Tuesday, September 25, 2012

KENAPA MUAK PADA YANG DIGEMARI?




Photo credit: 
irmadilondon.blogspot.com
TERLALU KERAP 
JADI TAK SEDAP

NASI kegemaran saya ialah Nasi Mandy berlaukkan daging kambing. Bila ke restoran Arab, saya pasti memesan makanan itu. Namun, bagaimana suka pun saya dengan Nasi Mandy, saya tidak pula kerap ke restoran Arab. Mungkin sekali dalam sebulan saya akan berkunjung ke sana. Itupun sudah cukup untuk menghilangkan gian saya. Di peringkat awal saya mula mengenali nasi itu, saya pernah makan Nasi Mandy dua hari berturut-turut. Setelah itu, lebih sebulan saya tidak menjamahnya kerana muak.

Saya juga gemar menonton wayang. Kalau ada filem-filem yang saya gemari ditayangkan pada waktu yang dekat, mungkin seminggu sekali saya akan menonton di pawagam. Saya juga pernah menonton wayang back-to-back ~ selepas masuk ke panggung 1, saya masuk ke panggung 2. Bagaimana pun selepas itu saya akan pening kepala. Satu ketika dahulu, saya suka menonton video; sebuah cerita sehari. Dan pernah juga menonton tiga video sederet. Akhirnya kepala saya jadi bengang.

Apa yang saya hendak sampaikan ialah, kalau pun kita sukakan sesuatu, kita tidak boleh menikmatinya sebanyak atau sekerap yang kita suka. Terlalu banyak benda yang tidak baik untuk kita, tidak bagus untuk fikiran. Begitu juga, terlalu banyak benda yang baik untuk kita, ia juga tidak bagus kerana kita akan hilang rasa nikmat kerana muak, jenuh dan mangli kepada perkara atau benda itu. Akhirnya, kita akan hilang minat dan meninggalkan kegemaran itu.

Inilah sifat manusia. Sebagai pengguna, kesukaannya terhadap sesuatu perkara atau benda itu meningkat pada peringkat awal. Kita akan cuba menikmati apa yang disukainya sekerap dan sebanyak yang boleh. Bila masa berlalu, kegemarannya itu akan berkurangan. Geraf minatnya akan menurun dan kita akan mengambil atau menggunakan sesuatu yang kita suka pada jarak masa yang lama atau langsung meninggalkannya.

Malangnya faktor ini sering diketepikan oleh pihak yang memulakan sesuatu trend. Pada awal tahun 2000, trend masyarakat menunjukkan minat membaca novel-novel cinta. Minat itu memuncak di sekitar tahun 2004. Banyak penerbit kecil yang muncul untuk memasarkan novel-novel cinta. Penerbit besar yang menerbitkan buku-buku akademik dan buku umum pun turut mengubah pelan penerbitan masing-masing lalu mengeluarkan novel-novel cinta. Akhirnya, bila terlalu banyak novel cinta berada di pasaran, para pembacanya menjadi muak dan memilih novel-novel thriller, seram, remaja dan lain-lain atau berhenti sama sekali membaca novel.

Tidak beberapa lama dahulu, minat penonton untuk ke pawagam meningkat kembali. Sejak itu, penerbitan filem Malaysia semakin rancak. Pada tahun 2009, 27 buah filem ditayang di pawagam. Sambutan terhadap filem Malaysia merancakkan penerbitan filem. Pada tahun ini sahaja 40 buah filem telah ditayangkan sehingga bulan Julai. Mungkin jumlahnya akan meningkat kepada 80 buah filem. Bagaimana pun, dengan adanya lambakan filem, banyak juga filem yang tidak mendapat untung. Sudah timbul suara-suara yang mengatakan ia terjadi kerana orang sudah mula malas menonton wayang. Mengapa? Terlalu banyak filem menjadikan golongan penonton muak.

Apa yang menjadi kegemaran akan mula ditinggalkan apabila ia terlalu banyak memenuhi pasaran. Antara contohnya, kumpulan rock, permainan Angry Bird, TV realiti, pertandingan nyanyian, siaran gusti dan nada dering, adalah di antara produk yang semakin hilang tarikan kerana terlalu banyak kumpulan atau versi yang diterbitkan.

