Tuesday, April 24, 2012

TEKNIK MENDENGAR



Photo credit: epiphan.com

MARI BERLENGGANG
KE BILIK SEMINAR


MENGHADIRI majlis ilmu seperti kuliah kursus, ceramah, seminar, konvensyen mahupun dialog sentiasa membuat saya teruja. Pada sesi sebegitu, banyak sekali pendapat, hujah dan rumusan yang menjadi penambah ilmu. Sejak zaman di kampus lagi saya sudah sertai pelbagai jenis program sama ada sebagai peserta mahupun pembentang.

Sudah berkotak-kotak kertas kerja, laporan dan beg program yang saya kumpul. Ini termasuk juga berkajang-kajang nota yang saya catat di sepanjang program yang disertai. Saya pernah menyalin nota kuliah sampai penuh writing pad yang disediakan. Tak cukup lagi, saya pohon sekeping lagi agar setiap patah penyampai kuliah dapat saya salin.

Begitulah yang saya lakukan apabila saya menghadiri persidangan dan pembentangan. Hasratnya ialah supaya saya dapat meneliti apa yang saya tulis itu pada waktu senggang. Namun, waktu senggang untuk saya menatap nota-nota itu ialah apabila saya mengemas bilik pejabat saya. Pada ketika itu, hampir kesemua catatan cakar ayam saya itu sudah tidak dapat saya fahami.

Kerana rasa sayangkan nota-nota dan semua kertas-kertas itu, saya simpan kesemuanya dengan memasang niat untuk mentelaahnya pada masa depan. Tetapi sebaik sahaja saya susun kesemua nota-nota itu ke dalam almari, fikiran saya tertutup untuk mengingatinya sebaik sahaja almari itu saya katup.

Kini, setelah penuh dua almari dengan kertas-kertas kerja dan nota-nota yang saya tidak mengerti, saya mula terfikir, apakah yang saya mahu apabila menghadiri majlis kursus, seminar dan konvensyen itu?

Akhirnya, di konvensyen yang saya hadiri baru-baru ini, saya hanya berbekalkan sebuah buku nota kecil. Kertas pembentangan pun saya baca sekali lalu. Saya lebih menumpukan perhatian kepada penyampai di pentas. Saya tidak lagi menyalin nota seperti mendengar kuliah ketika belajar dahulu.

Alasan saya, segala yang disampaikan oleh pembentang di pentas tidak perlu saya ingati sepenuhnya kerana saya tidak akan menjawab soalan peperiksaan dan dengan itu saya perlu mengingat apa yang disampaikan penceramah. Saya tidak perlu merakam percakapannya atau mengambil foto semua slaid yang terpancar di skrin kerana saya tidak mahu meniru bulat-bulat ideanya.

Saya bukannya mahu jayakan akhbar Sinar Harian seperti syarikat penceramah itu. Ia mustahil berlaku. Kalau pun saya ikut bulat-bulat formulanya, Sinar Harian belum tentu akan berjaya seperti syarikat penceramah itu. Mungkin juga Sinar Harian sudah lebih berjaya daripada syarikat penceramah. Tambahan pula, proses untuk mentransformasi Sinar Harian menjadi sama seperti syarikat si penceramah itu pun akan mengambil masa.

Jadi, apa yang lebih mustahak buat saya adalah bertaddabur untuk mendapat refleksi, inspirasi atau imbasan idea yang baik dan sesuai yang disampaikan supaya dipadankan dengan apa yang saya sedang usahakan di tempat kerja saya.

Melalui cara ini, daripada sepuluh perkara yang penceramah sampaikan, saya boleh dapat tiga atau empat idea yang baik, yang boleh diimplementasikan serta merta apabila saya pulang ke tempat kerja. Resolusi yang didengar itu tidak semestinya terus mengenai masalah yang saya hadapi. Tetapi ilham yang terpapar di layar minda itulah yang amat berguna.
Seni mendengar itu adalah satu aktiviti kreatif di mana ia membuka dan mengembangkan minda. Bahasa tubuh atau body language penyampai akan membantu kita menimbang samada apa yang disampaikan itu benar-benar dapat diyakini atau ia semata-mata gorengan penceramah yang tak perlu kita ambil pusing.

