Tuesday, August 23, 2011

NOSTALGIA KAD RAYA


Photo credit: vectorise.net


CARA LAMA
YANG LEBIH BERERTI

SEHINGGA kini, saya sudah menerima berbelas-belas kad ucapan selamat hari raya. Setiap kad yang saya terima akan saya buka, saya tatap, tetapi saya akan letak ke tepi tanpa perasaan teruja. Sebabnya, kad-kad itu semuanya kiriman orang yang tidak saya kenali. Dan, saya percaya mereka juga tidak mengenali saya!

Ada kad yang mengandungi hingga sepuluh tandatangan, siap dengan status jawatan masing-masing. Ada kad yang dikirim mempunyai tandatangan yang saya tahu bukan dicarit sendiri oleh si pengirim, bahkan ia adalah tanda tangan yang bercetak. Bagaimana pun, saya tetap akan membalas kesemuanya sebagai tanda terima kasih.

Saya juga mula menerima ucapan selamat hari raya melalui e-mel. Membuka kad-kad raya elektronik ini pula ada kalanya mengambil masa. Lagi canggih animasinya, lagi lambat ia dapat ditatap. Malah, ada juga kad-kad yang tidak boleh saya buka kerana punyai perisian yang berbeza daripada perisian di komputer saya.

Ucapan aidilfitri daripada kawan-kawan facebook juga sudah mula saya dapat. Separuh daripada mereka, tidak pernah saya kenal. Tidak mengapalah. Selama ini pun, saya ghairah menambah kawan termasuk kawan yang punyai nama pelik, nama Jepun atau nama Korea walaupun saya tahu mereka orang Malaysia. Pada tahun lepas, saya menerima ucapan selamat hari raya yang kononnya ditujukan khas buat saya. Padahal ada seratus nama lain yang ditaggedkan bersama dengan nama saya. Tidak mengapa juga kerana saya tahu si pengirim hendak menjimatkan masa.

Tentu sekali, menjelang malam raya nanti, saya akan menerima berpuluh-puluh ucapan selamat hari raya melalui sistem pesanan ringkas. Biasanya SMS ini lebih peribadi. Meskipun ringkas, ia menyentuh hati kerana dikirim oleh mereka yang saya kenali ~ ahli keluarga, teman sekerja dan sahabat lama. SMS yang menarik pantunnya akan saya simpan. Maaf cakap, oleh kerana membalas SMS ini adalah satu kerja yang remeh, saya terpaksa mengitar semula SMS menarik yang saya simpan itu untuk digunakan sebagai ucapan yang kononnya saya yang tulis. (Saya percaya, anda tidak pernah buat apa yang saya lakukan).

Begitulah cara terkini kita mengucapkan salam aidilfitri. Teringat saya pada zaman persekolahan dulu, bila mana mengirim kad hari raya sudah menjadi satu kemestian. Setelah menulis senarai penerima kad hari raya agar tidak terlupa, barulah saya pohon bajet dari emak.

Memilih kad pun boleh memakan masa hingga setengah hari kerana kad yang dibeli pun saya pilih agar tidak sama. Tidak sedap hati kalau kad yang dibeli itu serupa walaupun untuk dua orang yang berbeza. Padahal, mereka bukan tahu pun kalau saya membeli tiga puluh kad yang serupa coraknya.

Setelah siap bersampul, saya akan ke pejabat pos untuk membeli setem. Lazimnya, pada hari-hari puasalah pejabat pos akan sesak dikunjungi oleh mereka yang hendak mengirim kad hari raya. Panjangnya barisan, kadang-kadang sampai ke tangga luar. Setelah setem dibeli, kini giliran mencecah setem dengan air pelekat pula perlu dilakukan. Tempat melekat setem pun biasanya sesak. Spannya sudah kering kerana ramainya mereka yang mencecah setem. Kalau hendak cepat, terpaksa jugalah setem-setem itu dijilat sahaja sebelum ditampal ke sampul surat.

Pada penghujung Ramadan juga, kad-kad hari raya akan sampai ke rumah. Ada pelbagai jenis kad hari raya yang diterima. Ada yang semerbak baunya, ada yang bermuzik dan ada juga yang timbul bunga serta ketupatnya sebaik sahaja lipatan kad itu dibuka. Tidak kurang juga yang rekabentuknya hanya sehelai, bergambar kartun atau gambar unta sedang berehat di bawah pohon kurma di malam hari yang dihiasi bintang dan bulan sabit. Tetapi yang unik ialah kad hari raya berbunga yang dihiasi dengan serbuk berkilat. Sebaik sahaja dibuka kad itu, habuknya jatuh berderai di tangan.

