Tuesday, June 26, 2012

MARI KITA MENULIS



Photo credit: brucevanhorn.com

MENJADI BIJAK
DENGAN
MENULIS

SEBELUM internet menjadi popular  sekitar 15 tahun yang lalu, peluang untuk seseorang itu menulis kian berkurang apabila dia menamatkan alam persekolahan atau pengajian. Tabiat menulis diari di dalam buku khas ataupun menulis puisi di cebisan-cebisan kertas mula ditinggalkan.

Dalam dunia pekerjaan pula, menulis surat rasmi, minit mesyuarat atau laporan, tidak mengasah bakat penulisan seseorang itu sepenuhnya kerana apa yang ditulis adalah sesuatu yang formal. Kesibukannya di pejabat mahupun kilang menjadikan seseorang itu menghibur diri bersendirian secara pasif seperti menonton dan membaca.

Jika pun dia berekreasi secara berkumpulan, mungkin sekali dengan cara bersukan, berkelah, menari atau melancong. Aktiviti menulis secara kreatif sebagai salah satu cara menghabiskan waktu lapang semakin dikesampingkan.

Kemunculan internet bukan sahaja membolehkan kita membaca apa sahaja yang diingini. Malah, ramai di antara kita yang dapat kembali peluang mengasah bakat menulis. Jika pada mulanya tidak ramai yang mampu menulis panjang-panjang kerana jurnal atau blog, lazimnya memerlukan sekurang-kurangnya 250 hingga 300 perkataan. Kini, kemunculan laman sosial seperti Friendster, Facebook dan Twitter membolehkan sesiapa sahaja menulis dan melahirkan fikiran dengan ayat-ayat yang pendek.

Ada satu cabaran awal bila kita ingin menulis. Cabaran itu ialah bagaimanakah kita mengkoordinasi aliran pemikiran yang laju dengan kemampuan menaip kita yang perlahan. Ada ketikanya, sesebuah idea yang hendak ditulis itu sudah ada, tetapi kurang kemahiran menaip menjadikan idea itu terbang entah ke mana bila jejari kerap terperlus di celah-celah kekunci.

Cabaran awal ini boleh diatasi dengan mengempang sesebuah idea itu agar ia mengalir sedikit demi sedikit mengikut kemampuan kita menaip. Pengempangan idea itu bukan sahaja membolehkan kita mengkoordinasi idea ke jejari dan terpapar ke skrin, malah cara ini membolehkan kita mengatur dahulu apa yang hendak ditulis dengan mengimaginasikan susunannya di kotak fikiran.

Hasilnya, menulis itu membolehkan seseorang mempunyai fikiran yang tersusun dan terarah. Pemikiran yang tersusun dan terarah ini amat penting di zaman yang serba pantas ini. Apabila perubahan dunia dan teknologinya semakin laju dan kepelbagaian pilihan bisa mengundang risiko kesilapan, kemahiran menulis sebenarnya dapat mengurus fikiran agar sesuatu keputusan yang dibuat itu holistik, jitu dan tepat.

Lihatlah perbezaan pemikiran para ilmuan, cendekiawan dan teknokrat yang boleh menulis atau sebaliknya. Mereka yang berkebolehan menulis akan mempamer karektor yang berwibawa. Fikirannya kritis, pandangannya jauh dan kehadirannya menzahirkan aura mereka yang disekelilingnya. Tunku Abdul Rahman dan Tun Mahathir adalah di antara mereka mempamerkan pemikiran yang tajam dan jauh kerana berkemahiran menulis.

Sebaliknya, mereka yang hanya mahir bertutur tanpa berkemahiran menulis kerapkali mengulang perkara yang serupa, memanjangkan idea orang lain atau bertutur secara retorik semata-mata. Pendek kata, banyak kuah daripada isi dalam tutur katanya.

Cubalah menulis lebih panjang daripada biasa. Dari sepotong ayat menjadi satu para, daripada satu para kepada lima para dan seterusnya. Cuba juga menulis apa yang orang lain ingin baca, tidak kira pengalaman atau kejadian yang terjadi, asalkan daripada sudut pandang kita sendiri.