Apa yang masuk ke telinga akan ditafsir oleh akal. Apa yang ditonton pula dipertimbangkan dengan hati sebelum naluri menjana ia hingga terlahir sebagai satu idea baru.  Cara mendengar tanpa sibuk menulis nota itu lebih merehatkan dan meningkatkan pemahaman. Masalahnya ialah apabila kita akan mudah tertidur. Mudah-mudahan tidur itu penuh dengan mimpi yang menjadi impian setelah terjaga!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.4.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, April 17, 2012

MASA DEPAN SURAT KHABAR


Photo credit: walyu.com

BERKUBURNYA
AKHBAR VERSI CETAK

MINGGU lalu, saya lari keluar daripada rutin tugas harian untuk ke sebuah konvensyen di Nusa Dua, Bali. Konvensyen anjuran World Association of Newspapers and News Publishers, (WAN-IFRA) atau Persatuan Akhbar dan Penerbit Akhbar Sedunia itu dihadiri oleh pengurusan tertinggi penerbitan akhbar.

Persatuan yang dianggotai 3,000 buah syarikat yang mewakili 18,000 penerbitan, 15,000 laman atas talian daripada 120 buah negara itu sememangnya tepu. Seminar dua hari itu dipadatkan dengan 18 pembentangan dan kuliah oleh tokoh-tokoh syarikat yang terpilih daripada pelbagai negara. Dan persidangan itu pula dibahagi tiga iaitu untuk para peneraju syarikat, penerbitan dan percetakan.

Oleh kerana kekangan masa, kesemua ucapan disampaikan dengan ringkas tetapi tepat. Sesi soal jawabnya sekejap sangat. Ada ketikanya sesebuah pembentangan itu dibicarakan sekitar setengah jam sahaja dengan tiga soalan daripada hadirin sebelum pembentangan seterusnya berlangsung.

Saya sempat bersembang dengan Thomas Jacob, Timbalan CEO dan Pengarah Urusan WAN-IFRA bagi Asia Pasifik. Katanya, akhbar-akhbar di barat terlalu terpesona dengan versi digitalnya hingga mereka berlumba-lumba untuk menyalurkan pemberitaan dalam talian secara percuma. Akhirnya ia melumpuh, malah mematikan banyak syarikat akhbar versi cetakan.

Kita di Asia lebih berhati-hati dengan kesilapan barat. Kerana itu, kita berjaya menggunakan media digital untuk kepentingan versi bercetak. Kita menyaring berita dan mempersembahkan dalam bentuk digital dan juga cetak hingga tidak kehilangan pembaca sedia ada di samping berjaya menambah pembaca muda di media siber. Malah, ada juga akhbar yang berdiri semakin gagah meskipun gelombang siber kian melanda.

Direktor Utama Java Pos, Azrul Ananda sebuah kumpulan akhbar yang menerbitkan 180 edisi akhbar dan 20 saluran TV di Indonesia sebaliknya tampak begitu yakin. Sambil berbual ketika menanti ketibaan Wakil Presiden Indonesia, Prof. Dr. Boediono, untuk merasmikan persidangan, Azrul dengan wajah yang begitu konfiden mengatakan, Java Pos menjual akhbar dalam taliannya ketika banyak pihak lain memaparkan akhbar digital secara percuma. Java Pos versi cetak yang berharga 4.500 rupiah (lebih kurang RM1.50) dijual dengan harga 2.655 rupiah (lebih kurang 88 sen) untuk versi digitalnya.

Hampir kesemua pembentang membayangkan jalur kebimbangan mereka bila membicarakan penerbitan akhbar bercetak dalam suasana di mana akhbar digital kian mendapat sambutan. Mereka bimbang dengan arus media siber yang semakin menjadi pilihan pembaca kerana ia pantas, lebih daya visual dan audionya.

