Tuesday, July 31, 2012

TEMBOK PSIKOLOGI



Photo credit: spring.org.uk

SIAPAKAH YANG
MENGONGKONG KITA?

PAGI tadi saya menyertai sebuah sesi perbincangan hangat di laman Facebook, dalam grup Novelis Alaf 21 di mana saya menjadi ahlinya. Ketua Editornya, Puan Sa’adiah Mohamed telah memaparkan sebuah e-mel daripada seorang penulis untuk perbincangan ahli-ahli di dalam grup ini.


Si pengirim mengatakan para editor di syarikat penerbitan novel Alaf 21 terlalu mengongkong penulis dengan mengenakan pelbagai panduan dan peraturan. Dakwanya, peraturan-peraturan yang dikenakan oleh para editor mengekang kreativiti penulis. Ini akhirnya akan menjadikan hasil karya penulisnya jadi stereotaip.

Persoalan yang dikemukakan adalah mengenai peraturan yang dikenakan terhadap penulis. Seandainya penulis tidak dapat mematuhi peraturan itu, karyanya akan ditolak oleh editor Alaf 21. Inilah yang menjadikan penulis e-mel itu berasa dirinya terkongkong dengan peraturan itu dan meminta ia dilonggar kalau tidak dihapuskan sama sekali.

Daripada semasa ke semasa kita akan mendengar betapa peraturan, prosedur dan panduan akan mengongkong kebebasan, kreativiti, malah hak asasi manusia. Seolah-olah peraturan itu hanya membenarkan seseorang itu bergerak dengan tangan terikat. Sebenarnya, bila diperhalusi dan diteliti, apa jua panduan yang dikuatkuasakan itu bukannya menyekat. Sebaliknya ia bertujuan untuk mengawal agar sesebuah sistem itu berjalan lancar.

Sistem pula adalah satu bentuk aliran kerja di mana ia mesti menjadi anutan sesiapa yang terlibat di dalamnya. Sistem akan berjalan dengan baik dan berfungsi secara automatik  apabila semua pihak yang terlibat itu akur dengannya. Bagaimana pun, sistem itu sendiri akan tempang, malah akhirnya musnah sekiranya ada di antara individu di dalam sesebuah sistem itu melanggar peraturannya.

Kerana itulah, pada asasnya sesebuah peraturan itu mesti dipatuhi oleh semua agar tidak mematikan proses di dalam sesuatu sistem itu. Apa yang perlu dilakukan oleh seseorang yang menuruti sistem itu ialah bergerak dengan lebih cermat atau toeing the line. Masih boleh melangkah tetapi dengan perlahan.

Apabila kita sudah boleh akur dengan sistem itu, maka baharulah kita boleh bergerak lebih pantas asalkan tidak melanggar batas-batas yang disediakan. Persis kita sewaktu sekolah dahulu. Pada peringkat awal menulis A-B-C, cikgu tidak akan membenarkan kita menulis mengikut gaya tersendiri.

Huruf ‘A’ yang tidak tegak palangnya akan dikira salah oleh cikgu. Hanya apabila kita sudah mahir menulis, baharulah kita bebas menggunakan stail tulisan mengikut citarasa sendiri. Itupun asalkan ia masih boleh dibaca dan tidak seperti tulisan seorang doktor. (Maaf cakap, para doktor.)

Sebab itulah, jika kita kata kita kreatif, benar-benar kreatif, istilah ‘kongkong’ tidak timbul langsung dalam kamus minda kita. Orang kreatif tidak akan langgar peraturan yang dianggap sebagai halangan. Sebaliknya dia akan ‘mengatasi,’ ‘menembusi,’ atau ‘melalui’ tembok halangan di hadapannya.

Saya teringat bagaimana kreativiti syarikat-syarikat pengeluar rokok di Malaysia mengatasi kekangan peraturan tidak boleh mengiklan produk mereka di media massa pada tahun-tahun 80an. Mereka menjaja percutian, menaja peraduan dan acara sukan sebagai taktik mengiklan produk mereka. Sebatang rokok pun tidak mereka iklankan, namun jenama produk mereka terserlah secara meluas di TV dan akhbar. Untuk melariskan jualan kepada pelanggan baru dari kalangan remaja pula, mereka mengeluarkan sekotak rokok enam batang. Kejayaan syarikat rokok di Malaysia mengatasi kekangan peraturan kerajaan menjadi bualan di kalangan para pengiklan di seminar-seminar mereka di peringkat dunia.