Mulalah dengan meninggalkan ayat-ayat klise atau cerita-cerita yang sudah ramai sangat orang lain tuliskan seperti apa yang kita makan atau di mana kita berada. Jika pun ingin memaparkan tulisan orang lain dengan cara cut and paste, biarlah ia disertai dengan ulasan kita mengenai apa yang kita paparkan.

Kita patut mengelak daripada menulis sesuatu yang kita tidak tahu seperti memberi komen terhadap seseorang terutamanya jika kita tidak pernah menemui orang yang kita komen itu. Bagaimana kita memberi komen terhadap seseorang yang kita tidak kenal? Kita juga tidak adil kepada diri seandainya memberi ulasan mengenai sesuatu kejadian padahal kita tidak berada di situ.

Yang penting, kita mesti tahu apa yang kita lakukan. Bawah sedar kita akan mengisyaratkan ke hati kita sendiri sama ada apa yang ditulis itu baik atau buruk melalui perasaan resah atau tenang setelah menulis sesuatu untuk tatapan orang lain. 

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.6.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, June 19, 2012

PENTINGNYA MENULIS




DALAM perjalanan untuk melawat pejabat Sinar Harian Edisi Johor, saya singgah ke sebuah warung di sebuah pekan kecil.  Sambil menghirup teh, saya terdengar perbualan tiga orang lelaki di meja sebelah. Seorang lelaki bermisai tebal yang menguasai perbualan bercerita secara bersungguh-sungguh susur galur kepahlawanan moyangnya. Dengan bangganya dia menunjukkan album foto kecil yang mengandungi gambar keris, kerambit, pending dan tengkolok moyangnya yang menjadi pendekar menentang British.

Saya amat menghormati orang yang kenal sejarah asal-usul. Sejarah sentiasa mengajar kita mengatur wawasan. Tanpa mengenali sejarah, sesuatu bangsa itu akan hanyut dan tenggelam ditelan masa. Buat lelaki yang bermisai tebal itu, dia ada sesuatu untuk dibanggakan. Mudah-mudahan dia tidak berasa rendah diri tetapi berani memandang ke hadapan berbekalkan semangat yang ditinggalkan oleh moyangnya.

Dalam pada itu saya sudah lama terfikir, kalau orang dahulu meninggalkan harta pusaka berbentuk senjata, barang kemas dan perhiasan; atau kebun yang sekangkang kera mahupun yang berhektar-hektar luasnya,  apa yang orang sekarang dapat tinggalkan kepada anak cucu?

Kita tidak ada peralatan kegunaan seperti keris dan pedang atau perhiasan seperti pending dan loket bermata sebesar guli untuk anak cucu. Mana mungkin pula kita tinggalkan peralatan sekarang yang berupa alat elektrik atau eleketronik yang tidak berfungsi lagi? Teknologi yang pantas berubah akan menjadikan pusaka tinggalan kita yang berupa barangan elektrik dan elektronik itu sampah yang akan dibuang oleh anak cucu.

Saya pernah terfikir, kalau ahli arkeologi berasa hebat bila menemui pinggan mangkuk lama dan sompek setelah menggali di sesebuah tapak tamaddun, apakah 500 tahun lagi ahli arkeologi akan datang akan bangga bila menemui pinggan mangkuk plastik tinggalan kita? (Maafcakap, saya hanya terfikir dan bukannya hendak mempersenda profesion ahli arkeologi).

Kerana itu saya percaya, salah satu cara yang bagus, menarik dan murah untuk kita membuat tinggalan sejarah untuk anak cucu adalah dalam bentuk tulisan. Sementelah pada hari ini, kita lebih banyak menaip daripada menulis dengan pen atau pensel, dan sebilangan besar daripada kita memang sudah pandai mengarang, mengapa tidak kita tinggalkan bahan fikiran, ilmu dan nasihat kepada anak cucu dalam bentuk itu?

