Tuesday, February 28, 2012

MEMPERBESAR YANG KECIL, MENGECILKAN YANG BESAR




Photo credit: wancikgumuzik.blogspot.com


BERITA: DI ANTARA
FIKSYEN DAN REALITI


SUDAH hampir dua tahun Sinar Harian mengubah slogannya daripada Suara Cakna Komuniti Anda kepada Telus & Tulus. Meskipun ia berpegang kepada slogan yang ideal, pendekatan Sinar Harian sebagai sebuah akhbar komuniti masih diteruskan.

Cuma, kami mula mempelbagaikan konsep komunitinya. Jika sebelum ini Sinar Harian mengkhususkan komuniti itu hanya kepada majlis-majlis parti politik, pertubuhan sukarela dan jawatankuasa masjid, kini pendekatannya diperluaskan kepada komuniti berbasikal, berkereta, pendaki, malah melihat kumpulan pencari botol lama juga sebagai komuniti

Wartawan adalah pemburu, penyuntingnya adalah tukang masak dan editornya pula adalah tukang hidangnya. Ketiga-tiga pasukan iaitu para wartawan, penyunting dan editornya mesti sentiasa bersikap profesional dalam membereskan tugas masing-masing. Sama ada ia kisah rasuah seorang pemimpin terkenal, skandal artis popular, bot tenggelam yang melibatkan 20 mangsa ataupun kisah mayat bayi yang digonggong anjing, kita mesti mempersembahkannya dengan telus dan tulus.

Walau apa pun yang terjadi, seseorang wartawan tidak boleh simpati terhadap apa yang berlaku di depan matanya. Dia hanya boleh bersikap empati. Dia boleh bertanya dan menulis kesusahan sebuah keluarga miskin yang tinggal di rumah yang senget, tetapi dia tidak boleh menangis hingga tidak tergamak menulis kisah sedih itu.

Dia mesti melontarkan soalan-soalan berbentuk interogasi kepada tokoh korporat mahupun politik dengan berani serta bersedia menerima ulasan ‘no comment’ untuk sekian kalinya sebelum bertanya perkara yang sama dalam bentuk yang lain sehingga dia mendapat jawapan. Bertanya adalah kerja wartawan dan jawapan yang diperolehinya adalah berita.

Para penyunting berita pula perlu menyelami hati wartawan apabila sesebuah berita itu sampai ke mejanya. Imaginasinya perlu tinggi untuk melihat apa yang ditulis oleh wartawan. Sebagai tukang masak, dia perlu mengadun bahan berita yang diterimanya menjadi sebuah masakan yang boleh dinikmati. Namun, dia tidak boleh mengambil apa yang disampaikan secara bulat-bulat.

Maki hamun seorang tokoh politik terhadap seseorang di dalam ceramahnya, tidak boleh disiarkan begitu sahaja. Pertimbangan perlu ada. Dia tidak boleh memaparkan segala maki hamun tokoh politik itu di dalam berita kerana itu akan menyusahkan tokoh itu pula. Mana tahu tokoh berkenaan terlepas cakap kerana beremosi ketika berucap. Dan yang lebih penting, para pembaca pula tidak naik angin hanya dengan membaca tulisan itu.

Sebagai tukang hidang, para editor pula perlu mengandam apa yang tiba ke mejanya. Di tangannya terletak kesan penerimaan sesuatu berita itu. Istilah yang berlapik perlu digunakan agar sesebuah berita itu menguja minda dan bukannya merangsang emosi. Ada variasi makna di antara perkataan rejam, hunjam, baling dan lontar. Ataupun, di antara istilah paksa, desak, gesa, usul dan cadang. Selagi perlakuan subjek berita itu bukannya satu jenayah, perkataan yang lebih lembut mestilah menjadi pilihan.

Foto yang dipilih pula mestilah yang sesuai. Tidak kena memilih foto berita artis yang membuat pengakuan yang dia sudah insaf, padahal disiarkan foto dia berposing maut. Ataupun, foto tokoh politik yang tersengih sedangkan beritanya mengenai ucapannya dalam forum yang membicarakan soal rasuah.

