau teman sembang Felix di sepanjang program itu.

Terjunan itu tampak mudah. Kejayaannya nampak senang. Tetapi, tanpa bantuan mereka di sekeliling termasuk ibu dan isterinya, Felix Baumgartner tidak mungkin dapat melakukannya dengan penuh motivasi. Namun, kita selalu tidak sedar, kejayaan seseorang itu juga adalah kerana keterlibatan mereka di sekelilingnya.

Sama juga apabila kita melihat aksi watak James Bond, Daniel Craig. Kita hanya nampak dia melakonkan pelbagai aksi. Tetapi, tanpa bantuan pengarah yang memerintahnya mengatur langkah, pertolongan pakar seni mempertahankan diri, jurukamera, jurumekap, pelakon aksi ngeri, pereka grafik CGI dan tukang bancuh kopi, si pelakon tidak mungkin dapat membawa watak seorang hero yang bergolek, melompat, menerjah dan bergasak tanpa letih.

Seorang usahawan yang hebat itu pasti dikelilingi oleh mereka yang sentiasa membantunya berjaya. Kumpulan pengurusnya dari segi kewangan, pentadbiran, sumber manusia, operasi, pemasaran, pelaburan, material dan kumpulan petugas dari segi pembuatan, perkeranian dan pasukan jurujual yang cekaplah yang menyokong kehebatannya.   

Pendek kata, lagi besar kejayaan, lagi ramailah orang sekeliling yang membantu kita untuk berjaya. Tokoh perunding yang terkenal, ahli politik yang tersohor, ustaz yang terhormat dan artis yang popular, kesemuanya berjaya kerana jumlah mereka yang menyokong dan menyukai apa yang dilakukannya itu ribuan angkanya.

Kejayaan kita yang seadanya pun terjadi kerana bantuan, sokongan dan kehadiran mereka di sekeliling kita seperti  ibu bapa, adik beradik, saudara-mara, sahabat-handai dan berpuluh orang guru yang mengajar pelbagai subjek kepada kita sejak darjah satu hinggalah ke institusi pengajian tinggi.

Malah, kejayaan kita ini juga berlaku kerana adanya antagonis dalam kehidupan peribadi. Bekas teman sekelas yang selalu membuli, rakan sekampung yang sentiasa mengejek, mereka yang kita tahu selalu mengumpat kita, yang menganiayai kita, bekas kekasih atau musuh dalam selimut adalah mereka yang memberi motivasi melalui reverse psychology hingga dendam kesumat kita terhadap mereka berubah menjadi pembakar semangat kita untuk berjaya.

Untuk itu, andainya kita perasan hebat kerana berjaya hasil usaha sendiri, kita kenalah beringat. Kita tidak boleh lupa daratan. Dan tidak elok juga berperangai si Tenggang yang tidak mengaku atau menafikan mereka yang membantu kita hingga berjaya, termasuk kerajaan yang memerintah (tidak kira pihak BN mahupun PR).

Mana ada orang yang berjaya
hasil usahanya sendirian atau
seorang diri cara sebatang kara?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 17.10.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, October 9, 2012

ENTITI PERNIAGAAN DAHULU & SEKARANG


Photo credit: rudysyah.blogspot.com


NICHE DALAM
DUNIA PERNIAGAAN

SEJAK menggunakan telefon bimbit, saya kian malas menyarung jam tangan. Jika ingin melihat waktu, saya buka sahaja telefon bimbit saya. Ada waktu semasa yang terpapar di situ. Dengan sebuah telefon bimbit, saya boleh mengubah bentuk paparan jam saya samada secara analog atau digital. Angka yang terpancar pun boleh saya pilih sama ada besar mahu pun kecil; berwarna merah, hijau atau ungu.

Bingkai jam yang terpapar di skrin telefon saya pun boleh diubah-ubah sama ada dalam bentuk bulat, bundar atau bersegi-segi. Pendek kata, bentuk jam tangan di telefon bimbit saya boleh digubah setiap hari mengikut kesukaan saya. Kerana itu, lama kelamaan saya sudah  tidak memakai jam tangan lagi. Dan saya dapati semakin ramai teman-teman sepejabat yang tidak menggunakan jam tangan kerana sebab yang sama.

Namun, meskipun ramai yang mempunyai lebih seutas jam tangan, sebahagian besar teman-teman yang saya kenali hanya mempunyai seutas jam tangan. Walaupun ada juga yang mempunyai dua utas, tetapi saya tidak jumpa teman yang mempunyai lebih daripada lima utas jam tangan. Jam bukannya makanan yang perlu diambil setiap hari.  Biasanya seutas jam tangan yang dibeli boleh tahan bertahun-tahun lamanya.