Permainan Angry Bird yang pada asalnya mudah dimainkan menjadi semakin kompleks bila pelbagai versi dan aras permainan dibuat hingga keseronokkan permainan itu mula menurun. Begitu juga, rancangan TV realiti yang pada suatu waktu dahulu mendapat sambutan sudah hilang serinya apabila terlalu banyak program berkonsepkan demikian ditayangkan.

Pokoknya, kalau sesuatu yang mendapat sambutan itu diperbanyakkan tanpa mengira bahawa para pengguna itu ada had minatnya, akhirnya ia akan hilang sambutan dan mengakibatkan kerugian.

Dalam dunia politik juga, terlalu banyak berdemonstrasi, terlalu banyak janji, terlalu banyak bantuan atau terlalu banyak fitnah akan menjadikan ia satu kebiasaan. Akhirnya, ia tidak menjadi sesuatu yang menarik dan impak maksima yang diharapkan akan pudar.

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.9.2012.

Tuesday, September 18, 2012

BARA YANG AKAN MEMBAKAR



Photo credit: ibtimes.co.uk

MESEJ UNTUK
KHAIRI DAN NASRUDIN 

FILEM
 Innocence of Muslims, yang mempersenda Nabi Muhammad s.a.w telah membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Di negara kita pun, demonstrasi telah dianjurkan di merata negeri dan daerah. Selain daripada jemaah masjid yang berhimpun dan berdemonstrasi selepas solat, beberapa buah NGO turut menyuarakan bantahan.

Memang terdapat banyak provokasi terhadap penganut agama Islam. Beberapa tahun yang lalu, Jyllands-Posten, sebuah syarikat akhbar di Denmark telah menimbulkan kemarahan umat Islam kerana memaparkan kartun-kartun yang mempersenda Nabi Muhammad. SAW.  Ahli politik Belanda, Geert Wilders yang lantang mengutuk Islam juga telah menimbulkan kemarahan umat Islam di merata dunia. Begitu juga, bila Terry Jones, paderi sebuah gereja kecil di Florida, Amerika membakar al-Quran, demonstrasi demi demonstrasi bantahan telah diadakan.

Demonstrasi adalah salah satu cara memanifestasi perasaan dan merakam bantahan mana-mana pihak yang menyokong atau menentang sesuatu perkara. Ia sihat dalam amalan demokrasi selagi ia tidak bertukar menjadi rusuhan yang tidak terkawal. Ia bagus selagi jawatankuasa yang menganjur demonstrasi itu menjaga disiplin ahli-ahlinya. Ia baik selagi pemimpin-pemimpin demonstrasi itu sendiri tidak lepas tangan apabila sesuatu yang tidak diingini terjadi akibat demonstrasi itu.

Dalam pada itu, demonstrasi yang berpaksi daripada sesuatu isu itu seharusnya disertai oleh pihak yang mempunyai pandangan dan pendirian yang sama, tidak kira  daripada kumpulan mana ia datang dan anutan fikiran apa yang diwakili. Sesuai dengan tujuan demonstrasi iaitu menunjuk kuat dengan penglibatan seramai mungkin pembantah, lagi besar kumpulan yang berdemonstrasi, lagi besarlah impak maksima yang diperoleh.

Dalam konteks ini alangkah molek seandainya Pemuda UMNO dan Pemuda Pas dapat sama-sama berjalan sederap kaki dan berganding bahu menyuarakan bantahan terhadap filem Innocence of Muslims. Alangkah cantik jika mereka berarak dari dua arah yang berbeza dan bertemu menjadi arus yang besar menuju ke kedutaan Amerika.

Isu yang ditangani adalah isu mempertahankan imej Nabi Muhammad SAW yang dipersendakan. Yang ingin dirakamkan kepada kedutaan Amerika adalah ketidaksenangan kita terhadap rakyatnya yang tidak sensitif terhadap agama lain. Yang lebih penting, apa yang hendak ditunjukkan kepada umat Islam ialah betapa perlunya kita membuang pakaian politik apabila soal agama menjadi mainan orang.

Pengikut akan ikut apa yang pemimpin buat. Apa yang patut dibuat oleh pemimpin mestilah sesuatu yang boleh dilihat oleh pengikut. Saranan, gesaan dan seruan retorik daripada permainan kata pemimpin politik sukar dimergerti oleh ahli-ahli. Tetapi, bila Ketua Pemuda UMNO, Khairi Jamaluddin berjalan bersilang lengan dengan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan, Pemuda UMNO dan Pemuda Pas yang lain akan ikut serta.