Wartawan, penyunting dan editor sebagai sebuah pasukan boleh memperbesar apa yang kecil. Begitu jugalah sebaliknya. Berita lelaki kemalangan boleh menjadi besar andainya ia disiarkan di muka hadapan dan menjadi berita kecil apabila ia disiarkan sebagai berita kaki. Namun, besar atau kecil berita itu bukan dibuat sesuka hati. Ia menjadi berita besar seandainya yang menjadi mangsa ialah seorang tokoh korporat. Sebaliknya, menjadi berita kecil seandainya mangsanya adalah seorang penagih dadah.

Berita adalah cerita. Namun, perbezaan cerita di novel dan akhbar jauh bezanya.
Cerita di novel menghampiri realiti,
cerita di akhbar menghampiri fiksyen!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 29.2.2012, insya-Allah.

Tuesday, February 21, 2012

UMAT AKHIR ZAMAN



Photo credit: unwanted86.blogspot.com

MENGGAPAI AWAN,
MENYEMBAH BUMI

PERKARA yang lazim disentuh bila membicarakan mengenai organisasi ialah soal pemimpin dan kepimpinan. Pemimpin itu penting. Apabila dipilih memimpin, seseorang ketua itu seharusnya berpandangan jauh, berfikiran mendalam dan beraspirasi tinggi untuk memacu organisasi yang dipimpinnya agar mencapai objektif-objektif yang disasarkan.

Sesebuah organisasi biasanya bermula daripada satu keperluan, kehendak dan kepentingan bersama oleh sesuatu kumpulan. Akan ada seseorang daripada kumpulan itu yang dipilih menjadi ketua. Lazimnya, kumpulan yang mula terbentuk itu mempunyai jumlah ahli yang kecil. Oleh kerana saiznya yang kecil itu, komunikasi di antara ketua dan ahli-ahlinya dapat dilakukan secara informal, telus dan berterusan.

Komunikasi dan interaksi yang kerap manjadikan sesebuah kumpulan itu dinamis. Dalam proses pembentukan kematangannya, kumpulan yang baru mudah sekali beranjak paradigma pendekatan dan tindakannya. Pemimpin kumpulan kecil sentiasa mendapat maklumbalas dan mudah pula mentafsir dan melaksanakan apa yang dihasratkan oleh ahli-ahlinya.

Bagaimana pun, kumpulan yang kecil dan berjaya akan menarik lebih ramai ahli. Lama kelamaan, ia akan menjelma menjadi sebuah organisasi. Apabila ia berdiri sebagai sebuah organisasi, strukturnya tidak lagi rata. Malah, ia mula mempunyai hieraki kepimpinan. Keadaan ini menjadikan hubungan pemimpin dan pengikutnya menjadi semakin longgar.

Suara dari bawah kian sukar dilontar ke atas. Dan yang di atas semakin payah menangkap suara-suara itu. Dalam keadaan ini, para pengikut akan berasa suara mereka mula tidak didengari. Akhirnya mereka berhenti bersuara lagi. Apa yang ada hanyalah harapan bahawa pemimpinnya dapat mengendalikan organisasi dengan baik.

Oleh kerana kurang interaksi, pemimpin pula berasa sunyi kerana terasa bertindak berseorangan. Mana mungkin setiap tindakannya berpijak di bumi nyata sekiranya dia berada lebih hampir di puncak awan? Kerana itu banyak sekali organisasi yang besar begini dilihat bertindak melulu atau tersasar dalam perjuangannya.

Daripada luar memanglah kelihatan, semakin besar sesebuah organisasi itu, semakin kukuh, gagah dan gah teguhnya ia berdiri. Padahal, organisasi yang sudah gergasi saiznya itu sebenarnya lompong di dalam kerana terdapat vakum komunikasi di antara pemimpin dan pengikutnya.