Bagaimana pun, tentu sekali sesebuah peraturan yang menyukarkan itu boleh sahaja ditamatkan sama ada secara mutlak mahupun sementara. Saya teringat pada suatu ketika tatkala memandu di jalan sesak di Kuala Lumpur. Persimpangan jalan yang berlampu isyarat itu dikawal oleh polis trafik. Sebagai pengawal lalulintas, dia menjalankan kuasa untuk menahan dan memberi laluan kepada mana-mana kenderaan tanpa menghiraukan lampu isyarat. Teman saya yang duduk di sebelah menimbulkan persoalan yang menarik.

Katanya, ‘Polis akan saman kita kalau langgar lampu merah. Nah, sekarang mengapa polis suruh kita jalan juga walaupun lampu di depan itu masih merah?’ Jawab saya, ‘Polis itu bukannya menggalakkan kita langgar lampu merah. Sebenarnya, dia mengambil alih sistem lalulintas yang automatik tetapi tidak berkesan di waktu puncak kepada sistem manual! Dia hanya tukar sistem kawalan!’

Justeru itu, tiada sesiapa yang mengongkong kita. Minda kita sendiri yang meletakkan tembok psikologi itu.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.8.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, July 24, 2012

API YANG DINGIN



Photo credit: funzug.com

MENGUBAH
SUDUT PANDANGAN
PEMBERITAAN

HARI ini 5 Ramadan. Mudah-mudahan sudah lima hari juga kita dapat terus meninggalkan nafsu-nafsu amarah dan lawwamah yang selama ini merosakkan mental, fizikal dan spiritual kita. Mudah-mudahan puasa juga meningkatkan istiqamah kita supaya meninggalkan semua perlakuan sia-sia kita di sepanjang tahun, yang sudah berakar menjadi tabiat.

Mudah-mudahan juga puasa membuat kita berpaling 180 darjah (maaf cakap, ramai yang menggunakan 360 darjah, sedangkan 360 darjah itu bermakna kembali ke tempat bermula) dan menjadikan kita manusia yang berhati mutmainnah kembali.

Sebentar tadi saya ditanya oleh seorang teman mengenai pemberitaan Sinar Harian pada bulan puasa ini. Katanya, sebagai akhbar, tentu sekali yang panas dan berapi, yang sensasi dan yang penuh konflik akan disiarkan kerana ia adalah berita. Tidakkah Sinar mengambilkira, bentuk berita yang tersiar di bulan Ramadan itu seharusnya lebih tertib?

Sambil tersenyum dan mengiyakan persoalannya, saya akui melaporkan berita di bulan puasa adalah cabaran buat para wartawan di akhbar Sinar Harian. Sebenarnya, jika dosa dan pahala diambilkira, orang surat khabar boleh menghimpun banyak dosa dan juga mengumpul banyak sekali pahala.

Sebuah berita baik atau buruk tetapi disampaikan dalam bentuk yang mententeramkan hati pembaca akan memperoleh kebaikan kerana para pembaca tidak diserabutkan fikirannya. Tetapi, berita baik atau buruk yang disampaikan dalam bahasa yang jelek, hingga menimbulkan kemarahan dan pertengkaran akan menghimpun dosa.

Menyampaikan berita juga adalah ibadah dan juga maksiat jika salah penyampaiannya. Bayangkan sekiranya hanya ada satu kebaikan diberi ganjaran10 pahala, jika digandakan dengan 200,000 naskhah akhbar yang tercetak sehari misalnya, jumlah pahala yang terkumpul akan menjadi dua juta. Katakanlah, jika ada 10 berita yang membawa kebaikan dalam sebuah akhbar, seluruh redaksi Sinar akan berkongsi 20 juta pahala dalam sehari. Justeru itu, bila apa yang disampaikan oleh akhbar Sinar Harian mempunyai lebih banyak kebaikan daripada keburukan, mudah-mudahan ia juga menjadi akhbar diberkati.

Dalam pada itu, tentu sekali Sinar tidak boleh mengharapkan semua pihak termasuk ahli-ahli politik, pentadbir, aktivis NGO dan sesiapa sahaja dapat menapis kata dan perbuatan di bulan puasa ini. Malah, seboleh-bolehnya semua kata-kata mereka samada yang baik dan yang tak elok akan dirakam para wartawan.