Bayangkan betapa padunya semangat yang bernyala tatkala demonstrasi itu. Lafaz selawat yang senada dan laungan yang gegak gempita itu akan mengalirkan ukhwah dan membarakan rasa persaudaraan yang akan meleburkan seketika hijab prasangka akibat berlainan pendirian dalam politik. Biarpun sekejap, ia adalah satu perasaan yang menegakkan bulu roma.

Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Kalau dah tentu handal, di mana pun seseorang itu berada, dia tetap kekar dengan kehebatannya. Kalau sudah tentu hebat, dengan siapa pun kita bergaul, keampuhan peribadi akan tetap terserlah. Tidak kiralah siapa yang hendak bergerak dahulu atau kemudian asalkan kedua-dua pihak nampak peri pentingnya kita menyuarakan bantahan terhadap imej Rasulullah SAW yang diperkotak-katikkan.

Tidak ada yang menang-kalah seandainya kedua-dua pihak membuka baju politik buat seketika dan mempamerkan pakaian Islam yang sememangnya sudah terlekat di kulit dan sudah mendarah daging di dalam tubuh.

Datanglah. Datanglah dengan hati yang terbuka lagi tulus dan suci. Bukalah tangan-tanganmu untuk menggenggam tangan-tangan saudaramu yang mungkin tidak pernah kamu sentuh. Rasakan roh persaudaraan yang menggetar dan mengalir di antaramu. Jadikan demonstrasi Innocence of Muslims sebagai permulaan.

Kita sudah tiada masa. Onar yang semakin banyak berlaku di dalam arena politik yang kian membahang sudah menampakkan kedunguannya. Tindakan merosak kenderaan, menyimbah cat kepada bas dan bangunan, membakar bendera dan memijak gambar pemimpin yang semakin kerap terjadi membayangkan ia makin tidak dapat dikawal. Jika tiada pemimpin yang menegur, menasihati dan menyuarakan kebencian kepada aksi bodoh yang semakin ganas ini. Seolah-olah ia bukan dilakukan oleh mana-mana aktivis politik.

Para pemimpin boleh menyejukkan suhu politik membahang ini dengan membuat tindakan-tindakan yang menampakkan wawasan. Tunjukkan gambaran yang lebih besar yang patut diperjuangkan. Fokuskan kepada perkara-perkara yang ada isi dan inti. Apakah kita layak bercakap tentang ukhuwah, tentang perpaduan, tentang persaudaraan kalau diri sendiri tidak boleh berdiri dalam satu saf? 

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.9.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, September 11, 2012

EDISI ISNIN SINAR HARIAN


DARI 
DAPUR KAMI
KE MEJA ANDA

ALHAMDULILAH, Sinar Harian Edisi Isnin sudah anda tatap mulai 10 September lalu. Sinar Harian Edisi Isnin bukan sahaja mercutanda dalam sejarah akhbar ini, malah ia adalah kejayaan anda para pembaca sekalian. Komen-komen anda selama ini yang inginkan berita serius yang bersulam dengan cerita menambat hati, telah membuat kami mempelbagai treatment persembahan hingga terlahirnya edisi ini.

Sinar Harian Edisi Isnin sebenarnya telah mengubah cara kerja kami. Suasana rutin yang diharungi hari demi hari, minggu demi minggu itu telah bertukar. Ia mengubah cara dan rentak kerja kami. Malah, ia mempercepatkan learning curve semua bahagian penerbitan daripada skuad kami yang berada di Gua Musang, Kelantan atau Pengerang, Johor sehinggalah kepada Saf Pengurusan Sinar Harian di Shah Alam.

Benar, lebih banyak kerja yang terlibat. Lebih banyak artikel yang berbolak-balik daripada skuad kami dan jabatan editorial kerana masing-masing inginkan ketepatan fakta dan memperluas skop cerita.  Kali ini, Editor, Sub-editor dan Perekabentuk kesemuanya lebih cerewet apabila menangani bahan yang diterima.

Perbincangan, pertelagahan dan kritik yang terjadi selama berhari-hari khususnya menjelang deadline dan dateline 10 September, kesemuanya menghasilkan ribut kata-kata yang bersimpang-siur di pejabat Sinar Harian. Namun kesemua jeritan dan laungan yang lebih praktikal daripada cara komunikasi melalui komputer, pasti diiringi dengan gelak ketawa.