Kerana itu, persidangan yang bertemakan Shaping the Future of News Publishing atau Membentuk Masa Depan Penerbitan Akhbar, membawa maksud menangani penerbitan akhbar dalam bentuk cetakan dan digital. Pada mulanya, masyarakat akhbar cetak kagum dan menerima kehadiran akhbar digital sehingga ia menjadi ancaman. Kerana itu, mereka cuba menunduk dan mengawal format digital.

Walau apa pun yang dilakukan oleh para penerbit akhbar bercetak, ia hanya mampu memperlahankan kepupusannya. Apakah ertinya? Ia adalah peperangan yang bakal tewas ~ a losing battle. Maaf cakap, pada hemat saya persaingan akhbar cetak dan digital ini akan berakhir dengan berkuburnya akhbar bercetak!

Pada tahun 90an, ketika world wide web mula berkembang dan internet menjadi kegilaan, banyak pihak masih ragu-ragu dengan keupayaannya mengatasi penerbitan akhbar, buku dan majalah. Pada waktu itu, saya sendiri mempunyai tanggapan, selagi benda pertama yang dipegang oleh seorang bayi adalah kertas, dunia penerbitan buku, majalah dan akhbar tidak akan pupus.

Kini, benda pertama yang dipegang oleh seorang bayi bukan lagi kertas, sebaliknya iPad atau komputer tablet. Kerana itu, kertas boleh menjadi artifak sepertimana papan luh yang digunakan oleh datuk nenek kita di sekolah. Ertinya, kertas akan menjadi medium yang terpinggir. Paperless world akan wujud dalam ertikata yang lebih benar.

Dunia persuratkhabaran akan terus segar dan akhbar akan dibaca secara digital. Cuma kali ini, berita akan ditatap dengan suara pembaca yang mengiringi, setiap foto akan bergerak menjadi video.

Pada ketika itu, para pengiklan tiada pilihan melainkan mengiklan produk mereka di akhbar-akhbar versi digital. Para pengiklan pada hari ini nampaknya ketinggalan kerana tidak peka dengan perubahan ini. Namun, itu adalah cerita lain yang orang surat khabar hendak lihat ia berlaku.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.4.2012, insya-ALLAH...

Tuesday, April 3, 2012

HIDUP ITU MARATON


Photo credit: greenbergansucher.com

MARI BERLUMBA
DENGAN DIRI SENDIRI

SABTU lalu, saya menghadiri sesi beramah mesra dengan pembaca Karnival Karangkraf di Kolej UNITI, Port Dickson. Ramai juga siswa dan siswi datang untuk mendapatkan autogeraf setelah mendapatkan buku saya. Tiba-tiba, seorang siswi tampil dan menghulurkan sebuah buku nota. Dia tidak membeli buku tetapi meminta saya memberinya sebuah mutiara kata.

Bagaimana saya boleh menulis madah secara spontan begitu? Saya terpempan seketika. Meraba-raba mencari ilham dari kotak fikiran ini. Sekilas saya memandangnya yang datang dengan penuh harap. Oleh kerana dia seorang pelajar, saya melihatnya sebagai insan yang sedang dalam sebuah perjalanan yang panjang untuk memajukan dirinya.

Maka tercetuslah kata-kata, “Hidup ini satu perlumbaan. Dan perlumbaan itu adalah dengan dirimu sendiri.” Saya tidak pasti sama ada dia faham apa yang saya maksudkan kerana setelah menyerahkan buku nota kepadanya, dia hanya menatap madah saya buat seketika sebelum tersenyum simpul dan berlalu.

