Tuesday, December 27, 2011

BILA PEMIMPIN TAK INGAT AMANAH


Photo credit: kolorcube.com

SIAPAKAH YANG
PATUT
BERKUASA?

DUA malam lepas, sewaktu menjamu selera di sebuah gerai, saya tertonton drama di televisyen ~ kisah seorang anak yang tidak hormatkan ibunya. Adegannya stereotaip. Si anak marah-marahkan si ibu; si ibu pula merayu agar si anak tidak meninggalkannya setelah kesal bersikap kasar terhadap anaknya. Dia bersedih, malah meminta ampun pula dengan anaknya.

Saya perasan, semua pengunjung yang ada di situ menonton dengan khusyuk. Tidak ada rungutan atau berbisik sesama mereka tanda mereka kritis dengan adegan itu. Nampaknya mereka menerima cerita itu seadanya. Satu lagi petanda bahawa para penonton di situ dan saya anggap ribuan lagi penonton drama itu di tempat-tempat lain sudah menerima keadaan di mana cerita anak yang berbahasa kasar dengan ibu adalah sesuatu yang biasa.

Sepatutnya, ada di kalangan mereka yang mengkritik, kenapa di ibu yang dibahasakan begitu tidak bangun dan mengingatkan anaknya tentang keceluparan yang dilakukan. Sebaliknya mereka menonton dengan tenang dan selamba sambil mengunyah hidangan.

Saya tidak menyalahkan penulis skripnya pula kerana beranggapan dia hanya merakam apa yang terjadi di sekelilingnya. Dan dia melakarkan situasi yang sudah jadi kebiasaan. Malangnya, situasi ini mengambarkan apa yang sudah menjadi norma pada hari ini, meskipun ia adalah norma yang songsang.

Kini, kita sudah menerima norma baru ~ dalam situasi suami dan isteri; anak dan ibu bapa, ketua dan anak buah; pemimpin dan pengikut atau pihak berkuasa dengan yang dikuasai, keadaannya sudah setara. Siapa yang besar, siapa yang kecil; siapa yang di atas, siapa yang di bawah; siapa yang berkuasa, siapa yang dikuasai sudah tiada bezanya. Struktur yang diterima sebagai norma untuk menegakkan rasa saling hormat menghormati atau bertujuan untuk menyelaraskan hieraki sesebuah organisasi sudah tidak dipedulikan lagi.

Kini, adalah satu kebebasan apabila sesiapa sahaja boleh mempersoalkan ibubapanya, ketuanya, pemimpinnya malah raja mereka sendiri tanpa tertib, beradab dan mengikut saluran. Itu semuanya kini biasa di atas nama kebebasan bersuara. Justeru itu, kebebasan bersuara sudah menjadi norma. Oleh kerana kebebasan bersuara itu sudah diterima umum, menjelma satu lagi bentuk kebebasan yang berlaku pada hari ini iaitu kebebasan bertindak. Dulu hanya bebas bercakap, kini sudah ada yang mahu bebas bertindak tanpa perlu memberi salam lagi.

Di rumah, kebebasan ini dapat dilihat apabila si isteri boleh lebih berkuasa daripada si suami. Jika dahulu, si suami memberitahu apa hidangan yang dimahukannya, kini si isteri bukan sahaja mencadangkan kepada suami apa yang ingin dimasaknya. Malah, sudah jadi kebiasaan bila si isteri masak apa yang dia mahu. Si suami makan sahaja apa yang terhidang.

Di pejabat, jika sebelum ini si ketua menyatakan apa yang ingin dilaksanakannya, kini si ketua bukan sahaja perlu berunding dengan anak buahnya sebelum melaksanakan apa-apa peraturan. Malah, pekerja-pekerjanya pula boleh memberi amaran kepada si ketua, mereka akan boikot andainya peraturan baru dilaksanakan.

Di kalangan pihak berkuasa, banyak sekali tindakan penguatkuasaan tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan apabila pihak yang dikuasai menentang apa jua penguatkuasaan, padahal ia bertujuan untuk menegakkan sistem, hieraki dan strata organisasi masyarakat.

Di dalam kepimpinan pula, sudah sedikit pemimpin yang boleh melaksanakan apa yang dia nampak baik untuk para pengikutnya. Sebaliknya, sudah ramai pemimpin yang tunduk mengikut kerenah para pengikutnya. Pemimpin pada hari ini ramai yang tidak berani mendisiplinkan pengikut mereka meskipun ia merosakan imej organisasi, institusi mahupun parti.