TIDAK kiralah samada tulisan kita dalam bentuk blog atau jurnal, biarlah bila kita hendak menutup mata, antara nota wasiat yang kita tinggalkan itu adalah alamat blog, jurnal atau laman web peribadi untuk tatapan anak cucu.

Bagaimana pun, adalah molek kalau peninggalan itu dibuat dalam bentuk buku. Dunia teknologi percetakan pada hari ini membolehkan kita menerbitkan buku-buku digital dalam bentuk cakera padat mahupun dalam bentuk cetakan meskipun jumlah yang diingini hanya 10 naskhah.

Mereka yang hebat seperti tokoh politik, agama, korporat dan ahli akademik mesti merakam fikiran mereka dalam bentuk penulisan sebagai bahan rujukan anak bangsa. Sayang sekali kalau mereka hanya mahir bercakap, berceramah dan berpidato tetapi inti fikiran mereka ditulis oleh orang lain, yang tentunya dalam bentuk cebisan-cebisan idea yang tidak tersusun.

Tokoh ilmuan dahulu meninggalkan ilmu mereka dalam bentuk tulisan yang kemudian menjadi panduan kita hingga ke hari ini. Ibn Kathir yang meninggal pada 1373 mewariskan buku sejarah yang terkenal seperti Bidayah wan Nihayah. Imam Nawawi yang meninggal pada tahun 1278 pula menghasilkan buku zikir sahih Kitabul Adzkar.
Imam Al-Ghazali; meninggal pada 1111 menulis banyak buku termasuk ilmu panduan beragama  Ihya’ Ulumuddin yang masih digunakan di majlis-majlis ilmu di Malaysia Hamka atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah yang meninggal pada 1981 adalah seorang ahli politik dan ulamak yang tersohor di nusantara juga menulis banyak buku dan yang paling terkenal adalah tafsir al-Quran yang dikenali sebagai Tafsir Hamka.
.
Inilah tinggalan pusaka yang jauh lebih bernilai daripada sebilah keris yang hanya tersimpan di dalam kain kuning, di dalam sebuah kotak kayu dan di dalam sebuah almari using pula. Keris pusaka hanya boleh ditatap dengan rasa bangga. Tidak lebih daripada itu.

Artikel ini akan terbit di Sinar Harian pada 20.6.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, June 12, 2012

JANGAN PERMAINKAN DIRI SENDIRI



Photo credit: 
MENCONTENG ARANG
KE MUKA SENDIRI


SAYA pernah ditahan polis trafik kerana menggunakan telefon mudah alih ketika memandu. Bukan sekali, tetapi dua kali. Mujur saya hanya dinasihati dan tidak didenda. Namun sejak itu, saya mula menggunakan alat hands-free.
Melanggar lampu merah, memandu di lorong kecemasan dan memecut melebihi had laju pernah saya lakukan. Saya juga tidak mahu jadikan ia satu tabiat kerana saya tidak suka apa yang saya buat. Tetapi saya punyai alasan tersendiri bila setiap kali saya melanggar undang-undang itu. Maaf cakap, saya juga tidak bermaksud untuk menunjuk hero kerana melakukan pelbagai kesalahan dan jauh sekali mahu anda mencontohi saya.

Dalam pada itu, apabila surat saman sampai, saya tak marah-marah. Sebaliknya, akan membayarnya tanpa soal. Apabila dihukum, kita mesti terima dengan hati terbuka. Jika kita tidak sanggup terima hukuman, jangan sekali-kali lakukan kesalahan. Itu konsep yang saya pegang.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, manusia mana yang tidak berdosa. Dalam pada itu, mentang-mentanglah manusia boleh berdosa, kita tidak boleh sengaja melakukannya pula. Hidup perlukan peraturan, peraturan mewujudkan sistem. Sistem pula membina institusi masyarakat dan negara. Patuh pada sistem itu adalah petanda kita ini manusia yang bertamadun. Kita taat kepada sistem kerana kita faham mengapa peraturan itu dibuat.

