Tuesday, October 18, 2011

USAH MEMILIH KERJA


Photo credit: en.wikipedia.org

BERAKHIRNYA

WAKTU KERJA 9.00 ~ 5.00

PAGI Isnin. Kebanyakan jalan raya di kota dipenuhi kenderaan semenjak jam 6.30 pagi lagi. Kesesakannya akan memuncak mulai jam 7.30 hingga 8.00 pagi. Bas, teksi, koc LRT mahupun komuter turut dipenuhi para penumpang. Kesendatannya akan reda seketika apabila kakitangan awam mulai masuk ke pejabat.

Namun, jalan-jalanraya akan mulai sesak kembali dengan gelombang kesesakan kedua di antara jam 8.30 sehingga 9.00 pagi. Ketika ini, giliran kakitangan swasta pula memenuhi kereta dan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja. Pada waktu petang, mulai jam 5.00 membawa hingga ke jam 7.00 malam, jalan-jalan raya dan rel juga sesak apabila para pekerja pulang ke rumah masing-masing.

Inilah fenomena kesesakan yang disebabkan oleh mereka yang bekerja daripada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang atau 9.00 pagi hingga 5.00 petang, lima atau enam hari seminggu. Mereka yang memenuhi jalan-jalanraya di waktu-waktu puncak ini lazimnya bertugas sebagai kakitangan awam mahupun swasta. Mereka pekerja pejabat.

Di pinggir-pinggir kota khususnya di kawasan perindustrian pula, masa paling sesak adalah jam 7.00 pagi, 3.00 petang dan 11.00 malam. Ini adalah masa sibuk kerana permulaan syif bagi pekerja-pekerja kilang adalah pada waktu tersebut.

Waktu-waktu kerja kakitangan awam, swasta mahupun pekerja-pekerja kilang adalah tempoh kerja yang biasa kita tahu dan sudah dianggap waktu kerja standard. Namun, ada juga kakitangan yang bertugas pada waktu yang khusus, tetapi on call atau perlu hadir bila dipanggil bertugas pada bila-bila masa. Profesyen polis, askar, bomba, kakitangan hospital dan juga wartawan adalah di antara profesyen yang tidak menentu waktu bertugasnya.

Oleh kerana sebilangan besar mereka yang bekerja tertakluk kepada masa kerja seperti di atas, ramai yang beranggapan, inilah kerja yang sebenarnya. Hinggakan, ramai pencari kerja yang memasuki pasaran pekerjaan menganggap bertugas pada masa yang lain daripada itu bukan kerja namanya. Justeru itu, profesyen yang tidak terikat dengan masa kerja sebegitu dianggap pelik, tidak menjamin masa depan, malah tidak dianggap sebagai kerja pun.

Kerana itu, pekerjaan yang mempunyai waktu kerja berbeza daripada yang normal tidak menjadi pilihan si pencari kerja melainkan kerana terpaksa. Kalaupun ada yang memilih kerja-kerja itu, mereka hanya bekerja untuk sementara. Apabila ada tawaran kerja dengan waktu standard, dengan senang hati mereka akan meninggalkan kerja yang ada.

Sebenarnya, ramai yang tidak sedar, kerja-kerja di luar waktu normal itu lebih menguntungkan samada daripada segi material dan fizikal. Seorang pakcik yang menjual nasi lemak di Taman Tun Dr. Ismail, hanya berniaga daripada jam 6.30 pagi hingga jam 11.00 pagi iaitu empat jam setengah sahaja. Seorang pemuda penjual char kuey teow di Gombak pula berniaga daripada jam 6.30 petang hingga 12.00 malam iaitu lima setengah jam sehari.

Saya mengenali seorang perunding perniagaan yang bekerja hanya dua hari seminggu. Saya juga pernah membaca kisah mereka yang bekerja hanya tiga bulan setahun pada bulan puasa hingga hari raya, atau pada musim haji semata-mata. Setelah habis musim, mereka berehat sembilan bulan lamanya untuk berbuat apa yang mereka suka. Beberapa orang rakan saya bekerja pada waktu malam sahaja membuat rekabentuk untuk sebuah syarikat di Amerika.