Saya akan buka dan baca satu persatu sebelum saya susun dan gantung sebagai perhiasan di ruang tamu. Ia juga menjadi kebanggan apabila teman-teman yang datang berkunjung memuji apabila melihat betapa banyaknya kad hari raya yang saya terima.

Inilah klasiknya ucapan selamat hari raya pada tahun-tahun 60-an dan 70-an. Walaupun proses menghantar atau menerimanya memakan masa berbanding dengan cara moden sekarang yang begitu pantas, cara tradisional itulah yang lebih bererti. Kadangkala terasa ingin sekali merentas di denai semalam. Sengaja hendak menjenguk masa lalu yang begitu nostalgik.

Selamat hari raya aidilfitri daripada saya, buat anda semua yang suka membaca kolum Maaf Cakap ini.
Maaf zahir dan batin.

Artikel ini insya-ALLAH akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 24.8.2011.


Tuesday, August 16, 2011

ERTI AIDILFITRI





Photo credit: pingitanhiasanduniawi.blogspot

AIRMATA
DI AIDILFITRI…

ALAMAK!




LEBIH kurang dua minggu lagi, kita akan menyambut hari raya aidilfitri. Sewaktu di zaman kanak-kanak, inilah hari yang dinanti-nanti. Setelah mandi, boleh pakai baju baru. Kemudian boleh makan ketupat, rendang, lodeh dan segala macam kuih-muih dan air hingga perut sebu. Selepas itu bersalam-salaman dengan ayah, ibu, abang dan kakak dengan penuh harapan. Bukan harapan dosa lalu dimaafkan, (sebab tahu, budak-budak tak ada dosa) sebaliknya mengharap mereka akan menghulur duit raya.

Bersembahyang raya di masjid juga amat menggembirakan. Dengan pakaian yang berwarna-warni, tubuh-tubuh kami yang kecil boleh sahaja menyelit dicelah-celah orang tua untuk sama-sama bertakbir dengan suara yang lantang. Bukannya dengan niat ikhlas memuji Illahi, sebaliknya suka sangat bila mendengar suara sendiri menggaung melalui mikrofon ke seluruh kampung.

Selepas solat aidilfitri, penjelajahan secara berkumpulan pun bermula. Kononnya untuk beraya, padahal agenda tersembunyinya hanyalah hendak mengutip duit. Bila tiba ke rumah orang, sukanya hati kami bila si anak tuan rumah bertanya, “Nak kuih ke, nak duit?” Tentu sekali jawapannya ialah, “Nak duit.” Tapi kalau emaknya pula muncul dan berkata, “Kalau nak duit, kenalah makan dulu,” wajah masing-masing terus mencuka kerana urusan mengutip duit akan tergendala.

Bila berselisih dengan kumpulan lain, kami akan bertukar tip rumah manakah yang paling besar duit syilingnya. Kalau ada yang memberitahu, rumah Tuan Haji Salam memberi 50 sen, maka ke rumah itulah yang kami tuju. Ada juga yang tak tahu malu sampai beraya ke rumah Tuan Haji Salam sampai dua kali kerana hendak duit dua kali ganda.

Hari raya adalah hari gembira bagi kanak-kanak. Bagi kita yang dewasa, inilah hari yang seharusnya disambut dengan rasa bangga dan gembira juga. Bangga kerana kita berjaya membelenggu syaitan di dalam diri dengan membelenggu nafsu kita sendiri melalui puasa. Gembira kerana kita berjaya melepasi ujian berpuasa bagai seorang hamba yang merdeka.

Akhirnya kita melepasi satu tempoh ujian sebulan untuk menjernihkan fizikal, mental dan spiritual. Ia sempena kejayaan kita kembali kepada fitrah insaniah ~ yang elok fizikal, kental mental dan suci spiritual. Paling tidak pun, setelah menjalani puasa Ramadan, kita sudah lebih bersih apabila bersinarnya mentari Syawal.

Kerana itu, seelok-eloknya kejayaan berjihad melawan hawa nafsu ini diteruskan. Di antara caranya ialah dengan berasa sensitif terhadap apa yang boleh mempengaruhi kita untuk tunduk kembali ke dalam situasi sebelum berpuasa. Malangnya, semakin lama kita menginjak usia, kita semakin mudah terpengaruh, terutamanya dengan TV.