Seperti menanti lampu merah bertukar warna hijau di satu persimpangan di malam hari, meskipun tidak ada polis trafik, menanti lampu merah itu membina akhlak untuk patuh pada peraturan. Seperti memakai tali pinggang keledar ketika memandu, ia bukan kerana kita takutkan polis. Tetapi ia adalah untuk menjaga keselamatan diri apabila kemalangan terjadi.

Begitulah apabila kita meminjam. Pinjaman adalah hutang. Dan hutang mestilah dibayar. Cepat atau lambat membayarnya boleh dirundingkan. Tetapi sengaja tidak mahu membayar hutang setelah membuat akujanji untuk membayar balik kepada pemiutang sebenarnya menconteng arang ke muka diri sendiri. Orang bermaruah akan berpegang pada janji. Kerana itu,  jangan marah balik pada orang yang memberi hutang pada kita.

Tugas yang diberi oleh ketua perlu disudahkan tepat pada masanya. Kita tidak boleh bertangguh atau lebih buruk lagi mencuri tulang. Kalau kita sengaja bermain-main dengan membuat kerja sambil lewa, akhirnya tanpa kita sedari sikap itu akan menjadi tabiat. Akhirnya, prestasi kerja kita sendiri akan menurun.

Kerana itu, jangan naik darah bila majikan memberi hanya sedikit kenaikan gaji. Atau bila surat amaran tiba ke meja kerana kita mula menjadi liabiliti, bukan aset lagi kepada syarikat. Lebih buruk lagi, kalau kita menghina tempat kita mencari makan andainya kita ditamatkan perkhidmatan.

Dalam menjalani kehidupan, kita kerapkali suka bermain-main atau mempermainkan sesuatu. Kita berjanji, namun mempermainkannya. Kita mengajak orang berjuang, tetapi kitalah yang jadi petualangnya. Kita seru orang supaya amanah, namun kita yang menodainya.

Lontarlah batu, sembunyikanlah tanganmu. Cakaplah tetapi tak perlu bikin. Langgarlah apa yang menjadi tiang seri kehidupan dan keadilan. Langgarlah ia secara senyap-senyap atau runtuhkan ia secara terang-terangan dengan mengajak orang lain melakukan kerosakan dan kemusnahan.

Tetapi jangan lupa, Allah melihat apa yang kita lakukan. Setiap hasil datang daripada usaha. Sedikit usaha, sedikitlah hasilnya. Banyak usaha, tinggilah keuntungannya. Inilah hukum alam. Kalau kita rempuh hukum ini, akhirnya ia akan memakan diri sendiri. Jangan pula menuding jari kepada semua orang lain yang nampak dengan jelas kesalahan kita. Mengakulah segala kesalahan yang dilakukan seperti anak jantan yang berani buat, berani tanggung.

”Dan tidaklah hidup di dunia ini, melainkan permainan dan senda gurau. Dan sesungguhnya kampung akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa.” Surah Al-Anaam: 32.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar harian pada 13.6.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, June 5, 2012

SUARA DI SEBALIK KATA-KATA



Photo credit: weblogku.com

MENDEPANI MANUSIA
YANG MARAH-MARAH



APABILA semakin ramai manusia mahir menggunakan internet, semakin ramai juga di antara mereka yang dapat memindahkan kata-kata mereka dalam bentuk tulisan. Cakap-cakap di kedai kopi dahulu sudah beralih ke alam siber.

Sudah tentu juga, bahasa cakap-cakap juga dipakai oleh orang yang pandai bercakap. Bahasa cakap-cakap lebih santai, tidak semestinya mengikut nahu atau betul ejaannya. Kerana itu, ia bukannya bahasa seorang penulis. Jika dahulu, hanya mereka yang boleh menulis sahaja yang menulis, kini mereka yang boleh bercakap juga boleh menulis.