Dan, Sinar akan siarkan apa yang diperkatakan dan apa yang berlaku dengan telus dan tulus. Siapa dan apa yang diperkatakan tetap akan mendapat ruang. Cuma, besar atau kecil, panjang atau pendek sesebuah berita itu terletak di tangan para editor. Sebab itulah, banyak berita yang menimbulkan persepsi yang negatif akan dikecilkan pada bulan puasa ini. (Mudah-mudahan, begitulah selepas Ramadan nanti). Yang penting, ia tetap akan disiarkan.

Apakah berita yang lebih tertib penyampaiannya akan kurang mendapat sambutan? Tidakkah nanti pemberitaan yang kurang sensasi, kurang konflik dan kurang hangat akan menjadikan jualan Sinar menjadi suam? Kepercayaan di dalam masyarakat bahawa no news is good news, tetapi bagi orang surat khabar pula,  bad news is good news sudah lama menjadi anutan.

Kerana itulah, penyampaian berita yang menarik dan menguja tanpa perlu pada sensasi adalah satu cabaran harian buat akhbar ini. Perhatian pembaca yang teruja hendak tahu tiga orang yang mati dalam kemalangan bas misalnya, tetapi bukannya 40 lagi yang selamat memerlukan garapan yang cermat agar berita yang disampaikan itu masih cukup perisa pembacaannya.

Sebenarnya, sudah hampir setahun Sinar Harian berkesperimen dengan pendekatan yang lebih menenangkan ini. Jika disedari, ruangan hiburan Sinar Harian, ZASS meletakkan slogan ‘Hiburan Tanpa Gosip.’ Hiburan tanpa gosip? Biar betul! Namun, meskipun pada mulanya ia menyongsang arus pemberitaan hiburan sesetengah akhbar di Malaysia, pendekatan yang sedikit berbeza ini menjadikan segmen hiburan Sinar Harian sebagai ruangan yang berkategori ‘U.’ Kami mendapat maklumbalas daripada kalangan artis dan para pembaca yang menyukai dengan pendekatan pemberitaan tanpa gosip. Segmen itu mendapat sambutan.

Bukannya mudah menyejukkan benda yang panas dan begitu juga sebaliknya. Namun, di dunia realiti, kita sudah terlalu banyak menerima pelbagai cerita, berita dan maklumat yang panas, membakar dan menggelegak melalui media.

Mengapa tidak kita menghidangkan api yang dingin?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.7.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, July 17, 2012

TERTIB DALAM MAJLIS



Photo credit: celahgelegar.blogspot
MENJADI PENONTON
YANG BIJAK


DALAM hidup ini, kita lebih kerap menjadi penonton daripada pelaku. Tidak kiralah sama ada kita menjadi penonton silap mata si penjual ubat di Chow Kit, kemalangan jalan raya, wayang, televisyen, opera, pementasan, konsert, ceramah, acara sukan mahupun di galeri mahkamah; biasanya orang lainlah yang menjadi tumpuan kita. Ramai di antara kita pula jarang sekali menjadi tontonan orang.

Sebagai penonton, reaksi kita tentulah berbeza mengikut tempat dan suasana. Tatkala menonton televisyen, siaran bolasepak di rumah, kita boleh buat apa yang kita suka. Kita boleh tertawa sekuat hati, menjerit, menendang dan menari kerana kita berada di rumah. Suasana yang privasi membolehkan kita ekspresif dalam menzahirkan perangai peribadi yang hanya orang rapat dengan kita sahaja yang tahu.

Menonton bolasepak di stadium pula, memerlukan sedikit ketertiban dan timbang rasa. Meskipun kita boleh juga bersorak sekuat hati, kita tidak boleh memekik ke telinga orang di hadapan atau menjulang sepanduk hingga melindungi pandangan penonton di belakang.

Menonton pementasan teater juga perlu ada etikanya. Reaksi kita perlu seiring dengan penonton lain. Tertawa kerana terhibur dengan persembahan pun tidak boleh berlebih-lebihan. Jika tidak, orang akan menjeling kita. Dalam pada itu, menonton opera pula lebih tinggi tuntutan ketertiban kita sebagai penonton kerana ia persembahan seni lagi berestetika.

Pendek kata, kita perlu ada disiplin dan etika walau di mana pun kita berada dalam mana-mana majlis keramaian. Minda individu yang kita ada perlu disesuaikan dengan minda sosial bila kita bersama dengan orang lain. Seboleh mungkin, kita perlu menjaga hati orang lain agar kita tidak dilihat sebagai pengganggu ketenteraman mereka. Inilah akhlak atau budi pekerti yang baik.