Kita biarkan media melakar dan menggariskan semula sikap yang tidak sepatutnya kita zahirkan. Hari raya digambarkan sebagai bukan sebagai hari bergembira. Sebaliknya sebagai hari kita bersedih. Di pelbagai saluran TV, drama airmata di aidilfitri ditayangkan dalam pelbagai latar tetapi dengan mesej yang serupa. Dengan muzik latar dan mimik wajah yang kusut, seisi keluarga teruntun perasaan hingga merembes airmata.

Adegan bermaaf-maafan di aidilfitri sudah menjadi satu babak dalam rancangan hiburan. (Maaf cakap, bermaaf-maafan ketika Ramadan menjelang itu lebih bermakna, sempena kita hendak mensucikan diri). Oleh kerana bermaaf-maafan itu dicanangkan sebagai sesuatu yang begitu bermakna di aidilfitri, maka sebilangan daripada kita hanya menganggap bermaaf-maafan hanya sesuai di aidilfitri. Maknanya, ada di kalangan kita sampai menunggu aidilfitri untuk memohon maaf di atas kesalahan. Kerana itu, mana tak lencun tudung dengan airmata bila kita memohon dosa yang tersimpan di dada hingga setahun?

Kalau kita yang sederhana ini asyik bersedih, lebih-lebih lagi disimulasikan dengan kesedihan melalui tontonan TV, mungkin kita tidak sempat hendak menjenguk orang yang benar-benar sedih yang ada di kalangan kita. Tentu ada makcik atau pakcik yang hidup sebatang kara di hujung kampung, di hujung blok atau di penghujung jalan.

Mereka ini puas bersedih di sepanjang tahun. Aidilfitri yang seharusnya menggembirakan pun dilalui dengan kesugulan. Apalah salahnya kita gembirakan mereka, bukan setakat menghantar ketupat dan lemang, tetapi menghulur sepasang pakaian dan kemudian memimpinnya ke rumah untuk sama-sama menyambut aidilfitri?



Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 17.8.2011.


Tuesday, August 9, 2011

SELAMAT TINGGAL ZAMAN JAHILIYYAH





Photo credit: asirandu-whataboutlife.blogspot

MENDIDIK ANAK
BERBUAT SALAH

DI ZAMAN kanak-kanak, antara aktiviti yang saya nantikan pada bulan puasa ialah bermain mercun selepas solat terawih. Ya, bermain mercun secara halal, kerana pada tahun-tahun 60-an, bermain mercun dibenarkan oleh pihak polis. Seingat saya, selepas peristiwa 13 Mei, permainan mercun dibenarkan setakat dua-tiga hari pada hari raya. Beberapa tahun kemudian, ia diharamkan langsung hingga ke hari ini.

Saya masih ingat lagi, pada usia 7 tahun, abang saya melatih saya kemahiran membakar mercun. Jenis mercun yang diberikan kepada saya ialah mercun padi. Mercun sekecil cili padi ini dibeli dengan harga sepuluh sen untuk tiga puluh batang. Saya diajar mengikat sejengkal ubat nyamuk pada ranting kayu. Abang menyuruh saya meletak mercun yang kecil itu di atas tin susu. Setelah mencucuh dan melihat percikan api, abang menggesa saya lari jauh-jauh sambil menutup telinga.

Kejayaan meledakkan sebutir mercun itu amat menggembirakan. Terkinja-kinja saya menari dengan rasa bahagia kerana ia petanda yang saya boleh menyalakan mercun. Pada hari itu juga saya mengecek mercun yang menjadi mainan abang saya iaitu mercun yang dikenali sebagai mercun batik. Mercun ini besar sedikit daripada mercun padi. Panjangnya pula seperti sebatang mancis.

Oleh kerana ia mempunyai corak-corak bunga pada permukaannya, ia dinamakan mercun batik. Berharga tiga puluh sen sebungkus yang mengandungi 20 batang, bunyi mercun batik lebih kuat daripada mercun padi. Tetapi, untuk mendapat bunyi yang kuat dan berpanjangan, mercun ini dibakar kesemuanya sekaligus. Orang kata membakar sepapan mercun.

Bila kehabisan mercun padi dan mercun batik, saya akan memerhati abang saya bermain mercun yang dikenali sebagai mercun lada. Berwarna merah dan panjangnya kira-kira tiga sentimeter, bunyi mercun memang kuat. Bukannya berdentam, tetapi berdentum.