Ramai lagi yang bekerja di rumah, samada dengan membuat kuih untuk dibekalkan ke hotel-hotel dan syarikat penerbangan. Sudah tentu ramai lagi yang bekerja tidak ikut waktu bekerja yang statik dengan perniagaan online masing-masing.

Kini, semakin ramai yang memilih kerja yang tidak memerlukan seseorang itu ke pejabat atau kilang. Ia bukan lagi dianggap kerja sambilan atau kerja kedua untuk menambah pendapatan. Sebaliknya, ia adalah kerja utama yang menjadi mata pencarian.

Justeru itu, bagi si pencari kerja, anda tidak semestinya memfotostat resume dan mengelek fail ke mana-mana pejabat lagi. Tidak perlu lagi duduk berbaris menanti untuk ditemuduga. Sebaliknya, anda hanya perlu membuka mulut atau internet dan singgah ke tempat mereka yang mempunyai perniagaan di luar waktu pejabat. Peluangnya lebih besar. Pulangannya juga lebih tinggi.

Justeru itu, jangan memilih kerja. Jangan juga memilih waktu kerja!

Artikel ini akan terbit pada 19.10.2011 di akhbar Sinar Harian, insya-ALLAH...



Tuesday, October 11, 2011

SEMBANG KEDAI KOPI DI ALAM SIBER


Photo credit: pulauamanislandofpeace

KESAN BERCAKAP
TAK BERTAPIS


SEWAKTU
orang tua kita muda-muda dahulu, terdapat majlis kecil dan tidak formal harian yang dinamakan sembang kedai kopi. Sekumpulan orang kampung, biasanya kakitangan kerajaan yang sudah pencen, ataupun pekerja di ladang atau sawah yang sudah habis bekerja, bersembang kosong di kedai kopi.

Perkara yang disembangkan itu bisa sekali hal-hal yang menjadi masalah Pak Menteri. Sumber maklumat mereka yang bersembang adalah berita akhbar yang terletak di kedai kopi. Berita-berita sensasi di akhbar tidak kira berita skim bantuan baja padi kepada petani, isu pelajar lembam, perang di Vietnam mahupun cerita album baru penyanyi pop yeh-yeh, Jefridin menjadi topik perbincangan.

Biasanya akan ada seorang pembaca berita yang menyampaikan apa yang ditatapnya. Ceritanya akan disampuk oleh teman-teman yang duduk semeja. Biasanya ramai yang akan mengiyakan apa yang disampaikan oleh si penyampai berita. Suasana yang riuh rendah itu akan menarik mereka daripada meja-meja lain untuk duduk sama mendengar dan bersembang.

Sembang-sembang juga berlaku di surau-surau selepas Maghrib hingga waktu Isyak, di majlis-majlis kenduri kahwin, majlis tahlil atau sembang-sembang di tepi sungai sambil membasuh kain atau di halaman sambil menyidai baju bagi orang perempuan. Pendek kata, inilah cara berkomunikasi dalam isu-isu sosial bagi orang dahulu.

Semakin kita maju, sembang kedai kopi sudah bertambah tempat ke coffee house. Cuma, sembang di coffee house biasanya terfokus kepada dua perkara utama samada politik atau bisnes kerana ia adalah salah satu bentuk bersosial yang wajib bagi golongan kian mendapat tempat di dalam masyarakat ketika itu, iaitu golongan politikus mahupun usahawan.

Namun, pada hari ini, dengan adanya alam siber, sembang di kedai kopi telah dibawa ke dalam ruangan-ruangan forum, blog, laman sosial seperti facebook dan twitter. Melihat kepada banyaknya laman sembang di alam siber ini, ia sah menunjukkan kita pada hari ini memang suka bersembang.

Bezanya, kalau dahulu topik yang dibincangkan lebih banyak perkara-perkara yang serious berkaitan agama, bangsa, negara, kampung, atau maruah, tetapi pada hari ini, agenda sembang-sembangnya sudah tiada sempadan ~ tiada sempadan topik sembang, tiada sempadan benar atau fitnah, dan tiada sempadan usia mereka yang berbicara.