Kesemua ini terjadi apabila pihak yang sepatutnya menguasai takut hilang kuasa. Suami tidak berani pada isteri, ketua takutkan pekerjanya, penguatkuasa bimbangkan penduduknya dan pemimpin takutkan pengikutnya. Kerana itu masing-masing memejam mata atau berdiam diri. Bertegas dan berani memimpin dan memerintah sudah semakin hilang di pihak yang sepatutnya menjaga kepentingan mereka yang diamanahkan menjaganya.

Dalam struktur kepimpinan, semua pihak perlu akur dengan rantaian perintah atau chain of commands. Andainya kita rungkaikan atau kita bebaskan hirarki kepimpinan ini menjadi setara, ia akan merosakkan sistem kepimpinan itu sendiri. Jika sistem itu dibuat untuk tidak dipatuhi, sama ada oleh pihak yang sepatutnya menerajui dengan membiarkan ia dilanggar oleh yang diterajui, bersedialah untuk berdepan dengan anarki!

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 28.12.2011.

Tuesday, December 20, 2011

KEMBALI KEPADA ADAB


Photo credit: keithbrownblogs.blogspot

MARI KITA UCAPKAN
TERIMA KASIH


DI ANTARA adab yang diajarkan kepada anak kita ialah melafazkan ucapan terima kasih bila menerima sesuatu pemberian daripada seseorang. Kita sampai sanggup melafazkan ucapan itu lambat-lambat agar si kecil dapat mengajuk kata-kata yang baik itu. Kita akan ulang berkali-kali sehingga anak kita boleh melafazkannya. Hati akan puas meskipun si kecil hanya dapat mengucapkan tima acih. Tidak mengapalah kalau pelat sekali pun, asalkan si kecil dapat memahami konsep orang berbudi kita berbahasa.

Peliknya, akhir-akhir ini kita yang dewasa diajar pula dengan konsep tidak perlu mengucapkan terima kasih kepada orang yang memberi seandainya itu adalah tanggungjawab si pemberi. Kata-kata ini lazimnya diajarkan oleh orang politik yang cetek pemikirannya tetapi tinggi keinginan menjaga pengaruh pengikut-pengikutnya. Jika sebelum ini, kata-kata sebegitu hanya kedengaran disampaikan oleh orang politik PR kepada para pengikutnya, kini ia sama juga kedengaran disuarakan oleh orang politik BN.

Di negeri-negeri yang dikuasai oleh BN, orang politik PR mengajar kepada pengikutnya agar tidak perlu ucapkan terima kasih di atas segala bantuan dan sumbangan kerajaan BN kepada mereka kerana itu adalah tanggungjawab mereka. Di negeri-negeri yang dikuasai PR pula orang politik BN membalas dengan menggunakan konsep yang sama – tidak perlu berterima kasih kepada pemimpin PR yang memberi kerana itu adalah tanggungjawab mereka.

Dua kali lima. Masing-masing dua kali lima mengajar perkara yang menjerebu pemikiran, budi dan akhlak pengikut masing-masing semata-mata kerana takut pengikut mereka termakan budi, lalu menyokong pihak yang dimusuhi. Mereka yang mengajarkan begini seperti pendek akal.

Sedangkan anak yang berbelas tahun ditatang bagai minyak yang penuh boleh sahaja lupa kepada pengorbanan orang tua meskipun sudah diberi segala, inikan pula mereka yang hanya beberapa kali menerima pemberian dari parti mana sekali pun! Jadi, usah gusarlah kerana ucapan terima kasih tidak mudah mengubah kasih dan condong politik pengikut masing-masing.

Lagipun, alasan untuk tidak mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberi semata-mata kerana ia adalah tanggungjawab pihak yang memberi adalah pendirian double standard. Jika kita berpendirian tidak perlu ucapkan terima kasih kepada yang memberi semata-mata kerana itu tanggungjawabnya, apakah kita tidak perlu ucapkan terima kasih kepada ayah ibu yang membesarkan kita semata-mata kerana itu tanggungjawab mereka?

Ataupun, apakah kita boleh berpandangan yang kita tidak perlu ucapkan terima kasih kepada ALLAH SWT yang menjadikan kita kerana kita sendiri tidak pernah pinta dilahirkan ke dunia ini?