Oleh kerana bermain mercun dibenarkan ketika itu, kemahiran membakarnya sudah jadi satu kemestian kami sebagai kanak-kanak. Sama ada mencucuh sumbunya dengan lampu pelita, meletupkannya di dalam tin majerin untuk mendapat kesan gema, tidak ada di antara kami yang cedera. Saya cuma pernah kebas jari apabila mercun padi meletup di tangan. Teman sekampung saya cuma terbakar baju apabila mercun yang saya baling termasuk ke dalam poket baju Melayunya.

Tentu sekali apabila bermain mercun dibenarkan, bermain bunga api, terutamanya bunga api lidi dianggap permainan untuk bebudak perempuan. Permainan meriam tanah atau meriam buluh pula adalah permainan di kalangan remaja. Meriam tanah atau meriam buluh memang tidak pernah dibenarkan. Justeru, apabila anggota polis meronda dengan basikal untuk menangkap (sebenarnya hanya untuk menakutkan) mereka yang bermain meriam, masing-masing akan lari susup-sasap ke bawah rumah.

Kini, permainan mercun dan bunga api tidak dibenarkan. Selain sebab keselamatan, kita yang dewasa juga memahami bahawa membakar mercun bukan amalan yang dituntut agama. Tetapi, untuk nostalgia, ada di antara kita yang sudah dewasa dan beranak-pinak ini membelikan mercun dan bunga api pula buat anak-anak dan adik-adik. Kononnya untuk mainan mereka, padahal, kita turut tumpang sekaki.

Kita bukannya tidak tahu bermain mercun itu juga melanggar undang-undang. Namun, oleh kerana kita ingin melayan memori zaman lalu, secara tidak sedar, kita galakkan anak-anak kita melanggar undang-undang selain tidak mematuhi apa yang sepatutnya diamalkan oleh orang Islam.

Maafcakap, andainya kita pernah lakukan sesuatu perkara itu disebabkan kejahilan, mengapa pula kita ajak anak-anak kita jahil seperti kita? Cukup-cukuplah kita sahaja yang mengharungi zaman jahiliyyah itu. Setelah dewasa dan berilmu, tidak cantik tabiat itu dikekalkan apatah lagi diteruskan walaupun ianya nostalgik. Kalau kita benar-benar anti-mercun, keinginan bermain mercun akan mati. Tidak akan ada lagi kanak-kanak yang hendak mencipta mercun sendiri hingga akhirnya hilang jari.

Ucapkan selamat tinggal kepada zaman jahiliyyah itu. Sebaiknya, berikan anak-anak amalan yang lebih baik daripada apa yang kita alami. Galakkan mereka melakukan sesuatu berpaksikan ilmu. Zaman kita yang jahil telah berlalu. Kerana itu, anak-anak tidak perlu melalui apa yang kita alami atas nama suka-suka.

Keseronokan tidak akan ke mana. Tetapi mematuhi agama itulah yang lebih bermakna.


Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 10.8.2011.

Tuesday, August 2, 2011

NOSTALGIA MAKAN



Photo credit: freewebs.com

KITA JADI BUDAK
DI BULAN RAMADAN

APABILA bulan puasa menjelang, kita jadi nostalgik. Teringatkan, emaklah orang yang paling berpengaruh membina keinginan kita untuk berpuasa. Pendekatan pertama yang biasa emak gunakan ialah dengan meminggirkan kita ketika waktu berbuka. Tatkala ahli keluarga yang lain enak menjamah hidangan, emak suruh kita ‘main jauh-jauh’ kerana kita tidak layak untuk makan bersama mereka kerana tidak berpuasa.

Situasi ini membuatkan kita berasa diketepikan. Perasaan ingin berpuasa mula datang membuak-buak. Tentu sekali emak akan gembira bila kita suarakan hasrat hendak berpuasa. Kata emak, ‘Berpuasa sekerat hari pun tak apa.’ Maka keesokannya, kita mulalah bangun bersahur meskipun makan dengan mata yang terpejam.

Pada siang harinya, kitalah yang bangun paling lewat kerana kelesuan. Tetapi emak akan menggalakkan kita terus berpuasa bila melihat kita melepek di lantai simen kerana ingin menyegarkan badan. Kata emak, ‘Lepas pukul 12.00, bolehlah berbuka.’ Dengan wajah yang pucat dan monyok, kita mengangguk lesu. Bila terasa haus, kita ke bilik mandi untuk basuh muka dan menjaram kepala. Mungkin dalam diam-diam kita berpura-pura tertelan seteguk dua air menghilangkan dahaga! Tepat jam 12, mulalah kita mengendeng di dapur. Dan, emak pun menghidangkan sepinggan nasi.