Adakah perkara ini sihat? Pada dasarnya ia sihat kerana memberi peluang dan ruang kepada sesiapa sahaja untuk mengeluarkan pendapat. Masyarakat dikatakan semakin terbuka dan matang. Bagaimanapun, bila kita menelusuri dan meneliti sembang-sembang yang dipaparkan, kita akan dapati ramai di kalangan kita sebenarnya bukan semakin terbuka, malah semakin jumud fikiran. Bukannya semakin matang, sebaliknya makin kebudak-budakkan.

Apabila peluang sudah terbuka bagi semua orang memperdengarkan suaranya kepada dunia, masing-masing akan menzahirkan pandangan dan perasaan tanpa mengira samada suaranya mengenai perkara benar atau salah, berfaedah atau mendatangkan mudarat.

Jika dahulu, sembang kedai kopi yang ditokok tambah hanya dihadiri oleh pendengar yang terhad, kini berpuluh, beratus, malah beribu orang boleh menatap serta memberi respon terhadap apa yang diperkatakan. Baguslah, kalau topik yang diutarakan itu bermanfaat. Sebaliknya, kalau topik pembuka bicaranya hanyalah melepas perasaan dengan menjerit ‘ooh’ atau ‘ahh’ apa ke halnya? Ianya tentu tidak berfaedah dan malangnya ia mengheret orang lain untuk bersama-sama bercakap perkara yang tidak berguna itu.

Lebih malang lagi, bila ada di kalangan kita menganggap dunia tanpa sempadan alam siber ini seolah-olah juga dunia yang tanpa dosa. Tidak hairanlah kalau seseorang yang tertib dan berakhlak di alam nyata tiba-tiba menggunakan bahasa yang celupar, biadap dan seperti kurang ajarannya.

Meskipun sembang di kedai kopi itu bebas, ia tidak menjejaskan apa-apa. Sebaliknya, sembang di alam siber menggalakkan anarki bahasa, anarki fikiran yang telah mencetuskan anarki tindakan yang boleh meruntuhkan tamaddun bangsa. Ia bagus seandainya tamaddun yang diruntuhkan itu digantikan dengan tamaddun baru yang lebih baik. Namun, tamaddun sesuatu bangsa yang runtuh itu biasanya tidak bisa dibina kembali. Mana ada sesebuah tamaddun bangsa yang runtuh boleh terbina semula kecuali replika arkitekturnya sahaja?

Riwayat Bukhari dan Muslim: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.” Barangkali, berkata baik atau diam itu mempunyai implikasi yang besar dan penting bukan sahaja untuk menjaga diri, malah terangkum untuk menjaga tamaddun bangsa. Wallahu'alam.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 12.10.2011.

Tuesday, October 4, 2011

PENGALAMAN ITU GURU TERBAIK


Photo credit: panoramio.com


BELAJAR APA YANG
DI LUAR SILIBUS


SEHINGGA 9.30 malam tadi, jika diizinkan ALLAH, penerbangan KT-16 dari Kuala Lumpur ke tanah Arab Saudi sudah pun berlepas. Musim haji datang lagi menyelubungi sekalian umat Islam di tanahair. Membawa beribu-ribu bakal haji Malaysia untuk bersama-sama mereka dari seluruh pelosok dunia untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima.

Setiap kali musim haji, ruang di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya akan penuh sesak dengan para bakal haji dan juga kaum keluarga mereka. Bagi yang akan ditinggalkan, perasan hiba tentu bersarang di dada. Anak, menantu, cucu, cicit, saudara-mara dan sahabat handai kesemuanya tersenyum dalam tangisan. Orang yang disayangi akan pergi lebih daripada sebulan. Bagaimana nanti andainya rindu bertandang? Bagi mereka yang tidak pernah berenggang, tentulah perpisahan sementara itu bagaikan perpisahan buat selama-lamanya.

Di wajah bakal-bakal haji pula, dalam tangisan di mata, tersisip senyuman di bibir. Jauh di lubuk hati, rasa bahagia begitu terasa kerana akhirnya mereka terpilih sebagai tetamu ALLAH untuk mengunjungi Baitullah. Senyuman dihulur dan pelukan erat kepada sanak saudara adalah bekal semangat buat mereka yang ditinggalkan agar tidak terus berdukacita.