Ya, hidup ini adalah sebuah perlumbaan. Sebuah larian maraton. Sudah menjadi kebiasaan pula, kita biasanya berlumba dengan orang lain. Sejak kecil di tadika emak membandingkan kita dengan teman-teman yang lain, siapa yang dapat nombor satu. Di sekolah menengah pula, siapa yang dapat lebih banyak ‘A’ dalam PMR atau SPM. Di universiti pula, universiti mana atau fakulti mana pula dibanding-banding.

Sehinggalah bila di alam pekerjaan, kita sudah pandai untuk membandingkan sendiri mana satu pekerjaan yang bagus, mana pekerjaan yang tidak bagus. Syarikat mana yang ada kelas, syarikat mana pula yang tiada masa depan. Pendek kata, bila apa yang kita capai itu dibanding-bandingkan, maka ia akan ditanding-tandingkan pula.

Tentu sekali dalam pertandingan, ada konsep menang dan yang kalah. Ada pula yang berjaya dan yang gagal. Kerana itu, bila kita memandang orang yang jauh ke hadapan, atau yang tinggi di atas, kita akan berasa ketinggalan. Sebaliknya, bila kita memandang ke belakang pula, kita nampak juga orang yang sudah kita tinggalkan atau orang yang jauh berada di bawah. Kita berasa yang kita sudah ke depan pula.

Dalam perjalanan yang panjang ini, kita juga melalui pelbagai persimpangan. Samada persimpangan itu membawa kita memasuki sebuah lebuhraya yang dipenuhi dengan mereka yang bergerak laju, ataupun persimpangan sebuah denai sempit dan berlopak hingga menyebabkan kita terpaksa melangkah perlahan.

Kita akan melalui fasa-fasa kehidupan bilamana kita bergerak laju dan meninggalkan kawan-kawan. Itulah saat di mana kita berjaya, kita menang, ataupun kita kaya memperoleh apa yang kita inginkan kerana kita bergerak di lebuhraya laju. Ada ketikanya, kita menggelungsur ke bawah dan bergerak perlahan di lorong yang penuh berliku. Begitulah keadaan bilamana kita jatuh atau gagal.

Lazimnya, tatkala kita berjaya, kita akan di kelilingi oleh mereka yang berjaya juga. Perjalanan kita menjadi mudah dan pantas. Di saat kita tewas, kita dikerumuni oleh mereka yang gagal juga. Ketika itu, perjalanan kita menjadi perlahan dan sukar.

Bila kita selesa berteman dengan mereka yang berjaya, ia bagus sekiranya kita tidak lupa erti kegagalan. Namun jangan sampai kita lupa daratan seolah-olah kita tidak pernah tersembam dalam kehidupan. Ketika kita bersama dengan mereka yang gagal pula, ia tidak bagus sekiranya kita terlupa yang kita pernah berjaya hingga tidak berani mencuba lagi.

Yang penting, walau di mana kedudukan kita sama ada sedang berjaya atau gagal, kita tidak boleh lupa di sebalik semua perlumbaan dengan orang lain, kita sepatutnya berlumba dengan diri kita sendiri. Pedulikan siapa yang berjaya lebih dahulu daripada kita, kerana dalam maraton, perlumbaan masih belum tamat selagi garis penamat iaitu kematian belum tiba.

Berlumba dengan diri sendiri itu lebih jujur dan lebih membahagiakan. Hanya kita yang tahu bila kita mesti memecut laju dan bila pula kita mesti berjalan berjengket-jengket kerana yang penting ialah sampai ke matlamat pada waktu yang kita tentukan sendiri, bukan masa yang dipaksakan oleh orang lain kepada diri sendiri.

Kejayaan yang diperoleh bila berlumba dengan diri sendiri adalah di atas kehendak sendiri, bukan sebab kemahuan orang lain. Begitu juga kegagalan yang dialami bukan membuat kita menangis malu. Sebaliknya ia adalah tangisan keinsafan di atas kegagalan yang membolehkan kita bangkit, bertatih, melangkah dan berlari kembali ke puncak kejayaan.

Artikel ini akan terbit di akhabr Sinar Harian pada 4.4.2012, insya-Allah