Akhlak sebagai penonton di dalam sesebuah majlis yang turut dihadiri oleh orang lain  menuntut kita menjaga tingkah laku. Tambahan pula, majlis yang kita hadiri itu lazimnya majlis orang dan kita pula hadir sebagai tetamu. Meski pun tetamu punyai hak, tetapi pihak penganjur lebih besar haknya, apatah lagi sekiranya majlis itu adalah majlis yang tidak berbayar.

Dalam pada itu, jenis tontonan pun ada dua bentuk iaitu sama ada menonton untuk berhibur atau menonton untuk menimba ilmu. Menonton untuk berhibur seperti menonton acara sukan, filem dan persembahan tentu sekali lebih santai dan terbuka. Kita hanya menikmati apa yang disajikan. Pendek kata, tengok dan enjoy.
Sebaliknya menonton untuk menimba ilmu lain pula gayanya. Konvensyen, seminar, forum, kuliah dan ceramah memerlukan kita menonton, mendengar dan berfikir apa yang disampaikan oleh pembentang atau ahli panel kerana mereka pemberi ilmu, bukan penghibur.

Menghormati orang yang bercakap di hadapan adalah satu kewajipan kerana orang yang menyampaikan syarahan dan hujah tentulah mereka yang punyai kelayakan dan pengalaman yang lazimnya jauh lebih hebat daripada kita.

Kerana itu, tidak molek seandainya kita sebagai penonton menyampuk pada waktu ahli panel menyampaikan ucapannya. Kita sebagai penonton pun akan diberi masa untuk bertanya ataupun menyanggah apa yang disampaikannya.

Namun malang sekali bila ada di antara penonton yang tidak menghormati orang yang di hadapan. Malah, ada yang sengaja mengambil peluang untuk melepaskan geram, bukannya menafikan dengan hujah. Dia berani kerana berada di celah-celah penonton lain.

Kalau tokoh politik yang bercakap, dicacinya seolah-olah jasanya melebihi daripada tokoh politik itu. Kalau ahli akademik yang berhujah, dicemuhkan segala fakta seolah-olah dia sudah punyai berkajang-kajang kertas kerja dan kajian yang lebih banyak daripada ahli akademik itu.

Kalau ustaz atau ulamak yang berceramah, diperlekehkan mereka itu seolah-olah dia yang lebih alim. Walhal solatnya sentiasa di hujung waktu dan baru menghafal tiga dari 37 surah dalam Juz Amma berbanding dengan ustaz penyampai yang saban malam berqiamulail dan sudah hafal separuh al-Quran.

Penonton kenalah ikut cara menonton.
Kalau penonton berasa diri lebih handal,
dia boleh memilih untuk duduk bersama penyampai.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.7.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, July 10, 2012

UNTUNG DENGAN BERBOHONG



Photo credit: psychologytoday.com
KETIKA menghadiri sebuah seminar baru-baru ini, saya berkenalan dengan Robert Miles yang berkelulusan sarjana sains komputer dari Massachusetts Institute of Technology.  Lelaki Armenia, pakar formula algorithm yang berambut kusut masai dan berusia 30an ini pernah bertugas di pelbagai syarikat komputer, antaranya Ingram Micro, Hewlett-Packard dan juga IBM.

Ketika berbual, Robert menceritakan bagaimana kefahaman mengenai pengkomputeran membolehkan seseorang itu menipu komputer pula! Antaranya ialah, bagaimana kita   boleh memprogram kad perakam waktu elektronik (swipe card) agar sentiasa merakam kedatangan kita supaya masuk awal bila datang lewat atau merakam waktu selepas waktu pejabat jika kita ingin pulang awal! Apakah anda ingin tahu caranya?

Sebenarnya, kita boleh memprogram waktu kedatangan kita mengikut kehendak sendiri. Andainya kita tiba lewat ke pejabat, misalnya pada jam 8.10 pagi tetapi ingin menukar waktunya lebih awal agar tidak nampak lewat, kita boleh melakukannya.

Caranya ialah, sebaik sahaja kita menggores kad dan memasukkan nombor pin, kita masukkan pula nombor kad pengenalan, diikuti dengan waktu yang kita ingini. Bila kita memasukkan waktu, jika kita ingin waktu yang terakam ialah jam 7.59 minit pagi, kita perlu menekan butang ‘7’ diikuti dengan ‘#’ dan angka ‘5’ dan ‘9.’ Secara automatik, angka yang terakam di sistem komputer ialah 7.59 pagi.