Bagi yang ditinggalkan, sebaik sahaja bakal-bakal haji masuk ke dewan sebelum menaiki bas, kesuraman yang dibawa akan beransur-ansur hilang. Mereka akan terus menjalani skrip kehidupan tanpa mereka yang disayangi. Panggilan telefon dan pesanan ringkas akan menjadi penawar duka di sepanjang perpisahan sementara itu.

Sebaliknya, buat mereka yang menaiki bas dan kemudiannya kapalterbang, pengembaraan yang penuh cabaran baru sahaja bermula. Ujian ketahanan diri sendiri adalah dugaan yang paling sukar dimengerti kerana mental, fizikal dan spiritual hanya bersedia secara teori dalam kursus-kursus haji yang diikuti sebagai persediaan. Kalau adapun praktiknya dalam Kursus Haji Perdana, ia hanyalah simulasi yang amat sedikit dialami. Selain daripada kursus mengenai rukun haji, ada banyak lagi perkara yang tidak sempat disampaikan oleh penceramah.

Berwuduk hanya dengan sebotol air mineral dan mempraktik solat di dalam kapalterbang adalah di antara perkara-perkara yang paling awal perlu dipraktikkan. Tentu sekali ingatan daripada pramugari agar jangan mengecahkan lantai dengan air supaya sistem elektronik di dalam kapalterbang tidak rosak adalah pelajaran baru buat para jemaah. Perjalanan yang memakan masa lebih lapan jam itu sudah cukup meletihkan. Itu pun belum termasuk perjalanan dengan bas dari Jeddah ke Madinah.

Kesabaran benar-benar teruji apabila melihat bagasi kita tiba-tiba dicampak sahaja oleh petugas ke dalam troli. Bagaimana pula rasa hati bila melihat beg-beg kita yang cantik diperuk ke bawah perut bas atau dicampak sahaja dari bumbung bas ke tanah hingga terburai isinya? Terkejutnya hati hingga tidak termarah! Lagi pula, bila ramai lagi teman-teman di sekeliling terdiam menelan perasaan, kita juga mengeluh untuk melatih kesabaran.

Tinggal sebilik dengan jemaah lain di hotel juga memerlukan persefahaman yang bukan sedikit. Kita perlu berdepan dengan teman sebilik yang pelbagai perangai dan kerenahnya. Ada yang suka tidur dengan penghawa dingin, ada juga yang tidak tahan sejuk. Ada teman di sebelah katil yang berdiam diri hingga membuatkan kita susah hati. Ada juga yang riuh dan becok hingga kita belajar memekakkan telinga. Bagaimana pula menghadapi teman sebilik yang merokok?

Sama ada kita berasak-asak di dewan makan, ataupun mencari tempat solat di Raudhah, berpusu-pusu pula ke Masjidilharam apabila sampai di kota Mekah, bertolak-tolak ketika tawaf, terhimpit ketika solat oleh mereka yang bertubuh besar, atau yang berbau, bersolat di bumbung Masjidilharam yang sentiasa berangin, bersolat di lamannya yang panas membakar, berduyun-duyun melangkah di simen sejuk untuk bersaie di antara Safa dan Marwah, teriknya mentari yang memeritkan mata di Arafah; kesemuanya adalah pengalaman yang baru, yang perlu dirasai sendiri-sendiri meskipun ada isteri atau suami di sisi.

Itu belum lagi termasuk sakit pening, merasai teh Arab, membeli kad prabayar, membungkus barangan ke tanahair, berdepan dengan para penjual kain dan tamar, belajar memahami sebutan matawang Arab, dikerumuni peminta sedekah, menahan sabar dengan kerenah pemandu bas atau van untuk ke tempat-tempat miqat mahupun berkomunikasi dengan para jemaah yang lain kulit dan bahasanya.

Meskipun para pegawai Tabung Haji sentiasa bersedia menjaga jemaah haji seperti saudara mereka, namun kita sendiri perlu melalui pengalaman yang tiada di dalam silibus yang diajar oleh penceramah haji di tanahair.

Begitulah. Dalam mana-mana pengajian, ilmu melalui pengalaman itulah yang lebih bermakna kerana pengalaman adalah guru yang paling baik.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 5.10.2011.