Seseorang penulis itu biasanya berkebolehan untuk merenung, bervisi, mentafsir dan kemudiannya menyalurkan ideanya dalam bentuk tulisan untuk manfaat orang lain. Apa yang disampaikan lazimnya bersandar kepada pertimbangan, apakah kesan terhadap para pembacanya. Itulah tanggungjawab seorang penulis.

Bagaimana pun, pertimbangan dalam penulisan orang yang pandai cakap-cakap tidak sejauh dan sedalam itu. Jika dahulu, kata-kata orang yang boleh bercakap itu, hanya didengari oleh rakan-rakan setempat. Kini, dengan kemudahan internet, cakap-cakapnya yang disampaikan dalam bentuk tulisan dapat dibaca sesiapa sahaja dari seluruh pelosok dunia.

Tulisan orang yang cakap-cakap itu, tidak perlu mempunyai kesinambungan pemikiran. Seperti percakapan juga, ia adalah cebisan idea mahupun fragmen pandangan yang banyak juga yang tidak tentu tujuan. Pemilihan perkataan orang yang cakap-cakap tentulah mengikut deria spontan dan tidak bersandar kepada semakan samada apa yang ditulis itu fakta atau fitnah.

Istilah yang tidak tepat, pemilihan perkataan yang kasar, malah kesat memang menepati ciri-ciri percakapan tetapi tidak menepati ciri-ciri tertib penulisan. Maka kita membaca tulisan sebegini, ia boleh menaikkan darah, bengang ataupun berasa negatif bila kita mentafsirnya sebagai suara orang yang marah-marah.

Jangan kita berasa hati dengan tulisan sebegitu kerana bila diperhalusi, ia sebenarnya adalah suara hati manusia yang selama ini tidak didengari. Apabila ruang dan peluang ada untuk mereka bersuara itu ada, maka terhamburlah apa yang terlintas di fikiran si penulis, meskipun dia tidak memikirkan akibatnya.

Masyarakat pada hari ini sudah maklum dengan konsep berani bersuara dan menyuarakan pendapat secara vokal. Bagaimanapun, suara yang disampaikan biasanya desakan, bukannya pendapat. Ia menghina, bukan mengkritik. Ia menghukum, bukannya merumus sesuatu perkara. Pendek kata, bernada suara orang yang marah-marah.

Soalnya bagaimanakah kita hendak berdepan dengan manusia marah-marah ini? Andainya kritikan, hinaan mahupun hukuman yang mereka lontarkan itu menyakitkan hati, apakah perlu kita hadapi atau tentang ia dengan cara yang sebegitu juga?

Andainya direnungi, banyak sekali situasi manusia marah-marah ini sebenarnya bukanlah marah-marah sangat. Sebaliknya mereka hanya ingin menyampaikan apa yang terbuku di hati dan menggelegak di fikiran dalam bentuk pertuturan ataupun tulisan.

Patah kata, atau pemilihan perkataan yang digunakan memanglah pedas tetapi bila kita perhalusi atau mengambil maksud di sebalik kata-kata marah itu, kita akan mendengar satu suara raungan meminta perhatian dari lubuk hati manusia ini.

Kerana itu, kita hanya perlu mendengar dan menyerap hunjaman kata-kata yang keras itu ke dalam fikiran umpama masuk ke telinga kanan keluar ke telinga kiri. Tetapi biarlah yang masuk di telinga kanan itu, segala kata yang terlahir. Namun yang keluar melalui telinga kiri itu segala kata-kata tidak bagus sebagai hampasnya. Biarlah yang tinggal dalam fikiran pula adalah inti kehendak-kehendak manusia yang seperti kita juga.

Perhatian harus diberi, kehendak harus dipenuhi. Andainya permintaan tidak dapat dilunaskan, ia harus dijawab dengan nasihat yang mengandungi harapan. Yang penting, api tidak boleh dilawan dengan api. Api harus dijirus dengan air. Tanganilah ia mengikut hukum alam. Ia bukan sahaja bijak, malah bestari.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar harian pada 6.6.2012, insya-ALLAH...