Ditambah dengan rasa hormat yang berlebih-lebihan pengikut kepada pemimpin besar sesebuah organisasi, sindrom bisu mula menjalar menjadi penyakit yang akan melemahkan organisasi. Pengikut yang membiarkan pemimpin meneraju organisasi tanpa memberi maklumbalas samalah seperti membiarkan pemimpinnya berbuat apa yang dia suka. Pada waktu yang sama, pemimpin yang mempunyai pengikut yang taat, boleh lupa daratan. Tindak-tanduknya tidak lagi menepati aspirasi dan harapan para pengikutnya.

Di sekeliling kita, terdapat pelbagai organisasi yang besar, tetapi mempunyai pemimpin yang bertindak mengikut seleranya. Sama ada secara sengaja atau sebaliknya, pemimpin-pemimpin ini berjaya memutar fikiran para pengikutnya hinggakan mereka diam menyepi dan setia membuta-tuli kepada pemimpin mereka.

Pengikut tentulah lebih ramai daripada pemimpin. Mereka punyai kuasa menggantikan pemimpin yang pada asalnya mereka pilih dari kalangan mereka. Malangnya, bila terdapat pengikut yang berani bersuara, tindakannya dianggap menderhaka. Ada pengikut yang kecut perut dan terus menutup mulut. Ada juga pengikut yang tidak tahan lagi, lantas meninggalkan organisasi untuk mewujudkan sebuah kumpulan baru dengan harapan ia menjelma menjadi sebuah organisasi yang lebih hebat daripada organisasi yang ditinggalkannya.

Malangnya, tindakannya itu, jika dilihat dari mata burung sebenarnya menghakis organisasi yang asal kepada yang lebih kecil. Apabila kitaran yang sama berlaku terhadap organisasi yang muncul kemudian ini, maka ia juga berpecah menjadi lebih kecil. Organisasi berpecah menjadi kumpulan, dan kumpulan menjadi serpihan. Umat terpecah menjadi bangsa, bangsa terhakis menjadi kaum, dan kaum terserpih menjadi suku.

Umat yang dahulunya hebat akhirnya mereput, tumbang dan tenggelam ke dalam bumi.

"
Hampir tiba masanya kamu dikerumuni oleh manusia seperti mana orang-orang mengerumuni sesuatu hidangan" Berkata seorang sahabat, "Adakah ia lantaran pada waktu kita yang sedikit?" Nabi menjawab, "Tidak, sebaliknya kamu ramai tetapi kamu menjadi seperti buih ketika berlaku banjir. Allah mencabutkan rasa gerun dari hati musuhmu dan memasukkan perasaan wahan ke dalam hatimu." Sahabat-sahabat bertanya, "Apakah itu wahan?" Bersabda nabi, "Cintakan dunia dan takutkan mati ". (hadis riwayat Abu Daud)

Artikel ini bakal terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.2.2012.

Tuesday, February 14, 2012

DARI MANA DATANGNYA CINTA


Photo credit: freeasy.co

DI ANTARA RASA
CINTA DAN BENCI

DARI mana datangnya lintah? Dari sawah turun ke kali. Dari mana datangnya cinta? Dari mata turun ke hati. Begitulah indahnya pantun Melayu yang membicarakan dari mana datangnya cinta. Pantun ini memang ada benarnya.

Biasanya cinta bermula dari pandangan mata, iaitu pandangan lahiriah. Manusia umumnya memang lemah mata hatinya. Pandangan pertama yang memperlihatkan wajah dan tubuh yang berkenan di hati akan melahirkan rasa ingin memiliki apa yang disukainya. Maka terjadilah rasa jatuh cinta yang dikenali sebagai cinta pandang pertama.

Namun, ada juga cinta yang lahir dari pandangan yang ke sepuluh atau yang ke duapuluh. Ini terjadi bukan semata-mata kerana sukakan fizikalnya. Sebaliknya rasa cinta itu lahir kerana menyukai sesuatu yang lebih daripada fizikal orang yang dicintai. Ia mungkin kerana sukakan kebijaksanaan dan pendirian orang yang disukai, iaitu mentalnya. Ia boleh juga kerana tertarik dengan sikap keprihatinan, tanggungjawab atau kelembutan yang yang diminati, iaitu spiritualnya.