Perkataan terima kasih atau pujian jazaakallahu khairan (semoga ALLAH membalas kebaikanmu) itu adalah ucapan dan tindakan yang terpuji. Malah, ia adalah anjuran pemimpin kita Nabi Muhammad s.a.w. Sabda baginda,“Barangsiapa yang diberikan suatu kebaikan kepadanya lalu dia membalasnya dengan mengucapkan jazakallaahu khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan) berarti dia telah sempurna dalam memuji.”(Sunan At-Tirmidzi, no. 2035).

Cukup indah andainya kita dapat memuji sesiapa yang memberi, lebih-lebih lagi baik andainya kita mohon ALLAH membalas kebaikannya. Kalau pun si pemberi berniat untuk memancing undi atau membeli jiwa, biarlah ALLAH yang menilainya. Dan, tidak comel kita mengenepikan apa yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri semata-mata kerana takut termakan budi, tergadai undi.

Dalam pada itu, tidak moleklah apabila si pemberi meminta-minta ucapan terima kasih daripada si penerima. Tidak cantik pula mengungkit-ungkit pemberian dengan ayat-ayat agar si penerima mengenang pula jasa si pemberi. Seolah-olahnya, jika si penerima tidak ucapkan terima kasih, si penerima itu tidak reti mengenang budi. Jika ini disebut-sebut dan diulang-ulang, nampaknya pemberian itu bagai tidak ikhlas ~ ada udang di sebalik mi.

Daripada satu lagi sudut pandangan, sepatutnya, si pemberilah yang seharusnya ucapkan terima kasih kepada orang yang menerima pemberiannya, kerana apabila seseorang itu menerima pemberiannya, bukankah ia bererti si penerima memberi peluang si pemberi mendapat pahala?

Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.12.2011.

Tuesday, December 13, 2011

WACANA SINAR




Photo credit: excopekerjamuda.com

BERLABUHNYA TABIR
WACANA SINAR


SAYA menulis dengan hati yang benar-benar lega. Lega kerana Wacana Sinar Siri ke-9 telah berlangsung dengan jayanya semalam. Tajuk wacana, PRU13: Undi Siapa Jadi Penentu adalah topik yang paling hot kerana ia menjurus kepada pilihanraya yang kian menjelang. Ia juga paling hot kerana ahli-ahli panelnya bukan tiga atau empat, tetapi lima orang.


Awal-awal lagi kami sudah terfikir, bolehkah lima orang ahli panel dan seorang moderator duduk di sebuah pentas yang sempit itu. Tetapi, Datuk Saifuddin Abdullah, YB Nurul Izzah Anwar, Datuk Zaid Ibrahim, Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah bersama moderator Dr. Maszlee Malik tampak selesa apabila mengambil tempat masing-masing.


Ahli-ahli panel berbincang, berbahas dan sindir menyindir dengan tertib. Malah, ada kalanya mereka bersetuju dengan pandangan ahli-ahli panel yang lain meskipun anutan politik mereka bertentangan. Dan yang paling utama, ketenangan masing-masing menampan suara-suara sumbang para hadirin itulah yang menjadikan wacana sinar semalam panas tetapi rangup sebagai santapan minda.


Saya terimbau kepada Wacana Sinar yang kali pertama diadakan pada bulan Februari tahun ini. Ketika itu, kami mendapat kerjasama Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM dan ia dianjurkan di Intekma Resort Convention Centre, UiTM, Shah Alam. Tajuknya pula Daftar Pengundi: Wajarkah Diwajibkan? Ahli-ahli panelnya pula Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi; YB Fuziah Salleh, Naib Presiden PKR; Dato Noordin Che Ngah, Timbalan Setiausaha (Pilihanraya) SPR dan Profesor Hamdan Adnan, Pengerusi Institut Perhubungan Awam Malaysia. Ketika itu kami mendapat kerjasama Astro Awani dengan moderatornya pula adalah Kamarul Bahrin Haron.


Pelbagai persoalan bermain di fikiran kami sebagai penganjurnya. Ketika itu, memang jarang sekali dapat mempertemukan pemimpin BN dan PR di satu pentas. Apakah mereka akan hadir? Apakah SPR akan menghantar pegawai yang junior memandangkan wacana itu anjuran sebuah akhbar yang baru dikenali? Apakah orang ramai akan hadir di majlis yang diadakan pada sebelah petang hari Jumaat? Alhamdulilah, para hadirin pada petang itu memenuhi dewan. Dan, perbincangan dan soal jawab pada petang itu diadakan dalam suasana yang harmoni.