Untuk makluman, setiap kad perakam waktu menyimpan data nombor kad pengenalan, selain daripada nombor pin kita. Nombor pin hanyalah untuk merakam waktu yang tertera, sementara nombor kad pengenalan kita pula bertindak seperti katakunci untuk membolehkan sistem komputer mengubah entri data kepada waktu yang diingini. Mudah, bukan?

Tetapi, jangan percaya dengan apa yang anda baca ini. Robert Miles dan segala maklumat mengenai lelaki ini hanya rekaan. Cara mengubah waktu di kad perakam juga adalah rekaan saya semata-mata. Andainya anda cuba juga apa yang saya nyatakan di atas, anda tergolong di kalangan mereka yang terpesona dengan maklumat yang diada-adakan atau make believe information.
Penipuan atau auta yang menggunakan benda seperti batu, air dan bahan kimia sudah kurang daya memperdaya bila kita semakin cerdik. Kerana itu, cara menipu yang lebih mudah dengan menggunakan statistik, angka dan penemuan-penemuan palsu digunakan untuk mempersona.

Maklumat-maklumat tipu ini disolek dan disalut dengan ayat yang menyakinkan seolah-olah ia menimbulkan keajaiban. Sesetengah produk untuk perut, muka, minda, tapak kaki malah untuk mana-mana bahagian tubuh menjadi mujarab kerana kesan placebo, iaitu tindakbalas psikologi kerana kita yakin.  

Bayangkan, sebuah produk andam wajah yang baru dan tiada maklumat makmal boleh melicinkan wajah seseorang, bukan kerana bagusnya produk itu tetapi kerana wajah si pemakai jadi licin akibat digenyeh berpuluh kali dalam sehari. Begitu juga, ubat melangsing tubuh yang diikuti dengan pantang larang jangan makan nasi, jangan minum ais dan jangan makan berlemak sudah tentu boleh menguruskan tubuh.

Maklumat, angka, statistik dan testimonial  yang diperbesar-besarkan inilah yang membeli jiwa kita bila kita meyakininya setelah dipersembahkan dengan cara yang menyakinkan seperti contoh yang saya lakarkan di atas.

Dan, akhir-akhir ini, orang politik juga pandai menggunakan statistik dan maklumat untuk menyakinkan  kita. Banyak sekali sidang-sidang akhbar atau pengumuman dibuat di majlis-majlis rasmi yang mendakwa kejayaan sesuatu program dengan memaparkan angka-angka yang cantik tetapi menyembunyikan statistik yang hodoh.

Terdapat juga dakwaan salahlaku atau salah tadbir diuar-uarkan dengan istilah-istilah yang kabur seperti ‘dibimbangi,’ ‘dikhuatiri’ dan ‘seolah-olah’ diikuti dengan gesaan agar pihak polis dan SPRM menyiasat apa yang dibimbangi dan dikhuatiri itu. Padahal, bukti dakwaan tidak dikemukakan.

Kita yang menyaksikan make-believe information ini akan mudah terpedaya dengan segala pengumuman dan dakwaan ini kerana mana kita ada masa untuk memeriksanya kecuali jika ada pihak yang menyelidikinya.

Akhir-akhir ini, banyak teori konspirasi dan penipuan ini dilaung-laungkan seolah-olah ia benar. Ramai sekali tukang karut yang mereka cerita. Hal-hal yang tidak berfaedah dan fitnah ini menghimpun dosa. Seharusnya gunakan andaian, spekulasi atau teori make believe information ini dalam menghasilkan sebuah novel. Ia tidak mendatangkan dosa, malah mereka akan memperoleh pendapatan lumayan.
 
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 10.7.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, July 3, 2012

GPS UNTUK DIRI



Photo credit: atmazoom.blogspot

UKIR ESOK DARI
TEMPAT KITA BERDIRI


SAYA terkejut bila sepupu saya bersama keluarganya tiba-tiba terjengul di depan pintu pada musim cuti sekolah baru-baru ini. Saya kagum, bagaimana dia boleh tiba ke rumah saya padahal dia tidak pernah sampai ke Petaling Jaya seumur hidupnya. Dengan bangganya dia menunjukkan alat GPS di telefon mudah alihnya. Inilah alat yang membolehkan dia menjejakkan kakinya ke rumah saya.

Berkali-kali dia memuji sistem ini kerana ia membantunya ke mana-mana samada ke Permatang Pauh, Pulau Pinang untuk menghantar anaknya ke UiTM atau menghadiri majlis perkahwinan anak rakannya di Tanah Merah, Kelantan.