Indahnya rasa apabila insan yang diminati itu membalas cinta seseorang. Apabila kedua-duanya jatuh cinta, maka terjadilah saat-saat bila mata bertentang mata, lidah kelu untuk berkata. Oleh kerana terlalu kagum dan takjub seseorang itu terhadap kekasihnya, hatinya akan menguasai fikiran. Akibatnya, orang yang jatuh cinta itu sudah tidak boleh berfikir lagi hinggakan lidahnya tidak boleh berkata-kata.

Mulai saat itu, seseorang yang menyintai itu mula memuja, mengenang, merindu dan mendambakan kehadiran kekasihnya pada setiap ketika. Tiada lagi yang akan memisahkan. Andainya berjauhan, lautan api sanggup direnangi untuk bertemu dengan kekasih hati. Tiada lagi yang buruk mengenai orang yang disayangi. ‘Kalau hati sudah suka, semua indah saja, itulah tanda bunga kasih bermula, di dalam jiwa.’ Demikian dapat disimpulkan rasa hati seseorang yang di alam percintaan menerusi lagu Tanda Kasih, nyanyian Ahmad Mahmud dan Rahmah Rahmat.

Tentu sekali cinta itu bukan sahaja tertumpu kepada cinta seseorang terhadap kekasihnya. Ia boleh juga dilihat dalam konteks cinta seseorang terhadap ibubapa, negara, kerjaya mahupun hobinya. Pendek kata, cinta itu melahirkan kesabaran, ketenangan dan kebenaran. Ia juga merealisasikan mimpi kepada impian yang membawa harapan.

Bagaimana pula timbulnya benci? Seseorang itu mula membenci bila rasa was-was dan ragu mula membenih di dalam hati. Janji yang tidak ditepati, cakap tidak serupa bikin dan perangai tunjuk belang yang muncul akan menimbulkan rasa tidak senang. Perasaan syak akan berubah menjadi prasangka.

Perselisihan faham akan mula terjadi. Ia akan berubah menjadi perbalahan, pertengkaran, pergeseran dan akhirnya pergaduhan. Apabila ini terjadi, rasa cinta akan menjadi tawar hingga akhirnya wajah pasangan yang suka ditatap itu akan dipandang dengan rasa benci.

Andainya percintaan itu membuatkan seseorang itu hanya bercakap perkara yang baik sahaja terhadap orang yang disayang, rasa benci pula membuatkan seseorang itu memperkatakan perkara yang buruk-buruk sahaja mengenai pasangannya. Seolah-olah orang yang dibencinya itu tidak pernah melakukan apa jua kebaikan terhadapnya.

Dalam konteks yang lebih luas, rasa kebencian terhadap bekas kekasih, bekas tabiat, bekas kumpulan mahupun bekas organisasi akan dimanifestasi dengan ayat-ayat yang pedas dan pahit semata-mata bertujuan untuk menjustifikasi tindakan dia memisahkan diri akibat kebenciannya. Semakin banyak kata-kata kebencian yang terhambur, semakin meningkatlah keyakinan diri bahawa keputusannya untuk membenci itu adalah suatu tindakan tepat.

Cinta dan benci hanyalah state of mind. Sama ada kita menpsycho diri untuk menyukai atau membenci, ia terpulang kepada apakah kehendak kita terhadap sesuatu. Ia boleh dikendalikan apabila kita berpada-pada menyintai mahupun membenci.

Dari mana datangnya cinta? Dari mata turun ke hati.
Dari mana datangnya benci? Dari hati naik ke mata.

Artikel ini bakal terbit di akhbar Sinar Harian pada 15.2.2012.

Tuesday, February 7, 2012

BAHASA JIWA BANGSA



Photo credit: haehim2.blogspot

BAHASA CELUPAR

YANG MEMISAHKAN

AKHIR-AKHIR ini kita biasa terbaca, mendengar atau berdepan dengan orang yang berbahasa celupar. Orang sekarang kata, bercakap lepas. Malah orang bercakap lepas juga dikenali sebagai orang berlidah laser ini sudah menjadi suatu sikap yang boleh diterima.