Saya yang menyaksikan suasana itu, lantas teringat pada tagline iklan Sinar Harian Edisi Isnin; Tiada Stres Lagi. Alhamdulilah, tidak terjadi ironi, kami yang mencanangkan Sinar Harian Edisi Isnin sebagai ubat stres, kami pula yang stres dalam menyiapkan edisi itu.

Setelah memantau kesemua kilang percetakan Sinar Harian di Perai, Senai, Pengkalan Chepa dan Shah Alam pada malam itu dan memperoleh SMS mengenai kelancaran pengedaran akhbar ini, pada subuh hari, pagi Isnin itu kami nanti dengan penuh debar, bagai calon-calon pilihanraya menanti keputusan undi.

SMS, e-mel, entri di Facebook dan Twitter dari para pembaca kami nantikan. Seawal jam 7.00 pagi, mesej-mesej mula kami terima. Alhamdulilah, kami menerima maklumbalas yang positif daripada sebahagian besar para pembaca yang melahirkan komen. Namun, di sebalik komen-komen yang positif itu, terdapat juga komen yang unik bilamana terdapat pembaca dari Selangor yang berasakan Sinar Harian Edisi Isnin dicetak lebih tebal daripada biasa.

Kami maklum, hanya Edisi Selangor/KL dan Edisi Utara sahaja yang mempunyai 64 halaman, sementara edisi lain hanya 56 halaman. Dan untuk Edisi Isnin, kesemua edisi dicetak setebal 64 halaman. Mungkin sekali pembaca tersebut berasa ia tebal daripada biasa kerana membaca lebih banyak cerita yang lebih panjang daripada biasa.

Dalam pada itu, kami juga menerima maklum balas pihak yang terkejut dengan perubahan ini. Mereka terkejut kerana seronok menatap edisi yang berbeza. Ada pula yang terkejut kerana gaya persembahannya berbeza daripada hari-hari lain, lantas beranggapan Sinar Harian sudah berubah wajah dan akan menerbitkan akhbar sebegitu tujuh hari seminggu.

Begitulah pelanggan. Meskipun pemberitahuan telah dibuat seminggu sebelum pelancaran edisi itu,  pasti ada yang tidak terbaca atau tidak sedar akan perubahan itu sehinggalah apa yang diiklankan itu mula dilaksanakan. Terdapat juga sebilangan pembaca yang menatap Sinar Harian dengan rasa janggal.

Sebenarnya, apa sahaja perubahan biasanya akan menimbulkan sedikit ketidakselesaan. Umpama pasangan yang sudah lama berkenal, hari-hari awal setelah bernikah memerlukan masa untuk menyesesuaikan diri. Umpama seseorang yang biasa memandu tanpa lesen,  bila menghadapi ujian di JPJ, rasa tidak selesa memandu akan terasa. Umpama laman Facebook anda yang sudah berubah dari format biasa kepada timeline, rasa tidak selesa itu akan menghilang dimakan waktu.

Menghidangkan bahan yang santai dan kurang stres ini melah melalui kajian dan perbincangan yang berbulan-bulan lamanya. Kami percaya, yang belum tahu Sinar Harian Edisi Isnin akan dapat menatapnya, yang rasa janggal dengan persembahannya akan mula menyukai formatnya dan yang sudah menyukai akan kekal jatuh hati kepadanya.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 12.9.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, September 4, 2012

PERUBAHAN PRODUK



Photo credit:mypapan.blogspot.com

MEMPERSEMBAHKAN
SINAR EDISI ISNIN


SUDAH enam tahun Sinar Harian berada di pasaran. Dalam tempoh itu, akhbar ini telah melalui pelbagai perubahan. Ia perlu dinamik untuk memenangi hati pembaca yang mudah beralih arah. Pada hari ini, pembaca atau pengguna sukar sekali untuk setia pada mana-mana produk. Kesetiaan seseorang warga kota khususnya pada sesuatu jenama atau brand loyalty amat sukar dipertahankan.

Mudahnya seseorang memperoleh bahan berita di alam siber menjadikan seluruh team Sinar Harian sentiasa memerah otak agar akhbar ini masih menjadi di antara bahan bacaan pilihan yang diyakini. Dengan internet, Sinar Harian biasa kalah dengan kecepatan ia memaparkan berita. Namun, Sinar Harian masih boleh menang pembaca bila menghasilkan cerita di sebalik berita.