Namun, ia sesungguhnya adalah petanda baik buat kami kerana rupa-rupanya Sinar Harian mempunyai sebilangan pengikut setia yang hadir kerana percaya kepada program yang kami anjurkan. Justeru itu, sesi berikutnya mula diadakan di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf dengan tajuk yang lebih mencabar minda. Tajuk mengenai ajaran sesat iaitu Benarkah Sesat: Debat Atau Tangkap diadakan pada bulan Mac.


Sambutan yang semakin menggalakkan membuat kami berasa teruja untuk menganjurkan wacana-wacana berikutnya. Hampir setiap bulan kami mengadakannya. Tajuk-tajuk yang lebih terbuka seperti Rasuah Pemusnah Tamadun, Fitnah Ancaman Umat Akhir Zaman, Apa Selepas 9 Julai, Ulama Politik: Untuk Dakwah Atau Parti, Merdeka: Wajarkah Sejarah Ditulis Semula, Hudud Dilema & Pelaksanaannya dan akhirnya PRU13: Undi Siapa Jadi Penentu menutup tirai Wacana Sinar untuk tahun 2011.


Banyak juga cabaran yang kami hadapi dalam menganjurkan Wacana Sinar. Setelah mendapat persetujuan dasar kehadiran ahli-ahli panel, kami mesti berunding untuk menetapkan sesuatu tarikh di mana semua ahli panel boleh hadir. Tajuk-tajuk yang berani juga mempertemukan penyokong-penyokong agresif tutur katanya. Pada beberapa ketika, para petugas kami terpaksa menenangkan suasana samada di dalam mahupun di luar dewan.


Wacana Sinar ke- 5 dengan tajuk Apa Selepas 9 Julai adalah yang paling tegang bila ia diadakan sejurus demonstrasi Bersih 2.0. Kehadiran ahli-ahli panel Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR; Datuk Ambiga Sreenevasan, Pengerusi Bersih dan Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin menjadikan suasana di sepanjang wacana sentiasa gamat. Andainya tidak mendapat bantuan pihak polis untuk mengambil langkah-langkah keselamatan, wacana pada petang itu boleh bertukar kecoh.


Setelah penganjuran sembilan Wacana Sinar, kami mengucapkan syukur kehadrat ALLAH SWT. Syukur kerana semua majlis yang dianjurkan berlangsung dengan suasana terkawal. Lebih-lebih lagi Wacana Sinar semalam yang telah menunjukkan ahli-ahli panelnya lebih bersedia untuk mendengar pandangan yang bertentangan dan juga secara terbuka melafazkan persetujuan dengan apa yang pihak yang satu lagi nyatakan.


Ia menepati hasrat kami untuk mempertemu minda dan mempertembung idea semua pihak. Rekod sehingga 120,000 hits mereka yang mengikuti Wacana Sinar secara langsung melalui webtv dari 49 negara seluruh dunia menunjukkan ia adalah program yang kian mendapat sambutan. Jualan Sinar Harian yang meningkat setiap kali kami melaporkan Wacana Sinar juga menggembirakan kami.


Kami gembira kerana semakin ramai yang kini sudah bersedia untuk mengikuti perbincangan yang bertentangan secara berdepan dengan berani ~ bukan setakat berani cakap dari belakang. Ini membuatkan kami juga berani untuk bercakap tentang Wacana Sinar pada 2012. Insya-ALLAH, ia akan lebih mencabar minda dan menguja perasaan anda yang mengikutinya.


Nantikan format baru Wacana Sinar 2012!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, 14.12.2011.

Tuesday, December 6, 2011

PILIHLAH AKU



Photo credit: businessbrief.com

SUKARNYA MENCARI

WINNABLE LEADER


PENDEKATAN memilih winnable candidate atau calon boleh menang untuk bertanding dalam pilihanraya adalah satu strategi yang pragmatik. Calon yang ada rupa, ada gaya, dikenali dan disenangi ramai, lebih-lebih lagi kerana ringan mulut, tangan dan tulangnya adalah ciri-ciri calon boleh menang.

Meskipun pendekatan memilih calon boleh menang itu diuar-uarkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, perkiraan calon sebegitu akan juga menjadi faktor pemberat dalam memilih calon untuk parti- parti lain yang bertanding pada PRU13 kelak.