Memanglah bahasa yang celupar, kasar atau kesat ini menyakitkan hati. Namun, mereka yang berbahasa kasar dan kesat ini semakin ramai kita dapati jika kita menelusuri Facebook, Twitter, forum, blog, ataupun komen-komen mereka di laman berita dalam talian. Patah perkataan yang dipilih boleh membuat darah kita mendidih dan otak kita menggelegak.

Apa nak jadi dengan masyarakat kita hari ini? Kalau mereka bercakap dengan nada kasar, kesat dan marah-marah, tentu orang yang mendengar atau membacanya boleh tutup telinga atau pejam mata. Komunikasi yang celupar ini terjadi di antara ibubapa dan anak; ketua dan anak buah; pemimpin dan pengikut serta penguasa dan rakyat.

Pihak yang dikuasai, berkomunikasi dengan bahasa yang kasar dan kesat hingga membuatkan pihak yang berkuasa rimas lalu tidak mahu melayan apa sahaja desakan mereka yang dikuasai. Sekali pandang, kita berasa seolah-olah mereka yang berbahasa kasar dan kesat ini bagai orang yang tidak sayang mulut. Dan pihak yang berkuasa pula berperangai sombong pula.

Saya cenderung untuk mengatakan mereka kurang perbendaharaan kata kerana kurang bergaul dan juga kurang membaca. Kurang bergaul dalam erti kata, bergaul dan menyelami adab bertutur tutur kata golongan profesional, ilmuwan, sasterawan, bangsawan dan pelbagai golongan selain daripada kelompok mereka.

Saya suka untuk melihat mereka yang berbahasa celupar ini sebagai golongan yang kurang perbendaharaan kata. Oleh kerana kurangnya perbendaharaan kata yang terkumpul di minda mereka, hanya perkataan yang kasar sahaja yang diucapkan. Hinggakan kita rasa bahasa kesat itu seolah-olah mencerminkan peribadi mereka.

Pergaulan yang luas boleh mempelbagai pemilihan istilah kata agar mampu menggunakan istilah yang lebih halus. Kurangnya membaca juga khususnya bahasa akhbar, bahasa buku, jurnal ataupun laporan menjadikan bahasa mereka ini lebih kasar dan tidak tersusun.

Kerana kurang bergaul dan membaca, mereka hanya punyai perasaan yang ekstrim. Mereka hanya tahu perasaan cinta atau benci serta gembira atau duka. Segala istilah di antara suka atau benci dan gembira atau duka itu tiada di dalam perbendaharaan kata mereka.

Seseorang yang cintakan seorang gadis itu sebenarnya bukan sahaja suka, tetapi bahagia, sayang, seronok, kasih, kasihan atau prihatin pada seseorang itu. Seseorang yang benci pula sebenarnya mungkin irihati, cemburu, meluat atau rimas. Seseorang yang gembira pula sebenarnya mungkin riang, ria dan teruja. Dan tentu sekali orang yang berduka itu, mungkin muram, susah hati, merana atau kecewa.

Malangnya, mereka yang berkuasa seperti ibubapa, ketua, pemimpin dan penguasa iaitu mereka yang kaya dengan perbendaharaan kata pun, terlupa akan realiti ini. Mereka menganggap pihak yang dikuasai ini, oleh kerana kurang perbendaharaan kata adalah golongan yang kurang ajar dan tidak perlu dipandang dengan sebelah mata pun.

Oleh kerana dunia komunikasi hari ini sudah begitu terbuka sekali, maka golongan yang bijak pandai tidak boleh lagi mengenepikan golongan yang dilihat sebagai mereka yang punyai bahasa yang kesat ini. Dengarlah isihati mereka ini, bukan luahan kata.

Jangan baca apa yang tertulis, tetapi apa yang tersirat kerana di situ ada rintihan dan raungan yang ingin diperdengarkan.

Artikel ini akan disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 8.2.2012, insya-ALLAH...