Daripada segi kepercayaan, hanya setelah setahun-dua ini sahajalah, Sinar Harian diterima sebagai sebuah akhbar yang tidak memihak kepada mana-mana kumpulan. Aktivis politik adalah di antara segmen pembaca yang baru dapat menerima kenyataan bahawa Sinar Harian berkeupayaan berdiri di tengah-tengah setelah mereka memahami bahawa berdiri di tengah-tengah itu bukan bererti ia menjadi lalang.

Pendekatan menerbitkan edisi negeri yang berpaksi kepada berita hyper-local atau tumpuan kepada berita setempat menjadikan ia akhbar kampung yang disukai. Sebenarnya, masyarakat kampung lebih mudah setia kepada produk yang digemarinya. Kerana itulah, lebih separuh daripada pembaca setia Sinar Harian itu terletak di kampung-kampung.

Dalam pada itu, akhbar ini sentiasa cuba memperbaiki persembahan. Yang keras; dilembutkan, yang lembik; ditegapkan dan yang longgar, dipadatkan. Malah, yang hitam dan putih pun kita calit dan kelabukan agar Sinar Harian tidak menjadi sebuah akhbar yang memperjuangkan sesuatu tanpa kompromi, maju ke hadapan tanpa menoleh lagi dan menyondol apa sahaja tanpa mempedulikan pendekatan wassatiyah, iaitu keseimbangan yang optima dalam pemberitaan dan tindakannya.

Bila lebih ramai memilih Sinar Harian, kita mula pelbagaikan rencah persembahan. Mulai Mac 2010, kami perkenalkan empat halaman sisipan santai berbentuk rencana  di bawah topik Citra, Agro, Kampus, Permotoran, Rehal dan Jom Jalan. Pada bulan Mei 2011, kami masukkan pula kolum hiburan ZASS atau Zon Artis Sensasi Santai. Kolum lapan muka surat hiburan tanpa gosip ini terbit setiap hari. Januari 2012 pula menyaksikan kolum ULTRAS bagi peminat-peminat bolasepak. Setiap kali perubahan dibuat, setiap kali juga jualan Sinar Harian kian meningkat. Ia petanda, perubahan yang dibawa diterima baik oleh para pembacanya.

Sudah tentu, perkembangan yang baik tidak berhenti di situ. Bila perubahan-perubahan yang kecil mendapat sambutan, kami mahu buat perubahan yang besar pula. Konsep dicari dan formulanya dicanai. Setelah mengkaji, kami memilih untuk membuat persembahan dengan apa yang kami namakan sebagai Sinar Harian, Edisi Isnin.

Mengapa hari Isnin? Kajian pakar emosi Sy-Miin Chow dari Universiti Virginia, AS menunjukkan terdapat anjakan emosi dalam tempoh seminggu. Seandainya seseorang itu terganggu emosinya pada hujung minggu, perilakunya pada hari Isnin akan menjadi negatif. Ini dikenali sebagai Monday blues di mana pelbagai kekalutan dan kelam-kabut terjadi pada hari Isnin, khususnya bagi mereka yang bekerja.

Justeru, kita ingin memberi kerehatan bagi yang terganggu emosinya pada hari Isnin. Tambahan pula, hampir kesemua akhbar lain menerbitkan edisi santai mereka pada hari Ahad. Jadi, andainya kerehatan pada hujung minggu tidak diperoleh sepenuhnya, Sinar Harian tampil dengan Edisi Isninnya sebagai penawar.

Benarkah Edisi Isnin boleh jadi penawar tekanan emosi? Meredakan tekanan, mungkin. Menghilangkan tekanan sama sekali, tentulah mustahil. Namun, membaca diketahui sebagai satu aktiviti yang akan menguatkan emosi dan fizikal seperti kata ahli falsafah Greek; Plato. Membaca bahan yang baik juga bagai berbual dengan manusia yang hebat di zaman lampau,  seperti kata Descartes, ahli falsafah Perancis.

Kita mengharapkan pendekatan menyampaikan cerita di sebalik berita untuk Edisi Isnin akan diterima baik oleh para pembaca sekalian. Cerita di sebalik berita selalunya membuka mata kerana penyampaiannya lebih hampir kepada pembacanya. Untuk itu, para wartawan kami juga bukan sahaja dikenali sebagai pemberita, tetapi pencerita. Mereka pencerita kisah benar di sekeliling kita.

Nantikan Sinar Harian, Edisi Isnin mulai 10 September ini.

Artikel ini akan terbit di akhbar SInar Harian pada 5.9.2012, insya-ALLAH...