Tetapi menjelang waktu berbuka, sekali lagi kita dipinggirkan dan tidak dapat merasa juadah hidangan keluarga kerana berpuasa sekerat hari. Bermula dari situ, kita mula memasang niat hendak berpuasa penuh. Tentu sekali emak gembira kerana anak kecilnya sudah hendak jadi seperti orang dewasa. Keesokkannya, meskipun hendak berpuasa macam Abang Long, kitalah anak yang paling kuyu mata, paling suka melepek, paling kuat merengek kerana kebulur dan paling kerap melangut ke jam dinding menghitung waktu.

Di sepanjang hari, pelbagai alasan seperti lapar, pening kepala dan haus, dikhabarkan pada emak. Namun emak buat-buat tak dengar keluhan kita, kerana inginkan anaknya berpuasa penuh. Setibanya waktu berbuka, kitalah orang paling awal duduk mengadap juadah dan kitalah yang menjadi perhatian keluarga. Emak dan ayah akan penuhkan pinggan kita dengan segala juadah kerana berbangga akhirnya kita sudah berjaya berpuasa penuh.

Mulalah emak berjanji hendak bagi ganjaran kalau kita dapat meneruskan ibadah puasa. Dia berjanji akan menghidangkan masakan yang kita paling suka. Cakaplah apa sahaja, emak akan sediakan. Ramai juga di kalangan kita yang dijanjikan ganjaran wang ringgit.

Begitulah latihan berpuasa yang kita lalui. Malangnya, penekanan yang selalu dititikberatkan adalah menahan diri daripada makan dan minum. Oleh kerana kita telah dilatih sebegitu, tanpa kita sedari, makanan menjadi agenda utama bulan puasa. Kita sudah terbawa-bawa perangai budak hingga ke dewasa. Kita membeli lebih makanan daripada biasa. Kita minum pelbagai jenis air di bulan ini. Lihatlah sesaknya bazar-bazar Ramadan yang dibuka di bandar-bandar kecil dan besar di seluruh negara. Kesemuanya untuk memenuhi nafsu makan kita.

Bila lagi kita hendak berpuasa dalam ertikata yang sepatutnya? Mengapa kita terbawa-bawa perangai kanak-kanak kita setiap kali tibanya bulan puasa? Biarlah sekurang-kurangnya kekerapan kita membeli makanan di luar adalah sama seperti hari-hari biasa. Kalau dahulu kita asyik mengembangkan hidung dan menjenguk ke dapur menghidu aroma masakan emak, setelah dewasa, kita asyik melayari internet pula untuk melihat juadah apa yang diingini buat berbuka. Bukankah apabila kita berpuasa sunat pada Isnin dan Khamis, nafsu kita boleh dikontrol dan tidak meliar apabila melihat makanan?

Apakan daya, pengetahuan kebanyakan emak tentang puasa biasanya berbentuk ritual. Dia melayan nafsu makan kita sebagai anak kecil. Penekanan menahan nafsu mata, telinga dan lidah jarang sekali ditarbiahkan kepada kita. Begitu juga, dia tidak sampaikan kepada kita peri pentingnya memperbanyakkan ibadah.

Benar. Kita memperdalami sendiri erti puasa melalui ceramah, kuliah dan pembacaan. Ilmu puasa kita kini lebih lengkap, lebih dewasa. Tetapi bila tiba bab makan, kita kalah bila jadi budak-budak kembali. Kita gagal dalam menangani cabaran fizikal berpuasa. (Maaf cakap, belum termasuk cabaran spiritual lagi). Mengapa begitu? Justeru itu, mengapa tidak kita memperbetul minda khususnya hal makan minum di bulan Ramadan.

Buat permulaan, ramai yang belum mencuba keenakan berbuka secara Rasulullah. “Adalah Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (ruthab), jika tidak ada ruthab maka berbuka dengan kurma kering (tamr), jika tidak ada tamar maka minum dengan satu tegukan air.” (Anas bin Malik r.a)

Cara ini simple, mengenyangkan dan tentu sekali tidak memberatkan perut hingga mengantuk tatkala bersolat terawih. Mari kita tinggalkan nostalgia makan minum di zaman kanak-kanak itu. Ia hanya sesuai untuk budak-budak.


Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.8.2011.