Tetapi anehnya, saya lihat di mana-mana kompleks perniagaan, terdapat banyak sekali kedai jam. Nama-nama rangkaian kedai jam seperti Watatime, Time Galerie, Solar Time dan The Hour Glass terdapat di kebanyakan kompleks membeli-belah. Itupun  belum termasuk kedai-kedai jam jenama khusus seperti Rolex, Titus, Guess dan Chopard. Biasanya, apabila saya melewati kedai-kedai jam ini, ia dikunjungi para pelanggan.

Ertinya, meskipun kian ramai yang tidak memerlukan jam tangan dan kalau memerlukan hanya membeli seutas jam setahun sekali kerana tahannya produk itu, bagaimana mungkin semakin banyak kedai jam yang wujud? Seolah-olah orang ramai membeli jam tangan pada setiap hari!

Sama juga dengan kedai cermin mata. Kita tidak membeli cermin mata sebulan sekali. Namun, kita akan dapati kedai-kedai cermin mata seperti  Focus Point, England Optical, Menara Optical dan Cambridge Optical terdapat di hampir kesemua kompleks membeli-belah.

Apakah ertinya? Ertinya, penduduk Malaysia semakin ramai. Oleh itu, seandainya jumlah orang yang tidak memakai jam tangan seperti saya semakin meningkat, ada ramai lagi orang yang akan membeli jam tangan.  Anggaran penduduk Malaysia Pertengahan Tahun 2012 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan penduduk Malaysia sudah menjangkau kepada 29,336,800 orang atau menghampiri 30 juta penduduk.

50 tahun yang lalu, kita pernah dengar kisah bagaimana jika ada dua perniagaan yang sama pada satu-satu tempat, salah sebuah perniagaan akan bungkus. Perniagaan orang Melayu ketika itu biasanya hanya membuka kedai songkok, kedai runcit dan kedai makan. Dengan jenis perniagaan, kawasan dan jumlah pelanggan yang terhad, tentu sekali dua buah perniagaan yang sama tidak boleh wujud di tempat yang sama.

Namun, pada hari ini, keadaan sudah jauh sekali berubah. Dengan meningkatnya jumlah penduduk, perniagaan yang sama jenisnya pun boleh hidup jika dibuka berdekatan. Malah, perniagaan yang terhimpun di sesebuah kawasan itu menjadikan ia bagai besi berani kerana dapat menarik lebih ramai pelanggan ke sesebuah tempat.

Pada hari ini, tidak hairanlah jika di medan-medan selera, semua kedai makan boleh mendapat sambutan dan maju. Kedai peralatan sukan, pakaian, permainan, kasut, jam dan cermin mata boleh dibuka bersebelahan dan mendapat sambutan. Malah, tempat seperti pusat perniagaan yang mempunyai lebih 100 buah premis di Low Yat di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan Digital Mall di Petaling Jaya, Selangor hampir kesemuanya menjalankan perniagaan yang sama iaitu komputer.

Kita lihat pada hari ini, hampir kesemua kompleks perniagaan yang muncul dikunjungi orang ramai daripada waktu mula berniaga hingga lewat malam. Kawasan parkirnya sesak, concoursenya padat dan medan seleranya pun sendat dengan pengunjung. Semakin banyak kompleks membeli-belah dibuka, semakin ramai pelanggan mengunjunginya.

Justeru itu, pandangan bahawa kemunculan sesebuah rangkaian perniagaan itu akan mematikan perniagaan yang lain kerana kurangnya pelanggan, sudah tidak tepat. Malah, ia adalah pandangan yang sudah ketinggalan zaman.

Tidak timbul soal perniagaan yang besar menyebabkan perniagaan yang kecil boleh gulung tikar. Malah, banyak perniagaan yang besar memudahkan perniagaan-perniagaan yang kecil memperoleh bekalan barangan dengan harga yang lebih murah dan berkualiti. Peniaga-peniaga kecil ini boleh menjualnya dengan harga yang berpatutan di kawasan mereka. 

Setiap perniagaan mempunyai niche masing-masing. Niche adalah faktor keunikan dalam dunia pemasaran, perniagaan dan kepenggunaan. Justeru itu, perniagaan yang besar tidak boleh mematikan yang kecil, dan yang kecil tidak boleh meruntuhkan perniagaan yang besar. Yang boleh meranapkan sesebuah perniagaan itu hanyalah sikap tuanpunya perniagaan itu terhadap perniagaan itu sendiri.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 10.10.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, October 2, 2012

DI ANTARA MILO DAN TONIK CHAP GAJAH



Photo credit: bluesriders.blogspot

MENJADI POPULAR
DAN TERUS DIINGATI


BARU-BARU ini saya pulang ke kampung dan berkunjung ke rumah saudara jauh. Nek Noi dan Tok Jali amat berbesar hati dengan kunjungan saya sekeluarga. Nek Noi terus menggoreng mihun sebagai hidangan. Aromanya menyelerakan. Namun, bila dia menghidangkan mi, saya sedikit kaget melihat sudu yang disertakan. Dia menggunakan sudu yang terukir jenama Tonik Chap Gajah.