Dalam diam, saya kagum dengan keyakinan tidak berbelah bagi sepupu saya dengan alat itu. Saya sendiri yang biasa menggunakan GPS selalunya tak tahan dengan celoteh suara komputer yang tidak henti-henti memberikan pelbagai arahan.  Biasanya tak sampai sejam, alat itu akan saya padam dan lebih rela memandu sendiri walaupun saya akhirnya akan jadi ahli GPS – Golongan Pemandu Sesat!

Sambil berbual, saya memerhati anak saudara saya yang asyik bermain GPS di telefon abang saya. Tiba-tiba dia bertanya, ‘Ayah, kenapa GPS mesti beritahu kita ‘your location’ bila Angah taip alamat untuk ke mana-mana?’ Meskipun persoalan kanak-kanak 6 tahun itu bersahaja, ia amat bererti buat saya.

Soalan ‘your location’ atau di mana kita inilah yang membezakan kejayaan atau kegagalan seseorang, kumpulan, pertubuhan mahupun syarikat. Pada hari ini, kita asyik bercakap mengenai wawasan, hala tuju dan matlamat serta bagaimana kita boleh mencapainya. Kita rajin mengingatkan agar selalu menoleh melihat sejarah agar ia boleh dijadikan teladan dan sempadan ketika kita bergerak ke hadapan untuk mencapai kejayaan.

Sayang sekali kita selalu pula terlupa untuk melihat ‘your location’ atau di mana kita berada sekarang sebelum melangkah ke hari esok tanpa mengenepikan hari semalam. Jika kita memahami konsep GPS yang mengenalpasti premis asal sebelum bergerak ke mana-mana arah, maka kita akan mengerti betapa pentingnya untuk kita tahu di manakah kita berada sebelum kita melangkah.

Benar. Zaman sekarang adalah zaman untuk berlumba. Masing-masing berlumba-lumba untuk mencapai apa yang diingini. Namun, andainya kita yang berlumba itu tidak sedar di manakah dia berada sebelum berlari, langkah kita jadi tidak tentu arah kerana kita sebenarnya bukan berlumba tetapi berkejar bagai tak menyempat. Sifat berkejar itulah yang menjadikan kita manusia yang gopoh-gapah dan tak tentu fasal kelam kabut hingga boleh terlucut apa yang sudah digapai.

Kenalilah keadaan tempat berpijak. Jika ia tidak rata, larian tidak boleh laju kerana kita mungkin tersadung dan jatuh tergolek. Jika tempat berpijak itu licin, langkah mesti terjengkit-jengkit dan berhati-hati. Seandainya ia berselut, berhati-hatilah melangkah kalau tidak mahu tenggelam di tempat berdiri.

Langkah untuk merangkul kejayaan fizikal, mental dan spiritual akan lebih terjamin andainya kita tahu ‘your location.’ Seseorang yang inginkan kejayaan fizikal seperti menguruskan badan, perlu memahami terlebih dahulu mengapa tubuhnya tidak molek. Apakah kerana makanan tidak seimbang, rendah kadar metabolisme atau kerana masalah hormon atau genetik. Jika dia tidak mempedulikan fizikal asal diri, sebaliknya terus berdiet, besar kemungkinan badannya tidak kurus-kurus kerana hanya menahan selera tetapi tidak bersenam untuk mempercepat metabolism.

Begitu juga, seseorang yang mahukan kejayaan mental seperti mahu menjadi seorang doktor perubatan, perlulah mengambil mata pelajaran sains untuk layak menyambung pelajaran di universiti. Mana mungkin seseorang yang ingin menjadi seorang arkitek tidak mahu mengambil mata pelajaran lukisan dan fizik sebagai persediaan.  Kejayaan seseorang itu secara logiknya dapat dicapai sekiranya dia tahu kedudukannya sebelum menuju ke arah yang diingininya.

Untuk kejayaan spiritual juga, kita mesti tahu keadaan dan kedudukan diri. Andainya mahu ke syurga, apakah kini kita punyai ciri-ciri ahli syurga, meskipun kita masih berada di dunia ini. Seandainya kita tidak tahu, bagaimana kita boleh sampai ke tempat yang dihajati hanya dengan mengharapkan subsidi rahmat Ilahi.
GPS untuk diri menagih kita meneropong diri jauh dari angkasa raya untuk melihat di manakah kita berada.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 4.7.2012, insya-ALLAH...