Bagaimana pun, calon boleh menang ini, walaupun boleh menjadi wakil rakyat kerana mempunyai wajah atau peribadi yang bagus, ia masih belum mencukupi kehendak sebenar pemilih yang mahukan lebih daripada itu. Seseorang calon boleh menang mungkin disenangi dan dikenali dalam situasi yang harmoni. Tetapi ketokohan mereka yang sebenar perlu juga menyerlah sebagai pembela, penyuara dan seterusnya pejuang kepada pengundi dalam persekitaran dan suasana yang mencabar selepas memenangi kerusi yang ditandingi.

Justeru itu, ciri-ciri seseorang winnable candidate masih belum holistik karakternya jika dia tiada nilai tambah sebagai winnable leader. Ciri-ciri winnable leader inilah yang lebih sukar ditemui pada hari ini. Malah, (maaf cakap), mereka yang menjadi pemimpin yang telah menang pun ramai yang kini menampakkan tanda-tanda mereka bakal menjadi losing candidate sekiranya bertanding lagi!

Winnable leader, sebagai pemimpin mestilah duduknya di hadapan, bukan di belakang bersama pengikut, ataupun lebih buruk lagi, bersembunyi di belakang pengikutnya. Pemimpin boleh menang mestilah mempunyai karakter yang lebih handal daripada mereka yang dipimpin.

Dalam apa sahaja isu yang diperkatakan, dialah yang tampil sebagai jurubicara. Dalam apa jua pemikiran, pendapat dan hujah yang diutarakan, pandangannya mestilah lebih jauh dan belum terjangkau dek akal pengikutnya. Dalam apa juga nilai, idealisme dan falsafah yang dianuti, pegangannya perlu lebih kental daripada orang yang di sekelilingnya. Sehinggakan pegangannya bukan sahaja menjadi panduan dan penyuluh pengikut, malah sukar diperkotak-katik dan diperlekeh oleh musuh politiknya.

Pemimpin boleh menang mesti bertanggungjawab, bukan bertanggungsoal! Maknanya kerjanya bukan semata-mata menyoal dan mempersoalkan apa sahaja yang dibuat oleh orang lain. Tetapi, pemimpin boleh menang perlu punyai jawapan kepada apa yang dipersoalkannya. Dia lebih bijak jika bertanya sesuatu bukan kerana tidak tahu, sebaliknya kerana ingin tahu samada jawapan orang yang ditanya itu lebih baik daripada jawapan yang ada di dalam kotak fikirannya.

Winnable leaders atau pemimpin boleh menang juga adalah pemimpin yang bersedia untuk menjawab apabila disoal. Bukannya senyap sepi ketika pelbagai soalan bersimpang-siur ditujukan kepada dia dan kerjanya. Ataupun menyuruh orang lain untuk menjawab bagi pihaknya. Lebih buruk lagi bila dia memperlihatkan seolah-olah bertanya itu satu dosa hingga mempersalahkan pula mereka yang bertanya.

Pemimpin boleh menang mestilah berani untuk berbeza daripada orang lain. Dia berani menyatakan benci kepada apa yang pengikutnya suka atau suka kepada apa yang pengikutnya benci dengan pendekatan wasatiyyah iaitu keseimbangan yang optima. Dia berkawan dengan musuhnya di hadapan para pengikutnya agar pengikutnya tahu bermusuh itu hanya dalam pertandingan bukannya dalam kehidupan. Dia sama sekali tidak berkawan dengan musuhnya secara sembunyi-sembunyi di belakang para pengikutnya.

Bila tiba waktunya, pemimpin boleh menang itu mudah sekali berundur kerana tahu bukan dia sahaja yang boleh menjadi pemimpin boleh menang. Rayuan pengikutnya agar dia terus memimpin akan didengar dan ditolak dengan baik. Tidak langsung menggunakan alasan dia mesti terus pemimpin kerana pengikut merayunya agar terus mengepalai perjuangan. Pemimpin yang membuat keputusan kerana desakan pengikutnya membenarkan dirinya jatuh ke taraf pengikut pula. Pemimpin begini sudah hilang aura pemimpin boleh menang.

Yang penting, dalam apa jua tindakannya, pemimpin boleh menang sentiasa mempamerkan ketenangan walau berdepan dengan badai menggila kerana dia sentiasa bertimbang rasa ~ menimbang dengan fikiran dan merasa dengan hati sebelum melangkah.

Artikel ini bakal terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.12.2011.