Pasti sebahagian besar daripada anda tidak tahu apakah itu Tonik Chap Gajah. Ia adalah di antara minuman tonik yang terkenal pada tahun-tahun 60an-70an. Setiap belian tonik itu akan dihadiahkan sebatang sudu yang dilekatkan dibotolnya. Seingat saya ada juga ketika di mana hadiahnya ialah sebuah gelas plastik berwarna coklat. Tonik keluaran syarikat A.S Mohamed Kassim & Co itu begitu terkenal kerana kerap mengiklankan produknya di akhbar dan radio. Malah, syarikat itu pernah menaja rekod EP kugiran The Sangam Boys untuk mempromosi produknya.

Sambil membelek sudu, saya teringatkan rasa tonik yang payau itu. Betapa, sebuah produk yang begitu terkenal entah masih wujud atau sebaliknya. Pulang ke rumah, saya melayari internet. Dan ya, saya dapati Tonik Chap Gajah masih terjual di pasaran. Tetapi, oleh kerana kurang promosinya, jenama itu semakin tenggelam dari ingatan.

Langsung saya teringatkan beberapa jenama yang sudah lama saya tidak temui seperti minyak angin Cap Lang, Minyak Geliga, minyak rambut Warda, bedak AAA, sabun basuh Sunlight, Swastika, Drive serta ubat pening kepala Aspro, Vinac dan Dusil. Lalu saya teringat pula kepada Restoran Bilal, medan selera makanan laut di belakang pasaraya Campbell, Kuala Lumpur dan restoran Pines di Brickfields, Kuala Lumpur.

Carian di laman web menemukan saya dengan sebahagian besar jenama-jenama itu. Hampir kesemuanya masih wujud. Minyak angin Cap Lang, Minyak Geliga, bedak AAA dan Restoran Bilal masih terus beroperasi. Sabun basuh Sunlight, Swastika dan Drive tidak saya temui. Aspro, Vinac dan Dusil pula mungkin tidak dimport lagi ke negara ini.  

Begitulah kita sebagai pengguna. Kesetiaan kepada sesebuah jenama itu akan terlerai apabila ia tidak rajin melakukan mempromosi. Maklumlah, pada hari ini terdapat ribuan produk yang lahir untuk memenuhi rak-rak di pasaraya. Andainya sesebuah produk itu tidak membuat pemasaran untuk mempromosi kewujudannya secara berkala, kehadirannya akan dilupai. Apabila ia sudah tidak diingati, para pengguna akan mencari jenama yang lain. Tentunya jenama lain yang dicari adalah jenama yang sering muncul di dalam iklan.

Untuk itu, saya kagum dengan jenama Milo. Satu-satunya jenama yang begitu lama wujud di negara kita. Sejak muncul di pasaran Malaysia pada tahun 1950, Milo masih terus menerus teguh dengan strategi pemasarannya. Seperti saya juga, anak-anak saya gembira beratur untuk mendapatkan Milo percuma bila van Milo sampai di sekolah mereka. Ia adalah pengalaman unik di usia kecil yang kekal dalam fikiran saya.

Pada hari ini, iklan-iklannya muncul di pelbagai tempat. Di akhbar, radio, televisyen, majalah, internet, billboard, sepanduk tajaan, papan tanda dan pelbagai lagi terus mengiklankan jenama itu. Ia mengukuhkan Milo sebagai minuman kesihatan dan memahat kehariannya di dalam minda kita. Seingat saya, hanya restoran makanan segera francais antarabangsa di Malaysia sahaja yang menghidangkan minuman itu. Itu belum lagi di restoran mamak dan gerai-gerai, apatah lagi di rumah.

Manusia juga umpama produk. Mereka jadi terkenal kerana biasa muncul di televisyen, radio, akhbar dan majalah di peringkat nasional. Golongan ahli politik, agamawan, aktivis sosial atau artis berpeluang diingati di kalangan masyarakat kerana pendedahan itu. Kita sebagai individu juga berpeluang menjadi terkenal seandainya mempunyai kebolehan yang unik hingga menjadi perhatian orang ramai.

Saya teringat kepada penyanyi Korea, PSY yang terkenal seantero dunia kerana tarian gangnam stylenya. Begitu juga gadis Ukraine, Anastasiya Shpagina yang mendandan dan membentuk dirinya hingga menjadi kartun anime Jepun yang hidup. Ada pelbagai cara manusia menarik perhatian hingga menjadi sebutan ramai.

Pokoknya, apakah seseorang itu dapat bertahan kekal diingati? Andainya seseorang itu tidak rajin muncul di mata dan hati khalayak ramai, walau betapa bagus dan popularnya dia, seseorang itu akan cepat dilupakan.

Saya dan anda bagaimana? Mana lebih bagus?
Diingati kerana kebagusan atau dilupakan meskipun bagus?

Apa kata ahli politik pula?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.10.2012, insya-ALLAH...